FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 4

Seawal pagi sesudah subuh Hani sudah berkemas untuk kembali ke Kuala Lumpur. Sesuatu yang belum pernah dia lakukan sebelum ini tatkala pulang bercuti tetapi terpaksa dia lakukan hanya kerana ingin mengelak dari bersua muka dengan lelaki tersebut.
        “Macamlah Kuala Lumpur tu nak lari.” Puan Faridah membebel sambil mengekor belakang si anak yang menjinjing beg pakaian menuju ke kereta. Tangannya pula menjinjing recyle bag yang penuh dengan pelbagai makanan untuk dibekalkan pada Hani.
        “Orang ada kerja sikit la mak.” Itu hanya sekadar alasan. Kebenarannya, hanya dia dan Tuhan saja yang tahu. Sungguh, dia memang tak mahu bersua dengan lelaki itu lagi. Cukuplah pertemuan semalam. Itupun sudah membuatkan dia sukar melelapkan mata.
        “Masak lemak ikan keli tu, sampai sana terus hangatkan.  Kalau tak, nanti basi,” pesan Puan Faridah sambil menghulurkan ‘bekalan’ di tangannya setelah Hani melatkkan beg pakai ke dalam bonet kereta.
        “Apa ni mak, berat sangat.” Hani mengintai ke dalam bag.
        “Macam-macamlah. Timun, cili, kacang….”
        “Mak ni… macamlah Kuala Lumpur tu kurang makanan.” Hani sudah tergelak mendengar emaknya menyebut satu persatu apa yang dibekalkan.
        Setiap kali dia pulang, tak pernah tak ada ‘bekal makanan’ yang dibekalkan. Paling-paling tak ada, sambal ikan bilis pun dibungkusnya. Mak tak tahu yang anak dia ni jarang sangat makan di rumah. Yang selalu menghabiskan semua bekal tu ialah Yatie dan juga Ina, rakan serumahnya.
        Sedang Hani sibuk menyusun barang-barang yang bersepah di bonet keretanya, telinganya menangkap suara orang bercakap-cakap. Pantas dia mendongak dan tidak jauh dari situ kelihatan dua lembaga manusia berbaju melayu dan berkain pelikat bersama songkok di kepala sedang melangkah makin menghampirinya.
        Hani terus tahan nafas. Nak lari, memang dah tak sempat kerana mereka berdua itu sudah terperasan akan dirinya. Lagi pun, kalau dia lari sudah tentu emaknya yang masih berdiri di situ akan menjadi pelik. Sudahnya, dia buat-buat sibukkan diri mengemas lagi bonet keretanya.
        “Awalnya kak, takkan dah nak bertolak kut?” Azrul menegur.
        Seorang lagi yang berjalan seiring dengan adiknya itu turut berhenti dan berdiri di tepi kereta. Mata tepat menuntas ke arahnya.
        “Ha’ah. Kuala Lumpur tu kalau akak takde, cuacanya jadi jerebu.” Hani balas dengan seloroh.
        “Pooorrrahhh!!!  Bukan Kuala Lumpur tu selalu jerebu sebab akak yang menyemak kat sana ke?” balas Azrul, kembali mengenakan Hani.  Mereka berdua memang selalu begitu, saling mengena antara satu sama lain.
        Sebelum sempat Hani membalas, kelihatan Penghulu Haji Kassim berjalan seiring dengan ayahnya dan di belakang mereka berdua ialah Makcik Bibah yang masih berbungkus telekong. Pastinya juga baru pulang dari berjemaah subuh di surau.
        Selalunya emaknya juga akan pergi bersama tetapi disebabkan ‘penyakit perempuan’, terpaksalah duduk di rumah. Dia tak usah cakap, memang malas bangkit pagi untuk ke surau yang hanya beberapa langkah dari rumah.
        “Dah nak balik Kuala Lumpur ke Hani? Sekejap sangat baliknya.” Tegur  Makcik Bibah, ibu pada lelaki yang masih terpacak tidak jauh dari situ.
        Eh! Kenapa dia masih terpacak kat sini? Tak Nampak jalan balik ke rumah ke? Tapi serius, Hazril di dalam pakaian baju melayu sangat kacak. Berkali-kali dia melarang mata agar jangan memandang tetapi memang mata ni tak ada telinga. Asyik menjeling mencuri pandang.
        “Ada hal sikit makcik.” Sopan Hani menjawab sambil menghulurkan tangan menyalami Makcik Bibah tanda hormat.
        Mulanya Hani ingat salam biasa-biasa seperti selalu tetapi kali ini dia terkejut apabila Makcik Bibah dengan selamban memaut bahunya rapat dan melagakan pipi.
        Oh! Spontan matanya terpandang Hazril yang kelihatan sedang tersenyum melihat kemesraan itu.
        “Hati-hati memandu,” pesan Makcik Bibah.
        Hani hanya mengangguk. Rasa macam Makcik Bibah tu dah bertukar jadi mak dia. Parah sungguh.
        Kemudian, emak dan Makcik Bibah berjalan seiring ke pintu rumah. Kata emak, dia nak bagi bekas yang digunakan  Makcik Bibah mengirim makanan semalam. Emak ni pun satu, tak habis-habis dengan bekas plastik tu.
        Serentak itu juga, Penghulu Haji Kassim meminta diri untuk pulang dan ayah pula melangkah masuk ke dalam rumah. Tinggallah Hazril, Azrul dan juga dia yang berdiri seperti tiga bucu segitiga.
        “Abang nak cakap dengan akak ke?” Azrul tiba-tiba bersuara saat Hani sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
        Hazril sengih dan mengangguk perlahan. Azrul senyum sebelum menjeling sekilas ke wajah si kakak yang sudah berwajah blur.
        “Jangan dekat sangat bang. Akak ni ganas sikit. Hati-hati dengan kaki dia, suka menyepak orang tu.” Azrul gelak sambil melangkah laju meninggalkan mereka berdua sebelum Hani bertindak mengetuk kepalanya.
        Bulat mata Hani memandang langkah Azrul. Sempat lagi mengenakan orang. Dengus Hani sebelum berpaling pada Hazril yang sedang menyimpan tawa, berdiri dengan kedua tangan menyeluk saku baju melayunya.
        Berduaan begitu, Hani rasa seperti badannya seram sejuk. Udara pagi yang dingin menambahkan lagi rasa tidak enak itu. Melihat wajah Hazril, segera ingatannya mengimbau kenangan lama yang cukup memalukan dan mukanya jadi merah. Rasa seperti mukanya sedang tertampal masker yang tebal.
        Tolonglah! Pergi dari sini. Hani berdoa dalam hati sambil menyibukkan diri mengemas bonet keretanya yang sudah sedia kemas.
        “Kenapa awal sangat nak balik KL?” suara Hazril seperti desiran angin menyinggah ke telinganya.
        “Hah?” Hani seperti orang terkejut. Pantas dia berpaling memandang Hazril yang masih tidak berganjak, lebih kurang lima langkah dari tempat dia berdiri.
        Hazril senyum.
        Aduhhhh… Hani rasa seperti jantungnya jatuh tergolek ke tanah. Nafasnya seperti tersekat. Dia perlukan bantuan pernafasan untuk kembali normal seperti tadi. Kenapa ya, mata dan hatinya tidak pernah nampak Hazril itu buruk di mana-mana walau sudah jenuh dia menanam benih kebencian?
        “Kenapa bila bercakap dengan aku selalunya kau ada masalah pendengaran?” Selamba Hazril mengenakan Hani. 
        Sejak di zaman sekolah, dia perhatikan Hani akan menggelabah dan tidak pernah focus apabila bercakap dengannya. Selalu mesti nak kena ulang baru faham. Tapi peliknya, dengan orang lain elok saja.
        “Oooo… sebab suara kau tu, telinga aku tak boleh terima. Tak tahu kenapa,” balas Hani.
        Wah! Hani sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh jadi sebegitu berani membalas kata-kata Hazril dengan cara kurang sopan.
        Tapi, kalau difikirkan balik, untuk apa dia nak sopan atau control ayu dengan lelaki ini sedangkan dia sudah tahu walau mukanya dipakaikan topeng Anjelina jolie sekalipun, dia tidak mungkin mampu memikat Hazril.
        Jadi, lebih baik dia jadi diri sendiri dari mengawal diri berpura-pura jadi orang baik-baik sedangkan dia sebenarnya bukanlah baik sangat pun.
        Hazril gelak dan Hani rasa anak telinga seperti meminta izin untuk menjenguk keluar. Alahai… kenapa suara ketawanya kedengaran sungguh sedap? Kalaulah macam ni, nampaknya dia perlu beli kapas banyak-banyak sebelum balik kampung untuk tujuan menyumbat telinga.
        Lagi, dia juga kena beli cermin mata tiga dimensi agar matanya nampak Hazril panjang dan lebar. Taklah kacak macam sekarang. Pakai baju melayu dengan kain pelikat pun matanya asyik nak memandang.
        “Tadi aku tanya, kenapa kau nak balik KL cepat sangat.” Hazril ulang dengar soalannya sambil senyum.
        “Aku ada hal sikit.” Pendek saja jawapan Hani. Dia ingin melangkah masuk untuk mengelak dari Hazril tetapi kenapa kakinya bagai dipateri ke bumi?
        Mata Hazril berterusan menatap sekujur tubuh Hani yang kaku berdiri. Entah kenapa, dia nampak Hani hari ini sangat berbeza. Bukan baru kenal malah sejak kecil mereka berjiran.
        Namun, selama ini dia tidak pernah berminat untuk rapat dengan Hani kerana baginya, Hani gadis polos dan pendiam, tiada yang menarik pun untuk dijadikan teman istimewa.
        Tetapi berbeza pula dengan semalam dan hari ini.  Semalam, saat matanya melihat Hani tanpa tudung dengan rambut  panjang mengurai,  matanya terus terpaku. Dadanya jadi bergetar, seolah hatinya sudah ditarik keluar.
        Dan saat ini, melihat Hani berbaju kurung kain kapas dan bertudung, matanya terlupa untuk berkelip. Sungguh manis. Tiba-tiba ada keinginan untuk lebih dekat dengan gadis ini.
        “Kenapa bila bercakap kau tak pernah nak pandang muka aku?”
        Hani pantas panggung kepala. Sesaat pandangan mereka beradu sebelum Hani kembali mengalihkan pandangannya.
        “Bagi aku no telefon kau.”
        “Hah!” sekali lagi Hani panggung kepala. Bukan tidak dengar tetapi dia tidak percaya Hazril boleh meminta nombor telefonnya.
        “Sejak tadi dah berapa banyak kau keluarkan perkataan hah! Tu?” selar Hazril
        “Bagi nombor telefon.” Sekali lagi Hazril mengulang. Dia sudah mengeluarkan telefon bimbit dari poket baju melayunya.
        Amboi! Pergi surau pun bawa telefon bagai.
        “Nak buat apa?”  soal Hani
        Hazril pandang Hani dengan kening berkerut.
        “Agak-agak kau, nombor telefon tu boleh buat apa? Buat masak gulai campur tempoyak boleh tak?”
        Hani buntang mata sambil ketap bibir. Kalau Azrul, memang betis sudah kena sepak atau kepala sudah kena ketuk. Tapi, agak-agaknya kalau dia ketuk kepala HAzrul ni, kira halal tak?
        “Kak! Mak tanya nak tempoyak tak?” tiba-tiba kedengaran suara Azrul melaung dari depan pintu rumah.
        Serentak pandangan mereka terarah pada Azrul dan kemudian saling memandang satu sama lain. Kebetulan yang sangat unik.
        “Boleh jugak,” balas Hani
        “Teringin rasanya nak makan masak gulai tempoyak nombor telefon,” sambung Hani lagi dalam nada yang perlahan agar hanya dia dan Hazril saja yang dengar.
        Terus terletus tawa hazril. Dia suka. Bukan suka masak gulai tempoyak nombor telefon tapi suka cara Hani menjawab kata-katanya. Nakal dan selamba. Itu yang dia suka.
        Buat seketika, Hani terpaku di situ. Melihat Hazril yang sedang ketawa, bagai melihat pemandangan indah di depan mata.  Kening yang lebat, matanya yang hampir tertutup tatkala ketawa, hidungnya yang terletak dan bibirnya yang seksi, semuanya buat Hani rasa sesak nafas tanpa sebab. Rasa yang pernah dia bungkus dan buang dulu hadir kembali menyusup ke hatinya.
        Dulu...suatu ketika dulu, dia jatuh suka dengan lelaki ini hanya kerana mendengar tawanya. Mungkinkah hari ini dia harus menanggung beban yang sama? Tersiksa kerana menyimpan suka pada lelaki yang langsung tidak memandangnya.  Sangat-sangat sakit.
Tidak! Dia tidak mahu lagi merasai semua itu. Dia harus mencari sejenis kain yang kalis segala bunyi untuk membalut hatinya sekali lagi.

11 comments:

ida said...

Really nice n3! Saya suka dgn jln criter ni & gaya bahasa yg simple tapi menarik. Do continue cepat2 ye Cik Writer!

Anonymous said...

best sgt2...

Anonymous said...

memang best..cepat2 sambung ye... (nurshalinda)

MiEy said...

start baca Bab 1 terus jatuh cinta. Hehe jarang sangat nak layan, tapi sebab bahasanya ringan dan mudah faham buat saya jadi watak Hani lak.. hehe cepat2 update ye.

ummiaisys said...

Best2..nk smbungan nya lg...x sabau nk baca ni..:)

ummiaisys said...

Best2..nk smbungan nya lg...x sabau nk baca ni..:)

olympia gold said...

Great commodity comes from afflatus and frequently ceremony the latest ceremony and online autograph about a accountable and accrue up the adequate plan in this website.
wholesale gold necklaces & bracelets

Sha said...

best.. suka watak hani yang kelakar, nakal dan spontan.

hihikk gulai tempoyak telefon..

Luxury Indian Train Tours said...

Thanks for sharing..Eastern Voyage Pvt. Ltd. is one of the leading Travel Agents & Tour Operators in India with branch & associate offices all over India and in Nepal.
Luxury Indian Train Tours

angah said...

best la kak bila nak sambung ni?

Travel Agents in Odisha said...

Thanks for sharing...Eastern Voyage Pvt.Ltd. offers the complete guide of tourism of Tribal in Odisha and Chhattisgarh. We are specialists in worldwide travel and tourism Odisha tour and admired highly for its quality services.
Travel agents in Odisha