AZRUL yang memerhati kakaknya terkaku lama di tengah ruang
tamu rumah makin jadi pelik.
"Akak marah
ke?" Soalan Azrul mencantas lamunan Hani.
"Mmm...
aarr.. Hajar tak balik ke?" Hani mengubah topik. Tergagap-gagap dia
membetulkan suara. Hajar yang dimaksudkan itu ialah adiknya yang sorang lagi
selain Azrul.
"Dah lama
tak balik kak." Ada nada kecewa dari suara Azrul tetapi Hani diamkan saja.
Mereka hanya
bertiga beradik. Hajar itu adik di bawahnya dan Azrul paling bongsu. Seingat
Hani, sejak berkahwin setahun yang lepas dan tinggal bersama suaminya di
Cherating, hanya sekali Hajar pulang. Itu pun sendirian tanpa suami. Walhal
Cherating ke Kuantan tu bukan jauh sangat pun. Ada masalahkah adiknya itu?
Inilah yang
paling dibimbangkan. Hajar itu memang sangat degil dan keras hati. Bila
dilarang agar jangan berkahwin sebelum menamatkan pengajian, diugutnya emak dan
ayah. Katanya akan ber kahwin lari kalau
kami semua membantah. Bila diberi kebenaran, alih-alih terus berhenti belajar
sekerat jalan.
"Kak! Nak
pergi tak?" Soalan Azrul menamatkan cerita Hajar di minda Hani.
"Pergi
mana?"
Azrul tidak
menjawab sebaliknya hanya memuncungkan mulut ke arah rumah penghulu Haji
Kassim.
Menjawab soalan Azrul,
Hani hanya mengeleng kepala. Sejak
peristiwa dimalukan di sekolah dulu, perkara pertama yang akan dia lakukan
ialah mengelak dari bersua muka dengan lelaki bernama Hazril itu.
Azrul angkat bahu
dan Hani pula meneruskan langkah melalui ruang dapur untuk naik ke bilik. Rumah
kampung, bilik dan ruang tamu di bina lebih tinggi dari ruang dapur dan perlu
memanjat beberapa anak tangga yang menghubungkan antara ruang-ruang tersebut.
Setelah
meletakkan beg ke atas katil, Hani pantas menukar baju dan bergegas turun.
Setiap kali pulang ke kampung, orang yang akan dicari selain emak dan ayah
ialah Liza, teman rapat yang sejak kecil bermain pondok-pondok bersama. Sejak kecil
sehinggalah dewasa, Liza satu-satunya teman sehidup semati yang sentiasa ada di
kala susah dan senangnya.
“Kamu dengan si
Liza tu dan macam kembar tak seiras lain mak lain bapak.” Itulah yang sering
diulang emak bila setiap hari dia hanya akan melekat di rumah Liza. Rumah
keluarga Liza dah rupa macam rumah sendiri.
Setelah bekerja
di Kuala Lumpur manakala Liza pula berkahwin dan menetap di kampung tersebut, di rumah Liza juga dia akan melekat
sepanjang hari bila sesekali pulang.
Jarak rumahnya ke
rumah Liza tidaklah jauh sangat, hanya berbeza lorong saja. Malas memandu
kereta kerana lorong ke rumah Liza agak sempit, Hani rembat motor Azrul. Selalu
kalau pulang ke kampung, dia lebih suka bawa motor sambil menghirup udara yang
segar dan nyaman.
"Hafezzzzz!!!"
Suara nyaring Liza menjerit nama anaknya sudah kedengaran sebaik Hani memarkir
motor di laman.
Hani tarik-tarik
cuping telinganya. Sejak anak dara sehinggalah sudah menjadi mak budak, suara
Liza tetap sama, nyaring dan menyengat. Kalau menjerit, anak telinga boleh
berjoget-joget. Itu belum lagi dengar dia membebel atau bergaduh. Ish! Tak
sanggup nak cerita. Kalau tengah marah, macam-macam perkataan akan keluar dari
mulut lasernya.
“Assalamualaikummmmm....”
Hanya seketika
menunggu, wajah Liza sudah terpacul di muka pintu.
"Weh! Bila
kau balik?"
"Dua hari
lepas." Hani menyengih, sengaja main-main.
"Siotlah
kau. Dah dua hari balik baru nak cari aku."
Hani gelak sambil
mengelak tatkala tangan Liza cuba menepuknya. Dah nak mula la tu. Liza kalau
bercakap tak sah kalau tangan tak gerak sama.
“Aku baru
sampailah!!” tegas Hani sambil melangkah masuk ke rumah Liza.
Tak payah
berjemput, dia memang suka buat rumah Liza macam rumah sendiri lebih-lebih lagi
dia memang tahu abang Amir, si suami sahabatnya itu memang tiada di rumah waktu
siang begini.
“Eh? Kau balik ni
sebab kenduri sambut si Hazril tu ke?” Soalan Liza menghentikan langkah Hani.
Buat seketika mereka saling berpandangan.
“Sorry, aku lupa kau alergik dengar nama
mamat tu.” Liza jadi teragak-agak.
Hani hanya diam.
Memang dia sangat sensitif bila
mendengar nama Hazril disebut. Tak payah tengok orangnya, namanya saja sudah
boleh menyebabkan hormon adrenalin dalam badannya meningkat secara mendadak.
“Kau okey ke tak
ni? Ke, kau ada rasa nak meroyan?” Liza melawak tetapi Hani tetap tidak terasa
ingin ketawa. Dia celaru sebenarnya. Kepulangan Hazril berkemungkinan besar
akan membuka ruang untuk mereka kembali bersua muka setelah sekian lama.
Sepanjang lelaki
itu di luar negara, dia sudah terasa cukup tenang. Kini, sebaik mendengar
khabar lelaki itu telah kembali ke tanah air, hatinya jadi bergelandangan.
Sudah sepuluh tahun berlalu, rasa malunya tak pernah hilang. Peristiwa tersebut
mencetus banyak fenomena terutamanya kemarahan dari Nurlily.
Kenangan itu datang
menjengah minda…
“Weh! Aku nak
cakap sikit pasal gambar Hazril yang kau simpan tu.” Nurlily and the gang yang muncul tiba-tiba terus
menolak bahunya.
Waktu itu, Hani
sedang menghabiskan waktu rehat di belakang bangunan sekolah bersama Liza, tiga
hari selepas peristiwa dia dimalukan oleh Hazril.
“Eh! Nurlily, kot
yer pon nak bercakap, tolong sopan sikit. Bagi salam dulu ke apa. Ni main
tolak-tolak bahu orang ni apa kes?” Liza pantas bangkit berdiri.
“Kau diam! Aku
tak cakap dengan kau!.” Jari telunjuk Nurlily terus menghala ke arah Liza.
Wajah Nurlily
menyinga. Dia tengah panas hati mendengar gosip yang digembar gemburkan antara
Hani dan Hazril. Kononnya budak selekeh yang bernama Hani Suraya itu sukakan
Hazril, walha semua orang sudah tahu bahawa lelaki itu adalah kekasih hatinya.
“Kalau aku tak
nak diam, kau nak buat apa?.” Liza sengaja mencabar. Dengan minah perasan bagus
ni memang tak boleh nak berdiam diri dan mengalah.
Hani yang juga
turut berdiri mencuit tangan Liza agar sahabatnya itu bertenang. Wajah Nurlily
yang seperti singa tengah kelaparan itu dipandang sekilas sebelum beralih
kepada tiga lagi konco-konconya yang berdiri di kiri kanan wanita itu.
“Kau ni tak faham
bahasa melayu ke?” Nurlily mula naik angin. Marahnya pada Hani sedikit sebanyak
berpindah pada Liza.
Dia ke situ
mencari Hani untuk meminta penjelasan tentang cerita gambar yang diedit itu.
Mendengar cerita tersebut, dia tidak senang duduk apatah lagi apabila
mengetahui yang perempuan selekeh ini adalah rakan sekampung Hazril.
Paling
menyakitkan hati apabila Hazril langsung tidak bercerita padanya. Itu bermakna
Hazril tidak kisah. Setahu dia, lelaki itu memang tidak suka orang menyimpan
gambarnya apatah lagi merakam secara curi-curi. Dia sendiri pun tidak pernah
ada gambar Hazril sama ada gambar sendirian atau berdua. Hazril itu jenis yang
alergik pada kamera.
“Kau pandai cakap
Jerman ke? Kalau pandai, bahasa Jerman lagi aku boleh faham.” Liza sengaja
main-main.
“Eh! aku tak ada
masa nak melawak okey!” balas Nurlily.
“Bila masa aku
cakap aku melawak? Kau tengok muka aku tengah buat lawak ke?” Liza sudah
selangkah ke depan.
Hani pula
bertindak menarik tangan sahabatnya itu agar tidak menghampiri Nurlily. Bimbang
juga jika berlaku pergaduhan. Sekarang ni mereka di dalam kawasan sekolah.
Kalau bergaduh, silap-silap kena tindakan disiplin.
“Wei! Kau tu tak
ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak lebih-lebih.” Salah seorang
geng Nurlily yang Hani kenal bernama Zura mencelah.
“Eh! Zura. Kau
pun tak ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak menyampuk.” Liza
membidas.
“Weh! Takkan
sebut nama Hazril aje kau dah hilang suara.”
Sergahan Liza menamatkan terus kisah silam yang mendatangi minda Hani.
Dia garu kepala. Bukan hilang suara tetapi dia tiada mood untuk berkata-kata.
Benar... apa saja
yang berkaitan dengan lelaki yang bernama Hazril Redza itu boleh membuatkan moodnya berputar 180 darjah.
“Bukan macam
tuuu…” Hani menafikan. Punggung dilabuh ke kerusi di meja makan. Tudung saji di
atas meja diangkat. Lagak macam rumah sendiri.
“Kalau aku cakap,
kau jangan marah ya.” Liza pula labuhkan punggung berdepan dengan Hani. Niat
memanggil si anak untuk mandi ditangguhkan dulu.
Mendongak
memandang Liza, Hani angkat kening.
“Hazril…” Liza
hentikan di situ. Mahu melihat reaksi si sahabat.
Hani tenung Liza
dengan mata mengecil. Separuh hatinya mahu Liza tidak meneruskan bicaranya
tetapi separuh hatinya ingin tahu apa yang Liza mahu sampaikan berkaitan lelaki
itu.
“Kenapa dengan
dia?” soal Hani. Untuk menyebut nama Hazril, lidahnya terasa keras, seperti
hatinya yang mengeras selepas dimalukan oleh lelaki itu.
“Dia makin kacak.
Lebih kacak dari dulu dan nampak matang. Walau usianya sama dengan kita.
Mungkin pengalaman hidup yang lebih luas di negara orang.”
Hani hanya diam.
Tidak mahu mengulas lanjut. Sedikit sebanyak hatinya jadi terusik. Sekacak mana
pun Hazril, dia hanya mampu memandang. Tapi, jika boleh dia tidak mahu
memandang lelaki itu lagi kerana dia tahu, parut luka di hatinya pasti akan
berdarah kembali.
1 comment:
Perasan apabila dimalukan di hadapan kawan-kawan atau dihina/dimarah di depan umum memang tak mudah untuk dilupakan.
Hani memang tak nak jumpa Hazril, agaknya Hazril ingat tak pada Hani?
Post a Comment