FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - BAB 2

AZRUL yang memerhati kakaknya terkaku lama di tengah ruang tamu rumah makin jadi pelik.
        "Akak marah ke?" Soalan Azrul mencantas lamunan Hani.
        "Mmm... aarr.. Hajar tak balik ke?" Hani mengubah topik. Tergagap-gagap dia membetulkan suara. Hajar yang dimaksudkan itu ialah adiknya yang sorang lagi selain Azrul.
        "Dah lama tak balik kak." Ada nada kecewa dari suara Azrul tetapi Hani diamkan saja.
        Mereka hanya bertiga beradik. Hajar itu adik di bawahnya dan Azrul paling bongsu. Seingat Hani, sejak berkahwin setahun yang lepas dan tinggal bersama suaminya di Cherating, hanya sekali Hajar pulang. Itu pun sendirian tanpa suami. Walhal Cherating ke Kuantan tu bukan jauh sangat pun. Ada masalahkah adiknya itu?
        Inilah yang paling dibimbangkan. Hajar itu memang sangat degil dan keras hati. Bila dilarang agar jangan berkahwin sebelum menamatkan pengajian, diugutnya emak dan ayah. Katanya akan ber  kahwin lari kalau kami semua membantah. Bila diberi kebenaran, alih-alih terus berhenti belajar sekerat jalan.
        "Kak! Nak pergi tak?" Soalan Azrul menamatkan cerita Hajar di minda Hani.
        "Pergi mana?"
        Azrul tidak menjawab sebaliknya hanya memuncungkan mulut ke arah rumah penghulu Haji Kassim.
        Menjawab soalan Azrul, Hani hanya mengeleng kepala.  Sejak peristiwa dimalukan di sekolah dulu, perkara pertama yang akan dia lakukan ialah mengelak dari bersua muka dengan lelaki bernama Hazril itu.
        Azrul angkat bahu dan Hani pula meneruskan langkah melalui ruang dapur untuk naik ke bilik. Rumah kampung, bilik dan ruang tamu di bina lebih tinggi dari ruang dapur dan perlu memanjat beberapa anak tangga yang menghubungkan antara ruang-ruang tersebut.
        Setelah meletakkan beg ke atas katil, Hani pantas menukar baju dan bergegas turun. Setiap kali pulang ke kampung, orang yang akan dicari selain emak dan ayah ialah Liza, teman rapat yang sejak kecil bermain pondok-pondok bersama. Sejak kecil sehinggalah dewasa, Liza satu-satunya teman sehidup semati yang sentiasa ada di kala susah dan senangnya.
        “Kamu dengan si Liza tu dan macam kembar tak seiras lain mak lain bapak.” Itulah yang sering diulang emak bila setiap hari dia hanya akan melekat di rumah Liza. Rumah keluarga Liza dah rupa macam rumah sendiri.
        Setelah bekerja di Kuala Lumpur manakala Liza pula berkahwin dan menetap di kampung  tersebut, di rumah Liza juga dia akan melekat sepanjang hari bila sesekali pulang.
        Jarak rumahnya ke rumah Liza tidaklah jauh sangat, hanya berbeza lorong saja. Malas memandu kereta kerana lorong ke rumah Liza agak sempit, Hani rembat motor Azrul. Selalu kalau pulang ke kampung, dia lebih suka bawa motor sambil menghirup udara yang segar dan nyaman.
        "Hafezzzzz!!!" Suara nyaring Liza menjerit nama anaknya sudah kedengaran sebaik Hani memarkir motor di laman.
        Hani tarik-tarik cuping telinganya. Sejak anak dara sehinggalah sudah menjadi mak budak, suara Liza tetap sama, nyaring dan menyengat. Kalau menjerit, anak telinga boleh berjoget-joget. Itu belum lagi dengar dia membebel atau bergaduh. Ish! Tak sanggup nak cerita. Kalau tengah marah, macam-macam perkataan akan keluar dari mulut lasernya.
        “Assalamualaikummmmm....”
        Hanya seketika menunggu, wajah Liza sudah terpacul di muka pintu.
        "Weh! Bila kau balik?"
        "Dua hari lepas." Hani menyengih, sengaja main-main.
        "Siotlah kau. Dah dua hari balik baru nak cari aku."
        Hani gelak sambil mengelak tatkala tangan Liza cuba menepuknya. Dah nak mula la tu. Liza kalau bercakap tak sah kalau tangan tak gerak sama.
        “Aku baru sampailah!!” tegas Hani sambil melangkah masuk ke rumah Liza.
        Tak payah berjemput, dia memang suka buat rumah Liza macam rumah sendiri lebih-lebih lagi dia memang tahu abang Amir, si suami sahabatnya itu memang tiada di rumah waktu siang begini.
        “Eh? Kau balik ni sebab kenduri sambut si Hazril tu ke?” Soalan Liza menghentikan langkah Hani. Buat seketika mereka saling berpandangan.
        Sorry, aku lupa kau alergik dengar nama mamat tu.” Liza jadi teragak-agak.
        Hani hanya diam. Memang dia sangat sensitif  bila mendengar nama Hazril disebut. Tak payah tengok orangnya, namanya saja sudah boleh menyebabkan hormon adrenalin dalam badannya meningkat secara mendadak.
        “Kau okey ke tak ni? Ke, kau ada rasa nak meroyan?” Liza melawak tetapi Hani tetap tidak terasa ingin ketawa. Dia celaru sebenarnya. Kepulangan Hazril berkemungkinan besar akan membuka ruang untuk mereka kembali bersua muka setelah sekian lama.
        Sepanjang lelaki itu di luar negara, dia sudah terasa cukup tenang. Kini, sebaik mendengar khabar lelaki itu telah kembali ke tanah air, hatinya jadi bergelandangan. Sudah sepuluh tahun berlalu, rasa malunya tak pernah hilang. Peristiwa tersebut mencetus banyak fenomena terutamanya kemarahan dari Nurlily.
        Kenangan itu datang menjengah minda…
        “Weh! Aku nak cakap sikit pasal gambar Hazril yang kau simpan tu.” Nurlily and the gang yang muncul tiba-tiba terus menolak bahunya.
        Waktu itu, Hani sedang menghabiskan waktu rehat di belakang bangunan sekolah bersama Liza, tiga hari selepas peristiwa dia dimalukan oleh Hazril.
        “Eh! Nurlily, kot yer pon nak bercakap, tolong sopan sikit. Bagi salam dulu ke apa. Ni main tolak-tolak bahu orang ni apa kes?” Liza pantas bangkit berdiri.
        “Kau diam! Aku tak cakap dengan kau!.” Jari telunjuk Nurlily terus menghala ke arah Liza.
        Wajah Nurlily menyinga. Dia tengah panas hati mendengar gosip yang digembar gemburkan antara Hani dan Hazril. Kononnya budak selekeh yang bernama Hani Suraya itu sukakan Hazril, walha semua orang sudah tahu bahawa lelaki itu adalah kekasih hatinya.
        “Kalau aku tak nak diam, kau nak buat apa?.” Liza sengaja mencabar. Dengan minah perasan bagus ni memang tak boleh nak berdiam diri dan mengalah.
        Hani yang juga turut berdiri mencuit tangan Liza agar sahabatnya itu bertenang. Wajah Nurlily yang seperti singa tengah kelaparan itu dipandang sekilas sebelum beralih kepada tiga lagi konco-konconya yang berdiri di kiri kanan wanita itu.
        “Kau ni tak faham bahasa melayu ke?” Nurlily mula naik angin. Marahnya pada Hani sedikit sebanyak berpindah pada Liza.
        Dia ke situ mencari Hani untuk meminta penjelasan tentang cerita gambar yang diedit itu. Mendengar cerita tersebut, dia tidak senang duduk apatah lagi apabila mengetahui yang perempuan selekeh ini adalah rakan sekampung Hazril.
        Paling menyakitkan hati apabila Hazril langsung tidak bercerita padanya. Itu bermakna Hazril tidak kisah. Setahu dia, lelaki itu memang tidak suka orang menyimpan gambarnya apatah lagi merakam secara curi-curi. Dia sendiri pun tidak pernah ada gambar Hazril sama ada gambar sendirian atau berdua. Hazril itu jenis yang alergik pada kamera.
        “Kau pandai cakap Jerman ke? Kalau pandai, bahasa Jerman lagi aku boleh faham.” Liza sengaja main-main.
        “Eh! aku tak ada masa nak melawak okey!”  balas Nurlily.
        “Bila masa aku cakap aku melawak? Kau tengok muka aku tengah buat lawak ke?” Liza sudah selangkah ke depan.
        Hani pula bertindak menarik tangan sahabatnya itu agar tidak menghampiri Nurlily. Bimbang juga jika berlaku pergaduhan. Sekarang ni mereka di dalam kawasan sekolah. Kalau bergaduh, silap-silap kena tindakan disiplin.
        “Wei! Kau tu tak ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak lebih-lebih.” Salah seorang geng Nurlily yang Hani kenal bernama Zura mencelah.
        “Eh! Zura. Kau pun tak ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak menyampuk.” Liza membidas.
        “Weh! Takkan sebut nama Hazril aje kau dah hilang suara.”  Sergahan Liza menamatkan terus kisah silam yang mendatangi minda Hani. Dia garu kepala. Bukan hilang suara tetapi dia tiada mood untuk berkata-kata.
        Benar... apa saja yang berkaitan dengan lelaki yang bernama Hazril Redza itu boleh membuatkan moodnya berputar 180 darjah.
        “Bukan macam tuuu…” Hani menafikan. Punggung dilabuh ke kerusi di meja makan. Tudung saji di atas meja diangkat. Lagak macam rumah sendiri.
        “Kalau aku cakap, kau jangan marah ya.” Liza pula labuhkan punggung berdepan dengan Hani. Niat memanggil si anak untuk mandi ditangguhkan dulu.
        Mendongak memandang Liza, Hani angkat kening.
        “Hazril…” Liza hentikan di situ. Mahu melihat reaksi si sahabat.
        Hani tenung Liza dengan mata mengecil. Separuh hatinya mahu Liza tidak meneruskan bicaranya tetapi separuh hatinya ingin tahu apa yang Liza mahu sampaikan berkaitan lelaki itu.
        “Kenapa dengan dia?” soal Hani. Untuk menyebut nama Hazril, lidahnya terasa keras, seperti hatinya yang mengeras selepas dimalukan oleh lelaki itu.
        “Dia makin kacak. Lebih kacak dari dulu dan nampak matang. Walau usianya sama dengan kita. Mungkin pengalaman hidup yang lebih luas di negara orang.”
        Hani hanya diam. Tidak mahu mengulas lanjut. Sedikit sebanyak hatinya jadi terusik. Sekacak mana pun Hazril, dia hanya mampu memandang. Tapi, jika boleh dia tidak mahu memandang lelaki itu lagi kerana dia tahu, parut luka di hatinya pasti akan berdarah kembali.


1 comment:

Sha said...

Perasan apabila dimalukan di hadapan kawan-kawan atau dihina/dimarah di depan umum memang tak mudah untuk dilupakan.

Hani memang tak nak jumpa Hazril, agaknya Hazril ingat tak pada Hani?