Setiap kali jumpa mereka yang mengikuti perkembangan penulisan, pasti satu soalan lazim akan terbisik ke telingaku, "Bila nak keluar novel kedua". Mmmm... aku pun senyum sampai ke telinga. Sebab apa? Sebabnya, aku tak tahu nak jawab apa.
Jadi, hari ni aku nak jawab soalan tu melalui babak ini....
Melangkah ke sekolah pagi itu, hatiku sarat dengan pelbagai rasa. Tiga tahun tanpa bayangan lelaki itu, aku cuba melupakan sejarah hitam yang tercipta. Namun, kepulangannya seolah membuka kembali lebaran kepahitan yang telah aku bungkuskan untuk dibuang ke laut dalam.
Semakin meningkat dewasa, aku makin sedar, mana mungkin mampu dibuang sejarah yang terpalit itu kerana seumur hidup kesannya tetap mengiringi langkah kakiku. Lalu, semakin hari aku makin tertekan.
“Kenapa awak ni suka sangat menyendiri? Macam kera sumbang pula saya tengok.” Suara Zarif yang dekat di telinga membuatkan aku hampir terloncat bangun. Entah bila masanya dia sudah duduk di kerusi berdepan denganku. Riuh suasana sekolah waktu rehat yang lenyap dalam khayalanku sebentar tadi kembali berkelana di segenap sudut persekitaran.
Seketika aku renung wajah kacaknya. Pelajar tingkatan lima yang baru saja berpindah ke sekolah ini suka sangat mengganggu dan menyakiti hatiku. Baru saja beberapa bulan menjejakkan kaki ke sini, dia sudah berani bersuara lantang mengata aku yang bukan-bukan.
“Boleh tak buat kerja sendiri? Jangan nak menyibuk hal orang lain. Saya jadi kera atau monyet, tak ada kena mengena dengan awak,” semburku dan terus bangkit untuk berlalu dari situ. Namun, dia bertindak menyambar tanganku membuatkan aku terduduk semula di kerusi. Tiga lagi pelajar yang sentiasa menjadi ‘macainya’ mula tersengih-sengih. Ada juga beberapa pelajar yang menghentikan langkah berbisik sesama sendiri melihat adengan tersebut.
“Nah! tengok di cermin ni, tang mana yang cantiknya muka awak tu?” Dia memberi arahan sambil menghulurkan cermin kecil ke arahku. Entah dari mana dia mendapatkan cermin tersebut aku tidak pasti.
Semua yang ada di situ tergelak kuat membuatkan wajahku merona merah. Ikutkan hati terasa ingin saja aku lempang wajah mereka satu persatu.
“Hah! kalau dah merah begini, nampak juga cantiknya. Tapi.... yang cantik cuma warna merah pada muka awak tu, lainnya tak ada yang cantik pun.” Dia terus melontarkan penghinaan.
“Kalaulah esok-esok ada jodoh dan kita kahwin, saya akan pastikan wajah cantik awak tu takkan jadi buruk macam sekarang ni.” Dia bersuara lagi sambil tersenyum nakal dan seperti tadi mereka yang ada di situ tergelak lagi. Penghinaan ini bagai satu humor untuk menghiburkan semua orang. Memang melampau.
Dengan marah, aku rentap tangan yang masih kejap di dalam genggamannya dan wajahnya aku renung buat seketika.
“Terima kasih untuk segala-galanya. Penghinaan ini akan saya ingat hingga ke lubang kubur. Angan-angan awak tu akan saya bingkaikan di pintu neraka,” balasku sinis sebelum berlalu pergi. Aku tidak faham apa sebenarnya yang dia inginkan dariku. Rasanya, aku tidak pernah berhutang apa-apa dengannya.
Itu cuma intronya. Nak tahu lagi? tunggulah bila aku rajin.
2 comments:
SYOK LAH INTRONYA... SAMBUNG LAGI LAH... NAK TAHU APA CERITANYA... abadikan sebuah buku lagi.
saya faham akak, orang kerja macam kita ini dan dah ada anak ni memang kena curi-curi masa menulis. kalau jadi penulis sepenuh masa macam profesional plak setiap masa buat novel kan seronok. entah bila agaknya impian tu akan jadi kenyataan.
crystalorchid.
Kisah ni memang dah diabadikan dalam buku dan apa yang disiarkan di blog ni adalah versi yg belum diedit lagi. Nantilah, bila rajin saya akan sambung.
Post a Comment