FOLLOWERS

KASIH ITU CINTA 5

 

                M
ASUK ke bilik, pandangan Zarif jatuh pada sekujur tubuh yang tidur mengiring membelakanginya.

        Keningnya berkerut. Rasanya tak sampai sepuluh minit si isteri masuk bilik, takkan dah tidur kut. Letih agaknya, sepetang melayan kerenahnya yang demam. Minta itu dan ini. Walau dengan muka tak puas hati, Dya tetap juga menurut.
        Lampu terus ditutup. Tapi bilik masih terang disimbahi cahaya lampu sisi katil yang terpasang.

        Badan direbahkan ke katil. Sesaat dia diam menanti kalau-kalau si isteri mahu berpaling tapi, tubuh yang terbaring tanpa sebarang selimut itu tetap kaku.
        “Dya...” Zarif memanggil perlahan.
        Senyap. Tapi, dia tahu si isteri masih belum tidur. Sebab selalu dia perhatikan, Dya amat susah untuk lelap. Selalu gelisah dan resah. Mula-mula dia fikir Dya gementar melalui fasa perkahwinan ini tetapi setelah lebih dua minggu, perlakuan Dya tetap sama. Itu yang membuatkan dia jadi pelik.

        “Dah tidur ke?”
        Senyap lagi tapi dia dapat rasakan tubuh si isteri mula menggigil. Cukup ketara sehingga dia dapat rasakan getarannya.
        “Kalau dah tidur, boleh la kut nak peluk-peluk.” Zarif sengaja mahu menguji.
        Terus saja ada gerakan pada tubuh si isteri. Cuma sedikit tapi cukup untuk memberitahu yang tubuh di sebelahnya masih belum terlena.

        “Dya...” Zarif memanggil lagi.
        “Mmmm...” barulah kedengaran suara bergumam. Cukup perlahan tapi masih mampu didengar oleh telingaya.
        “Dah tidur ke belum ni?”
        “Dah.”
        Zarif tergelak perlahan mendengar jawapan pantas si isteri. Dah tidur pun boleh bercakap ke?

        “Kenapa tidur bagi belakang kat suami ni?” Sengaja lagi, mahu melihat reaksi si isteri. Sejak petang tadi, dia nampak Dya hanya diam tapi tetap patuh dengan setiap permintaannya. Muka tidak lagi ketat seperti sebelumnya.
        “Mmm...errr.. Saya tak boleh pusing sana, bahu kiri sakit.” Dya tergagap-gagap beralasan. Entah betul, entahkan tidak.

        Zarif senyum. Akalnya bergerak pantas. Sakit bahu ya, mari sini doktor ubatkan. Tangan perlahan mencari hujung baju tidur si isteri dan diselak naik ke atas.
        Tepat seperti jangkaannya, si isteri terus terlompat bangun.
        “Awak...awak.. buat apa ni?” Dya telan liur berkali-kali dengan mata membulat memandang Zarif yang berwajah selamba.

        “Cakap sakit bahu. Saya nak check laaa...” Zarif tayang sengih.
        “Bahu kat sini!” Dya tepuk bahu sendiri.
        “Bukan kat sini!” Ditunjuk pula pada belakang di mana bajunya diselak Zarif tadi. Gigi dikacip kuat.

        “Yerlah. Nak check bahu, kena buka baju dulu.” Kali ni Zarif buat-buat muka serius. Walhal, dia memang nak tergelak melihat reaksi si isteri yang menggelabah.
        Seketika, Dya tak bersuara tetapi hanya memandang ke arah si suami dengan pandangan curiga. Dengan kening berkerut.
        “Awak ni sebenarnya doktor betul-betul atau doktor main-main?” Ringan mulutnya bersoal. Tiba-tiba dia jadi curiga. Dia tahu Zarif seorang doktor, tapi kehidupan lelaki ini yang sebenar, dia memang tak tahu langsung.

        “Kalau dengan awak, saya pilih main-main.” Sekali lagi Zarif tayang sengih.
        “Awak jangan nak main-main ya, saya nak tidur.” Dya mendengus dan kembali merebahkan badannya, betul-betul tepi katil.
        “Nak tidur betul-betul atau main-main?” Zarif sengaja putar belit ayat yang Dya gunakan.

        “Betul-betul!”
        “Tak nak main-main dulu?” Sambil gelak-gelak, badan dirapatkan ke arah si isteri. Sengaja mahu melihat reaksi tuan empunya badan.
        Sekali lagi Dya bingkas bangun.
        “Janganlah main-main. Orang dah mengantuk ni.”

        Zarif gelak lagi.

        “Eeee... sakitnya hati kita. Dia nilah!” Bahu Zarif jadi mangsa pukulan tangan kecilnya.
        “Okey! Okey! Tidurlah. Saya tak kacau.” Zarif mengalah akhirnya. Bangkit dan mengensot turun dari katil.
        Dia belum mengantuk lagi sebenarnya, saja mahu mengusik si isteri. Malam ini dan esok dia masih belum bekerja, sengaja meminta teman sekerja gantikan tempat, ingin rehat dan pulihkan tenaga semula.

        Sebaik Zarif melangkah keluar, Dya hela nafas panjang. Jemari naik melurut rambut yang kusut kemudian menekan-nekan dada yang sesak.
        Zarif sering buat dia begitu, sesak nafas tanpa perlu menghidap penyakit lelah.
        Badan kembali direbahkan. Fikiran bergerak perlahan. Sikap dan tingkah Zarif buat dia keliru. Apa yang dia tahu, Zarif terima dia atas aturan keluarga. Demi patuh pada permintaan mamanya. Sama seperti dia, yang terpaksa patuh dengan permintaan ibu.
        Cumanya, hari ini, dia rasa lain. Manja seorang Zarif buat hatinya dilanda debar yang tiada jalan penamat sehingga ke detik sekarang.
         
        Masalahnya, saya hanya nak awak!
        Saya cuma nak tumpang kepala di paha awak.
        Saya cuma nak awak picit saya.
         
        Ayat-ayat itu berlegar di kepala sehingga dia tertidur. Sehingga dia terasa ada tangan yang merayap di lengannya yang terdedah.
        “Dya...”
        “Arrrgghh!!!” Dya terus terjerit dan terlompat bangun. Serius... dia betul-betul terkejut. Fobia dengan peristiwa lama buat dia menggigil ketakutan.
        Zarif yang terkejut dengan jeritan dan tindak balas si isteri terus bangkit bersila. Si isteri yang sudah berpeluk lutut sambil mengensot hingga ke kepala katil itu dipandang penuh tanda tanya. Dalam samar cahaya lampu sisi katil, nampak jelas wajah si isteri seperti ketakutan.

        Tadi, ketika merebahkan badan di katil, dia nampak si isteri sudah lena dengan dengkuran halus. Tergoda dengan haruman yang menusuk ke hidung, tangannya spontan bergerak memeluk. Mahu merasai kulit mulus seorang isteri. Tapi, tibat-tiba saja, tangannya ditepis dan orang yang dipeluk terjerit kuat. Macamlah dia ni hantu raya yang sedang mahu merogol mangsa.
        “Dya??” Zarif cuba memanggil.
        Takkanlah sentuh lengan pun takut sampai macam ni sekali? Sampai mengigil seluruh badan?

        “Dya.... awak jangan buat saya panik begini. Saya belum buat apa-apa lagi tau. Baru sentuh lengan jer.”
        “Aaa.... Awak... awak buat apa tadi?” Seolah baru tersedar dari mimpi ngeri yang panjang, Dya seperti terpinga-pinga.

        “Saya sentuh lengan awak je, belum sentuh tempat lain lagi, awak dah menjerit macam saya dah buat benda yang pelik-pelik.” Zarif menggeleng perlahan sambil memerhati reaksi si isteri yang sedang mengurut dada sendiri.

        “Kalau saya buat benda pelik-pelik, agaknya awak melompat terjun dari balkoni sana.” Zarif gelak perlahan. Terasa lucu dengan kata-kata sendiri.
        “Errkk....” Dya kehilangan kata. Syukur kerana yang ada di depannya ini ialah Zarif, bukan bayangan yang selalu mengganggunya selama ini.

        “Boleh saya tidur sekarang?” soal Dya. Liur ditelan berkali-kali.
        “Nak tidur dah?”
        Dya angguk.
        “Dah ngantuk ke?”
        Angguk lagi.

        “Tak nak teman saya sembang-sembang?” soal Zarif lagi, sengaja mahu memancing. Mana tahu umpannya mengena.


        Tapi gelengan kepala si isteri mematikan harapan. Takpelah, takkan lari gunung dikejar. Anggap saja belum bersedia.

KASIH ITU CINTA 4

 

       B
UKA mata, perut sudah berkeroncong. Pandangan melirik ke arah jam, sudah hampir 2 petang. Patutlah!

        Malam tadi dia kerja malam. Tiba di rumah pagi itu, Dya sudah ke tempat kerja. Terus saja dia rebahkan badan ke tilam. Penat! Siapa kata kerja doktor itu senang memang salah tafsiran. Berdepan dengan pesakit yang banyak kerenah, belum lagi dengan kes kecemasan yang memerlukan tindakan segera. Tapi, dia suka dengan tugasnya.

        Cuba untuk bangkit tetapi badan terasa sengal sana-sini. Kepala juga terasa berdenyut. Oh! Ini petanda dia akan diserang demam bila-bila masa dari sekarang.
        Jemari terus meraba leher. Sah! Panas dan dia memang dah demam pun. Pasti sebab terkena hujan malam tadi. Hujan gerimis.

        Seketika mata dipejam. Telefon di meja sisi katil dicapai mahu menghubungi seseorang. Dalam kepalanya mahu menghubungi mama, mahu meminta si ibu memasakkan bubur kegemaran. Tatkala tekaknya terasa mual, bubur si ibu akan menjadi pembuka selera paling sedap.

        Tapi, entah kenapa, panggilannya tersasar, suara si isteri pula yang menjawab panggilan.
        “Kenapa?” Terus saja soalan kurang mesra itu menerjah masuk ke telinganya. Suara tanpa nada, tanpa perisa.

        Walau agak terasa, Zarif pendam saja. Itulah Dya, orang yang dia cinta. Yang kini sudah sah bergelar isterinya. Apa nak buat, itu yang dia pilih. Bukan dia pilih sebenarnya, tapi Tuhan yang pilih untuk dia. Kalau bukan jodoh yang ditulis oleh Dia, mana mungkin mereka boleh bersatu.
        “Lembutnya jawab panggilan suami?” Dalam lembut Zarif menyindir.
        Diam.
        Zarif juga begitu, turut diam. Mungkin sakit, mungkin juga perutnya sedang lapar buatkan hatinya sangat sensitif
        “Dya...” Akhirnya Zarif mengalah.
        Masih diam. Mungkin terasa dengan sindiran sinis tadi. Begitulah selalunya, diam seorang Dya buat Zarif jadi resah.

        “Ardyana...” sekali lagi Zarif memanggil. Kali ini dengan nama penuh.
        “Nak cakap apa sebenarnya ni?” Dya bersuara juga. Nada tetap dingin seperti tadi. Tawar tanpa perisa.

        “Saya demam.” Perlahan Zarif leretkan nada. Mahu menagih simpati sebenarnya.
        “Dah tu, apa saya boleh buat?” Tanpa perasaan juga suara di hujung talian membalas buat hati Zarif makin terasa. Nafas disedut sedalam mungkin.
        “Awak baliklah, tolong rawat saya.” Zarif seakan merengek. Masih sama dengan tujuan mahu menagih simpati. Sebenarnya, demam masih belum teruk tetapi perasaan ingin bermanja melebihi rasa demam tersebut. Yalah, dah ada isteri, takkan nak bermanja dengan mama pula.

        “Sekarang ni, awak ke saya doktor?”
        “Memanglah saya doktor...”
        “Dah tu, takkan saya yang nak merawat awak. Mana saya tahu.”
        Zarif hela nafas. Dya ni, tak faham atau buat-buat tak faham. Susahnya bercakap dengan orang yang tak ada hati ni.

        “Sayang... bukan semua penyakit doktor boleh rawat tau.”
        Dya di hujung sana sudah berkerut kening. Katanya demam. Takkan doktor tak boleh rawat demam? Demam apa yang sampai doktor tak boleh merawat?
        “Awak demam apa sebenarnya?” Blur-blur Dya bertanya.
        Bibir Zarif sudah mula menarik senyum. Walau soalannya bernada dingin, ada juga sedikit keperihatinan di situ.

        “Demam rindu.”
        Diam terus.
        “Dya...” panggil Zarif setelah lama orang di hujung sana terdiam.
        “Awak balik cepat yer. Tolong picit kepala saya.” Zarif masih mahu memancing. Mudah-mudahan, ikan akan berlembut memakan umpannya.

        “Awak kahwinlah Rif, dengan sesiapa yang awak nak. Yang mampu jaga awak seperti yang awak nak. Saya izinkan. Rasanya saya tak mampu...”
        “Masalahnya saya hanya nak awak! Titik.” Zarif memintas. Geram datang tiba-tiba. Kut ya pun tak mahu layan kerenah dia, takkan sampai suruh kahwin lain.

        Baru seminggu lebih jadi suami isteri, tak pernah dibuat dek orang. Dya ni, kekadang boleh buat dia demam denggi tanpa perlu ada nyamuk yang menggigit.
        Talian terus Zarif putuskan tanpa ucap salam. Mata dipejam kembali. Niat mahu bermanja sudah menjadi berbeza. Hatinya pula yang tersakiti.

        Seketika melayan rasa, dia terlelap semula. Entah berapa lama, tiba-tiba terasa dahinya disentuh perlahan.
        “Mama...” bibirnya terus bergumam. Saat itu dia hanya teringatkan mamanya. Ada isteri, tapi memang sukar untuk bermanja.

        “Zarif...” Suara itu bukan suara mamanya. Tapi suara…
        Zarif buka mata dan tepat tekaannya, wajah si isteri yang sedang berdiri di sisi katil menyapa pandangan. Spontan tangan terus dihulur menarik si isteri agar duduk.
        Akur, Dya melabuhkan punggung di birai katil. Tadi, tatkala Zarif menamatkan panggilan secara tiba-tiba, baru dia tersedar satu perkara, sebagai isteri, dia sudah berlaku kejam pada suami sendiri. Apa salahnya dia meminta pelepasan untuk pulang untuk suami yang sakit di rumah?

        Memanglah hubungan mereka tidak seperti pasangan suami isteri yang lain tetapi, tanggungjawab sebagai isteri tetap terpikul di atas bahunya.

        “Dya..” Suara Zarif kedengaran serak. Kepala yang berdenyut diangkat dan paha si isteri ditarik untuk dijadikan bantal. Dia sudah tidak peduli kalau Dya mahu marah sekalipun. Yang penting, dia perlukan sesuatu yang hangat untuk menghilangkan rasa sejuk yang menyerangnya saat ini.

        “Kepala saya sakit Dya...” Suaranya masih serak, merengek manja. Tangan Dya diangkat dan diletakkan ke dahinya. Dia perlukan jemari ajaib untuk menghilangkan denyutan yang menyerang kepalanya.
        Kalau dulu, riba mama tempat dia meletakkan kepala saat ujian sakit ditimpakan ke atasnya. Tapi hari ini, dia hanya mahukan Dya.
        Sakit itu ujian sabar dan dia sedang bersabar. Bukan hanya bersabar dengan sakit yang menimpa tetapi bersabar dengan angin isteri yang berubah-ubah tanpa sebarang punca.
        Dalam teragak-agak, Dya turutkan juga. Jemari terus bergerak memicit-micit kepala si suami. Pahanya yang menjadi alas kepala terasa sudah menggigil. Benar, ada sesuatu pada lelaki ini yang membuatkan hatinya libang libu jika berada sedekat begini.
        “Awak dah makan ke belum ni?”

        Zarif hanya menggeleng.
        “Awak tidur dulu, saya masakkan bubur. Lepas tu...”
        “Saya tak nak bubur. Saya cuma nak tumpang kepala atas paha awak.” Zarif memintas.

        Alahai...Hati Dya terus jatuh kasihan. Seorang doktor yang berwibawa, tiba-tiba berubah jadi seperti anak kecil tatkala sakit. 

        Jemari Dya terus bekerja. Wajah tenang si suami yang terpejam rapat ditatap lama. Tiba-tiba dia teringat pesan ibu.

        ‘Jadi perempuan harus pandai jaga diri. Jadi isteri harus pandai jaga suami.’
        Dia sudah gagal untuk menjadi perempuan yang pandai jaga diri. Dia sudah gagal mempertahankan mahkota untuk diserahkan pada sang suami. Dan kini, dia jadi hilang rentak untuk menjadi isteri yang tahu menjaga suami.

        Matanya jatuh lagi pada wajah Zarif. Kacak dengan dagu yang berlekuk. Terasa diri sangat kerdil untuk berada di sisi lelaki ini.


        ‘Zarif... maaf andai saya tak mampu jadi isteri yang awak inginkan. Jika awak mahu, saya izinkan untuk awak mencari bahagia yang lain.’

KASIH ITU CINTA BAB 3

BERITA yang baru saja disampaikan ibu mertuanya melalui telefon buat Zarif terdiam lama. ‘Abang Ari ditangkap khalwat.’

        Satu-satunya abang pada si isterinya itu memang nampak pelik dari sudut pandangan Zarif. Apatah lagi bila dia perhatikan Dya sering cuba mengelak apabila berdepan dengan lelaki itu. Berbeza sungguh jika nak dibandingkan dia dan adik-adik perempuannya yang sering nak bermanja itu.

        Tak cukup dengan kepelikan itu, Zarif juga perasan si isteri seperti tidak bertegur sapa dengan ayahnya sendiri. Entahlah! Banyak yang pelik tentang Dya dan keluarganya yang menimbulkan persoalan di benak Zarif.
        Sedang fikirannya menerawang berkaitan 
keluarga Dya, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Nama Dya yang tertera buat bibirnya spontan mengukir senyum.

        “Rindu saya ke malam-malam telefon ni?” Zarif mengusik sebaik talian bersambung. Malam itu, dia bertugas malam.

        “Tak payah nak perasan!” Di hujung sana membalas.
        "Okey, I miss you too." Zarif membalas.
        "Eh! Bila masa saya cakap saya rindu awak?"
        Zarif ketawa perlahan. Memang sudah menduga jawapan yang sebegitu akan didengar.

        Hubungan mereka yang sesekejap panas dan suam masih belum menunjukkan jalan untuk berubah. Dya yang keras tetap masih belum mampu dia jinakkan.

        Cumanya, dia ada peluang yang luas apabila Dya akhirnya mengalah untuk tinggal sebumbung di kondo miliknya. Itupun, dia terpaksa menggunakan pelbagai helah berkait dengan keluarga. Kalau tidak, harus saat ini dia sudah bergelar duda berhias.
        “Tadi, ibu telefon.” Dia bersuara perlahan.

        “Tahuu... ibu dah cakap.” Cepat sahaja Zarif membalas.
        “Esok kita bincang, ya sayang? Tak sesuailah cakap dalam telefon ni.” Zarif bersuara lagi mematikan terus suara si isteri. Lembut tonasinya agar Dya tidak membantah.
        “Okey.” Perlahan Dya bersetuju sebelum talian diputuskan.

        Zarif sedut nafas. Bercakap dengan seorang Ardyana, harus ada kepakaran yang tinggi. Jika tidak, pasti akan dibahas dengan kata-kata yang akan menyakitkan hati sendiri.
        Bangkit dari kerusi, Zarif berkemas apa yang patut. Dia perlu cari orang untuk menggantikan tugasnya. Esok malam, dia harus menghadiri majlis perkahwinan ringkas si abang ipar. Apa nak buat, hidup harus ada tanggungjawab pada semua perkara termasuklah keluarga.
         
         
         
                
      
PULANG saja dari majlis pernikahan serba ringkas Abang Ari, Zarif rasa hatinya bagai dirasuk. Lebih seminggu bergelar suami, tapi si isteri seperti orang asing. Usahkan nak ‘sentuh’ sebagai suami, sentuh tangan macam pasangan kekasih selalu buat itu pun susah nak dapat.

        “Jom kita sembang kat luar tu kejap.” Tanpa amaran, tangan si isteri ditarik menuju ke balkoni. Waktu itu, mereka baru saja melangkah masuk ke dalam kondo sebaik pulang dari majlis.

        Tingkah dan pandangan pelik si suami menimbulkan tanda tanya di hati Dya. Pun begitu, keperihatinan suami yang sanggup bercuti kecemasan hanya untuk hal-hal berkait keluarga buat hati Dya sedikit lembut. Lantas, dia menurut saja ajakan Zarif walau ketika itu badannya penat sungguh-sungguh. 

        Duduk saling menghadap di balkoni, lebih sepuluh minit, hanya sunyi menemani mereka. Lama Dya menanti namun ‘sembang’ yang dimaksudkan Zarif tadi hanyalah bicara bisu.

        “Awak nak sembang apa ni? Kalau setakat ajak saya duduk kat sini untuk menghadap muka awak tu, baik saya masuk tidur!” Mulut Dya mula petah berkata-kata.Kasar bahasanya.

        Zarif senyum paksa. Dia tak tahu nak cakap apa sebenarnya tapi hatinya mula mahukan sesuatu yang lebih dari sekadar lihat dan tengok.

        “Saya nak tahu sampai bila hubungan kita harus begini? Awak tak rasa ke masa yang saya beri sudah terlalu lama?” Soalan yang keluar dari bibir Zarif buatkan Dya terpana. Terasa darah di seluruh tubuhnya terhenti mengalir.

        “Awak tak rasa ke yang masanya dah tiba untuk awak berikan hak saya yang sepatutnya?” sambung Zarif lagi sekali gus buat denyutan nadi Dya terhenti sesaat.
        Apakah perkahwinan Abang Ari tadi mendorong dia menuntut haknya? Mungkinkah malam ini akan terbongkar segalanya? Hati Dya tertanya sendiri.

        “Saya... saya belum bersedia.” Tergagap-gagap Dya memberi jawapan.
        “Tapi sampai bila?” Nada suaranya cukup bersah

        “Awak tahu tak berapa banyak dosa yang awak dah kumpul jika menolak permintaan seorang suami?” Zarif timbulkan persoalan yang sangat rumit untuk dijawab.
        “Kalau macam tu, apa kata awak lepaskan saja saya? Senang!” Terpacul kata-kata tersebut dari bibir Dya. Dia tertekan sebenarnya.

        Zarif terpempan. Bulat matanya merenung wajah gelisah si isteri.
        “Awak sedar tak permintaan awak tu boleh menjauhkan awak dari pintu syurga?” provokasi berbaur peringatan Zarif bentangkan.

        “Kalau tak mahu saya masuk neraka, tolong jangan mintak yang bukan-bukan.” Mulut Dya makin berani berhujah sedangkan hatinya makin mengecut memikirkan persoalan ini. Dia sedar, sudah banyak dosa yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan ini.
        Zarif mengeluh berat.

        “Okey! Tapi secara jujur dari hati awak, tolong beritahu saya apa sebenarnya yang awak takutkan?” Soalan lagi, mendesak agar Dya berterus terang. Benar, dia keliru dengan tahap ketakutan Dya. Macamlah dia ni harimau belang yang boleh menyebabkan sebuah kematian bila didekati.

        “Saya tak takut apa-apa!” Ego! Dya pura-pura berlagak seakan tiada apa-apa yang merisaukannya. Sedang sebenarnya dia sangat risau. Bimbang terbongkar satu cerita yang dia sembunyikan berbelas tahun dulu.

        “Jadi...”
        “Ia takkan terjadi apa-apa selagi awak tidak mendesak.” Dya bingkas berdiri. Dadanya sesak tiba-tiba tatkala ingatannya kembali ke zaman silam. Benar... bencinya pada lelaki itu sangat menebal dan Zarif harus menerima tempiasnya.

        Zarif yang melihat hanya mampu memandang. Sudahnya, dia sendirian di situ, merenung ke langit kelam. Malam itu, tiada bulan dan bintang seperti juga langit di hatinya.
        Entah kenapa dia jadi gundah begitu. Bimbang jika mahligai yang dia bina dengan susah payah harus diakhiri dengan mudah.

         

KASIH ITU CINTA BAB 2

RASANYA baru saja dia terlelap, terasa tangannya ditolak kasar. Pantas Zarif membuka mata. Masih mamai, kelopak mata ditenyeh. Kabur tapi dia nampak si isteri sedang duduk bersila di sebelahnya, di atas katil. Perlahan dia bangkit separuh badan.

        “Kenapa ni sayang?” soal Zarif dengan mata yang mengecil. Perkataan sayang itu memang spontan keluar dari bibirnya. Ya! Itu kenyataan. Dia memang sayangkan Dya. Sejak dulu. Cuma Dya saja yang tak tahu.

        “Kenapa sayang?” Dya ulang balik soalan yang ditanya dengan memek dan nada mengejek buat Zarif hampir tergelak. Lawak apakah di pagi hari begini.

        “Awak tanya saya kenapa? Patutnya saya yang tanya awak kenapa.” Suara Dya naik sedikit. Nada marah dan tayang muka tak puas hati.

        “Kenapa awak tidur kat sini? Kenapa tak tidur depan TV sana? Kenapa peluk saya? Kenapa...”

        “Huarghhh...” Zarif pura-pura menguap, sengaja mahu mematikan soalan bertubi-tubi si isteri. Dia sudah dapat menangkap apa yang menyebabkan Dya berangin pagi-pagi buta begini. Pasti sebab kena peluk.

        Haih! Baru peluk sikit. Belum buat-apa-apa lagi.

        “Saya mengantuklah. Beri saya masa tidur sekejap. Dah bangun nanti, saya jawab soalan awak.” Bersahaja Zarif menjawab sebelum kembali merebahkan kepalanya ke bantal.

        “Eee... sakitnya hati kita.” Dya mendengus sendiri.
        Zarif yang mendengar sudah tergelak dalam hati.

        “Bangunlah! Subuh dah nak habis, tahu tak?” Tangan Dya sudah menolak kasar bahu si suami. Geramnya jadi berganda. Buka mata, terkejut bila Zarif sedang elok memeluknya. Sekarang ni, Zarif buat drama.

        Terkejut ditolak kasar begitu, Zarif bangkit bersandar ke katil. Langsung rasa kantuknya hilang.

        “Kasarnya kejut suami! Mana awak belajar semua ni?” Wajah si isteri dipandang tepat. Kalaulah mama atau adik-adik yang buat dia begitu, haruslah dah kena marah. Tapi entah kenapa, dengan wanita di depannya ini, dia tidak pandai untuk marah. Bening mata si isteri walau dalam keadaan berangin, sangat menggetarkan hatinya.

        Dya berdecit perlahan sebelum mengensot turun dari katil menuju ke bilik air. Rasa bersalah tiba-tiba hadir di hatinya. Terkesan dengan kata-kata Zarif tentang kekasaran. Entahlah! Berdepan dengan lelaki itu, dia jadi hilang punca. Sabar seorang Zarif buat dia hampir gila.  Kenapalah dia harus terlibat dengan rancangan gila ini?

        Menerima Zarif sebagai suami demi taat pada seorang ibu bukanlah sesuatu yang gila tetapi kenapa dia rasa dia akan jadi gila jika berdepan dengan lelaki itu dalam tempoh yang lama. Jadi, harusnya bagaimana?

        Sementara menunggu Dya di bilik air, Zarif duduk berjuntai kaki di birai katil. Mata tepat merenung pintu bilik air seolah di pintu itu ada terlukis wajah si isteri.

        Terasa dia sedang buat kerja gila. Mengejar dan mengikat Dya dalam ikatan perkahwinan tanpa kerelaan si gadis. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu taksub untuk memiliki seorang Ardyana?

        Sebelum mereka ditemukan kembali setelah bertahun Dya hilang jejak, sudah bersusun wanita disarankan oleh si mama, namun dia tetap menolak. Tapi, bila tiba-tiba nama Ardyana di sebut, tanpa melihat orangnya dia terus kata setuju.

        Haih! Hati, kenapa jadi pelik begini?

        Zarif bangkit, serentak itu pintu bilik air terbuka dan si isteri keluar dengan badan yang sudah lengkap berpakaian. Mata saling bertentang.

        “Lepas ni, tolong hantar saya ke rumah sewa. Esok saya dah mula kerja.” Tegas suara Dya sebelum mengalihkan pandangan dan melangkah ke arah ruang yang disediakan khas untuk bersolat di dalam bilik tersebut.

        “Tak boleh ke awak sambung cuti dua atau tiga hari lagi?” Zarif cuba berdiplomasi. Terkejut juga dengan permintaan si isteri. Mana ada pengantin baru yang mula kerja sehari selepas majlis. Kecuali kalau perkahwinan itu memang bermasalah.

        “Awak ingat company tu bapak saya punya? Sesuka hati nak sambung-sambung cuti?” Pedas dan tajam suara Dya mematahkan permintaan Zarif.

        Terkejut mendengar jawapan balas si isteri, pergerakan Zarif terhenti. Hati, sila bersabar. Kepala tergeleng perlahan.

        “Kalau company tu bapak awak punya, awak dah jadi bos kat situ, bukan kuli macam sekarang ni.” Sinis Zarif membalas, sengaja memberi serangan psikologi.

        “Kalau dah tahu saya kuli, kenapa tanya lagi?” tingkah Dya, geram! Mengata dia ‘kuli’ adalah satu penghinaan yang tak boleh diterima akal. Tambah pula wajah bersahaja Zarif telah menyalakan api untuk memanaskan cecair di seluruh tubuhnya. Entah kenapa lelaki ini sering membuatkan darahnya cepat mendidih.

        “Awak kan dah jadi isteri saya. Apa saya nak jawab dengan mama kalau kita duduk berasingan?”  Zarif merendah suara, melencongkan topik perbualan. Tak mahu bertelingkah di subuh hari.

        “Awak tinggallah dengan saya di kondo tu. Saya janji takkan kacau awak,” pintanya penuh mengharap persetujuan si isteri.

        “Tinggal dengan awak? Kat kondo awak?” Dya ajukan soalan. Nada terkejut.

        Dan pantas Zarif angguk kepala, masih mengharap persetujuan. Perkahwinan mereka tanpa perbincangan hati ke hati. Jadinya, perancangan belum lagi dipersetujui. Cuma kepalanya saja yang berfikir itu dan ini. Di pihak Dya, dia belum pasti.

        “Tunggulah bila akal saya dah tak waras nanti.” Jawapan Dya buat Zarif terngadah. Teruk sangat kah dia sehingga Dya perlu menjadi manusia tak waras untuk tinggal bersamanya? Anginnya naik tiba-tiba.

        Tanpa suara, Zarif melangkah menghampiri si isteri, lebih dekat dan dekat hingga Dya terpaksa berundur beberapa tapak. Bila kaki sudah tersekat di dinding, dia segera menghimpit tubuh kecil itu.

        “Zarif! Saya belum solat.” Tidak berupaya lari ke mana-mana, kedua belah tangan Dya bertindak menolak dada si suami yang masih berlapik.
Namun, Zarif peduli apa. Bilik air dekat saja, boleh berwuduk lagi. Pantas saja tangannya bertindak menangkap lengan si isteri dan dilekatkan ke dinding. Tajam renungannya bagai menembusi belakang kepala Dya.

        Wajah Zarif yang memerah buat Dya telan liur. Marah si suami buat dia takut untuk memandang ke mata. Pantas wajahnya dipalingkan ke sisi.

        “Kalau nak, saya boleh saja suntikkan ubat untuk menghilangkan kewarasan awak dan kalau nak, saya boleh saja paksa awak mengikut kehendak saya. Tapi... lafaz akad yang saya ikrarkan di depan kadi dengan nekad memikul tanggungjawab sebagai suami tidak memungkinkan saya berbuat semua itu.” Perlahan, tetapi tegas sekali suara Zarif menusuk ke telinga Dya.

        “Bercakap tu jangan gunakan suara dan perasaan aje, ambil kira akal dan fikiran sekali,” sambungnya lagi masih dalam nada yang sama.

        “Faham maksud saya?” Zarif menyoal, masih tidak bergerak dalam posisi yang sama.

        Rasa takut yang menyelubungi diri membuatkan Dya pantas mengangguk beberapa kali. Serentak dengan anggukan itu, satu ciuman ringkas singgah di pipinya.

        “Upah untuk satu kemaafan.” Saat itu, bibir Zarif sudah mula tersenyum nakal. Marahnya sudah mengendur melihat taat si isteri.

        Dari pegangan di tangan, dia kemudian bertindak memeluk pinggang. Tanpa mempedulikan rontaan, berkali-kali pipi si isteri menjadi sasaran ciumannya.
       
Penat meronta, akhirnya Dya bekukan diri, membiarkan sahaja Zarif memperlakukan sesuka hatinya. Benar... jika mahu, Zarif boleh sahaja memaksa dia menurut kemahuan lelaki itu seperti apa yang sedang berlaku sekarang ini. Entah kenapa, dia rasa mahu menangis. Seperti dejavu, peristiwa ngeri yang berlaku berkali-kali lama dulu datang kembali. Peristiwa dia diperlaku seperti hamba seks oleh darah daging sendiri datang menyesakkan dadanya.

        Sedar si isteri sudah tidak melawan, bibir Zarif terhenti mencari sasaran. Pandangannya tepat dihalakan ke wajah si isteri. Pun begitu, pandangan Dya jauh ke hadapan, tidak sedikit pun menyapa wajahnya.

        “Kenapa berhenti? Tak susah untuk memaksa kan?” Sinis sekali Dya menyoal dengan suara yang berbaur sebak.

        Tiba-tiba Zarif dihurung rasa bersalah. Memang tak susah memaksa tapi dia bukan jenis yang begitu.

        “I’m sorry,” ucapnya ringkas. Beberapa kali dia menelan liur, memandang wajah si isteri yang sudah berubah keruh.

        Dya diam tak berkutik. Pandangannya jauh ke depan menembusi lapisan dinding yang mengelilingi mereka, jauh merentasi sejuta lapisan udara yang memenuhi ruang dunia. Perlahan-lahan kelopak matanya membahang panas. Air jernih sudah mula berkumpul di situ. Detik kekalahan ini terasa begitu memeritkan.

        “Dya... I’m sorry... saya...”

        “Tolong lepas, subuh dah nak habis.” Dya memintas sambil menarik tangan daripada pegangan dan menolak tubuh si suami agar menjauh.

        Air mata yang mula mahu gugur dia sembunyikan dari pandangan Zarif. Dia sudah kalah tatkala terpaksa menerima lelaki ini. Dan dia yakin, kekalahannya akan jadi berganda apabila Zarif tahu segalanya. Segalanya tentang kesucian seorang wanita yang tidak mampu diberikan pada sang suami.

        Di bilik air, air mata Dya tumpah jua. Dunia ini bukan milik kita dan takdir juga bukan hak kita. Yang ada pada kita hanyalah harapan. Dan dia berharap, suatu hari nanti akan ada sinar menyuluh jalannya. Supaya langkah kakinya tidak pincang.