FOLLOWERS

HKC - Bab 3

Selesai membeli kasut, Zhafran mengajak aku makan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang. Ketika tiba di bulatan menuju ke pintu utama, kedengaran azan maghrib berkumandang dan Zhafran terus saja membelokkan keretanya memasuki perkarangan masjid Al-Rahman.

“Aku nak solat maghrib dulu. Kau tunggu dalam kereta kejap.” Ujarnya sebaik memarkir kereta.

Dia terus ke bahagian belakang kereta, membuka bonet dan mengeluarkan kain pelikat serta songkok sebelum melangkah masuk ke masjid. Entah kenapa, hatiku jadi sejuk melihat langkahnya yang tenang itu. Itulah satu-satunya sifat Zhafran yang paling aku kagum, dia tak suka melengahkan-lengahkan sesuatu terutama sekali solat. Pada halnya, sempat saja jika dia terus memandu balik ke kolej dan solat di biliknya.

Teringat aku pada satu artikel yang aku baca di internet, ‘Suka melengahkan solat adalah tanda-tanda kecil golongan munafik. Sebenarnya, munafik bukan hanya pada akidah tetapi juga pada perbuatan dan amalan. Munafik akidah membezakan seorang Islam dengan orang kafir, munafik perangai memperlihatkan kebaikan di depan orang tetapi di belakang tidak sama, manakala munafik amalan, nampak warak di depan orang tetapi apabila tiada mata memandang, hilang warak.

Lagipun, ganjaran sembahyang berjemaahkan melebih dua puluh darjat daripada sembahyang sendirian. Memanglah pada dasarnya dia tidak nampak warak seperti kawannya yang bernama Hijaz Al-Fatah atau lebih dikenali sebagai ustaz itu tetapi kalau bab-bab agama, dia lebih banyak tahu dari aku. Kalau berdebat pun, memang aku akan sentiasa kalah.

“Kau balik tak esok?” soalannya mengejutkan aku. Rupanya, dia sudah selesai solat dan sudah berada di sebelahku di dalam kereta.

“Balik.” Sepatah aku menjawab.

“Aku tunggu kau pukul empat petang.”

“Eh! Aku tak cakap pun nak balik dengan kau.” Balasku pantas sambil berpaling ke arahnya. Seingat aku, tak pernah pun aku berjanji untuk balik dengan dia minggu ni.

“Apa aku peduli! Pukul empat tepat aku jemput kau.” Seperti biasa, itulah ayat keramatnya yang sering membuatkan aku rela dalam terpaksa.

“Aku dah janji dengan along laa…” Aku cuba menahan geram.

Memang selalunya aku menumpang dia untuk balik berhujung minggu di rumah tetapi ada kalanya along akan datang menjemput jika kebetulannya dia juga ingin pulang. Tugas along sebagai engineer di sebuah syarikat swasta di ibu kota ini sering menuntut pengorbanan masa dan tidak memungkinkan dia untuk sentiasa pulang berhujung minggu di rumah.

“Nanti aku call along kau cakap aku hantar adik kesayangan dia sampai depan pagar rumah.” Dia tidak ingin mengalah.

“Tak payah laaa….” Aku dah bengang semacam. Memanglah kalau diikutkan along pastinya tidak kisah. Kalau hal yang berkaitan dengan Zhafran, dia tidak pernah akan bertanya banyak. Malah, terkadang aku rasakan seluruh keluargaku lebih percayakan Zhafran berbanding diriku sendiri.

“Kau boleh tak kalau dengar cakap aku untuk sekali?” dia menoleh sekilas, mungkin ingin melihat kenapa aku jadi diam tiba-tiba.

“Aku selalu dengar apa, telinga aku masih belum pekak lagilah!” tingkahku, sengaja mengenakannya.

“Ingat! Pukul 4 tunggu kat bawah.” Tegasnya.

“Perangai macam Jepun!” aku jegilkan mata ke arahnya.

Dia ketawa kuat sebelum memberhentikan keretanya di depan kolej.

“Terima kasih!” ucapku sebelum melangkah turun.

“Untuk apa?” soalnya seperti orang kehairanan. Mungkin dia sudah lupa tentang kasut yang dibelinya untukku tadi.

“Kasut ni.” Aku menunjukkan bungkusan kasut ke arahnya.

“Kasih diterima.” Dia senyum segaris. Reaksinya cukup bersahaja tetapi kenapa hatiku tiba-tiba bagai ingin berlari keluar untuk berada dekat dengan hatinya?

Dia masih berada di situ ketika aku melangkah masuk ke dalam blok. Jika diikutkan, dia boleh terus memarkir kereta di depan bloknya dan aku boleh saja berjalan kaki untuk ke blokku tetapi sejak dulu, dia akan pastikan aku selamat masuk ke dalam bangunan ataupun jika dia menghantarku ke rumah, dia akan pastikan aku selamat masuk ke dalam rumah sebelum berlalu pergi. Katanya, itu merupakan tanggungjawab dia terhadapku.

Tiba di bilik, aku lihat Fatin sedang bercerita dengan seseorang. Pantas, aku hulurkan senyuman tanda menyapa. Seingat aku namanya Adura, teman sekampung Fatin yang juga pelajar di sini. Dia tinggal di kolej pertama dan satu fakulti dengan Zhafran. Itu maklumat yang Fatin dedahkan kerana budak ini selalu juga berkunjung ke sini mencarinya.

"Kau beli apa?" Fatin kepoh bertanya, memuncungkan mulutnya ke arah bungkusan yang sudah aku letakkan ke atas katil.

“Kasut.”

“Tengok.” Pintanya sambil menghulurkan tangan memaksa aku untuk menghulurkan bungkusan kasut tersebut kepadanya.

"Wow! Nike. Cantiknya! mesti mahal ni?" Fatin nampak begitu exited membelek kasut tersebut. Dia seperti lupa tentang tetamunya yang sedang berada di situ.

Sebenarnya, aku juga tertarik dengan kasut itu. Untuk membelinya sendiri, rasanya aku harus berfikir berkali-kali kerana harganya yang agak mahal. Entah kenapa, seringkali pilihan Zhafran menepati citarasaku.

“Bukan aku beli, Zhafran yang belikan.” Ujarku membuatkan pandangan Fatin spontan tertoleh ke arah Adura yang sedang duduk di sebelahnya dan aku lihat Adura pula menunduk merenung jemari sendiri.

Tanpa mengesyaki apa-apa, aku membuka cerita tentang Zhafran yang memaksa aku mengikutnya dan memaksa aku memilihkan kasut untuknya. Ketika bercerita, aku perasan Fatin hanya diam dan tidak banyak bersoal jawab seperti selalunya. Malah, sesekali dia berdehem.

Situasi itu menimbulkan rasa pelik di hatiku namun, aku tetap bercerita seperti biasa kerana antara aku dan Fatin memang tidak pernah punya rahsia jika ia berkaitan dengan Zhafran.

Setelah Adura meminta diri untuk pulang, barulah Fatin membuka cerita. Katanya, teman sekampungnya itu separuh mati sukakan Zhafran sejak mereka sering bertembung di fakulti. Kebetulannya, Adura itu juga mengambil jurusan arkitek sama dengan Zhafran. Jadi, Zhafran itu adalah seniornya.

Aduh! Aku sudah menepuk dahi sendiri. Mana nak disembunyikan wajah jika nanti kami bertembung di dalam kampus atau dia datang berkunjung ke sini? Fatin pun satu, kenapa tak bercerita dari awal?

“Mana aku tahu. Tadi baru dia cakap dengan aku.” Tukas Fatin apabila aku marahkan dia.

“Dia baru tadi cakap dengan aku sebab nak minta aku tolong sampaikan pada Zhafran tentang rasa hati dia.” Ujar Fatin lagi membuatkan aku terus terdiam.

“Dia banyak kali tanya aku betul ke kau dengan Zhafran tak ada apa-apa hubungan istimewa.”

“Hah! Aduhhhhh…” sekali lagi aku tepuk dahi sendiri

“Habis, kau cakap apa?” soalku pula.

“Cakaplah yang macam kau cakap tu. Kau kan dah lama kenal dia sebab tinggal berjiran.”

Aku lepaskan nafas lega sambil mengurut dada.

“Macamana? Boleh ke aku cakap pada Zhafran?” Fatin menyoalku, seolah meminta izin.

“Cakap ajelah! Setahu aku, Zhafran tu belum ada yang special lagi. Adura tu okey aje aku tengok.” Ujarku, seolah merestui.

Benarkah begitu? Benarkah aku merestuinya? Jika benar, kenapa ada rasa sakit di satu sudut paling dalam di hatiku saat aku meluahkan kata ‘restu’ tersebut?

9 comments:

DLa said...

boss..aku pon ada hati gak ngan zhafran..camna nih...

hehehe...cam biasa le ayat kipas lagi..boss best ar citer ni siap ar cpat2 dah x sabar nih..

Hani Fazuha said...

DLa.. baru bab 3 ko dah kata best..ko ni biar btol... blom panas lagi la weh!..

Aku dah tr'stop' sampai bab 40 dah lama... smjank tiga menjak ni bzy smacm jer..klu smpat menulis pon, dua baris dah lelap...huhuhu..

Anonymous said...

besttt rr

hajar said...

kak Hani nk lagi... nk lagi... best2...

DLa said...

'apa aku peduli'>>ayat zhafran..
bab 3 pon aku dah rase best jer nak wat camna..aku x kira aku nk gak lgi...

ni aku bg ayat paksa rela pya...mggu depan aku nak lg n3 bru..muahahahah...

DLa said...

bosss...ko sambung cepat2 ekk..klu boleh ko publish ujung taun ni gak bleh..hehe
aku dah x sabo dah ni..nk tau kesudahannya...

Hani Fazuha said...

Hajar..sabar erk.. nnti akak pos

DLa..ko ni btol2 gelojoh tau..sabar sikit yer.. bagi aku bernafas dulu... buku aku kan baru kluar, nanti org kata giler glamor pulak..

DLa said...

eh... bukan ke?..hakhakhak..
tp aku mmg gelojoh ar...nk jugakkkkkkkkkkkkkk....

aimie_afifah said...

adusssssssssssss...adura lak...
DLa..dah aku ni ko ingat nk dok tengok jer ker...

hani..aku dh cup dulu Zhafran tue eh....

hani..sorry lmbt...bzzzzzz