FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 1

            H
ANI SURAYA termenung di tangga rumah yang berkunci. Inilah akibatnya pulang ke kampung secara tiba-tiba tanpa memberitahu terlebih dahulu. Dia lupa yang mak dan ayahnya memang jarang lekat di rumah.

        Kalau tak di kebun, mesti ke pekan. Kalau tidak ke dua tempat itu, mesti ke rumah jiran yang ada kenduri kendara.

        Tiba-tiba matanya terarah ke laman rumah penghulu Haji Kassim yang letaknya selang tiga rumah dari situ. Kelihatan ada ramai orang berkumpul di sana. Ada kenduri atau kematian? Kalau kematian, siapa yang meninggal? Penghulu Hj Kassim atau Makcik Habibah?

        Tak mungkin kot, sebab mak tak cakap apa-apa pun. Tapi… kalau kenduri, siapa yang kahwin? Hazril????
        Menyebut nama itu, hatinya tiba-tiba jadi berdebar. Tak mungkin Hazril sebab setahu dia, lelaki itu masih di luar negara.

        Tapi kalau bukan Hazril, siapa lagi? Penghulu Haji Kassim hanya ada dua orang anak, Hazril Redza dan kakaknya, Sofea Nabila. 
        Tapi, Kak Sofea memang sudah berkahwin. Yang tinggal hanyalah anak bujang Haji Kassim, si Hazril itu.

        “Kak!”
        “Mak kau tergolek!!!!” Hani terlompat sambil melatah disergah dari belakang oleh Azrul, adiknya.
        “Kurang asam betollah kau ni. Suka buat orang terperanjat.” Tangannya cepat saja memukul bahu Azrul yang sudah terkekek ketawa.

        “Dah lama akak sampai? Mak tak cakap pun akak nak balik.”
        “Mak dengan ayah mana?” Hani menyoal balik tanpa menjawab soalan basa basi adiknya.
        “Tuuu...” panjang muncung Azrul menunjuk ke arah rumah penghulu Haji Kassim sambil membuka mangga di pintu.
        “Ada apa tu? Orang meninggal ke?” Lancang mulut Hani menyoal.

        “Isk! Akak ni. Akak tak tahu ke Abang Hazril dah balik dari US? Kenduri sambut dia la tu.”

        Langkah Hani terus terhenti mendengar penjelasan Azrul. Hazril dah balik? Kenapa tiba-tiba? Rasanya baru saja dia mendengar Makcik Bibah mengadu yang anak bujang kesayangannya itu tidak mahu balik-balik ke Malaysia kerana seronok tinggal dan bekerja di negara orang selepas habis belajar.

        “Akak pergilah cari mak kat sana. Boleh jumpa boyfriend lama akak tu sekali.”
        “Eh! mulutttt...... Kalau belum beli insuran, baik jangan cakap yang bukan-bukan ya!” Amaran keras terus Hani berikan pada Azrul. Matanya mencerlung memandang adiknya itu yang sudah pun mendahului langkah masuk ke rumah.

        “Alaaa... semua orang tahulah kak. Satu sekolah cerita yang akak suka Abang Hazril. Satu sekolah tahu akak simpan gambar Abang Hazril dalam buku latihan dan Abang Hazril...”

        “Sudahhhh!!!!!!” Jerkahan kuat Hani terus menghentikan bicara Azrul. Pantas dia berpaling memandang kakaknya.
        Pertama kali dia mendengar kakaknya yang sentiasa berlembut itu meninggikan suara membuatkan dia tergamam tidak percaya. Takkanlah kerana usikan itu, kakak kesayangannya boleh marah sampai begitu sekali?

        Hani gamam. Hilang kata untuk bersuara. Dia sendiri tidak tahu kenapa anginnya tiba-tiba naik mendadak seperti di pam tatkala kisah lama itu disebut-sebut. Mungkin juga dia tidak menyangka adiknya itu tahu tentang kisah tersebut kerana selama ini, cerita itu tidak pernah sekali pun keluar dari mulut Azrul. Pantas, kenangan lalu yang memalukan itu datang menerjah minda.

        “Weh! Pinjam buku kau kejap.” Tanpa amaran Hazril terus mencapai buku latihan yang terletak di atas meja.
        “Hey! Mana boleh!” Hani terjerit kecil. Buku latihan yang sudah berada di tangan Hazril cuba dirampas tetapi lelaki itu lebih pantas melarikannya.
        Sengaja untuk main-main, Hazril mengibarkan buku tersebut di depan Hani. Selama ini, jika dia ingin meminjam buku, semua rakan di dalam kelas tersebut dengan rela hati akan memberinya tanpa banyak soal.

        Berbeza dengan Hani Suraya. Nak pinjam buku, punyalah susah. Tahulah otak genius. Sejak dari sekolah rendah hinggalah sampai tingkatan lima, dia tidak pernah mampu menandingi gadis tersebut. Dia sering berada di nombor dua di belakang Hani.
        Saat buku di tangan Haazril dikibarkan ke udara, ada sesuatu melurut jatuh dari dalam buku tersebut, beralun-alun turun ke bawah sebelum terdampar di lantai.
      
  Melihat objek tersebut, wajah Hani terus berubah. Hazril pula berkerut kening sambil memandang sekeping gambar yang jatuh berhampiran kakinya.
        Hani bergerak untuk mengutip gambar tersebut tetapi seperti biasa Hazril lebih pantas daripadanya.
      
  Saat mata Hazril merenung gambar tersebut, wajah Hani sudah tidak berdarah. Malah, bukan hanya wajah, rasanya seluruh tubuhnya seolah kehilangan darah.
        Tiba-tiba Hazril gelak kuat. Gelak yang sungguh-sungguh sehingga semua mata pelajar di dalam kelas tersebut menoleh pandang ke arahnya.
         “Masa bila kau curi ambil gambar aku ni?” Hazril menyoal setelah ketawanya reda sambil menayang gambar yang sedang terpegang di tangannya.
  
      “Curi-curi pun dah satu kesalahan. Lepas tu, kau cabul kesucian aku dengan sandingkan bersama gambar kau pulak.” Hazril senyum sambil mengeleng kepala.
        Gambar di tangan direnung lagi. Potret wajahnya yang diambil secara curi-curi, diedit dan digandingkan dengan wajah Hani Suraya. Siapa lagi yang punya kerja kalau bukan gadis itu sendiri. Kemudian, matanya beralih ke arah Hani  yang sedang gelisah.
  
      Waktu itu, Hani seperti sudah hilang upaya untuk berfikir. Usah diceritakan apa yang dia rasa. Hatinya berdoa agar bumi yang dia pijak terbelah dua dan menelan jasadnya.
   
     Namun begitu, beberapa kali berkelip, dia masih di situ. Berdiri kaku memandang lantai. Dia tidak berani lagi memandang Hazril mahupun rakan-rakan lain di dalam kelas itu yang sudah berkerumun mengelilingi lelaki tersebut untuk melihat sendiri apa yang sedang diperkatakan Hazril.
        Hani cuba pejam mata tetapi telinganya pula terdedah pada bunyi-bunyian yang sungguh memalukan. Kedengaran suara lelaki dan perempuan ketawa lucu tak kurang juga yang ketawa mengejek.
      
  Sengaja ingin mengenakan Hani, Hazril bergerak ke arah depan kelas. Sementalah waktu itu guru masih belum masuk, dia gunakan peluang itu sebaik mungkin.
      
  Gambar di tangannya ditampal pada papan hijau menggunakan loytape. Pada papan hijau sebelah atas gambar tersebut ditulis besar-besar pantun dua kerat.
        
    'Sepadan dan secocok,
            bagai pinang diketuk-ketuk.’
         
        Dia ketawa sendiri sebelum disambut gelak ketawa rakan-rakan sekelas yang lain. Kemudian, dia menulis lagi. Kali ini pada bahagian bawah gambar tersebut pula.
         
            P/s: sila telefon ambulan segera, 
            aku nak pengsan melihatnya....
         
        Suasana di dalam kelas 5A1 riuh rendah dengan gelak tawa penghuninya. Kecuali Liza  yang hanya tersenyum menahan tawa. Ikutkan hati, dia juga ingin ketawa tetapi tatkala memikirkan yang dimalukan itu ialah rakan baiknya sendiri, ada rasa simpati menjalar di hati. Dia sendiri tidak pernah tahu rakan baiknya itu ada menyimpan hati terhadap Hazril. Baginya, Hani seorang yang sangat pediam dan suka memendam.
   
     Tetapi,  bukankah Hani sendiri telah tahu bahawa lelaki paling kacak di sekolah mereka itu adalah hak milik Nurlily Dato Hamdan?
        “Aku tak ketawa yer.” Liza bersuara sebaik melihat Hani menoleh ke arahnya.
        Tanpa suara, Hani pantas mengatur langkah keluar melalui pintu belakang kelas menuju ke tandas. Dia cuba menahan tangis tetapi, saat pintu bilik tandas ditutup dan dikunci, air jernih mengalir jua menyentuh pipinya.
    
    Malu! Sungguh-sungguh memalukan. Dia yakin saat ini semua orang sedang mentertawakannya. Walau Liza tidak ketawa seperti rakan-rakan yang lain, dia tahu sahabatnya itu juga sedang ketawa di dalam hati.
        Tidak disangka harga yang sebegini tinggi harus dibayar kerana menyukai seorang lelaki bernama Hazril. Rasa itu, bukan dia yang memintanya tetapi ia datang sendiri dan terus kekal di hati.
        Sejak kecil, sejak mereka bermain pondok-pondok bersama lagi hatinya memang sudah terjatuh suka pada lelaki itu. Walaupun dia sering menjadi bahan ejekan lelaki tersebut, walau dia tahu wanita selekeh sepertinya tidak akan dipandang oleh Hazril yang sentiasa menjaga gensinya, hati tetap ingin memuja. Ah! Degilnya sekeping hati ini.
    
    Hani tarik nafas panjang-panjang. Air mata di pipi diseka perlahan. Walau dia menangis air mata darah sekalipun, apa yang berlaku tidak mungkin akan mampu ditutup dan disembunyikan.
        Kerana itu, dia melangkah kembali ke kelas. Rasa malu itu disimpan kemas. Rasa geram pada Hazril kerana memalukan dia sebegitu kejam juga dibungkus ketat. Semua yang berlaku ini adalah berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tidak gatal mengambil gambar Hazril secara curi-curi dan mengeditnya, perkara sebegini tidak mungkin akan terjadi.
      
  Kalaulah dia menyimpan gambar tersebut di rumah, pastinya perkara memalukan ini tidak akan terlakar dalam sejarah hidupnya.
        Dalam perjalanan menuju ke kelas, Hani berpapasan dengan Nurlily. Melihat lenggok wanita itu, Hani telan liur. Kalaulah Nurlily and the gang tahu, mahunya dia mati kejung dikerjakan mereka yang sememangnya terkenal dengan kaki buli. Oh! Hatinya jadi makin gundah gelana.
     
   Masuk melalui pintu belakang kelas, sekali lagi Hani telan liru. Nun di depan kelas, Cikgu Wan, guru Bahasa Melayu sedang merenung gambar yang tertampal di papan hijau.
        “Siapa punya kerja ni?” soal Cikgu Wan.
       
“Hazril, cikgu.” Kedengaran beberapa suara menjawab.

"Kamu ni Hazril, macam-macam tau!" ulas Cikgu Wan sambil mengeleng kepala. Gambar tersebut ditanggalkan dari papan hijau dan diselitkan ke dalam buku latihan mengajarnya. Entah apa yang ingin dibuat oleh cingu tersebut  tidak tercapai dek akal Hani.

1 comment:

Sha said...

Teringat zaman sekolah dulu, boleh senyum mengingatkan rakan-rakan lama.

Suka membaca cerita olahan Sdri Hani. Santai dan bersahaja..