FOLLOWERS

CINTA DARI HATI - Bab 2

Sharul sudah lama meminta diri tetapi Hareez masih duduk di situ. Pesanan temannya yang satu itu sebelum melangkah pergi berputar-putar di kepalanya.
         
   ‘Semua orang buat silap. Dari situ, kita belajar sesuatu. Kalau tak belajar, itu bodoh namanya.’
           
Ya! Dia pernah buat silap. Bukan sedikit malah banyak sangat dan dia mahu belajar dari kesilapan lampau. Sebab itu, dia menolak apabila Shahrul mahu dia memberi peluang kepada Fazura. Dia tidak ingin kesilapan lampau berulang kembali. Dia tidak mahu sejarah berulang dua kali kerana memberi peluang kepada Melisa tanpa rasa cinta yang wujud dihati untuk wanita itu adalah satu kesilapan besar dalam hidupnya.
           
Hareez panggung kepala, melihat bumbung yang putih. Kalaulah hidupnya seputih bumbung tersebut. Tapi, kalau ada putih, pasti ada hitamnya dan yang hitam di dalam hidup dia adalah berpunca dari sikapnya sendiri.

Dari kecil dia dibekalkan dengan didikan agama yang cukup. Tetapi semakin usia meningkat dewasa dia semakin memandang remeh soal agama. Kerana itu, dia terjebak dengan Melisa dan kerana Melisa, dia terlepas untuk memiliki Lya.
          
  Ah! Perkara yang lama tak usah dikenang. Kalau dikenang menyakitkan jiwa. Pandang ke depan, jangan toleh ke belakang.
          
  ‘Kalau bukan Melisa atau Lya atau Fazura, pasti Tuhan sudah sediakan yang lebih baik  untuk dia.’
           
Hareez bangkit untuk beredar. Sudah lebih tiga jam dia keluar dari pejabat. Nasib baik kerja sendiri, syarikat sendiri.
          
  Melangkah untuk keluar melalui ruang lobi, di lorong menuju ke lift untuk ke kawasan parkir, matanya terpandangkan adengan tarik menarik antara lelaki dan perempuan.

Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap bertali leher sedang menarik tangan si gadis manakala si gadis itu pula enggan mengikut.

Excuse me….?” Hareez menegur. Terus adengan tarik-menarik terhenti.

“Awak!” tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut erat.

Eh? Diakah yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Hareez berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula dan wajah itu macam sangat familiar. Mereka pernah jumpa ke?

“Sayang… siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan pandangan. Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat perangai. Sekarang ni pun dia dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat sehingga badannya terasa membahang.

“Sayang??” suara lelaki itu bergema lagi.

Hareez sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak mengharap bantuannya.

“Sini!!” lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.

“Tak nak!” cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangannya semakin kejap di lengan Hareez.

“Abang cakap ikut abang!”

“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan. Tarikan kuat lelaki tersebut membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap sekali.

“E! kau ni siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” lelaki tersebut mula naik angin. Dada Hareez ditolak kasar.

“Dia tunang aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.

“Tak! Kita dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.

Oh! Namanya Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.

“Fatia Arissa! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Muka dah merah padam.

“Abang… Apa sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas panjang-panjang.

“Ni! Tia akan kahwin dengan dia… soon, very very soon.”

Eh? Hareez blur sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Arissa itu menunjuk ke arahnya. Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi?  Bila masa dia pinang anak dara orang ni? Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez terlompat kijang.

“Tapi kita masih belum putus.”

“Saudara.. baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian ceritalah.  Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua kisah drama sinitron yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya.

“Eh! Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang terundur ke belakang.

“Abanggg!!!!” cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran pula.

“Kalau orang dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di tempat umum.

“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.

“Hey! Jaga jari tu. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.”

Buntang mata lelaki tersebut dengan amaran beralas dari mulut Hareez. Waktu itu, orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard. Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin kecoh.

Tanpa lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong tu, biar terus sampai selamat.

Masuk ke dalam lif, Hareez pandang lengannya yang masih menjadi tempat cik sayang berpaut. Wah! Dah rupa macam pasangan kekasih yang baru keluar dari bilik hotel pula gayanya.

Excuse me, boleh bagi balik lengan saya tak?”

“Opp!! Sorry.” Cik sayang angkat kedua tangan. Wajahnya terus berubah rona. Mungkin segan dan mungkin juga malu.

Eh! Sekejap. Peristiwa di dalam lif minggu lepas tiba-tiba terimbau di kepala Hareez. Matanya mengecil memandang wajah cik sayang. Confirm! The same lady. Patutlah dia rasa macam pernah nampak.

Belum sempat berkata apa-apa, pintu lif terbuka di Aras B dan cik sayang pantas melangkah keluar tanpa sebarang ucapan. Tapi kenapa Hareez rasa macam tak puas hati? Rasa macam tak patut saja si gadis itu pergi begitu saja. Takkan kedekut sangat sampai tak boleh nak ucap terima kasih.

“Cik Sayang...."

Terus langkah si gadis yang bernama Fatia itu terhenti. Hareez pula melangkah mendekat.

“Awak panggil saya ke?” soal si gadis.

Hareez pandang kiri kanan. Tak ada sesiapa kot kat situ. Takkan paggil kereta yang berderet di tempat parkir kot.

“Rasanya, kita berdua ajekan?”

Kali ini si gadis pula menoleh kiri dan kanan.

“Nama saya bukan sayang!”

Hareez senyum senget. Tangan diangkat berpeluk tubuh. Matanya terus saja menelek cik sayang atas dan bawah. Dari bawah naik semula ke atas dan terhenti di bahagian dada. Turun naik dada si gadis dapat dilihat dengan jelas.

Selendangnya memang labuh tetapi agak nipis. Di tambah pula jenis baju yang dipakai, kainnya melekat ke tubuh menampakkan setiap lekuk. Wah! Sejak bila pula dia pandai meneliti jenis pakaian orang ni? 

Rasa macam nak cucuk mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain dah. Rasa macam nak hentak kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan. Kenapa tiba-tiba dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak nampak. 

“Kenapa pandang saya macam tu?” Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya. Nampak smart bergaya, takkanlah gila kot?

Hareez ketawa perlahan melihat reaksi spontan cik sayang. Sengaja mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya kasanova.

“Gatal!” Si gadis terus atur langkah. Takut melihat perangai lelaki macam tak siuman di depannya. Dah la tak ada orang kat sini. Security Guard pun nampak sayup-sayup di hujung sana

“Hutang bila nak bayar?” Provok Hareez menghentikan langkah si gadis.

“Hutang apa?”

“Tolong awak tadi.”

Oh! Tolong nak minta dibayar? Apa jenis manusia ni? Matanya mengecil memandang si jejaka. Nampak kacak bergaya tapi takkan sengkek sangat kot, nak minta dibayar hanya untuk pertolongan sekecil itu? Tiba-tiba hati Fatia terasa hangat.
          
  “Berapa juta?”
        
    Wow! Hareez angkat kening. Tak sangka ‘cik sayang’ di depannya ini boleh keluarkan soalan maut begitu. Juta? Mampu ke bayar kalau dia minta sejuta?
       
     “Tak payah juta-juta. Cukup sepinggan Kenny Rogers atau semangkuk pulut kuning.” Hareez tayang muka serius.
         
   “Awak ni bela ‘saka’ ke nak makan ayam panggang dengan pulut kuning bagai?”
        
    Wah! Hareez hilang perkataan buat seketika. Boleh tahan juga mulut ‘cik sayang’ ni. Tadi nampak takut-takut bila ditarik oleh lelaki yang entah apa masalahnya. Agaknya kalau dia tarik masuk kereta sekarang, apa akan jadi?

Kakinya diatur mendekati si gadis.
            
“Saka saya kuat tau! Silap haribulan, awak datang cari saya sebab tak dapat tidur teringatkan saya.” Hareez dekatkan wajahnya ke wajah cik sayang.
          
  Oh! Masing-masing terkaku sesaat. Ada sesuatu yang ada pada lelaki itu yang membuatkan jantung Fatia terhenti berdenyut. Aura!

         
   Dan Hareez, jadi pelik dengan diri sendiri. Kenapa hatinya seperti tidak mahu melepaskan gadis itu begitu saja. Sudah dijangkiti viruskah hati dia?

8 comments:

sweety said...

permulaan yang bagus..suke

Unknown said...

Continue....dah terpaut nih!

Anonymous said...

Cpt2 la nvl nie kuar.dh lma sgt menunggu..huhu..tnggu pnye tnggu nvl nie kuar,last2 nvl pta plk yg kuar dlu..hehe..apa2 pn pta best la jgk tp tetap xbleh kalahkan hareez..hehe

Unknown said...

Best.

Anonymous said...

Best. Cepat lah sambung please. Tak sabar pulak nak tunggu.

Anonymous said...

Bila nak sambung balik?

Unknown said...

Best la

Unknown said...

Best la