Part 5
SATU kebetulan yang tak terjangka. Di tengah hari yang mendung, tiba-tiba
Elina terserempak dengan mamat jiran sebelah ketika melangkah untuk makan
tengah hari.
Mamat Ducati.
Nampak kacak dalam pakaian formal, berkemeja biru dengan lengan baju berlipat
hingga ke siku.
Mata terus
melekat. Hati mula menilai. Betullah kata orang, lelaki yang berkemeja melipat
lengan baju sampai ke siku nampak seksi. Atau... memang mamat ni semulajadi
seksi?
Errkkk.... kenapa
selama ni dia tak sedar semua tu?
“Assalamualaikum....”
Si dia menyapa buat Elina tertelan liur sendiri.
“Errkkk...awak...”
Tiba-tiba saja dia jadi gagap. Tiba-tiba saja dia jadi hilang seluruh perkataan
untuk membina ayat.
“Islam kan? Kenapa
tak jawab salam?”
Setepek dia
dikenakan balik. Teringat kata-katanya pada lelaki ini petang semalam. Kan dah
kena balik. Batal pujian kacak dan seksi tadi. Tarik balik!
“Kalau saya jawab
dalam hati, awak mana nak dengar.”
“Hati saya boleh
dengar.” Bersahaja si dia membalas bersama senyuman senget menghias bibir.
Oh! Kenapa
tiba-tiba dia rasa nafasnya tersekat-sekat? Dah kena santau ke?
“Awak!” Elina
memanggil saat lelaki itu berpusing mahu melangkah pergi.
Si dia berpaling
dan angkat kening.
Isk! Elina rasa
mahu menampar mulut sendiri. Gatal sungguh memanggil walhal otak tak pernah
beri arahan.
“Errkk....boleh
kita bercakap sekejap?” Terus Elina mengambil peluang yang ada. Alang-alang
sudah terlanjur, baik lagi terus bertanya.
Sejak malam tadi,
kata-kata Miera tentang Nadia bermain di fikirannya. Ada baiknya dia
bertanyakan mamat ni, mana tahu, lelaki ni ada jawapannya.
“Awak terus cakap
yang betul je, saya tak kisah.” Senyum dihulur.
Elina terus
tercengang
“Cakap yang betul
apa?” Kening berkerut tanda tak faham. Mata mengecil memandang lelaki yang
sedang berdiri di depannya.
“Awak nak
mengurat saya kan?”
OMG! Elina urut
dada sendiri. Lelaki ni siuman ke tidak? Dia punyalah tayang muka kayu, dikata
nak mengurat pula. Kalau dia sengih-sengih macam kerang busuk tu boleh la juga
diterima akal.
“Orang perasan
macam awak ni, sesuai hidup atas pokok.” Sebiji terus atas muka Elina bagi.
“Orang garang
macam awak ni sesuai dengan lelaki yang perasan macam saya je.” Lelaki tersebut
angkat-angkat kening. Sedikitpun tak terasa dengan bahasa kasar yang diluahkan
Elina.
“Saya tak nak
kahwin dengan awak!” Membulat mata Elina. Psiko betul lelaki ni. Dia yang
selalu tenang tiba-tiba saja tak pandai lagi untuk bertenang.
“Eh! Saya ada
cakap saya nak kahwin dengan awak ke?”
Elina genggam
penumbuk, tahan geram.
Si dia cuma
gelak-gelak. Makin geram Elina dibuatnya.
“Saya nak pergi
makan ni. Kalau nak cakap apa-apa, ikut saya makan kat hujung sana.”
Eh? Elina kaku
berdiri manakala lelaki tersebut sudah mula melangkah. Namun, baru selangkah,
dia berhenti dan berpaling.
“Nak ikut ke tak
ni?” soalnya.
“Hmm... saya nak
cakap sekejap saja.”
Ya! Dia nak tanya
satu soalan saja. Takkan sampai nak ikut lelaki ni makan?
“Saya tengah lapar
ni, kang tak pasal-pasal saya makan awak nanti.” Si jiran terus melangkah tanpa
menoleh.
Teragak-agak
Elina masih berdiri di situ. Nak ikut ke tak? Kang kalau ikut, dikata mahu
mengurat pula. Tapi, kalau tak ikut, bila lagi dia berpeluang nak tanya soalan
yang mengganggu mindanya.
Tanpa sempat akal
memberi arahan. Kaki Elina sudah melangkah mengikut belakang lelaki tersebut.
Tak jauh pun, restoran depan situ saja. Lagipun, niat asal memang Elina nak
makan kat situ juga.
Duduk berdepan
sementara menunggu nasi ayam yang dipesan disediakan, Elina jadi kurang selesa.
Mana pernah dia buat kerja macam ni? Duduk berdua dengan lelaki yang dia tak
kenal, tak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya. Tak tahu kenapa, hari ini dia
macam dah langgar prinsip sendiri.
“Nama awak siapa
ya?” Duduk dibetulkan. Wajah si lelaki dipandang dengan mata mengecil. Nak
bercakap memang susah kalau tak tahu nama.
“Syed Zakuan
Arif.” Si dia memberikan nama penuh.
“Saya tak minta
nama penuh. Nama panggilan cukup.” Elina saja nak kenakan balik si jiran yang
sedang tenang duduk di depannya.
“Kawan-kawan
panggil Zek. Family panggil Arif.”
Lurus Zakuan memberitahu. Bukan dia tak tahu taktik si gadis di depannya. Tapi,
dia saja nak tengok sejauh mana Elina mahu mempermainkannya.
“Mmmm.... Zek tu
tak sesuai untuk awak. Arif pun tak sesuai.” Elina mencebik.
“Oh! Kalau gitu,
awak panggil saya sayang ajelah. Nama tu
pasti sesuai di telinga awak.”
Hah! Kan dah
kena. Elina telan liur. Dia tak pernah jumpa lelaki seselamba Zakuan Arif ini.
Tiba-tiba saja dia sudah tidak pandai untuk bercakap macam-macam kerana dia
tahu, lelaki ini lebih pandai memutar belit kenyataan.
“Errr... saya nak
tanya ni.”
“Tanya laaa...”
Zakuan senyum senget. Tahu pun ubah topik. Sekarang dia dah tahu cara untuk
‘makan’ gadis cantik di depannya ini. Gadis jiran sebelah yang sudah lama dia
intai. Tapi, sebab Elina ni agak sombong berbanding dua lagi teman serumahnya,
misinya selalu menemui jalan buntu.
“Awak tahu tak
kawan serumah awak tu berkawan dengan kawan serumah saya?” Wajah Zakuan
dipandang sesaat.
“Tahu.
Kenapa?” soal Zakuan kembali.
“Mmm.... pernah
tak awak nampak kawan saya masuk dalam rumah awak?”
Zakuan
menggeleng.
“Bercakap kat
depan-depan pagar tu ada la. Kenapa?”
“Boleh tak jangan
soal kenapa kat hujung jawapan awak tu?” Geram pula Elina bila setiap jawapan
Zakuan disusuli dengan soalan kenapa.
Terus bibir
Zakuan melorek senyum.
“Nak tanya apa
lagi?” Senyum makin dilebarkan.
Elina menggeleng
perlahan. Pandangan ditoleh ke kiri, pura-pura melihat panorama restoran
tersebut. Walhal, dia sedang mengawal degup jantung yang tiba-tiba lari tempo
tatkala melihat senyum lelaki di depannya.
Alahai....Elina,
jangan cari penyakit. Yang sedia ada pun belum bertemu ubatnya lagi.
Part 6
MASUK ke pejabat semula, Izham terus menerpa masuk ke biliknya. Berdiri
tercegat sambil berpeluk tubuh di depan pintu. Merenungnya tanpa kelip.
“Nak apa?” Elina
bertanya acuh tak acuh.
“Aku nampak kau lunch dengan Zakuan. Apa hubungan kau
dengan dia?”
Elina kerut
kening. Tak terjangka yang Izham kenal mamat Ducati itu. Dan sejak tadi juga
hatinya jadi pelik, bagaimana mamat yang namanya Zakuan itu tiba-tiba boleh
muncul di sini. Walhal dia tahu mereka sebenarnya sudah lama berjiran.
“Kau kenal dia?”
soal Elina ingin tahu.
“Orang
kepercayaan Dato’ Murad. Siapa tak kenal.”
Oh! Dia kenal
Dato’ Murad. Usahawan berjaya yang pejabatnya di tingkat atas bangunan yang
sama dengan pejabat ini. Tapi, kenapa dia tak pernah perasan mamat tu?
“Kenapa aku tak
pernah nampak dia sebelum ni?”
“Projek Dato’
Murad semua aku yang handle. Lagipun,
kau bila berjalan mana nak pandang kiri kanan.” Izham senyum. Dalam tegang
sempat lagi dia mengenakan Elina.
Yang sebenarnya,
dia sangat rindukan Elina yang dulu. Elina yang sentiasa ceria dan happy go lucky. Elina yang sentiasa cakap lepas. Elina yang mampu membuatkan
suasana suram menjadi meriah dengan celotehnya.
“Ehemmm... kau
nak apa sebenarnya cari aku ni? Surat letak jawatan aku akan hantar kejap
lagi.” Elina terasa tidak selesa bila Izham merenungnya lain macam.
“Apa hubungan kau
dengan dia?” Izham ulang soalan yang sama dalam nada yang berbeza. Kali ni
lebih mendesak. Kata-kata Elina seolah angin lalu yang lenyap di bawa terbang.
“Kenapa kau
tiba-tiba nak ambil tahu hal peribadi aku?”
“Aku dah lama
ambil tahu El. Sebelum ni kau tak pernah keluar dengan mana-mana lelaki kecuali
aku. Kau tak pernah ada kawan lelaki kecuali aku.”
Elina terus
terdiam. Ya! Selama ini dia mana pernah ada kawan lelaki. Izham inilah kawannya
sejak kecil sampai dewasa.
Suatu ketika
dulu, rumah keluarganya berdepan dengan rumah keluarga Izham. Tapi, selepas
peristiwa yang menyakitkan itu, dia terpaksa berpindah. Cuma mungkin jodoh
persahabatan mereka panjang, dia dan Izham ditemukan kembali di universiti yang
sama.
“El....” Izham
labuhkan duduk. Melihat Elina pertama kalinya makan berdua dengan lelaki yang
bernama Zakuan itu, dia jadi tak sedap hati.
Apa taknya, baru
lagi lelaki itu tanyakan perihal Elina padanya. Macam berminat. Itu yang dia
jadi tak senang. Apa yang dia tahu, anak buah merangkap orang kepercayaan Dato’
Murad itu akan melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dimahunya. Ada
gaya dan ada rupa, tak mustahil Elina akan terpikat.
“Kau tak perlu letak
jawatan El. Tak perlu tarik diri dari TPG. Aku akan bincang dengan Amna. Pleaseee...”
“Tapi Amna...”
“Aku akan pujuk
dia dan aku akan minta dia pujuk kau supaya stay.
Yang ni kau kena percaya cakap aku.” Izham memintas.
Elina pejam mata
dua saat. Keluar dari TPG, dia juga tak tahu ke mana halanya. Semua simpanan
yang dia ada, dia laburkan di sini dan ini adalah harapan hidupnya. Sejarah
hidup keluarganya membuatkan dia mahu berusaha untuk berdiri di atas kaki
sendiri.
Sesaat mindanya
terkenangkan arwah mama dan matanya terus terbuka.
“Iz... kau janji
dengan aku ya?”
Izham tidak
mambalas sebaliknya hanya memandang wajah Elina yang nampak kusut di depannya.
“Kau janji dengan
aku yang kau akan jaga Amna, sayang dia dengan sepenuh hati kau.”
Satu keluhan keluar
dari bibir Izham. Amna isteri yang baik. Tapi kebaikan itu belum mampu membunuh
rasa kasihnya pada Elina.
‘Kenapa El…
kenapa kau buat hidup kita sesulit ini? Kenapa kau tak terima aku dulu? kenapa
kau paksa aku terima Amna sedang hati aku hanya untuk kau?’
2 comments:
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)
Saya amat sukakan karya Hani Fazura. Tidak terlalu berat dan lebih mendalam maksudnya. Harap teruskan usaha murni itu untuk kebaikan semua pembaca!
Post a Comment