H
|
ANI SURAYA termenung di tangga rumah yang berkunci. Inilah
akibatnya pulang ke kampung secara tiba-tiba tanpa memberitahu terlebih dahulu.
Dia lupa yang mak dan ayahnya memang jarang lekat di rumah.
Kalau tak di
kebun, mesti ke pekan. Kalau tidak ke dua tempat itu, mesti ke rumah jiran yang
ada kenduri kendara.
Tiba-tiba matanya
terarah ke laman rumah penghulu Haji Kassim yang letaknya selang tiga rumah
dari situ. Kelihatan ada ramai orang berkumpul di sana. Ada kenduri atau
kematian? Kalau kematian, siapa yang meninggal? Penghulu Hj Kassim atau Makcik
Habibah?
Tak mungkin kot,
sebab mak tak cakap apa-apa pun. Tapi… kalau kenduri, siapa yang kahwin?
Hazril????
Menyebut nama
itu, hatinya tiba-tiba jadi berdebar. Tak mungkin Hazril sebab setahu dia,
lelaki itu masih di luar negara.
Tapi kalau bukan
Hazril, siapa lagi? Penghulu Haji Kassim hanya ada dua orang anak, Hazril Redza
dan kakaknya, Sofea Nabila.
Tapi, Kak Sofea
memang sudah berkahwin. Yang tinggal hanyalah anak bujang Haji Kassim, si
Hazril itu.
“Kak!”
“Mak kau
tergolek!!!!” Hani terlompat sambil melatah disergah dari belakang oleh Azrul,
adiknya.
“Kurang asam
betollah kau ni. Suka buat orang terperanjat.” Tangannya cepat saja memukul
bahu Azrul yang sudah terkekek ketawa.
“Dah lama akak
sampai? Mak tak cakap pun akak nak balik.”
“Mak dengan ayah
mana?” Hani menyoal balik tanpa menjawab soalan basa basi adiknya.
“Tuuu...” panjang
muncung Azrul menunjuk ke arah rumah penghulu Haji Kassim sambil membuka mangga
di pintu.
“Ada apa tu?
Orang meninggal ke?” Lancang mulut Hani menyoal.
“Isk! Akak ni.
Akak tak tahu ke Abang Hazril dah balik dari US? Kenduri sambut dia la tu.”
Langkah Hani
terus terhenti mendengar penjelasan Azrul. Hazril dah balik? Kenapa tiba-tiba?
Rasanya baru saja dia mendengar Makcik Bibah mengadu yang anak bujang
kesayangannya itu tidak mahu balik-balik ke Malaysia kerana seronok tinggal dan
bekerja di negara orang selepas habis belajar.
“Akak pergilah
cari mak kat sana. Boleh jumpa boyfriend
lama akak tu sekali.”
“Eh!
mulutttt...... Kalau belum beli insuran, baik jangan cakap yang bukan-bukan
ya!” Amaran keras terus Hani berikan pada Azrul. Matanya mencerlung memandang
adiknya itu yang sudah pun mendahului langkah masuk ke rumah.
“Alaaa... semua
orang tahulah kak. Satu sekolah cerita yang akak suka Abang Hazril. Satu
sekolah tahu akak simpan gambar Abang Hazril dalam buku latihan dan Abang
Hazril...”
“Sudahhhh!!!!!!”
Jerkahan kuat Hani terus menghentikan bicara Azrul. Pantas dia berpaling
memandang kakaknya.
Pertama kali dia
mendengar kakaknya yang sentiasa berlembut itu meninggikan suara membuatkan dia
tergamam tidak percaya. Takkanlah kerana usikan itu, kakak kesayangannya boleh
marah sampai begitu sekali?
Hani gamam.
Hilang kata untuk bersuara. Dia sendiri tidak tahu kenapa anginnya tiba-tiba
naik mendadak seperti di pam tatkala kisah lama itu disebut-sebut. Mungkin juga
dia tidak menyangka adiknya itu tahu tentang kisah tersebut kerana selama ini,
cerita itu tidak pernah sekali pun keluar dari mulut Azrul. Pantas, kenangan
lalu yang memalukan itu datang menerjah minda.
“Weh! Pinjam buku
kau kejap.” Tanpa amaran Hazril terus mencapai buku latihan yang terletak di atas
meja.
“Hey! Mana
boleh!” Hani terjerit kecil. Buku latihan yang sudah berada di tangan Hazril
cuba dirampas tetapi lelaki itu lebih pantas melarikannya.
Sengaja untuk
main-main, Hazril mengibarkan buku tersebut di depan Hani. Selama ini, jika dia
ingin meminjam buku, semua rakan di dalam kelas tersebut dengan rela hati akan
memberinya tanpa banyak soal.
Berbeza dengan Hani
Suraya. Nak pinjam buku, punyalah susah. Tahulah otak genius. Sejak dari
sekolah rendah hinggalah sampai tingkatan lima, dia tidak pernah mampu
menandingi gadis tersebut. Dia sering berada di nombor dua di belakang Hani.
Saat buku di
tangan Haazril dikibarkan ke udara, ada sesuatu melurut jatuh dari dalam buku
tersebut, beralun-alun turun ke bawah sebelum terdampar di lantai.
Melihat objek
tersebut, wajah Hani terus berubah. Hazril pula berkerut kening sambil
memandang sekeping gambar yang jatuh berhampiran kakinya.
Hani bergerak
untuk mengutip gambar tersebut tetapi seperti biasa Hazril lebih pantas
daripadanya.
Saat mata Hazril
merenung gambar tersebut, wajah Hani sudah tidak berdarah. Malah, bukan hanya
wajah, rasanya seluruh tubuhnya seolah kehilangan darah.
Tiba-tiba Hazril
gelak kuat. Gelak yang sungguh-sungguh sehingga semua mata pelajar di dalam
kelas tersebut menoleh pandang ke arahnya.
“Masa bila kau curi ambil gambar aku ni?”
Hazril menyoal setelah ketawanya reda sambil menayang gambar yang sedang
terpegang di tangannya.
“Curi-curi pun
dah satu kesalahan. Lepas tu, kau cabul kesucian aku dengan sandingkan bersama
gambar kau pulak.” Hazril senyum sambil mengeleng kepala.
Gambar di tangan
direnung lagi. Potret wajahnya yang diambil secara curi-curi, diedit dan
digandingkan dengan wajah Hani Suraya. Siapa lagi yang punya kerja kalau bukan
gadis itu sendiri. Kemudian, matanya beralih ke arah Hani yang sedang gelisah.
Waktu itu, Hani
seperti sudah hilang upaya untuk berfikir. Usah diceritakan apa yang dia rasa.
Hatinya berdoa agar bumi yang dia pijak terbelah dua dan menelan jasadnya.
Namun begitu,
beberapa kali berkelip, dia masih di situ. Berdiri kaku memandang lantai. Dia
tidak berani lagi memandang Hazril mahupun rakan-rakan lain di dalam kelas itu
yang sudah berkerumun mengelilingi lelaki tersebut untuk melihat sendiri apa
yang sedang diperkatakan Hazril.
Hani cuba pejam mata
tetapi telinganya pula terdedah pada bunyi-bunyian yang sungguh memalukan.
Kedengaran suara lelaki dan perempuan ketawa lucu tak kurang juga yang ketawa
mengejek.
Sengaja ingin
mengenakan Hani, Hazril bergerak ke arah depan kelas. Sementalah waktu itu guru
masih belum masuk, dia gunakan peluang itu sebaik mungkin.
Gambar di
tangannya ditampal pada papan hijau menggunakan loytape. Pada papan hijau
sebelah atas gambar tersebut ditulis besar-besar pantun dua kerat.
'Sepadan
dan secocok,
bagai
pinang diketuk-ketuk.’
Dia ketawa
sendiri sebelum disambut gelak ketawa rakan-rakan sekelas yang lain. Kemudian,
dia menulis lagi. Kali ini pada bahagian bawah gambar tersebut pula.
P/s:
sila telefon ambulan segera,
aku
nak pengsan melihatnya....
Suasana di dalam
kelas 5A1 riuh rendah dengan gelak tawa penghuninya. Kecuali Liza yang hanya tersenyum menahan tawa. Ikutkan
hati, dia juga ingin ketawa tetapi tatkala memikirkan yang dimalukan itu ialah
rakan baiknya sendiri, ada rasa simpati menjalar di hati. Dia sendiri tidak
pernah tahu rakan baiknya itu ada menyimpan hati terhadap Hazril. Baginya, Hani
seorang yang sangat pediam dan suka memendam.
Tetapi, bukankah Hani sendiri telah tahu bahawa
lelaki paling kacak di sekolah mereka itu adalah hak milik Nurlily Dato Hamdan?
“Aku tak ketawa
yer.” Liza bersuara sebaik melihat Hani menoleh ke arahnya.
Tanpa suara, Hani
pantas mengatur langkah keluar melalui pintu belakang kelas menuju ke tandas.
Dia cuba menahan tangis tetapi, saat pintu bilik tandas ditutup dan dikunci,
air jernih mengalir jua menyentuh pipinya.
Malu!
Sungguh-sungguh memalukan. Dia yakin saat ini semua orang sedang
mentertawakannya. Walau Liza tidak ketawa seperti rakan-rakan yang lain, dia
tahu sahabatnya itu juga sedang ketawa di dalam hati.
Tidak disangka
harga yang sebegini tinggi harus dibayar kerana menyukai seorang lelaki bernama
Hazril. Rasa itu, bukan dia yang memintanya tetapi ia datang sendiri dan terus
kekal di hati.
Sejak kecil,
sejak mereka bermain pondok-pondok bersama lagi hatinya memang sudah terjatuh
suka pada lelaki itu. Walaupun dia sering menjadi bahan ejekan lelaki tersebut,
walau dia tahu wanita selekeh sepertinya tidak akan dipandang oleh Hazril yang
sentiasa menjaga gensinya, hati tetap ingin memuja. Ah! Degilnya sekeping hati ini.
Hani tarik nafas
panjang-panjang. Air mata di pipi diseka perlahan. Walau dia menangis air mata
darah sekalipun, apa yang berlaku tidak mungkin akan mampu ditutup dan
disembunyikan.
Kerana itu, dia
melangkah kembali ke kelas. Rasa malu itu disimpan kemas. Rasa geram pada
Hazril kerana memalukan dia sebegitu kejam juga dibungkus ketat. Semua yang
berlaku ini adalah berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tidak gatal
mengambil gambar Hazril secara curi-curi dan mengeditnya, perkara sebegini
tidak mungkin akan terjadi.
Kalaulah dia
menyimpan gambar tersebut di rumah, pastinya perkara memalukan ini tidak akan
terlakar dalam sejarah hidupnya.
Dalam perjalanan
menuju ke kelas, Hani berpapasan dengan Nurlily. Melihat lenggok wanita itu,
Hani telan liur. Kalaulah Nurlily and the
gang tahu, mahunya dia mati kejung dikerjakan mereka yang sememangnya
terkenal dengan kaki buli. Oh! Hatinya jadi makin gundah gelana.
Masuk melalui
pintu belakang kelas, sekali lagi Hani telan liru. Nun di depan kelas, Cikgu
Wan, guru Bahasa Melayu sedang merenung gambar yang tertampal di papan hijau.
“Siapa punya
kerja ni?” soal Cikgu Wan.
“Hazril, cikgu.”
Kedengaran beberapa suara menjawab.
"Kamu ni Hazril, macam-macam tau!" ulas Cikgu Wan sambil mengeleng kepala. Gambar tersebut ditanggalkan dari papan hijau dan diselitkan ke dalam buku latihan mengajarnya. Entah apa yang ingin dibuat oleh cingu tersebut tidak tercapai dek akal Hani.
1 comment:
Teringat zaman sekolah dulu, boleh senyum mengingatkan rakan-rakan lama.
Suka membaca cerita olahan Sdri Hani. Santai dan bersahaja..
Post a Comment