FOLLOWERS

Bab 4...

Malam itu, Nyza sibuk mengajak aku ke Perpustakaan Universiti. Entah apa mimpinya tiba-tiba saja ingin study di sana sedangkan selama ini kami lebih selesa membaca sambil berbaring di dalam bilik. Sudah tersampuk agaknya.

Memanjat anak tangga perpustakaan, aku sudah separuh lelah. Bertahun menghuni kampus ini, boleh dikira dengan jari berapa kali lantai di sini aku pijak. Jika bukan kerana Nyza yang beria-ia mengajak, sumpah aku lebih rela duduk di katil sambil melunjurkan kaki. Sudahlah petang tadi penat memikirkan kerenah si Syamir, malam ini dengan kerenah minah ni pulak. Kalau tak diikutkan, macam-macam pula dia mengungkit. Keluar dengan Syamir bolehlah.....Dia ajak tak mahulah......Naik bingit telinga aku mendengarnya.

“Ini yang aku malas nak datang, panjat tangga pun rasa macam baru lepas lari seratus meter.” Aku mengomel sendiri ketika kami tiba di pintu utama perpustakaan tersebut.

“Eleh! Naik tangga sikit dah lelah. Orang yang berpenyakit asma pun tak lelah macam kau,” tempelak Nyza. Ikutkan hati mahu saja aku pelangkung kepalanya yang macam sudah tak betul itu.

Melewati meja-meja di dalam perpustakaan tersebut, semua orang begitu asyik sekali merenung buku. Ada juga pasangan yang sedang bertentang mata antara satu sama lain. Ada juga yang asyik berbalas senyum sesama pasangan. Pendek kata, banyak ragam boleh kita lihat di sini. Fungsi sebenar perpustakaan telah disalahguna secara sengaja.

Setengah jam duduk di kerusi mengadap Nyza, bontotku sudah naik lenguh. Bagaimana pelajar lain boleh duduk sampai berjam-jam di sini? Kepala menjadi gatal tiba-tiba bila perasaan bosan sudah mula menguasai jiwa. Memberi isyarat tangan pada Nyza, aku bangkit menuju ke rak buku.

Terjumpa buku motivasi bertajuk Menenangkan Keresahan Hati, aku menjadi leka buat seketika di tepi rak tersebut. Sedang asyik membaca di situ, tiba-tiba aku terasa ada seseorang berdiri di sebelahku.

“Dya!” Perlahan dia menyebut namaku. Mendengar suaranya, jantungku tiba-tiba berubah rentak. Darah di seluruh tubuh bagai terhenti mengalir. Wajahnya kutenung seketika sebelum berpusing untuk melangkah pergi.

“Tunggu dulu Dya." Dia menahan dan pantas sekali tangannya menyambar lenganku membuatkan langkahku terhenti. Terpaku mataku pada pegangan tangannya. Begitu berani tindakannya menaikkan amarahku. Terasa ingin sekali lagi aku menampar pipinya seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

“Jangan sesekali awak berani menyentuh saya. Biarpun berlapik baju, saya tidak pernah menghalalkannya,” tegasku, masih merenung pegangan tangannya.

“Sorry!” Pantas dia memohon maaf dan melepaskan tanganku.
"Saya cuma nak minta maaf di atas apa yang pernah berlaku antara kita dulu," luahnya dengan pandangan tepat menatap ke wajahku.



.

No comments: