Pulang ke kolej malam itu, telingaku panas dengan sindiran pedas Nyza dan sesekali Anim juga sibuk menyampuk.
"Nasihat orang tak mahu dengar. Buatnya di bawa kau ke tempat sunyi dan rogol lepas tu bunuh, macamana?"
"Hish! Celupar betul mulut kau. Takkanlah dia sejahat tu." Aku marah dengan keceluparan mulutnya.
“Banyak cerita yang tak elok aku dengar tentang dia Dya. Kalau kau tanya aku, seratus peratus aku tak setuju kau baik dengan dia.”
"Apa yang buruk sangat si Syamir tu di mata kau. Tak ada yang peliknya tentang lelaki tu. Dia pegang tangan aku pun tak pernah, takkanlah nak buat benda-benda tak senonoh tu." Aku cuba membela Syamir.
Mana mungkin aku mempercayai bisik bicara orang sekeliling sedangkan selama kami bersahabat dia tidak pernah menunjukkan ciri-ciri lelaki jahat. Sahabatku ini pastinya sudah terpengaruh dengan kata orang-orang di sekelilingnya tanpa cuba mengenali lelaki itu terlebih dahulu.
Hidupku sering di kelilingi lelaki-lelaki yang pelbagai rupa dan sifatnya menjadikan aku trauma untuk dekat dengan kaum itu. Mengenali Syamir, hatiku berbisik bahawa dia tidak sama seperti abangku yang hidup bertopengkan manusia itu. Dia juga tidak sama seperti ayahku yang kejam dan paling penting dia tidak sama dengan Zarif yang aku benci itu.
“Zaman kelahiran kita berbeza dengan mereka. Mana mungkin pemikiran dan pemahaman mampu selari biarpun darah di tubuh kita sama dengan darah yang mengalir di tubuh mereka. Jangan biarkan buruk sangka mengelilingi pemikiran kita.” Itulah nasihat Syamir tatkala aku meluahkan rasa hati kerana menjadi anak yang tidak pernah elok di mata bapa sendiri.
Mana mungkin aku mampu menuduh Syamir sebagai lelaki yang tidak baik kerana selama bersahabat, dia sering menjadi pendorong untuk aku kekal menjadi manusia yang punya jati diri dan pertimbangan rohani.
No comments:
Post a Comment