Part 3
TELEFON di tangan yang sudah gelap skrinnya Elina pandang
lama. Mana Izham pergi? Kenapa talian telefonnya tak dapat dihubungi? Tadi
petang elok saja lelaki itu di pejabat.
“El!” Teguran Miera
yang tiba-tiba melabuhkan duduk di sebelahnya atas sofa panjang itu mengejutkan
Elina.
“Kau menungkan
apa?”
Elina geleng
kepala. Antara dia dan Amna, Miera memang tak perlu tahu. Lagipun, Miera bukan
kenal sangat dengan Amna.
Dia kenal Amna
sejak dari zaman sekolah berasrama hingga ke universiti. Tinggal sebilik, tidur
sebantal, makan sepinggan.
Miera hadir dalam
hidupnya ketika dia sudah masuk fasa pekerjaan. Dulu-dulu mereka sepejabat, itu
yang jadi rapat dan sehingga jadi teman serumah.
“Weh! Semalam
Nadia tak balik kan? Kau tahu dia pergi mana?” Miera buka topik lain tatkala
soalannya yang tadi tidak berjawab.
Elina menggeleng.
Nadia tu seorang lagi rakan serumah mereka. Rakan yang dia kenal ketika di
universiti. Rakan dia dan juga rakan Amna.
Melihat gelengan
Elina, Miera berpusing menghadap si teman, menyelesakan duduk.
“Aku rasa dia
tidur rumah sebelah” Miera seakan berbisik. Macamlah bicaranya didengar oleh
jiran sebelah.
“Isk, kau ni. Tak
baik menuduh.” Elina yang tadinya seakan tidak berminat dengan soalan Miera
pantas menumpukan perhatian. Kalau tadi otaknya fokus pada Amna, kali ini
beralih pada Nadia.
Ya! Semalam dia
tak nampak batang hidung Nadia. Entah pukul berapa si temannya itu pulang dia
sendiri tak sedar. Pagi tadi pun, bila dia keluar dari bilik, Nadia sudah ke
tempat kerja.
“Aku nampak
dengan mata aku sendiri. Kawan kau tu keluar dari rumah sebelah ikut pintu
belakang awal pagi tadi.”
Elina terus
terdiam. Sejak di alam universiti dia tahu memang Nadia agak liar. Dan dia tahu
juga Nadia ada hubungan dengan salah seorang penghuni rumah bujang sebelah.
Cumanya dia tak mahu ambil tahu sejauh mana hubungan mereka. Rasanya macam
baisa-biasa saja. Takkanlah sampai berani tidur rumah sebelah. Tak takut kena
gulai ke?
“Aku dah cakap
dengan kau banyak kali, dia tu tak boleh buat kawan. Nanti dengan kau sekali
rosak.” Miera tayang muka bangga, seolah menang dalam perdebatan yang meraih
hadiah jutaan
ringgit.
“Aku takkan rosak
kalau aku sendiri tak mahu Miera. Berkawan dengan hantu sekali pun, kalau aku
memilih untuk jadi baik, aku tetap akan jadi baik,” balas Elina. Geram juga
kenyataan tak berasas si teman.
Miera mencebik.
Tak puas hati bila Elina seakan tidak percaya akan bicaranya.
“Kau tahu tak,
dia tu selalu kutuk kau bila dengan aku.”
Elina diam.
Buat-buat tak dengar. Bila Miera dah mula jadi ‘batu api’, dia jadi malas mahu
melayan. Sekejap lagi, ada la cerita talam dua muka.
“Dia tu kalau kau
nak tahu, jenis yang orang kata, kawan makan kawan,” sambung Miera lagi.
Kali ini Elina
senyum.
“Tak sangka pula
Nad tu makan orang. Setahu aku dia hari-hari makan nasi.” Di hujung bicara,
Elina gelak. Yang sebenarnya, dia sedang menyindir.
“Aku serius!”
“Aku pun serius.
Dan aku tak suka kuih talam. Aku suka kuih seri muka.” Sengaja menyindir. Nadia
mahu pun Miera dua-dua pun kawannya. Tapi, yang dia nampak, Nadia dan Miera
memang selalu ada sifat cemburu. Mereka memang tak sebulu.
“Suka hati
kaulah. Aku cakap kau tak nak percaya.”
“Macam mana aku
nak percaya. Dengan aku, kau kutuk dia.
Dengan dia, kau kutuk aku. Kau ingat aku dengan dia tak kutuk kau?” Elina
angkat-angkat kening. Dia dah malas nak berbalas cakap. Banyak lagi benda yang
dia nak fikirkan selain dari hal remeh temeh begitu.
Dan kenyataan
Elina itu buat Miera naik darah.
“Aku nak pindah!”
Terus dia angkat punggung berlalu.
Elina geleng
kepala. Ini bukan pertama kali ayat itu keluar dari bibir Miera. Sudah acap
kali. Tapi pindahnya tak juga.
Part 4
PAGI buta Elina terus merempuh pintu bilik pejabat Izham. Tak kira, bos tak
bos. Yang penting dia dapat hamburkan apa yang terbuku di hatinya sejak
semalam. Kalaulah boleh, memang malam tadi lagi dia ke rumah lelaki ini tapi,
rumah lelaki ini maknanya rumah Amna juga. Dia tak mahu menambahkan lagi keruh
keadaan.
“Kau memang gila
kan, Izham!” sembur Elina sebaik pintu bilik pejabat lelaki itu tertutup rapat.
Izham terus
tercengang. Tapi seketika cuma sebelum wajahnya kembali tenang.
“Kalau nak gila
pun, sila gila sorang-sorang. Jangan libatkan aku.” Elina menambah. Sungguh dia
tak boleh terima keadaan ini. Kata-kata Amna bagai senjata tajam yang mampu
membunuhnya.
“El... pagi-pagi
buta dah mengamuk macam beruang hilang anak ni kenapa?” Izham cuba bertenang
walau hakikatnya hati yang di dalam sedikit goyah.
Elina yang dia
kenal bertahun dulu jarang sekali mengamuk begini kecuali kalau hal berkaitan
hati dan perasaan.
“Kenapa kau
beritahu Amna yang kau cintakan aku?”
“Itu satu
kenyataan El. Kau pun tahu aku cintakan kau sejak dulu. Dan rasa tu tak pernah
padam.” Masih tenang Izham membalas. Wajah merah padam Elina menjadi tatapan
matanya. Wajah yang sudah lama dia letakkan dalam hatinya di carta paling atas.
Cuma Elina yang tak pernah mahu
mengerti.
“Izzz.....” Elina
terus hilang kata. Silap siapa
sebenarnya? Dia, Amna atau Izham sendiri?
Memang dia yang
meminta Izham mengahwini Amna. Memang dia yang merayu Izham menerima Amna pada
awalnya setelah tahu yang sahabatnya itu jatuh cinta dalam diam pada Izham.
Kisah kepincangan
dalam keluarga menyebabkan dia rasa dia tidak layak untuk Izham. Walau satu
ketika dulu dia pernah tanam impian untuk hidup bersama lelaki ini tapi, lelaki
baik-baik seperti Izham layak untuk perempuan baik-baik seperti Amna.
Dia terasa tidak
layak walau untuk menganyam segaris mimpi.
“Aku dah cakap
dengan kau dulu, tolong sayang Amna sebagaimana dia sayang kau...”
“Tapi kau tak
minta aku buang rasa sayang aku pada kau kan?” Izham memintas.
Astaghfirullahalazim...
Panjang Elina
beristighfar dalam hati. Terus dia terduduk lemah di kerusi di depan meja
lelaki ini. Kisah lama yang dia sendiri sudah lupakan, rupanya masih diingat
Izham. Sangkanya, Izham sudah boleh menerima Amna dan mereka sudah bahagia.
“Aku dah beritahu
kau yang aku akan cuba. Tapi, dah dekat setahun El, aku tak mampu.”
Kepala Elina
perlahan jatuh menyentuh permukaan meja. Sulit sungguh! Kalau dia tahu begini,
dia sudah lari jauh dari hidup keduanya. Tapi, dia yang bodoh. Dia yang sering
termakan dengan janji seorang Izham.
“Tapi, kau janji
dengan aku yang kau akan anggap aku hanya sebagai kawan kan? Hubungan kita tak
akan melibatkan perasaan kan?” Elina menagih janji yang pernah dilafazkan
Izham.
Dia ingat lagi
waktu lelaki ini merayunya agar menyertai TPG Dynamic ini. Syarikat milik Izham
sendiri. Siap menawarkan dia peluang sebagai rakan kongsi. Dan dia, bodoh-bodoh
percaya yang Izham sudah mampu menerima ketentuan. Dia bodoh-bodoh percaya yang
Izham dan Amna sudahpun bahagia hidup bersama.
Dia percaya
tawaran Izham semata-mata kerana bisnes. Lagipun, Amna sendiri yang memujuknya
menerima tawaran Izham.
“Aku tak mampu
El. Hakikatnya, sayang aku pada kau tak pernah padam. Makin hari makin
mendalam.”
“Habis tu,
Amna....”
“Hati aku ada
empat bahagian, El. Kalaupun aku boleh masukkan Amna ke situ, masih ada tiga
bahagian untuk kau.”
Kepala Elina
terus tergeleng laju. Sungguh, kalau dia tahu, dia tak akan sesekali melibatkan
diri dengan Izham.
“Aku dah tunaikan
permintaan kau supaya terima Amna. Dan sekarang aku nak kau tunaikan permintaan
aku pula.”
Elina angkat
wajah. Permintaan?
“Terima lamaran
aku dan jadi isteri aku.”
“Nonsense!” Elina terus bangkit berdiri.
“Aku mampu, El.
Zahir dan batin. Dan aku janji akan berlaku adil.” Kata-kata itu walau
diungkapkan dalam nada yang biasa-biasa oleh Izham tetapi sudah mampu
membuatkan dada Elina
hampir meletup.
Ya! Dia tahu
Izham mampu. Mampu segalanya. Tapi dalam hidup ini, bukan semua benda boleh
diukur dengan kemampuan. Kadangkala, wang ringgit tidak berharga untuk membeli
sesetengah perkara. Dan hati akan menjadi bahan pengukur paling berharga.
“Kalau aku tahu
kau akan buat Amna begini, sumpah aku akan lakukan apa saja supaya Amna tak
menjadi isteri kau.”
“El...”
“Aku tarik diri
dari TPG. Sekejap lagi aku hantar notis berhenti kerja.”
Elina terus
melangkah meninggalkan Izham yang berterusan memanggilnya.
Izham…jangan kau
cuba uji hati perempuan. Kelak kau sendiri yang akan menyesal.
1 comment:
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)
Post a Comment