Kembali duduk dikerusi empuk itu setelah tiga
tahun meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana
harus dimulakan. Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan
tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar
negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya
masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.
‘Bang,
aku akan dihantar bertugas ke Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family
aku sekali.’
Email yang dihantar Zhafran membuatkan
dia berfikir berkali-kali. Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa
pergi dan bermaksud juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau
Crystal.
Pada mulanya dia masih teragak-agak
untuk pulang tetapi panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan
dadanya bagai ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti
panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
“Papa dah
tak kuat Reez. Papa perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau
Crystal yang papa usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.”
Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak
di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu
di bumi Ratu. Kerana itu juga, dia kembali menjejakkan kaki ke Danau Crystal.
Ikutkan
hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan
dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga
tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana
Amira.
“Melarikan
diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman
serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.
Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez
berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi
biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.
Seketika berdiri
di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir
yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat
suasana di dalam ruang pejabat pula.
Saat itulah
matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang
nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai
rasa. Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik. Walau sudah mempunyai
seorang anak, badan Lya tetap langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan
dengan apa saja yang dipakainya. Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang
membuatkan hatinya terpaut.
Astaghafirullahalazimmmm....
Panjang dia
beristifar setelah sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta
kerana mendambakan wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik
sendiri. Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya
melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.
Baru saja nafas
yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.
“Masuk.” Lemah
saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya
muncul di muka pintu.
Senyuman Lya
buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang
tersusun masuk menghampiri mejanya.
“Boleh I duduk?”
“Hah!” Hareez
bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar pemintaan Lya itu. Rupanya Lya
sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama
isyarat tangan agar Lya duduk.
“Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya
bersuara sambil meletakkan file yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi
dia cuba untuk berlagak biasa. Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama
tiga bulan kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya
di Dubai.
Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga
tahun tidak bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu
jauh bezanya dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata
hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua
perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan. Melihat Hareez hari ini,
hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang
pendiam?
Hareez mengangguk
perlahan petanda memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu,
sepanjang ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua
urusan Danau Crystal.
Seharusnya
Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap rendah diri seorang Lya
memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada rasa bersalah terbit di
hatinya. Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul tanggungjawab
tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega meninggalkan papanya
menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat kontraknya dengan syarikat
lain.
Melihat anggukkan
Hareez, Lya terus membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja.
Mulutnya terus berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez
tahu.
Cuba untuk fokus,
itulah yang Hareez lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari
gelombang dimindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas
helaian kerta menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk
membuatkan nafasnya kembali menjadi sesak.
Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah
mengimpikan untuk membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak
kesampaian dan dia tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan
kesampaian.
Sedang minda dan
hatinya berperang sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit
Lya. Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak menarik
telefonnya yang diselitkan di poket seluar slack yang dipakai.
“Sekejap ya.”
Sopan Lya memohon untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran
yang tertera di skrin.
“Assalamualaikum
abang... Lya tengah ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut
alunan suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.
Pantas Hareez
kalihkan pandangannya ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah
mula mengintai keluar. Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat
Zhafran. “Okey, bye!” suara penamat
perbualan itu memanggil Hareez kembali berpaling ke arah Lya.
“I love you too.”
Ucapan terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan
mata Hareez terpejam rapat menahan sakit. Ya! sakit yang tidak mungkin mampu
dilihat oleh sesiapa pun.
“Reez...sorry,
boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka matanya. Tidak
mengangguk dan tidak juga mengeleng, hanya matanya melekat ke wajah Lya.
Melihat tingkah
pelik Hareez, Lya diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang
kembali. Sejak kepulangan Hareez sebulan yang lalu, rasa bimbangnya tidak
pernah surut apatah lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap
hari di pejabat.
“You bahagia?”
soalan Hareez yang tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang
di hati Lya. Dia cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan
terhadapnya tetapi sinar mata lelaki ini bagai mnceritakan segalanya.
“Lya?”
“Ya, I sangat
bahagia.” Spontan jawapan itu keluar dari bibir Lya.
Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan
lain selain dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggabarkan
rasa hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.
Hareez tarik nafas
panjang. Entah kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat
sebenarnya dia telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya
sudah cukup untuk memberitahu tentang bahagia yang berada disekeliling mereka.
Ah! Rasa hati ini
perlu dibalut lagi dengan lapisan yang tebal-tebal supaya getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah hanya
dia yang merasai betapa dasyatnya getaran yang melanda hatinya.
4 comments:
BEST.
Auchhh.. Sakit nye.. T.T
bila novel ni nak dikeluarkan...
Best, awal-awal dah ada konflik jiwa Hareez-Lya. Tak sabar nak tahu apa yang berlaku pada mereka sebelum ini.
Post a Comment