WAJAH teman yang mendung di depannya Elina tenung lama. Wajah pucat tanpa
seri. Mata seperti orang tak tidur semalaman. Apa yang dah jadi sebenarnya?
Amna yang ceria tiba-tiba berubah jadi begini?
“Kau kenapa
Amna?” Akhirnya, soalan itu yang diaju. Pertemuan ini atas permintaan Amna.
Katanya sangat penting. Antara hidup atau mati.
“Kau kejam El!
Kau kejam...” Di hujung bicara, suara Amna hampir tidak kedengaran. Dan saat
yang sama ada air jernih gugur dari kelopak matanya.
“Na... Ada apa
sebenarnya?” Elina sudah tidak senang duduk. Saat ini, hanya satu dalam
fikirannya. Izham!
Ya! Adakah
Izham...
“Kenapa kau tak
cakap yang kau pernah ada hubungan dengan Izham? Kenapa kau tak cakap yang
Izham menyintai kau?”
Elina telan liur.
Bukan sekali malah berkali-kali. Apa yang ada di fikirannya kini terjawab.
“Na... kami tak
pernah ada hubungan. Kan aku dah cakap, dia kawan aku sejak kecil. Hubungan
kami...”
“Tapi dia mengaku
yang dia menyintai kau. Dia minta izin dari aku untuk mengahwini kau.” Amna
memintas.
“Astaghafirullahhhh....”
Panjang Elina beristighfar.
Izham... kau dah
mungkiri janji.
“Patutlah selama
ni dia sangat dingin dengan aku. Aku ingatkan dia perlukan masa untuk terima
aku. Tapi rupanya...”
“Na...aku tak ada
apa-apa perasaan pada dia. Percayalah.”
Perasaan itu
sudah lama dia terbangkan ke udara. Tiada satu pun yang tinggal.
Amna senyum tapi
air matanya mengalir lagi.
“Dia mengaku
semuanya pada aku, El. Semuanya. Dan aku rasa tertipu. Macam orang bodoh ditipu
teman baik sendiri. Macam orang bodoh anggap Izham cintakan aku sebab tu
sanggup kahwin dengan aku. Tapi rupanya aku yang syok sendiri.” Amna sudah
tersedu menahan tangis.
“Ya Allahhh...”
“Satu yang aku
minta.” Amna memintas dan bangkit berdiri.
“Kau jauhkan diri
dari Izham.”
Dan tanpa pamitan,
Amna terus melangkah pergi. Tanpa ucap salam atau peluk cium seperti selalunya
pertemuan mereka.
Kalau orang lain
dia tak kisah. Tapi sebab itu adalah Amna. Sahabat yang sentiasa ada saat dia
susah. Sahabat yang sanggup tak tidur malam hanya kerana menjaganya sakit.
Elina tahan
nafas. Matanya dikelipkan berkali-kali menahan air jernih dari melimpah keluar
dari kelopaknya.
‘Amna... kalau
Izham pun aku sanggup lepaskan untuk kau, apalah sangat permintaan kau yang
kecil ini.’
Part 2
KUNCI!
Adoi… Elina
tepuk-tepuk dahi sendiri. Keretanya tiba-tiba rosak dan terpaksa panggil tow truck untuk ke bengkel. Dan dia
balik naik teksi. Yang bangangnya, kunci rumah ada dalam kereta, terlupa nak
ambil.
Kenapalah
semuanya jadi serba tak kena hari ni? Dah la bangun lambat gara-gara dia baring
sekejap lepas mandi. Asalnya nak pejam mata lima minit, sudahnya hanyut ke
laut.
Pergi kerja
lambat. Balik kerja jumpa Amna, dan....
Kepalanya
menggeleng berkali-kali. Pipi kanan ditepuk berkali-kali. Sejak tadi
menghubungi Izham, talian tak dapat ditembusi. Entah ke mana menghilangnya
lelaki itu.
Tarik nafas dan
hembus perlahan. Nak tak nak, kena tunggu rakan serumah balik, baru boleh
masuk.
“Hai!” Tiba-tiba
terdengar suara lelaki menegur.
Spontan Elina
berpusing. Kelihatan ‘jiran sebelah’ sedang bertenggek atas Ducati hijau dengan
sebelah kaki memijak bumi di depan pagar rumah sebelah.
Aik! Bila masa
pula ada manusia kat situ.? Tadi macam nampak Ducati tu je yang terparkir depan
pagar.
“Baru balik?”
soal si dia lagi setelah tegurannya yang pertama tadi tidak berjawab.
Elina julingkan
mata ke atas. Hampir setahun menyewa di sini, soalan yang sama sudah didengar
berulang kali. Tak ada soalan lain ke nak ditanya? Dia dah la tengah serabut.
Lainlah kalau nak datang tolong pecahkan padlock
pintu pagar ni, berbaloi juga buat baik.
Sesaat kemudian,
keluar seorang lagi mamat bujang dari pagar rumah tersebut dan terus tayang
sengih ke arahnya. Okey! Mamat ni lagi Elina menyampah.
Malas melayan,
Elina buat-buat tak nampak dan kembali mengalihkan pandangan pada padlock di pagar. Alangkah bagusnya
kalau padlock tersebut tak berkunci,
dapatlah dia masuk ke dalam porch,
selindungkan diri.
“Aku dah cakap
dengan kau, dia ni bisu.”
Hah? Kepala Elina
pantas berpusing. Mata mencerlung memandang mamat yang bertenggek atas
Ducati. Dia yakin suara mamat pemilik
Ducati tu yang bersuara tadi.
“Hai!” Si dia
menegur lagi sambil menyengih, seolah apa yang diucapkan tadi tidak didengar
oleh telinga Elina.
“Islam kan? Tak
tahu bagi salam ke?” Ayat sarkastik Elina sudah keluar. Serentak itu, mamat
yang sedang berdiri terus melambakkan tawa.
Serius, selama
menyewa di sini, Elina tak pernah ambil tahu siapa dan apa nama penghuni rumah
sebelah. Yang selalu melayan adalah Miera dan daripada Miera juga dia tahu
rumah bujang sebelah dihuni oleh lima lelaki yang semuanya kaki buat bising.
Bila main gitar, tak kira waktu, tengah malam buta pun memekak.
“Cik adik. Kalau muka
aje lawa tapi mulut kalah Mak Jemah yang suka meroyan, tak laku tau! Lelaki
takut nak dekat.”
Mata Elina sudah
terbuka luas. Kurang asam punya jiran. Dah la tadi kata dia bisu, sekarang kata
dia Mak Jemah pula.
“Cik abang ...
kalau muka aje handsome tapi perangai
kalahkan monyet, tak ada perempuan pun yang ingin!” Elina balas balik.
“Weh! Dia kata
aku handsome laaa...” Mamat atas
Ducati membalas dan sekali lagi teman sebelahnya melambakkan tawa.
Arrgghh! Stres
dapat jiran tak betul macam ni. Kalau dilayan, gamaknya dengan dia-dia sekali
akan jadi tak betul.
Nasib baik lagi
waktu itu kereta Miera, teman serumahnya berhenti di depan pagar. Kalau tidak,
tak tahu nak cakap apa.
No comments:
Post a Comment