FOLLOWERS

HKC - Bab 7

Sepanjang bercuti, aku sibuk menolong along membuat persediaan untuk hari perkahwinannya. Namun, dalam kesibukan itu, aku masih sempat menghimpun rasa kecil hati. Ya! aku benar-benar rasa kecil hati. Sejak Nurin tinggal bersama kami, perhatian ibu sudah semakin berkurangan untukku. Banyak perkara yang aku harus berkongsi dengan Nurin termasuklah barangan peribadiku.

“Bu, siapa yang masuk bilik Lya? Novel Lya, macam ada yang kurang.” Soalku pada ibu setelah aku perasan susunan novel-novelku di dalam kabinet di bilik ada yang lompong menandakan satu dua naskahnya telah ditarik keluar dari susunan tersebut.

“Oh! Lupa nak cakap. Rin pinjam beberapa buah novel Lya. Bosan tak ada apa nak buat, jadi Rin cuba cari bahan untuk dibaca.” Nurin yang entah dari mana datang tiba-tiba menyampuk.

Ibu hanya tersenyum ke arahnya sedang aku sudah tidak mampu untuk bermanis muka. Pantang bagi aku orang lain mengusik barangan peribadiku tanpa meminta keizinan terlebih dahulu lebih-lebih lagi kalau koleksi novel-novelku.

Ibu memang tahu aku tidak suka meminjamkan novelku pada sesiapa pun. Pernah saudara maraku yang lain datang dan meminta untuk meminjam Novel Jaja & Din karya penulis kesayanganku, Noor Suraya yang aku tertinggalkan di atas kabinet TV, ibu terus melarang dan meminta mereka bertanya kepadaku sendiri. Tapi, kenapa bila dengan Nurin ibu tidak pula berkata begitu? Kenapa dengan Nurin semuanya boleh?

Masa mula-mula balik bercuti dan diperkenalkan pada Nurin, aku cuba menyematkan dalam hati agar menerima dia sebagai sebahagian dari keluargaku tetapi entah kenapa hatiku bagai enggan mendengarnya.

Beberapa hari berada di rumah, aku lihat bilik Nurin sangat bersepah. Rumah kami ada lima bilik dan bilik yang dikhaskan untuk tetamu telah rasminya ibu bagi pada Nurin. Bilik yang kecil itu memang digunakan untuk menyimpan barang-barang lama. Lagi tiga ialah bilik aku, along dan juga ibu. Aku terus bertanya ibu kenapa bilik tu bersepah, takkan Nurin tak pandai nak kemas bilik sendiri. Setahu aku, ibu memang pantang kalau rumah atau bilik bersepah.

“Alaaa… dia masih baru di sini, masih dalam proses menyesuaikan diri.” Jawapan ibu membuatkan aku terdiam. Ada kena mengena ke menyesuaikan diri dengan keadaan bilik yang kita huni? Kalaulah bilik aku begitu, mahunya pagi sampai ke petang ibu tak berhenti membebel.

Sejak itu, tahulah aku, segala yang berkaitan dengan Nurin semuanya baik di mata ibu. Sejak hari itu juga, ada banyak benda yang harus aku kongsi dengan Nurin termasuklah cadar kesayanganku yang kini sudah terhampar di katil tempat tidur Nurin dan entah apa-apa lagi yang tak sanggup aku ceritakan. Sehingga ke satu tahap, aku rasakan kasih ibu terhadapku makin berkurangan dan instinctku berkata, Nurin akan merampas banyak benda yang berada di genggamanku tidak lama lagi. Hatiku berkata, dia akan melukakan aku suatu hari nanti.

Aku berlalu untuk ke bilik bagi menenangkan hati sendiri. Tatkala lalu di depan pintu biliknya yang dibiarkan terbuka itu, mataku tertancap pada novel milikku yang dibiarkan berselerak di atas katil dan salah satu darinya diletakkan telangkup dalam keadaan terbuka. Aku urut dada menahan sabar. Sungguh tidak tahu menjaga harta orang, aku sendiripun tidak pernah berbuat begitu. Tidak nampakkah dia semua buku dan novelku berbalut cantik?

Pantas aku masuk ke biliknya dan memunggut semuanya dan mengusung masuk kembali ke bilikku. Kalaulah kabinet aku yang bercermin cantik ini boleh dikunci, aku memang sudah menguncinya. Buku-buku, walau ia senaskah novel merupakan ilmu yang harus kita jaga sebaiknya. Itu yang aku pegang sejak dulu. Apa yang tertulis di dalam sesebuah buku adalah ilmu dan bila disebut tentang ilmu, kita harus menghormatinya, tidak boleh diletak ditempak kaki berpijak apatah lagi untuk melangkahnya.

Kerana peristiwa itu aku ‘berperang’ dengan ibu. Sebenarnya, Nurin yang mulakan. Dia menyindir dan menuduh aku kedekut di depan ibu. Dia melaporkan pada ibu, aku masuk ke biliknya dan ‘merampas’ novel yang dia pinjam.

“Takkan dia nak pinjam baca pun tak boleh. Lya ni nak cari pasal ke apa?” ibu memarahiku dan aku jadi sedih tiba-tiba. Ya! ibu memang telah berubah. Ibu tidak pernah menuduhku begitu kerana selama ini, aku memang tidak suka mencari pasal walau dengan sesiapa sekali pun.

Aku terus menelefon Zhafran dan mengajak dia keluar tetapi dia pula tiada di rumah, pulang ke kampung neneknya di Johor. Aku lupa, sebenarnya dia ada memaklumkan pemergiannya dua hari lepas.

“Penting ke? Kalau penting, aku balik KL sekarang.” Soalan Zhafran itu makin membuatkan aku sedih.

“Tak! Tak penting pun. Macamana kampung? Nenek kau sihat?” Aku cuba menukar topik bicara.

“Suara kau macam orang sedih. Aku balik sekarang ya.” Zhafran tidak menjawab soalanku sebaliknya masih ingin tahu tentang diriku.

Tidak semena-mena setitis air mataku gugur saat aku mengedipkan mata. Hanya kerana mendengar suaraku yang sedih, dia sanggup memandu pulang dari Johor ke KL. Betapa dia sangat perihatin terhadapku malah aku rasakan keperihatinannya melebihi sensitiviti ibuku terhadap anaknya sendiri.

“Tak! Aku okey. Saja nak dengar suara kau.” Aku pura-pura gelak tetapi ternyata Zhafran lebih bijak.

“Kau tak boleh menipu aku Lya, I know you.” Dia cuba memerangkapku.

“Betul! Aku….”

“Suara kau sudah cukup untuk memberitahu aku apa yang ada di hati kau tanpa perlu aku melihat wajah kau.” Dia memintas. Aku jadi terdiam.

Ya! dia kenal aku lama dan dia sentiasa tahu apa yang ada di hatiku kecuali rahsia yang satu itu. Rahsia di mana hanya aku yang tahu. Rahsia sebuah rasa yang kini seakan bertukar statusnya dari persahabatan menjadi suka. Benar… aku suka dia sungguh-sungguh. ‘Lya, suka itu bukan cinta tetapi suka itu salah satu jalur-jalur yang boleh membelit dan mengheret kita menuju ke satu daerah yang bernama cinta.’

“Eh! aku nak putuskan talian ni. Along call aku, lupa pulak aku ada janji dengan dia nak pergi beli barang pengantin.” Aku mencipta alasan dan sebelum sempat dia membalas, aku sudah memutuskan talian

Nafas yang panjang aku tarik. Saat yang sama aku teringatkan along dan tanpa lengah aku menghubunginya untuk mengajak dia keluar. Kebetulan, dia memang sudah berjanji dengan tunangnya, Kak Hana untuk keluar membeli belah barang-barang persiapan akhir perkahwinan mereka.

Melihat wajahku yang murung, along terus bertanya dan aku tidak teragak-agak meluahkan segala rasa hati yang tersimpan sejak sekian lama. Aku memang rapat dengan along walaupun kami jarang bertemu. Dia sangat memahami persis abah. Bertuah sungguh Kak Hana dapat memilikinya.

“Entahlah! Lya pun tak tahu kenapa. Macam semuanya tak kena.” aku lepaskan keluhan berat di akhir ceritaku.

“Jangan banyak mengeluh, Tuhan tak suka hambanya yang banyak berkeluh kesah.” Nasihat along dan aku diam menyedut minuman.

“Mungkin selama ni Lya tak pernah berkongsi apa-apa dengan orang lain, maka Lya rasa tergugat. Cuba Lya fikir bagaimana orang yang punya adik-beradik yang ramai dan terpaksa berkongsi segalanya beramai-ramai.” Lembut suara along masuk ke telingaku.

“Cuba Lya buka hati untuk terima dia sebagai sebahagian dari keluarga kita. Dia tu bukannya orang lain, sepupu Lya juga kan?”

Aku masih diam, begitu juga dengan Kak Hana. Bakal kakak iparku itu lebih banyak mendengar sejak dari tadi. Sejak diperkenalkan oleh along beberapa bulan yang lalu, aku memang suka dia. Dia Lebih banyak tersenyum dari berbicara dan lemah lembut orangnya, itulah bidadari pilihan along. Bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah St John Bukit Nanas, berkulit sawo matang dan bertubuh tinggi lampai, sesuailah dengan along yang tidak kurang handsomenya.

“Lagi pun, dia tu kan anak yatim. Besar pahalanya menggembirakan hati anak-anak yatim.” Sambung along lagi.

“Eleh! Dia bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi mak budak pun.” cebikku.

Along senyum sambil mengeleng kepala. Kak Hana juga turut tersenyum melihat tingkahku.

“Sama juga dengan Lya kan? Kalau kahwin, dah boleh jadi mak budak.” Aku pula yang terkena.

“Apa Lya pulak?” badanku sudah menegak, tidak suka along memanjangkan topik tersebut.

“Yer la, dah layak jadi mak budak pun perangai masih macam budak-budak.” Along gelak-gelak melihat reaksiku.

“Mana adaaa….” Aku terus memukul lengannya.

“Cepat-cepatlah kahwin. Nanti along suruh Zhafran terus masuk meminang sebaik dia habis belajar semester depan.”

“Heh! Apa pulak Zhafran?” aku sudah membulatkan mataku, terkejut apabila along membabitkan nama lelaki itu. Memang seluruh keluarga kami tahu tahap mana rapatnya aku dengan Zhafran tetapi setakat hari ini, tiada sesiapa pun yang berani bertanya tentang soal nikah kahwin.

“Habis tu, kalau bukan Zhafran siapa lagi?” along pula membulatkan matanya padaku.

“Siapa apa pulak? Lya mana ada siapa-siapa.” Aku mula memuncung, tidak suka along memanjangkan cerita tersebut.

“Zhafran tu siapa?”

“Kawanlah!”

“Mmmm.. yer la kawan. Orang tu sampai tolak tawaran ke luar negeri semata-mata tak nak berjauhan dari kawan dia ni. Sebabnya, kawan dia ni tak berapa pandai macam orang tu.” along menyindir, membuka cerita lama.

“Along cakap apa ni? Tak fahamlah!” aku pura-pura tidak faham.

“Eleh! Kura-kura beli saham, pura-pura tak faham. Macamlah along tak tahu.”

Aku gelak kuat mendengar peribahasa along yang entah apa-apa itu. Entah mana dia belajar dan entah bagaimana dia tahu cerita tersebut sedang selama ini aku anggap semua itu hanya aku dan Zhafran yang tahu.

Dulu, Zhafran pernah menolak tawaran ke asrama penuh kerana tidak ingin berpisah dengan keluarganya dan sekali lagi dia menolak tawaran ke luar negara yang mendapat tajaan dari petronas. Waktu itu, papanya mengamuk sakan tetapi dia tetap berkeras dengan keputusannya. Bila aku tanya, jawapannya amat mengejutkan, ‘aku pilih UM sebab nak belajar sama-sama dengan kau. Sebab kau kata kau tak berapa pandai dan tak mungkin mendapat tempat ke luar negara. So, kau juga harus memohon untuk ke UM.’ Itulah jawapannya dan kerana itu, aku jadi terikat dan terpaksa menjadikan UM sebagai pilihan utamaku ketika mengisi borang UPU.

5 comments:

hudha tarsuni said...

kak ni akak tengah tulis novel baru akak ke?

Hani Fazuha said...

hudha...Yap!, ini yg terbaru...insyaalah utk tahun ni

aimie_afifah said...

haniiiiiiiiiiiii...go go cayok....
aku x suka nurin...& sakit ati ngan umi Lya.....

Windu Zhaf la....:(

Hani Fazuha said...

aimieeeee.... camana ko blh tak suka Nurin ni? Cam tau2 jer..hahahaha..

antogonis atau kominis?

DLa said...

boss..aku pon x suka dak Nurin tu...
nanti mesti c Nurin tu nak rebut Zhaf dr Lya..mencik aku..