FOLLOWERS

Sesat Dalam Cinta - Part 5 & 6

Part 5


SATU kebetulan yang tak terjangka. Di tengah hari yang mendung, tiba-tiba Elina terserempak dengan mamat jiran sebelah ketika melangkah untuk makan tengah hari.
       
Mamat Ducati. Nampak kacak dalam pakaian formal, berkemeja biru dengan lengan baju berlipat hingga ke siku.

        Mata terus melekat. Hati mula menilai. Betullah kata orang, lelaki yang berkemeja melipat lengan baju sampai ke siku nampak seksi. Atau... memang mamat ni semulajadi seksi?

        Errkkk.... kenapa selama ni dia tak sedar semua tu?

        “Assalamualaikum....” Si dia menyapa buat Elina tertelan liur sendiri.

        “Errkkk...awak...” Tiba-tiba saja dia jadi gagap. Tiba-tiba saja dia jadi hilang seluruh perkataan untuk membina ayat.

        “Islam kan? Kenapa tak jawab salam?”

        Setepek dia dikenakan balik. Teringat kata-katanya pada lelaki ini petang semalam. Kan dah kena balik. Batal pujian kacak dan seksi tadi. Tarik balik!

        “Kalau saya jawab dalam hati, awak mana nak dengar.”

        “Hati saya boleh dengar.” Bersahaja si dia membalas bersama senyuman senget menghias bibir.

        Oh! Kenapa tiba-tiba dia rasa nafasnya tersekat-sekat? Dah kena santau ke?

        “Awak!” Elina memanggil saat lelaki itu berpusing mahu melangkah pergi.

        Si dia berpaling dan angkat kening.

        Isk! Elina rasa mahu menampar mulut sendiri. Gatal sungguh memanggil walhal otak tak pernah beri arahan.

        “Errkk....boleh kita bercakap sekejap?” Terus Elina mengambil peluang yang ada. Alang-alang sudah terlanjur, baik lagi terus bertanya.

        Sejak malam tadi, kata-kata Miera tentang Nadia bermain di fikirannya. Ada baiknya dia bertanyakan mamat ni, mana tahu, lelaki ni ada jawapannya.

        “Awak terus cakap yang betul je, saya tak kisah.” Senyum dihulur.

        Elina terus tercengang

        “Cakap yang betul apa?” Kening berkerut tanda tak faham. Mata mengecil memandang lelaki yang sedang berdiri di depannya.

        “Awak nak mengurat saya kan?”

        OMG! Elina urut dada sendiri. Lelaki ni siuman ke tidak? Dia punyalah tayang muka kayu, dikata nak mengurat pula. Kalau dia sengih-sengih macam kerang busuk tu boleh la juga diterima akal.

        “Orang perasan macam awak ni, sesuai hidup atas pokok.” Sebiji terus atas muka Elina bagi.

        “Orang garang macam awak ni sesuai dengan lelaki yang perasan macam saya je.” Lelaki tersebut angkat-angkat kening. Sedikitpun tak terasa dengan bahasa kasar yang diluahkan Elina.

        “Saya tak nak kahwin dengan awak!” Membulat mata Elina. Psiko betul lelaki ni. Dia yang selalu tenang tiba-tiba saja tak pandai lagi untuk bertenang.

        “Eh! Saya ada cakap saya nak kahwin dengan awak ke?”

        Elina genggam penumbuk, tahan geram.

        Si dia cuma gelak-gelak. Makin geram Elina dibuatnya.

        “Saya nak pergi makan ni. Kalau nak cakap apa-apa, ikut saya makan kat hujung sana.”

        Eh? Elina kaku berdiri manakala lelaki tersebut sudah mula melangkah. Namun, baru selangkah, dia berhenti dan berpaling.

        “Nak ikut ke tak ni?” soalnya.

        “Hmm... saya nak cakap sekejap saja.”

        Ya! Dia nak tanya satu soalan saja. Takkan sampai nak ikut lelaki ni makan?

        “Saya tengah lapar ni, kang tak pasal-pasal saya makan awak nanti.” Si jiran terus melangkah tanpa menoleh.

        Teragak-agak Elina masih berdiri di situ. Nak ikut ke tak? Kang kalau ikut, dikata mahu mengurat pula. Tapi, kalau tak ikut, bila lagi dia berpeluang nak tanya soalan yang mengganggu mindanya.

        Tanpa sempat akal memberi arahan. Kaki Elina sudah melangkah mengikut belakang lelaki tersebut. Tak jauh pun, restoran depan situ saja. Lagipun, niat asal memang Elina nak makan kat situ juga.

        Duduk berdepan sementara menunggu nasi ayam yang dipesan disediakan, Elina jadi kurang selesa. Mana pernah dia buat kerja macam ni? Duduk berdua dengan lelaki yang dia tak kenal, tak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya. Tak tahu kenapa, hari ini dia macam dah langgar prinsip sendiri.

        “Nama awak siapa ya?” Duduk dibetulkan. Wajah si lelaki dipandang dengan mata mengecil. Nak bercakap memang susah kalau tak tahu nama.

        “Syed Zakuan Arif.” Si dia memberikan nama penuh.

        “Saya tak minta nama penuh. Nama panggilan cukup.” Elina saja nak kenakan balik si jiran yang sedang tenang duduk di depannya.

        “Kawan-kawan panggil Zek. Family panggil Arif.” Lurus Zakuan memberitahu. Bukan dia tak tahu taktik si gadis di depannya. Tapi, dia saja nak tengok sejauh mana Elina mahu mempermainkannya.

        “Mmmm.... Zek tu tak sesuai untuk awak. Arif pun tak sesuai.” Elina mencebik.

        “Oh! Kalau gitu, awak panggil saya sayang ajelah.  Nama tu pasti sesuai di telinga awak.”

        Hah! Kan dah kena. Elina telan liur. Dia tak pernah jumpa lelaki seselamba Zakuan Arif ini. Tiba-tiba saja dia sudah tidak pandai untuk bercakap macam-macam kerana dia tahu, lelaki ini lebih pandai memutar belit kenyataan.

        “Errr... saya nak tanya ni.”

        “Tanya laaa...” Zakuan senyum senget. Tahu pun ubah topik. Sekarang dia dah tahu cara untuk ‘makan’ gadis cantik di depannya ini. Gadis jiran sebelah yang sudah lama dia intai. Tapi, sebab Elina ni agak sombong berbanding dua lagi teman serumahnya, misinya selalu menemui jalan buntu.

        “Awak tahu tak kawan serumah awak tu berkawan dengan kawan serumah saya?” Wajah Zakuan dipandang sesaat.

        “Tahu. Kenapa?”  soal Zakuan kembali.

        “Mmm.... pernah tak awak nampak kawan saya masuk dalam rumah awak?”

        Zakuan menggeleng.

        “Bercakap kat depan-depan pagar tu ada la. Kenapa?”

        “Boleh tak jangan soal kenapa kat hujung jawapan awak tu?” Geram pula Elina bila setiap jawapan Zakuan disusuli dengan soalan kenapa.

        Terus bibir Zakuan melorek senyum.

        “Nak tanya apa lagi?” Senyum makin dilebarkan.

        Elina menggeleng perlahan. Pandangan ditoleh ke kiri, pura-pura melihat panorama restoran tersebut. Walhal, dia sedang mengawal degup jantung yang tiba-tiba lari tempo tatkala melihat senyum lelaki di depannya.

        Alahai....Elina, jangan cari penyakit. Yang sedia ada pun belum bertemu ubatnya lagi.
         
         


Part 6


MASUK ke pejabat semula, Izham terus menerpa masuk ke biliknya. Berdiri tercegat sambil berpeluk tubuh di depan pintu. Merenungnya tanpa kelip.
        
“Nak apa?” Elina bertanya acuh tak acuh.

        “Aku nampak kau lunch dengan Zakuan. Apa hubungan kau dengan dia?”

        Elina kerut kening. Tak terjangka yang Izham kenal mamat Ducati itu. Dan sejak tadi juga hatinya jadi pelik, bagaimana mamat yang namanya Zakuan itu tiba-tiba boleh muncul di sini. Walhal dia tahu mereka sebenarnya sudah lama berjiran.

        “Kau kenal dia?” soal Elina ingin tahu.

        “Orang kepercayaan Dato’ Murad. Siapa tak kenal.”

        Oh! Dia kenal Dato’ Murad. Usahawan berjaya yang pejabatnya di tingkat atas bangunan yang sama dengan pejabat ini. Tapi, kenapa dia tak pernah perasan mamat tu?

        “Kenapa aku tak pernah nampak dia sebelum ni?”

        “Projek Dato’ Murad semua aku yang handle. Lagipun, kau bila berjalan mana nak pandang kiri kanan.” Izham senyum. Dalam tegang sempat lagi dia mengenakan Elina.

        Yang sebenarnya, dia sangat rindukan Elina yang dulu. Elina yang sentiasa ceria dan happy go lucky. Elina yang sentiasa cakap lepas. Elina yang mampu membuatkan suasana suram menjadi meriah dengan celotehnya.

        “Ehemmm... kau nak apa sebenarnya cari aku ni? Surat letak jawatan aku akan hantar kejap lagi.” Elina terasa tidak selesa bila Izham merenungnya lain macam.

        “Apa hubungan kau dengan dia?” Izham ulang soalan yang sama dalam nada yang berbeza. Kali ni lebih mendesak. Kata-kata Elina seolah angin lalu yang lenyap di bawa terbang.

        “Kenapa kau tiba-tiba nak ambil tahu hal peribadi aku?”

        “Aku dah lama ambil tahu El. Sebelum ni kau tak pernah keluar dengan mana-mana lelaki kecuali aku. Kau tak pernah ada kawan lelaki kecuali aku.”

        Elina terus terdiam. Ya! Selama ini dia mana pernah ada kawan lelaki. Izham inilah kawannya sejak kecil sampai dewasa.

        Suatu ketika dulu, rumah keluarganya berdepan dengan rumah keluarga Izham. Tapi, selepas peristiwa yang menyakitkan itu, dia terpaksa berpindah. Cuma mungkin jodoh persahabatan mereka panjang, dia dan Izham ditemukan kembali di universiti yang sama.

        “El....” Izham labuhkan duduk. Melihat Elina pertama kalinya makan berdua dengan lelaki yang bernama Zakuan itu, dia jadi tak sedap hati.

        Apa taknya, baru lagi lelaki itu tanyakan perihal Elina padanya. Macam berminat. Itu yang dia jadi tak senang. Apa yang dia tahu, anak buah merangkap orang kepercayaan Dato’ Murad itu akan melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dimahunya. Ada gaya dan ada rupa, tak mustahil Elina akan terpikat.

        “Kau tak perlu letak jawatan El. Tak perlu tarik diri dari TPG. Aku akan bincang dengan Amna. Pleaseee...”

        “Tapi Amna...”

        “Aku akan pujuk dia dan aku akan minta dia pujuk kau supaya stay. Yang ni kau kena percaya cakap aku.” Izham memintas.

        Elina pejam mata dua saat. Keluar dari TPG, dia juga tak tahu ke mana halanya. Semua simpanan yang dia ada, dia laburkan di sini dan ini adalah harapan hidupnya. Sejarah hidup keluarganya membuatkan dia mahu berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri.

        Sesaat mindanya terkenangkan arwah mama dan matanya terus terbuka.

        “Iz... kau janji dengan aku ya?”

        Izham tidak mambalas sebaliknya hanya memandang wajah Elina yang nampak kusut di depannya.

        “Kau janji dengan aku yang kau akan jaga Amna, sayang dia dengan sepenuh hati kau.”

        Satu keluhan keluar dari bibir Izham. Amna isteri yang baik. Tapi kebaikan itu belum mampu membunuh rasa kasihnya pada Elina.


        ‘Kenapa El… kenapa kau buat hidup kita sesulit ini? Kenapa kau tak terima aku dulu? kenapa kau paksa aku terima Amna sedang hati aku hanya untuk kau?’


2 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Unknown said...

Saya amat sukakan karya Hani Fazura. Tidak terlalu berat dan lebih mendalam maksudnya. Harap teruskan usaha murni itu untuk kebaikan semua pembaca!