FOLLOWERS

Yang Bernama Cinta - Bab 6

PAGI yang indah tetapi perasaan Hani tidak seindah cuaca pagi itu. Perbualan dengan Azrul bercampur dengan panggilan dari Hazril malam tadi benar-benar buatkan tidurnya terganggu. Ditambah pula dengan panggilan dari Mr Gary, Operation Manager yang mahu datang ke cawangan Bandar Utama hari itu.
    
    Hani mengeluh berat. Jangan tak tahu, OM si mulut tak pandai nak diam tu kalau datang, maknanya hari itu dia harus bersedia untuk balik kerja lewat. Dia juga harus menyediakan dua gumpal kapas untuk menyumbat telinga.

        Sebabnya, setiap kali lelaki bujang terlajak tu datang, komennya kalau ditulis tak cukup lima helai kertas kajang. Setiap kali datang ke situ, migrain Hani juga akan datang bersamanya. Kalau dah mula bercakap, memang susah sangat nak stop.

        Kadangkala Hani terfikir, alangkah bagusnya kalau lelaki itu dicipta bersama suis di badan, boleh tekan butang off  bila dah tak tahan nak dengar dia bercakap. Agaknya, sebab itulah sampai sekarang tak kahwin-kahwin, cerewetnya mengalahkan perempuan.

        “Cik Hani, Mr Gary dah sampai.” Suara Liyana, salah seorang pekerja di bahagian Servis Kaunter kedengaran melalui corong interkom.

        Okey! Thanks.” Hani bangkit dan melangkah keluar dari bilik pejabatnya, bergerak ke arah pintu utama pejabat untuk menyambut kedatangan si bujang terlajak berkepala botak tu.

        Tiba di pintu utama pejabat, wajah Mr Gary sudah menyapa mata Hani. Apa yang mengejutkan Hani, si kepala botak itu bukan datang sendirian, tetapi datang bersama tiga lagi manusia lain yang Hani tak kenal.

        Sekejap! Betul ke dia tak kenal? Rasa macam salah seorang yang terdiri dari dua lelaki dan seorang perempuan itu memang Hani kenal. Hazril!

        Oh, ini ke kenyataan ‘jumpa esok’ yang Hazril ucapkan semalam melalui telefon tu?

        Gulp! Tiba-tiba Hani rasa macam nak pitam. Kenapa Hazril ada bersama rombongan Mr Gary? Berpakaian formal siap bertali leher bagai sehingga Hani hampir tidak mengenalinya.

        Kalau bukan kerana senyuman yang dihulurkan, sumpah memang Hani tak perasan orang itu ialah Hazril, jiran sekampung depan rumah yang banyak membuat onar pada seluruh ruang rasa di hatinya. Apatah lagi saat ini Hazril kelihatan kacak sekali dengan kemeja putih bersama slack hitam dan juga tali leher kelabu.

        “Hani, I bawa tiga orang Management Trainee yang akan diletakkan di bawah you bermula hari ini selama tiga bulan.” Penjelasan Mr Gary buatkan Hani rasa nak letak jawatan dua puluh empat jam saat itu juga.

        OMG! Bala apa ni? Tiga bulan bersama Hazril, hari-hari memandang muka lelaki itu dan setiap hari harus berkomunikasi untuk memberi tunjuk ajar, Hani rasa dia mungkin akan memerlukan pakar sakit jiwa sebelum tempoh tersebut tamat.

        “Maria Hanim, panggil Ria.” Satu-satunya perempuan antara mereka memperkenalkan diri sambil menghulur salam.

        “Saya,  Hazril. boleh panggil apa-apa aje.” Hazril pula memperkenalkan diri sambil menundukkan sedikit kepalanya.  Dia memang tahu kalau dihulurkan tangan pun memang Hani takkan menyambutnya.

        Riak wajah Hazril sangat bersahaja seolah mereka tidak pernah kenal. Tak mengapa, tunggulah saat dan ketikanya bila ada peluang, Hani akan gulaikan Hazril cukup-cukup.

        Tapi, boleh ke? Takut dia pula yang dijadikan hidangan masak lemak cili api oleh Hazril nanti.

        “Saya Firdaus, panggil Daus.” Yang terakhir mengenalkan diri.

        Selepas sesi perkenalan, mereka bergerak menuju ke bilik pejabat Hani. Di situ, Mr Gary menjelaskan apa yang Hani perlu buat. Sebagai Pengurus cawangan di situ, Hani bertanggungjawab memantau prestasi mereka.

        Setiap komen yang  Hani berikan nanti akan menentukan mereka layak atau tidak untuk diserap ke bahagian Pengurusan. Oh! Ini tak lain dan tak bukan sengaja nak menambahkan kerjanya yang sudah terlalu banyak.

        Dua minggu sekali kena bagi report melalui email ke Human Resource tentang prestasi mereka. Itu tak mengapa, sebab Hani rasa dia boleh aje goreng sana sini. Tapi yang tak bestnya, mereka bertiga juga harus menulis report tentang apa yang dipelajari dan dihantar ke HQ juga dua minggu sekali.

        Kalau macam tu, bagaimana dia nak gulai Hazril. Mahunya si Hazril tu tulis yang bukan-bukan, dia pula yang kena menjawab.

        “Kalau ada apa-apa masalah, boleh rujuk pada Cik Hani ni. Dia ada banyak pengalaman kat sini,” ujar Mr Gary menamatkan sesi penerangannya.

        Sepanjang  tempoh tersebut, Hani resah sendiri. Renungan Hazril seolah sedang menghantar gelombang luar biasa di hatinya.

        Sungguh... kalau disuruh memilih untuk duduk di situ dan menjadi bahan tenungan Hazril atau lompat katak keliling padang bola, dia lagi sanggup memilih untuk lompat katak. Kenapa? Sebab renungan Hazril boleh buatkan dia mendapat serangan jantung.

        Nasib baik juga sesi tersebut cepat berakhir. Tidaklah dia mati di situ akibat sakit jantung. Kalau lagi lama, haruslah selepas balik dia kena ke klinik untuk mendapatkan suntikan penenang.

        Selepas itu Hani diajak untuk mengiringi mereka melawat seluruh kawasan yang luasnya lebih kurang 1200 sqft. termasuk surau, kantin, loker staf dan juga store menyimpan barang.

        Aduhhh... penat sungguh. Selepas Mr Gary meminta diri untuk pulang, Hani berehat seketika di biliknya. Sesi orentasi telah mengambil banyak masanya sehingga waktu makan pun dah terlewat sangat-sangat. Mr Gary ni kalau kerja, makan minum dia dah lupa. Apa dia ingat orang lain perut sama macam dia. Hani sudah membebel sendiri.

        Saat itulah, Hani lihat Hazril datang mengetuk pintu biliknya. Pintu yang separuh cermin itu membolehkan dia nampak siapa yang berada di luar bilik.

        Apa lagi la yang mamat ni nak? Tadi dia tinggalkan Hazril bersama dua orang lagi Management Trainee pada Ganesh, penolong Pengurus di situ.

        Sebelum sempat Hani melarang atau menjemput, Hazril dengan bersahajanya menguak daun pintu dan melangkah masuk.

        “Siapa suruh masuk?” tegas Hani bersuara. Geram melihat keselambaan Hazril. Sebelum  ni, mana ada staf yang berani suka-suka masuk bilik pejabat dia tanpa mendengar dia memanggil masuk.

        “Tak usah tunjuk garanglah sayang.... tak takut pun.” Masih selamba, Hazril melabuhkan punggung di depan meja Hani.

        Gulp! Hani rasa liurnya bagai tersangkut di kerongkong. SAYANG!!! Dia panggil sayang ke tadi? Ke telinganya yang salah dengar?

        “Kau panggil aku apa tadi?” Hani kerut kening.

        “Sayang.” Jawapan Hazril cukup selamba, seolah nama Hani tu memang orang lain juga sebut sayang.

        Oh! Betul-betul selamba badak. Bukan badak saja, boleh panggil selamba dugong juga.

        “Kalau kau lupa, aku nak ingatkan. Sekarang ni kau staf yang berada di bawah seliaan aku dan tolong hormat sikit....”

        “Saya tak lupa itu. Tapi sekarang ni kan waktu rehat. So, tak payah formal sangatkan?”

        “Apa tujuan kau sebenarnya?” Hani mula naik angin.

        Hazril angkat kening.

         “Belajar engineering sampai ke luar negara, takkan nak kerja tempat macam ni kalau tak ada apa-apa sebab?”

        “Kenapa? Hina ke kerja macam ni? Kalau hina, kenapa awak pilih kerja ni sampai bertahan lebih enam tahun?” soalan balas Hazril terus membisukan Hani.

        Tak! Memang tak hina. Tapi, bukan semua orang terpelajar seperti Hazril sanggup habiskan masa bekerja tempat begini. Dengan waktu kerja yang panjang dan terlalu banyak tekanan, orang yang punya banyak pilihan tidak akan memilih di sini.

        Dia bertahan di sini sebab dia lain. Dia suka dengan kesibukan kerana kerja yang banyak akan membantu dia melupakan semua rasa sakit yang berselerak di hatinya. Kesibukan di sini dan telatah manusia yang datang membeli belah boleh menghiburkan hatinya. Dengan itu, dia tidak punya banyak masa untuk melayan rasa.

        “Tapi...memang ada sebabnya kenapa saya pilih untuk berada di sini. In fact, saya dapat offer yang 10 kali ganda lebih menarik tetapi saya memilih di sini.” Hazril hentikan bicaranya di situ. Mata tunak memandang Hani.

        “Kenapa? Nanti awak akan tahu jawapannya,” sambungnya dan bangkit untuk beredar. Namun, matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah milik Hani.

        Sungguh... pertama kali melihat Hani di rumahnya setelah sepuluh tahun tidak bertemu, hatinya bagai tergolek ke lantai. Dan saat ini, melihat Hani dalam pakaian formal dengan kemeja lengan panjang warna soft pink dipadankan bersama slack coklat, jantungnya pula yang tergolek jatuh.

        Paling dia suka ialah mata Hani yang nampak sangat cantik dengan gaya solekan smokey eye warna pink coklat. Kalau tanpa make-up pun Hani sudah begitu cantik di matanya, inikan pula dengan gaya elegan tokoh korporat begini. Makinlah matanya susah untuk beralih pandang.

        “Oh! Sebelum terlupa, balik nanti tunggu saya. Rambutan ada kat kereta. Mak cik kirim untuk anak kesayangannya yang dah lama tak balik kampung.” Dalam berpesan, sempat lagi Hazril menyindir.

        Hani hanya mampu menghantar pemergian Hazril dengan rasa hati yang berbaur. Kenapa dengan Hazril perasaannya akan jadi macam-macam? Rupanya, sukar sekali untuk berlagak tenang di depan orang yang pernah ‘mencuri’ hati kita.

        Sepanjang hari otaknya berfikir tanpa henti. Kenapa ya, Hazril sanggup menolak tawaran yang sepuluh kali ganda lebih baik dan memilih untuk berada di sini? Pun begitu, otaknya tidak berupaya memberi jawapan. Usahkan jawapan pasti, sikit klu pun dia tidak nampak.

        Ketika melangkah untuk pulang petang itu, Hani memang sudah lupa pesanan Hazril. Sepetang itu dia langsung tidak nampak bayang lelaki tersebut. Mungkin sibuk di mana-mana bahagian yang sedang memberi tunjuk ajar. Hani pula sibuk di pejabat menyediakan report yang tergendala. Otaknya sudah penuh dengan macam-macam, mana nak ingat benda-benda begitu.

        Melangkah keluar melalui pintu belakang menuju ke lif, langkah Hani terhenti tatkala matanya terpandangkan Hazril yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di tepi lif. Lagaknya seolah sedang menanti seseorang.

        Beberapa detik kemudian, Hani kembali meneruskan langkah. Butang lif di tekan tanpa menegur Hazril di situ.
        Hazril juga begitu, hanya memandang tingkah Hani tanpa sepatah kata.

        Sebaik lif berhenti, Hani terus melangkah masuk dan Hazril juga turut menempatkan diri ke dalam perut lif tersebut. Ada lagi tiga penumpang lain yang turut berkongsi lif yang sama membuatkan Hani terasa selamat.

        Tiba di level 5, Hani cepat-cepat keluar tanpa menoleh ke belakang. Doanya di dalam hati agar Hazril tidak memarkir kereta di level yang sama. Namun, baru beberapa langkah kakinya menapak, tangannya dipaut dan ditarik

        “Hey!” Hani terkejut.

        “Kereta saya hala ke sana,” tunjuk Hazril sambil menarik tangan Hani mengikut langkahnya.

        Wah! Lagak Hazril buat hati Hani benar-benar terbakar. Bahan bakarnya cukup kuat sehingga dalam sekelip mata saja sudah menjadi rentung.

        Stop it! hazril.” Hani menjerit dan jeritannya mengundang banyak mata yang ada di kawasan situ memandang ke arah mereka termasuklah pengawal keselamatan.

        Oh! Hani tiba-tiba rasa malu. Ramai di antara mereka memang dia kenal termasuklah pengawal keselamatan yang bertugas di ruang parkir tersebut. Enam tahun ‘bertapa’ di situ, kebanyakan tuan punya butik dan gedung yang beroperasi di bangunan tersebut memang mengenalinya.

         Mengelak dari keadaan bertambah rumit, Hani hulurkan senyuman pada pengawal keselamatan yang sedang memandang ke arah mereka sambil angkat tangan tanda menegur.

        “Hazril pleaseee... tolong lepaskan lengan aku.” Hani pandang tangan Hazril yang masih melekat di lengannya.

        “Tak luak kan? Lagi pun, masih berlapik.” Ada saja jawapan yang menyakitkan hati dari mulut Hazril. Memang berlapik sebab hari itu dia memakai kemeja lengan panjang.

        “Walau berlapik pun, aku tetap tak suka.” Berbalas cakap tetapi Hani tetap juga melangkah mengikut Hazril kerana ditarik oleh lelaki itu.

        Sekali tengok memang mereka seperti sedang berjalan selari sambil berpegangan tangan tetapi hakikatnya, Hani terpaksa menurut. Kalau tak,  dia tak sanggup untuk memikirkan apa yang Hazril akan lakukan. Takut pula terjadi adengan tarik menarik seperti kes culik dan rogol.

        Tiba di kereta, Hazril memaksa pula Hani masuk ke dalam keretanya di sebelah penumpang sebelum dia bergerak masuk di tempat pemandu.

        “Kereta park kat mana?” soal Hazril, seolah apa yang dia buat sekejap tadi langsung tidak bersalah.

        “Aku cuba untuk memahami apa sebenarnya yang kau cuba nak lakukan tetapi serius, aku memang tak faham.” Hani berpaling ke arah Hazril dan saat yang sama lelaki itu juga berpaling memandangnya. Seketika mata mereka saling berbicara dan tubuh mereka menghantar gelombang rasa yang sangat pelik.

        “Kereta boleh tinggal sini tak? Saya hantar awak balik. Esok saya jemput, kita datang sama-sama.” Lembut tonasi suara Hazril buatkan rentak jantung Hani berubah irama.

        No! tak boleh.” Hani menolak.

        “Saya ikut belakang awak. Kereta park kat mana? Saya hantar awak ke kereta.”

        “Tak payah susah-susah.  Kau bagi jer rambutan tu. Mak bukan kirim sekebun kan? Kereta aku muat kalau setakat nak isi lima bakul tu.”

        Hazril tarik nafas. Ya! memang muat tetapi dia sedang mencari helah untuk mengetahui lokasi rumah Hani. Nampaknya, kali ini dia harus mengalah. Takpe Hazril, masa panjang lagi. Tiga bulan tu rasanya cukup panjang untuk belajar menjadi pencuri. Kerana misinya ke sini adalah untuk mencuri hati Hani.


        Tanpa Hazril sedari dan memangnya dia tidak tahu yang sebenarnya wanita anggun dan cantik bergaya di sebelahnya itu sudah lama hidup tanpa hati. Dia tidak tahu yang sebenarnya dia telah lama curi hati Hani tanpa sengaja.

No comments: