Pulang dari rumah Liza, Hani lihat emaknya sudahpun berada di
rumah, sedang duduk-duduk di sofa ruang rehat keluarga. Pastinya Azrul yang
pergi menyampaikan berita pada emak tentang kepulangnya dan tentu emak sedang
menantinya.
"Kenapa tak
balik nak cakap?"
"Eh! Silap.
Kenapa tak cakap nak balik?" Puan Faridah seakan melatah sambil menyambut
salam anak daranya yang seorang itu.
Hani ketawa. Azrul
yang ada disebelah emaknya juga turut ketawa.
“Orang balik sekejap jer mak. Esok dah pergi.”
“Laaaaa....buat
penat memandu jer?”
"Cuti hari
minggu jer mak." Hani berbohong. Punggung dilabuhkan ke sofa berdepan
dengan emaknya.
Sebenarnya, dia
memang cuti panjang untuk menghabiskan baki cuti tahunan yang akan expired
bulan depan. Tetapi, berita kepulangan lelaki itu telah membuatkan dia terpaksa
mengubah perancangan asal.
Mulanya, dia
memang berniat untuk menghabiskan waktu cuti di kampung bersama keluarga.
Namun, ketika di rumah Liza tadi, dia telah membuat keputusan untuk pulang ke
Kuala Lumpur secepat mungkin. Paling lewat pun, esok pagi dia harus bergerak
keluar.
"Elok juga
kamu balik. Mak ada benda sikit nak bincang dengan kamu,” ujar Puan Faridah.
Hani pandang
wajah tua emaknya. Dia faham benar, kalau emaknya sudah mengeluarkan kata-kata
begitu dengan nada yang serius, adalah sesuatu yang penting hendak disuarakan.
“Bincang apa
mak?”
“Kawan mak,
merisik kamu untuk jadikan menantu.”
Hani kerut
kening. Ini bukan kali pertama malah cudah acap kali dan sudah banyak kali juga
dia menolak. Dia tidak tahu kenapa tetapi hatinya belum terbuka untuk berumah
tangga. Waktu adiknya berkahwin dulu, ramai juga orang kampung mengata dia anak
dara tak laku, sebab itulah adiknya langkah bendul.
“Macamana?” Puan
Faridah mendesak apabila melihat anak pertamanya itu hanya diam tanpa sepatah
kata.
"Kawan mak
yang mana satu ni? Kalau sekampung orang tak nak." Cepat saja Hani membuat
keputusan.
Kalau lelaki
Kampung Pasir itu kebanyakannya memang dia kenal dan boleh dikatakan kesemuanya
dia tidak berkenan. Siapa yang mahu kalau kerja mereka hanya melepak dan
mengusik anak dara orang?
Selebihnya,
menghabiskan harta mak bapak yang tak seberapa. Kalau ada pun yang merantau dan
bekerja di ibu kota, semuanya menyombong dan berlagak. Macam bagus sangat!
"Apa
salahnya kalau sekampung. Senang sikit kalau raya tak payah nak susah-susah
buat giliran."
"Ish! Mak
ni, itu yang dia fikirkan. Raya lambat lagilah makkkk."
"Eh! Lambat
atau cepat, kena tempuh juga kan."
"Ish! Tak
maulah mak. Nanti kalau gaduh, orang lari balik sini, sekejap aje dia dah
sampai nak jemput orang bawa balik."
"Laaa... Ke
situ pulak. Jadinya kamu ni kalau kahwin memang dah niat nak bergaduhlah
ya?" bidas Puan Faridah. Matanya membulat memandang Hani.
"Takdelah
macam tu. Mak pun tahu anak mak ni manja dan kuat merajuk. Takut nanti kalau
ada apa-apa yang tak kena, orang lari balik umah mak aje." Hani menyengih.
Logik ke alasan dia tu?
“Siapa orang tu
mak?” Hani menyambung kata, bertanya tentang gerangan orangnya. Teringin juga
dia tahu siapalah yang rabun mata ingin jadikan dia yang tak ada rupa dan
selekeh itu sebagai calon menantu.
“Dah kamu tak
nak, tak payahlah tahu. Nanti mak cakap dengan dia kamu tak berminat nak
berlaki.” Puan Faridah pantas bangkit. Dia sedikit kecewa tetapi seperti biasa
dia juga tidak ingin memaksa. Dia tahu Hani akan menurut jika dia berkeras
tetapi itu bukan caranya. Dia lebih suka memberi peluang kepada anak-anak
membuat pilihan sendiri.
HANI SURAYA bangkit dari tidur apabila perutnya terasa lapar.
Kebiasaanya memang begitu bila pulang ke kampung. Dia akan tidur beberapa jam
bagi menghilangkan letih kerana memandu sendirian tanpa henti dari Kuala Lumpur
ke Kuantan.
Kakinya laju
menonong ke dapur tanpa menoleh kiri kanan. Tekak yang haus kerana cuaca agak
panas ditambah perutnya yang sudah berkeroncong lagu heavy mental, dia dah tak
nampak benda lain.
Melihat jug yang
dipenuhi air sanquick, dia pantas menuang ke dalam gelas. Tanpa duduk, air
tersebut digogok rakus.
"Haniiii!!."
Suara emak yang agak kuat mengalahkan pembesar suara di surau berdekatan memanggil Hani untuk menoleh.
Saat matanya
terpandang ada manusia lain selain emak dan juga Azrul yang ada di ruang rehat
keluarga yang bersambung dengan ruang makan itu, air sanquick yang belum sempat
melepasi kerongkong terus tersembur keluar.
"Hah! Kan
dah tersedak. Isk! Tak senonoh betul anak dara ni. Dah la minum sambil
berdiri." Emak mula membebel tapi bukan bebelan itu yang membuatkan Hani
gelabah. Wajah lelaki yang tenang dengan segaris senyum terukir di bibir itu
yang membuatkan jantungnya bagai ingin luruh ke lantai. Betul kata Liza, dia
makin kacak. Malah lebih kacak dari apa yang dibayangkan oleh akalnya.
"Tengoklah Ril. Kawan kamu tu dari kecil sampailah dan
besar panjang, perangai gelojohnya tak pernah berubah."
Hazril ketawa
perlahan menyambut bebelann Puan Faridah sedang Hani pula sudah terasa tubuhnya
bagai membahang.
Kenapa dia rasa
begitu? Pertamanya dia dimalukan emak di depan 'seseorang' yang pernah dia suka
dan pernah juga dia benci. Keduanya, dia
yang memalukan diri sendiri dengan perangai yang tidak senonoh dan
ketiganya, dia hanya memakai tuala melepasi lutut bersama T'shirt sendat
berlengan pendek.
Rambut? Oh!
Tatkala dia sedar rambutnya dibiarkan lepas bebas, cepat-cepat dia mencapai
kain yang terdampar di atas meja makan dan disauk ke kepalanya. Kakinya pantas
berlari masuk ke ruang dapur.
Punggungnya
dilabuhkan pada anak tangga. Saat itulah
hidungnya tiba-tiba tercium bau yang kurang enak. Rupa-rupanya kain yang
tersangkut di kepalanya itu adalah kain pengelap meja. Cepat-cepat dia
menanggalkan kain tersebut dan dibaling ke tepi dinding. Cis!
Duduk di tangga,
Hani pegang dada sendiri. Kenapa tiba-tiba dia rasa berdebar saat matanya
terpandang lelaki itu? Bukankah segala rasa suka yang bertebaran di hatinya
sudah dibungkus dan di tanam kemas?
Seketika duduk di
situ, perutnya sesekejap terasa sakit. Teringat yang ‘masa’nya sudah hampir
tiba dan dia tidak mempunyai sebarang bekal untuk persediaan, pantas dia
bergerak ke bilik air untuk mandi.
Dia harus ke
kedai runcit Che Senah untuk membeli ‘bekalan’. Mana tahu kut malam nanti
‘benda’ tu keluar tanpa amaran, mana nak cari ‘bahan’ untuk tampalan.
Setelah selesai
mandi dan bersolat, Hani keluar melalui pintu utama di bahagian atas untuk
mengelak dari bertembung dengan ‘lelaki itu.’
“Saya balik ni
dah tak pergi lagi makcik. Cari kerja kat Malaysia jer. Kesian ibu yang duk
memujuk suruh balik.” Suara Hazril jelas kedengaran tatkala Hani melangkah
menuruni tangga kerana kedudukan sofa di mana tempat lelaki itu duduk memang
hampir dengan pintu utama walaupun terlindung.
Hani mencebik.
Kononnya balik kerana ibu walhal kerana Nurlily. Kata Liza, minah perasan bagus
itu juga telang pulang dari Australia.
“Aku rasa Hazril
tu balik sebab si jembalang tanah tu pun dah balik. Aku terserempak dengan
minah tu kat pekan minggu lepas. Jalannya melentik macam orang patah pinggang.
Perasan vougelah tu konon. Masa tu
aku nampak dia dengan Zura dan Lyana.
Agaknya celebrate kepulangan minah tu
la kot. Tapi, mereka tak nampak aku.” Cerita Liza yang panjang berjela tu
dicerna oleh mindanya. Jembalang tanah tu adalah gelaran yang Liza berikan pada
Nurlily.
Huh! Manisnya
mulut depan mak aku. Porrraaaahhhhh!!! Hani menyeranah di dalam hati.
Melangkah
menghampiri kereta, Hani seperti ingin menjerit apabila melihat tayar di
sebelah depan sudah kemek.
Aduhhhhh....ni
yang dia paling lemah. Dia memang tak pandai tukar tayar kereta. Seingat dia,
semenjak membeli kereta alhamdulillah belum pernah lagi dia menghadapi
kesulitan tayar pancit. Inilah kali pertama dan dikira sangat bernasib baik
kerana tayar tersebut pancit di depan rumah.
Mahu tak mahu dia
terpaksa juga memanggil Azrul untuk meminta tolong. Nak tak nak dia terpaksa
juga pergi ke kedai Che Su. Dia tidak mahu menggunakan motor kerana kedai Che
Su letaknya bersebelahan dengan kedai runcit Pak Din di mana tempat anak-anak
muda kampung itu melepak. Segan kerana nanti dia akan menjadi tumpuan mata-mata
nakal yang suka usha anak dara naik motor.
Namun begitu,
yang muncul di depan pintu bukan hanya Azrul tetapi Hazril turut menjenguk.
‘Menyibuk aje!’
Hani membebel di dalam hati.
“Kenapa kak?”
“Tayar kereta
akak pancit. Tolong tukarkan boleh?” pinta Hani dengan muka minta simpati.
“Isk! Orang
perempuan ni tahu bawa kereta aje, tukar tayar tak tahu,” bidas Azrul.
“Nak tolong ke
tak? Kalau tak nak tolong jangan cerita banyak!.” Hani mula berang. Entah
kenapa, melihat wajah ‘lelaki itu’ darahnya cepat saja menderu naik. Sudahnya, Azrul
yang menjadi sasaran.
“Yerlah! Yerlah!”
Azrul sauk selipar jepun dan bergerak menuju ke kereta da Hani mengekor dari
belakang.
Tidak disangka,
rupanya Hazril juga turut mengikut mereka ke kereta membuatkan Hani tidak
senang duduk.
“Very lucky car. Pancit pun depan rumah.”
Hazril bersuara perlahan namun masih mampu didengar oleh telinga Hani.
“Kereta sayang
tuan ni kalau macam gini bang.” Azrul menyampuk dan gelak.
Hazril turut
gelak. Matanya mengerling sekilas ke wajah Hani yang mencuka. Cantik! Kenapa
tiba-tiba hatinya terasa berdebar? Dari tadi, saat pertama kali dia melihat
wajah wanita ini setelah sepuluh tahun tidak bersua muka, jantungnya bagai
terhenti berdenyut.
Sedetik, ada satu
rasa menjalar bersama aliran darahnya menuju ke otak. Kenapa saat ini dia
melihat segalanya yang ada pada wanita ini cantik sekali? Berpuluh tahun mereka
kenal, bertahun-tahun menjadi teman sepermainan dan sejak lahir mereka
berjiran, dia tidak pernah nampak apa-apa yang luar biasa pada wanita ini.
Selain dari selekeh dan pendiam, tidak ada apa pun tentang Hani yang menarik
minatnya.
Pun begitu, saat
ini, dia nampak Hani Suraya seperti jelmaan bidadari yang diturunkan dari
langit. Sudah jatuh cintakah dia?
“Orang perempuan ni bang, cakap aje besar.
Tapi, sudahnya perlukan orang lelaki juga.” Azrul bersuara sambil meletakkan
beg bungkusan berisi segala peralatan untuk membuka skru tayar.
"Eh! Ikhlas
ke tak ni? Kalau tak ikhlas tak payah buat. Akak telefon mekanik jer."
"Ikhlas
kak!" Azrul menyengih. Hazril pula sudah mencangkung untuk membantu Azrul.
Melihatkan itu,
Hani mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Hatinya terasa sebal tatkala
melihat lelaki itu. Ia mengingatkan Hani pada kisah lama. Kisah yang sehingga
kini membuatkan mukanya terasa tebal berinci-inci.
Sementara
menunggu Azrul menukar tayar, Hani sempat lagi menjamu perutnya dengan kuih
muih yang terhidang di atas meja. Entah dari mana dia malas nak bertanya. Waktu
itu, emak ada di belakang rumah.
“Dah siap kak.” Azrul
menjerit dari muka pintu sambil membersihkan tangan pada paip yang terdapat di
situ.
Ketika Hani
melangkah keluar, Azrul sudahpun masuk ke dalam rumah. Sangkanya, Hazril sudah
pulang tetapi sangkaanya meleset kerana lelaki itu masih berada di situ. Kali
ini, sedang bersandar pada pintu keretanya di sebelah pemandu sambil berpeluk
tubuh.
Tatkala matanya
bertembung dengan anak mata coklat gelap milik Hazril, dadanya terasa
bergelombang. Sekian lama, rasa itu tak pernah hilang. Setiap kali memandang
mata yang menggoda itu, dia sepuluh kali tergoda tanpa perlu Hazril
menggodanya.
BerTshirt putih
lengan pendek menampakkan lengannya yang berketul dan warna putih t’shirt itu
menyerlahkan bentuk tubuhnya yang tegap. Seksi!
Wahai hati,
tolong tetapkan pendirian. Bukankah lelaki ini orang yang paling kau benci
sepanjang zaman?
"Boleh
sandar tempat lain tak? Aku nak guna kereta." Hani bersuara dalam usaha
mahu mengalihkan tumpuan mata dan hatinya.
"Azrul cakap
kau kerja KL. Kerja apa?" Hazril balas dengan soalan.
"Kerja
biasa-biasa jer. Jadi kuli orang," jawab Hani dengan wajah bosan. Kenapa
nak menyibuk hal orang?
"Kalau duk
KL mampu pakai CRV, bukan lagi biasa-biasa tetapi dah luar biasa." Agak
sinis statement yang Hazril keluarkan
namun nada dan wajahnya biasa-biasa saja.
"Tak kiralah
luar biasa atau luar alam. Janji rezeki halal," balas Hani
"Can you pleaseee..." dia memberi
isyarat agar Hazril ke tepi untuk memberi ruang dia membuka pintu kereta.
"Nak pergi
mana?" Hazril masih statik di situ, masih bersandar di pintu kereta Hani.
"Kedai Che
Senah." Pendek jawapan Hani. Rasa rimasnya sudah sampai peringkat ke
tujuh. Dia jadi curiga, Hazril ni pergi US belajar apa? Takkan jadi ejen CIA
kot?
"Boleh tepi
sikit tak?"
"Kenapa bila
tengok aku jer muka kau masam macam asam
keping?" Hazril menyoal soalan yang melencong jauh dari topik.
Hani terasa angin
panas sudah berhembus keluar dari telinga dan lubang hidungnya. Sementalah
cuaca petang yang agak panas menambah lagi suhu kepanasan emosinya.
“Haniiii...”
Suara emak tiba-tiba menjerit namanya sebelum sempat dia bertukar menjadi naga
menyembur Hazril. Serentak dengan itu, wajah emak muncul di jendela yang betul
betul di atas tempat dia memarkir kereta.
"Eh! Ril,
makcik ingatkan dah balik. Nak bagi bekas yang hantar kuih dengan lauk tadi.”
Hazril sudah
bergerak dan berpusing mengadap ke arah emak yang berdiri di jendela.
"Tak kisah
makcik. Lainkali pun takpe.” Manis sungguh
mulut Hazril menjawab.
“Yerlah! Cakap
dengan ibu terima kasih ya.” Emak juga begitu mesra melayan Hazril. Menyampah
pula Hani tengok.
"Kenapa mak
panggil orang?” Hani mencelah, naik berbulu melihat kemesraan emaknya dengan lelaki
ini.
“Azrul kata kamu
nak ke kedai. Tolong mak beli asam keping.”
"Nak berapa
kilo?" Hani pantas bertanya. Baru sekejap tadi Hazril mengumpamakan dia
dengan asam keping.
"Nak buat
apa sampai berkilo. Kalau nak masak kamu sekali pun, Empat lima ringgit dah
cukup. Mak nak masak lemak ikan keli jer," balas Puan Faridah Selamba.
"Kalau nak
masak orang tak payah letak asam mak, sebab dah cukup masam dah pun." Hani
jeling Hazril sambil membuka pintu kereta.
“Nanti orang
belikan. Nak apa-apa lagi tak?”
“Itu jer.”
Tanpa memandang
Hazril yang masih berdiri di situ, Hani terus menghidupkan enjin kereta dan
mengundur ke belakang.
Manakala
Hazril pula tetap di situ sehingga kereta Hani menghilang dari pandangan. Apa
sudah jadi sebenarnya? Hazril tanya diri sendiri.
5 comments:
BEST...
Hehehe..best best best
hihik sha tak boleh tahan gelak part Hani ambil kain lap meja buat tutup kepala..kalau dah kelam-kabut apa pun boleh jadi..
baca part asam keping..adeh x bleh tahan..gelak lagi..
bila bace part dimalukan di dalam kelas tu, terimbas balik memori lama :'( orang dimalukan jugak cuma menggunakan kata2 yang menyakitkan buka dengan gambar so bila hani jumpa hazril lagi, hati orang rasanya sakit yang amat ! :'(
hahaha..memang kelakar pasal asam keping tu...
Post a Comment