FOLLOWERS

Sesat Dalam Cinta - Part 5 & 6

Part 5


SATU kebetulan yang tak terjangka. Di tengah hari yang mendung, tiba-tiba Elina terserempak dengan mamat jiran sebelah ketika melangkah untuk makan tengah hari.
       
Mamat Ducati. Nampak kacak dalam pakaian formal, berkemeja biru dengan lengan baju berlipat hingga ke siku.

        Mata terus melekat. Hati mula menilai. Betullah kata orang, lelaki yang berkemeja melipat lengan baju sampai ke siku nampak seksi. Atau... memang mamat ni semulajadi seksi?

        Errkkk.... kenapa selama ni dia tak sedar semua tu?

        “Assalamualaikum....” Si dia menyapa buat Elina tertelan liur sendiri.

        “Errkkk...awak...” Tiba-tiba saja dia jadi gagap. Tiba-tiba saja dia jadi hilang seluruh perkataan untuk membina ayat.

        “Islam kan? Kenapa tak jawab salam?”

        Setepek dia dikenakan balik. Teringat kata-katanya pada lelaki ini petang semalam. Kan dah kena balik. Batal pujian kacak dan seksi tadi. Tarik balik!

        “Kalau saya jawab dalam hati, awak mana nak dengar.”

        “Hati saya boleh dengar.” Bersahaja si dia membalas bersama senyuman senget menghias bibir.

        Oh! Kenapa tiba-tiba dia rasa nafasnya tersekat-sekat? Dah kena santau ke?

        “Awak!” Elina memanggil saat lelaki itu berpusing mahu melangkah pergi.

        Si dia berpaling dan angkat kening.

        Isk! Elina rasa mahu menampar mulut sendiri. Gatal sungguh memanggil walhal otak tak pernah beri arahan.

        “Errkk....boleh kita bercakap sekejap?” Terus Elina mengambil peluang yang ada. Alang-alang sudah terlanjur, baik lagi terus bertanya.

        Sejak malam tadi, kata-kata Miera tentang Nadia bermain di fikirannya. Ada baiknya dia bertanyakan mamat ni, mana tahu, lelaki ni ada jawapannya.

        “Awak terus cakap yang betul je, saya tak kisah.” Senyum dihulur.

        Elina terus tercengang

        “Cakap yang betul apa?” Kening berkerut tanda tak faham. Mata mengecil memandang lelaki yang sedang berdiri di depannya.

        “Awak nak mengurat saya kan?”

        OMG! Elina urut dada sendiri. Lelaki ni siuman ke tidak? Dia punyalah tayang muka kayu, dikata nak mengurat pula. Kalau dia sengih-sengih macam kerang busuk tu boleh la juga diterima akal.

        “Orang perasan macam awak ni, sesuai hidup atas pokok.” Sebiji terus atas muka Elina bagi.

        “Orang garang macam awak ni sesuai dengan lelaki yang perasan macam saya je.” Lelaki tersebut angkat-angkat kening. Sedikitpun tak terasa dengan bahasa kasar yang diluahkan Elina.

        “Saya tak nak kahwin dengan awak!” Membulat mata Elina. Psiko betul lelaki ni. Dia yang selalu tenang tiba-tiba saja tak pandai lagi untuk bertenang.

        “Eh! Saya ada cakap saya nak kahwin dengan awak ke?”

        Elina genggam penumbuk, tahan geram.

        Si dia cuma gelak-gelak. Makin geram Elina dibuatnya.

        “Saya nak pergi makan ni. Kalau nak cakap apa-apa, ikut saya makan kat hujung sana.”

        Eh? Elina kaku berdiri manakala lelaki tersebut sudah mula melangkah. Namun, baru selangkah, dia berhenti dan berpaling.

        “Nak ikut ke tak ni?” soalnya.

        “Hmm... saya nak cakap sekejap saja.”

        Ya! Dia nak tanya satu soalan saja. Takkan sampai nak ikut lelaki ni makan?

        “Saya tengah lapar ni, kang tak pasal-pasal saya makan awak nanti.” Si jiran terus melangkah tanpa menoleh.

        Teragak-agak Elina masih berdiri di situ. Nak ikut ke tak? Kang kalau ikut, dikata mahu mengurat pula. Tapi, kalau tak ikut, bila lagi dia berpeluang nak tanya soalan yang mengganggu mindanya.

        Tanpa sempat akal memberi arahan. Kaki Elina sudah melangkah mengikut belakang lelaki tersebut. Tak jauh pun, restoran depan situ saja. Lagipun, niat asal memang Elina nak makan kat situ juga.

        Duduk berdepan sementara menunggu nasi ayam yang dipesan disediakan, Elina jadi kurang selesa. Mana pernah dia buat kerja macam ni? Duduk berdua dengan lelaki yang dia tak kenal, tak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya. Tak tahu kenapa, hari ini dia macam dah langgar prinsip sendiri.

        “Nama awak siapa ya?” Duduk dibetulkan. Wajah si lelaki dipandang dengan mata mengecil. Nak bercakap memang susah kalau tak tahu nama.

        “Syed Zakuan Arif.” Si dia memberikan nama penuh.

        “Saya tak minta nama penuh. Nama panggilan cukup.” Elina saja nak kenakan balik si jiran yang sedang tenang duduk di depannya.

        “Kawan-kawan panggil Zek. Family panggil Arif.” Lurus Zakuan memberitahu. Bukan dia tak tahu taktik si gadis di depannya. Tapi, dia saja nak tengok sejauh mana Elina mahu mempermainkannya.

        “Mmmm.... Zek tu tak sesuai untuk awak. Arif pun tak sesuai.” Elina mencebik.

        “Oh! Kalau gitu, awak panggil saya sayang ajelah.  Nama tu pasti sesuai di telinga awak.”

        Hah! Kan dah kena. Elina telan liur. Dia tak pernah jumpa lelaki seselamba Zakuan Arif ini. Tiba-tiba saja dia sudah tidak pandai untuk bercakap macam-macam kerana dia tahu, lelaki ini lebih pandai memutar belit kenyataan.

        “Errr... saya nak tanya ni.”

        “Tanya laaa...” Zakuan senyum senget. Tahu pun ubah topik. Sekarang dia dah tahu cara untuk ‘makan’ gadis cantik di depannya ini. Gadis jiran sebelah yang sudah lama dia intai. Tapi, sebab Elina ni agak sombong berbanding dua lagi teman serumahnya, misinya selalu menemui jalan buntu.

        “Awak tahu tak kawan serumah awak tu berkawan dengan kawan serumah saya?” Wajah Zakuan dipandang sesaat.

        “Tahu. Kenapa?”  soal Zakuan kembali.

        “Mmm.... pernah tak awak nampak kawan saya masuk dalam rumah awak?”

        Zakuan menggeleng.

        “Bercakap kat depan-depan pagar tu ada la. Kenapa?”

        “Boleh tak jangan soal kenapa kat hujung jawapan awak tu?” Geram pula Elina bila setiap jawapan Zakuan disusuli dengan soalan kenapa.

        Terus bibir Zakuan melorek senyum.

        “Nak tanya apa lagi?” Senyum makin dilebarkan.

        Elina menggeleng perlahan. Pandangan ditoleh ke kiri, pura-pura melihat panorama restoran tersebut. Walhal, dia sedang mengawal degup jantung yang tiba-tiba lari tempo tatkala melihat senyum lelaki di depannya.

        Alahai....Elina, jangan cari penyakit. Yang sedia ada pun belum bertemu ubatnya lagi.
         
         


Part 6


MASUK ke pejabat semula, Izham terus menerpa masuk ke biliknya. Berdiri tercegat sambil berpeluk tubuh di depan pintu. Merenungnya tanpa kelip.
        
“Nak apa?” Elina bertanya acuh tak acuh.

        “Aku nampak kau lunch dengan Zakuan. Apa hubungan kau dengan dia?”

        Elina kerut kening. Tak terjangka yang Izham kenal mamat Ducati itu. Dan sejak tadi juga hatinya jadi pelik, bagaimana mamat yang namanya Zakuan itu tiba-tiba boleh muncul di sini. Walhal dia tahu mereka sebenarnya sudah lama berjiran.

        “Kau kenal dia?” soal Elina ingin tahu.

        “Orang kepercayaan Dato’ Murad. Siapa tak kenal.”

        Oh! Dia kenal Dato’ Murad. Usahawan berjaya yang pejabatnya di tingkat atas bangunan yang sama dengan pejabat ini. Tapi, kenapa dia tak pernah perasan mamat tu?

        “Kenapa aku tak pernah nampak dia sebelum ni?”

        “Projek Dato’ Murad semua aku yang handle. Lagipun, kau bila berjalan mana nak pandang kiri kanan.” Izham senyum. Dalam tegang sempat lagi dia mengenakan Elina.

        Yang sebenarnya, dia sangat rindukan Elina yang dulu. Elina yang sentiasa ceria dan happy go lucky. Elina yang sentiasa cakap lepas. Elina yang mampu membuatkan suasana suram menjadi meriah dengan celotehnya.

        “Ehemmm... kau nak apa sebenarnya cari aku ni? Surat letak jawatan aku akan hantar kejap lagi.” Elina terasa tidak selesa bila Izham merenungnya lain macam.

        “Apa hubungan kau dengan dia?” Izham ulang soalan yang sama dalam nada yang berbeza. Kali ni lebih mendesak. Kata-kata Elina seolah angin lalu yang lenyap di bawa terbang.

        “Kenapa kau tiba-tiba nak ambil tahu hal peribadi aku?”

        “Aku dah lama ambil tahu El. Sebelum ni kau tak pernah keluar dengan mana-mana lelaki kecuali aku. Kau tak pernah ada kawan lelaki kecuali aku.”

        Elina terus terdiam. Ya! Selama ini dia mana pernah ada kawan lelaki. Izham inilah kawannya sejak kecil sampai dewasa.

        Suatu ketika dulu, rumah keluarganya berdepan dengan rumah keluarga Izham. Tapi, selepas peristiwa yang menyakitkan itu, dia terpaksa berpindah. Cuma mungkin jodoh persahabatan mereka panjang, dia dan Izham ditemukan kembali di universiti yang sama.

        “El....” Izham labuhkan duduk. Melihat Elina pertama kalinya makan berdua dengan lelaki yang bernama Zakuan itu, dia jadi tak sedap hati.

        Apa taknya, baru lagi lelaki itu tanyakan perihal Elina padanya. Macam berminat. Itu yang dia jadi tak senang. Apa yang dia tahu, anak buah merangkap orang kepercayaan Dato’ Murad itu akan melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dimahunya. Ada gaya dan ada rupa, tak mustahil Elina akan terpikat.

        “Kau tak perlu letak jawatan El. Tak perlu tarik diri dari TPG. Aku akan bincang dengan Amna. Pleaseee...”

        “Tapi Amna...”

        “Aku akan pujuk dia dan aku akan minta dia pujuk kau supaya stay. Yang ni kau kena percaya cakap aku.” Izham memintas.

        Elina pejam mata dua saat. Keluar dari TPG, dia juga tak tahu ke mana halanya. Semua simpanan yang dia ada, dia laburkan di sini dan ini adalah harapan hidupnya. Sejarah hidup keluarganya membuatkan dia mahu berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri.

        Sesaat mindanya terkenangkan arwah mama dan matanya terus terbuka.

        “Iz... kau janji dengan aku ya?”

        Izham tidak mambalas sebaliknya hanya memandang wajah Elina yang nampak kusut di depannya.

        “Kau janji dengan aku yang kau akan jaga Amna, sayang dia dengan sepenuh hati kau.”

        Satu keluhan keluar dari bibir Izham. Amna isteri yang baik. Tapi kebaikan itu belum mampu membunuh rasa kasihnya pada Elina.


        ‘Kenapa El… kenapa kau buat hidup kita sesulit ini? Kenapa kau tak terima aku dulu? kenapa kau paksa aku terima Amna sedang hati aku hanya untuk kau?’


Sesat Dalam Cinta - Part 3 & 4

Part 3

TELEFON di tangan yang sudah gelap skrinnya Elina pandang lama. Mana Izham pergi? Kenapa talian telefonnya tak dapat dihubungi? Tadi petang elok saja lelaki itu di pejabat.
        
“El!” Teguran Miera yang tiba-tiba melabuhkan duduk di sebelahnya atas sofa panjang itu mengejutkan Elina.

        “Kau menungkan apa?”

        Elina geleng kepala. Antara dia dan Amna, Miera memang tak perlu tahu. Lagipun, Miera bukan kenal sangat dengan Amna.

        Dia kenal Amna sejak dari zaman sekolah berasrama hingga ke universiti. Tinggal sebilik, tidur sebantal, makan sepinggan.

        Miera hadir dalam hidupnya ketika dia sudah masuk fasa pekerjaan. Dulu-dulu mereka sepejabat, itu yang jadi rapat dan sehingga jadi teman serumah.

        “Weh! Semalam Nadia tak balik kan? Kau tahu dia pergi mana?” Miera buka topik lain tatkala soalannya yang tadi tidak berjawab.

        Elina menggeleng. Nadia tu seorang lagi rakan serumah mereka. Rakan yang dia kenal ketika di universiti. Rakan dia dan juga rakan Amna.

        Melihat gelengan Elina, Miera berpusing menghadap si teman, menyelesakan duduk.

        “Aku rasa dia tidur rumah sebelah” Miera seakan berbisik. Macamlah bicaranya didengar oleh jiran sebelah.

        “Isk, kau ni. Tak baik menuduh.” Elina yang tadinya seakan tidak berminat dengan soalan Miera pantas menumpukan perhatian. Kalau tadi otaknya fokus pada Amna, kali ini beralih pada Nadia.

        Ya! Semalam dia tak nampak batang hidung Nadia. Entah pukul berapa si temannya itu pulang dia sendiri tak sedar. Pagi tadi pun, bila dia keluar dari bilik, Nadia sudah ke tempat kerja.

        “Aku nampak dengan mata aku sendiri. Kawan kau tu keluar dari rumah sebelah ikut pintu belakang awal pagi tadi.”

        Elina terus terdiam. Sejak di alam universiti dia tahu memang Nadia agak liar. Dan dia tahu juga Nadia ada hubungan dengan salah seorang penghuni rumah bujang sebelah. Cumanya dia tak mahu ambil tahu sejauh mana hubungan mereka. Rasanya macam baisa-biasa saja. Takkanlah sampai berani tidur rumah sebelah. Tak takut kena gulai ke?

        “Aku dah cakap dengan kau banyak kali, dia tu tak boleh buat kawan. Nanti dengan kau sekali rosak.” Miera tayang muka bangga, seolah menang dalam perdebatan yang meraih hadiah jutaan 
ringgit.

        “Aku takkan rosak kalau aku sendiri tak mahu Miera. Berkawan dengan hantu sekali pun, kalau aku memilih untuk jadi baik, aku tetap akan jadi baik,” balas Elina. Geram juga kenyataan tak berasas si teman.

        Miera mencebik. Tak puas hati bila Elina seakan tidak percaya akan bicaranya.

        “Kau tahu tak, dia tu selalu kutuk kau bila dengan aku.”

        Elina diam. Buat-buat tak dengar. Bila Miera dah mula jadi ‘batu api’, dia jadi malas mahu melayan. Sekejap lagi, ada la cerita talam dua muka.

        “Dia tu kalau kau nak tahu, jenis yang orang kata, kawan makan kawan,” sambung Miera lagi.

        Kali ini Elina senyum.

        “Tak sangka pula Nad tu makan orang. Setahu aku dia hari-hari makan nasi.” Di hujung bicara, Elina gelak. Yang sebenarnya, dia sedang menyindir.

        “Aku serius!”

        “Aku pun serius. Dan aku tak suka kuih talam. Aku suka kuih seri muka.” Sengaja menyindir. Nadia mahu pun Miera dua-dua pun kawannya. Tapi, yang dia nampak, Nadia dan Miera memang selalu ada sifat cemburu. Mereka memang tak sebulu.

        “Suka hati kaulah. Aku cakap kau tak nak percaya.”

        “Macam mana aku nak percaya.  Dengan aku, kau kutuk dia. Dengan dia, kau kutuk aku. Kau ingat aku dengan dia tak kutuk kau?” Elina angkat-angkat kening. Dia dah malas nak berbalas cakap. Banyak lagi benda yang dia nak fikirkan selain dari hal remeh temeh begitu.

        Dan kenyataan Elina itu buat Miera naik darah.

        “Aku nak pindah!” Terus dia angkat punggung berlalu.

        Elina geleng kepala. Ini bukan pertama kali ayat itu keluar dari bibir Miera. Sudah acap kali. Tapi pindahnya tak juga.
         
    

Part 4
     
PAGI buta Elina terus merempuh pintu bilik pejabat Izham. Tak kira, bos tak bos. Yang penting dia dapat hamburkan apa yang terbuku di hatinya sejak semalam. Kalaulah boleh, memang malam tadi lagi dia ke rumah lelaki ini tapi, rumah lelaki ini maknanya rumah Amna juga. Dia tak mahu menambahkan lagi keruh keadaan.
        
“Kau memang gila kan, Izham!” sembur Elina sebaik pintu bilik pejabat lelaki itu tertutup rapat.

        Izham terus tercengang. Tapi seketika cuma sebelum wajahnya kembali tenang.

        “Kalau nak gila pun, sila gila sorang-sorang. Jangan libatkan aku.” Elina menambah. Sungguh dia tak boleh terima keadaan ini. Kata-kata Amna bagai senjata tajam yang mampu membunuhnya.

        “El... pagi-pagi buta dah mengamuk macam beruang hilang anak ni kenapa?” Izham cuba bertenang walau hakikatnya hati yang di dalam sedikit goyah.

        Elina yang dia kenal bertahun dulu jarang sekali mengamuk begini kecuali kalau hal berkaitan hati dan perasaan.

        “Kenapa kau beritahu Amna yang kau cintakan aku?”

        “Itu satu kenyataan El. Kau pun tahu aku cintakan kau sejak dulu. Dan rasa tu tak pernah padam.” Masih tenang Izham membalas. Wajah merah padam Elina menjadi tatapan matanya. Wajah yang sudah lama dia letakkan dalam hatinya di carta paling atas. Cuma Elina yang tak pernah mahu 
mengerti.

        “Izzz.....” Elina terus hilang kata. Silap  siapa sebenarnya? Dia, Amna atau Izham sendiri?

        Memang dia yang meminta Izham mengahwini Amna. Memang dia yang merayu Izham menerima Amna pada awalnya setelah tahu yang sahabatnya itu jatuh cinta dalam diam pada Izham.

        Kisah kepincangan dalam keluarga menyebabkan dia rasa dia tidak layak untuk Izham. Walau satu ketika dulu dia pernah tanam impian untuk hidup bersama lelaki ini tapi, lelaki baik-baik seperti Izham layak untuk perempuan baik-baik seperti Amna.

        Dia terasa tidak layak walau untuk menganyam segaris mimpi.

        “Aku dah cakap dengan kau dulu, tolong sayang Amna sebagaimana dia sayang kau...”

        “Tapi kau tak minta aku buang rasa sayang aku pada kau kan?” Izham memintas.

        Astaghfirullahalazim...

        Panjang Elina beristighfar dalam hati. Terus dia terduduk lemah di kerusi di depan meja lelaki ini. Kisah lama yang dia sendiri sudah lupakan, rupanya masih diingat Izham. Sangkanya, Izham sudah boleh menerima Amna dan mereka sudah bahagia.

        “Aku dah beritahu kau yang aku akan cuba. Tapi, dah dekat setahun El, aku tak mampu.”

        Kepala Elina perlahan jatuh menyentuh permukaan meja. Sulit sungguh! Kalau dia tahu begini, dia sudah lari jauh dari hidup keduanya. Tapi, dia yang bodoh. Dia yang sering termakan dengan janji seorang Izham.

        “Tapi, kau janji dengan aku yang kau akan anggap aku hanya sebagai kawan kan? Hubungan kita tak akan melibatkan perasaan kan?” Elina menagih janji yang pernah dilafazkan Izham.

        Dia ingat lagi waktu lelaki ini merayunya agar menyertai TPG Dynamic ini. Syarikat milik Izham sendiri. Siap menawarkan dia peluang sebagai rakan kongsi. Dan dia, bodoh-bodoh percaya yang Izham sudah mampu menerima ketentuan. Dia bodoh-bodoh percaya yang Izham dan Amna sudahpun bahagia hidup bersama.

        Dia percaya tawaran Izham semata-mata kerana bisnes. Lagipun, Amna sendiri yang memujuknya menerima tawaran Izham.

        “Aku tak mampu El. Hakikatnya, sayang aku pada kau tak pernah padam. Makin hari makin mendalam.”

        “Habis tu, Amna....”

        “Hati aku ada empat bahagian, El. Kalaupun aku boleh masukkan Amna ke situ, masih ada tiga bahagian untuk kau.”

        Kepala Elina terus tergeleng laju. Sungguh, kalau dia tahu, dia tak akan sesekali melibatkan diri dengan Izham.

        “Aku dah tunaikan permintaan kau supaya terima Amna. Dan sekarang aku nak kau tunaikan permintaan aku pula.”

        Elina angkat wajah. Permintaan?

        “Terima lamaran aku dan jadi isteri aku.”

        Nonsense!” Elina terus bangkit berdiri.

        “Aku mampu, El. Zahir dan batin. Dan aku janji akan berlaku adil.” Kata-kata itu walau diungkapkan dalam nada yang biasa-biasa oleh Izham tetapi sudah mampu membuatkan dada Elina 
hampir meletup.

        Ya! Dia tahu Izham mampu. Mampu segalanya. Tapi dalam hidup ini, bukan semua benda boleh diukur dengan kemampuan. Kadangkala, wang ringgit tidak berharga untuk membeli sesetengah perkara. Dan hati akan menjadi bahan pengukur paling berharga.

        “Kalau aku tahu kau akan buat Amna begini, sumpah aku akan lakukan apa saja supaya Amna tak menjadi isteri kau.”

        “El...”

        “Aku tarik diri dari TPG. Sekejap lagi aku hantar notis berhenti kerja.”

        Elina terus melangkah meninggalkan Izham yang berterusan memanggilnya.

        Izham…jangan kau cuba uji hati perempuan. Kelak kau sendiri yang akan menyesal.

Sesat Dalam Cinta Part 1 & 2

Part 1


WAJAH teman yang mendung di depannya Elina tenung lama. Wajah pucat tanpa seri. Mata seperti orang tak tidur semalaman. Apa yang dah jadi sebenarnya? Amna yang ceria tiba-tiba berubah jadi begini?

        “Kau kenapa Amna?” Akhirnya, soalan itu yang diaju. Pertemuan ini atas permintaan Amna. Katanya sangat penting. Antara hidup atau mati.

        “Kau kejam El! Kau kejam...” Di hujung bicara, suara Amna hampir tidak kedengaran. Dan saat yang sama ada air jernih gugur dari kelopak matanya.

        “Na... Ada apa sebenarnya?” Elina sudah tidak senang duduk. Saat ini, hanya satu dalam fikirannya. Izham!

        Ya! Adakah Izham...

        “Kenapa kau tak cakap yang kau pernah ada hubungan dengan Izham? Kenapa kau tak cakap yang Izham menyintai kau?”

        Elina telan liur. Bukan sekali malah berkali-kali. Apa yang ada di fikirannya kini terjawab.

        “Na... kami tak pernah ada hubungan. Kan aku dah cakap, dia kawan aku sejak kecil. Hubungan kami...”

        “Tapi dia mengaku yang dia menyintai kau. Dia minta izin dari aku untuk mengahwini kau.” Amna memintas.

        “Astaghafirullahhhh....” Panjang Elina beristighfar.

        Izham... kau dah mungkiri janji.

        “Patutlah selama ni dia sangat dingin dengan aku. Aku ingatkan dia perlukan masa untuk terima aku. Tapi rupanya...”

        “Na...aku tak ada apa-apa perasaan pada dia. Percayalah.”

        Perasaan itu sudah lama dia terbangkan ke udara. Tiada satu pun yang tinggal.

        Amna senyum tapi air matanya mengalir lagi.

        “Dia mengaku semuanya pada aku, El. Semuanya. Dan aku rasa tertipu. Macam orang bodoh ditipu teman baik sendiri. Macam orang bodoh anggap Izham cintakan aku sebab tu sanggup kahwin dengan aku. Tapi rupanya aku yang syok sendiri.” Amna sudah tersedu menahan tangis.

        “Ya Allahhh...”

        “Satu yang aku minta.” Amna memintas dan bangkit berdiri.

        “Kau jauhkan diri dari Izham.”

        Dan tanpa pamitan, Amna terus melangkah pergi. Tanpa ucap salam atau peluk cium seperti selalunya pertemuan mereka.

        Kalau orang lain dia tak kisah. Tapi sebab itu adalah Amna. Sahabat yang sentiasa ada saat dia susah. Sahabat yang sanggup tak tidur malam hanya kerana menjaganya sakit.

        Elina tahan nafas. Matanya dikelipkan berkali-kali menahan air jernih dari melimpah keluar dari kelopaknya.

        ‘Amna... kalau Izham pun aku sanggup lepaskan untuk kau, apalah sangat permintaan kau yang kecil ini.’
         
         


Part 2


KUNCI!

        Adoi… Elina tepuk-tepuk dahi sendiri. Keretanya tiba-tiba rosak dan terpaksa panggil tow truck untuk ke bengkel. Dan dia balik naik teksi. Yang bangangnya, kunci rumah ada dalam kereta, terlupa nak ambil.

        Kenapalah semuanya jadi serba tak kena hari ni? Dah la bangun lambat gara-gara dia baring sekejap lepas mandi. Asalnya nak pejam mata lima minit, sudahnya hanyut ke laut.

        Pergi kerja lambat. Balik kerja jumpa Amna, dan....

        Kepalanya menggeleng berkali-kali. Pipi kanan ditepuk berkali-kali. Sejak tadi menghubungi Izham, talian tak dapat ditembusi. Entah ke mana menghilangnya lelaki itu.

        Tarik nafas dan hembus perlahan. Nak tak nak, kena tunggu rakan serumah balik, baru boleh masuk.

        “Hai!” Tiba-tiba terdengar suara lelaki menegur.

        Spontan Elina berpusing. Kelihatan ‘jiran sebelah’ sedang bertenggek atas Ducati hijau dengan sebelah kaki memijak bumi di depan pagar rumah sebelah.

        Aik! Bila masa pula ada manusia kat situ.? Tadi macam nampak Ducati tu je yang terparkir depan pagar.

        “Baru balik?” soal si dia lagi setelah tegurannya yang pertama tadi tidak berjawab.

        Elina julingkan mata ke atas. Hampir setahun menyewa di sini, soalan yang sama sudah didengar berulang kali. Tak ada soalan lain ke nak ditanya? Dia dah la tengah serabut. Lainlah kalau nak datang tolong pecahkan padlock pintu pagar ni, berbaloi juga buat baik.

        Sesaat kemudian, keluar seorang lagi mamat bujang dari pagar rumah tersebut dan terus tayang sengih ke arahnya. Okey! Mamat ni lagi Elina menyampah.

        Malas melayan, Elina buat-buat tak nampak dan kembali mengalihkan pandangan pada padlock di pagar. Alangkah bagusnya kalau padlock tersebut tak berkunci, dapatlah dia masuk ke dalam porch, selindungkan diri.

        “Aku dah cakap dengan kau, dia ni bisu.”

        Hah? Kepala Elina pantas berpusing. Mata mencerlung memandang mamat yang bertenggek atas Ducati.  Dia yakin suara mamat pemilik Ducati tu yang bersuara tadi.

        “Hai!” Si dia menegur lagi sambil menyengih, seolah apa yang diucapkan tadi tidak didengar oleh telinga Elina.

        “Islam kan? Tak tahu bagi salam ke?” Ayat sarkastik Elina sudah keluar. Serentak itu, mamat yang sedang berdiri terus melambakkan tawa.

        Serius, selama menyewa di sini, Elina tak pernah ambil tahu siapa dan apa nama penghuni rumah sebelah. Yang selalu melayan adalah Miera dan daripada Miera juga dia tahu rumah bujang sebelah dihuni oleh lima lelaki yang semuanya kaki buat bising. Bila main gitar, tak kira waktu, tengah malam buta pun memekak.

        “Cik adik. Kalau muka aje lawa tapi mulut kalah Mak Jemah yang suka meroyan, tak laku tau! Lelaki takut nak dekat.”

        Mata Elina sudah terbuka luas. Kurang asam punya jiran. Dah la tadi kata dia bisu, sekarang kata dia Mak Jemah pula.

        “Cik abang ... kalau muka aje handsome tapi perangai kalahkan monyet, tak ada perempuan pun yang ingin!” Elina balas balik.

        “Weh! Dia kata aku handsome laaa...” Mamat atas Ducati membalas dan sekali lagi teman sebelahnya melambakkan tawa.

        Arrgghh! Stres dapat jiran tak betul macam ni. Kalau dilayan, gamaknya dengan dia-dia sekali akan jadi tak betul.


        Nasib baik lagi waktu itu kereta Miera, teman serumahnya berhenti di depan pagar. Kalau tidak, tak tahu nak cakap apa.

LIMITED KOMPILASI : DIA... YANG TERPILIH





Satu lagi LIMITED Edition yang Idea Kreatif keluarkan. Naskah ini adalah kompilasi dari 10 novelis terpilih.

Hanya 1500 naskah dan hanya dijual secara online sahaja. Siapa berminat, boleh berhubung dengan ejen yang dilantik di FB

Harga : RM 26 + RM6 (postage) untuk Semenanjung
             RM 29  + RM10 (postage) untuk Sabah/Sarawak


Di dalam naskah tersebut, ada cerpen saya yang bertajuk SESAT DALAM CINTA.

Nak baca SESAT DALAM CINTA, boleh klik kat link sebelah

SELIMUT MALAM 6

**Belanja Bab 6 bagi sesiapa yang tak berkesempatan nak beli bukunya.



****** Bab 6

            S
EDANG lena dibuai mimpi, terasa bahunya digoncang dan namanya dipanggil perlahan. Seolah masih dalam mimpi, ada lelaki yang mengejutkannya.

        "Raimi." Tengah ting tong, nama itu yang tersebut di bibir Dania.

       "Raimi mana pulak ni?"

        Suara Haidar? Pantas Dania buka mata. Betul, Wajah Haidar yang berdiri rapat di  sofa tempat dia terlena.
        Pulang ke rumah dari Alamanda tadi, Haidar terus keluar. Ada hal katanya. Pastilah hal dengan buah hati. Sebabnya, dalam perjalanan tadi, ada panggilan telefon dari Maya. Ingatkan dah tak tahu jalan balik.

        "Kenapa tidur macam ni?" Tangan Haidar sudah menyentuh kakinya.

        "Tengok, kaki pun dah sejuk. Kalau nak tidur tu boleh tak cari selimut?"

        Dania pejam celik mata. Masih mamai. Mengingati apa yang berlaku sebelum dia tertidur di sofa ruang tamu itu.
        Kerana kebosanan, dia baring di sofa sambil baca novel Kekasih Cadangan Hati. Oh! Matanya terus melilau mencari novel tersebut.

        Mana pergi?

        "Cari ni ke?" Haidar tunjuk novel di tangan.

        "Kenapa baca cerita pasal kekasih semua ni?" Soalan ditanya lagi.

        "Raimi tu siapa?" Lagi soalan menerjah masuk ke telinga Dania. Kali ini ada nada cemburu dari suaranya.

        "Raimi tu duda." Jawapan geram Dania berikan dan bangkit berdiri.

        Ya! Duda yang dah hempap muka dia malam tadi. Sambungnya dalam hati sebelum tersenyum.

        Tapi... senyumnya buat Haidar membara. Pantas lengan Dania ditarik kuat. Sehingga terjatuh ke atas ribaannya yang sudah pun melabuhkan punggung ke sofa.

        “Haidar!” Dania terjerit kuat

        “Cakap betul-betul,” tekan Haidar.

        Dari lengan, Tangannya sudah beralih memaut pinggang si isteri. Mendengar nama lelaki yang keluar dari bibir Dania, dia memang tak senang duduk. Apatah lagi bila lelaki itu dikatakan duda.

        “Betullah. Memang dia duda.” Sengaja, memang Dania sengaja mahu melihat reaksi Haidar.

        “Dia tu siapa?” Nada tak puas hati makin menyerlah.

        “Duda.” Dania simpan senyum.

        “Kenapa? You cemburu ke?” Soalan provokasi Dania buat Haidar terdiam. Cemburu tak pernah wujud dalam kamus hidup dia. Itu kata bibirnya. Kata hatinya? Entah!

        Tapi, kenapa dia seperti tak suka? Kenapa hatinya bagai digugat? Sebelum ini, yang selalu dia dengar dari bibir Dania hanya Hijaz. Dania mana pernah rapat dengan lelaki lain selain Hijaz. Dari mana pula datangnya nama Raimi sehingga Dania termimpi?

        “Boleh lepas tak?” Dania cuba leraikan pautan Haidar dan cuba untuk bangkit. Namun Haidar makin mengeratkan pelukannya.

        “Kalau I tak nak lepas?” Jemari Haidar sudah mula bergerak sana sini.

        Dania tepis perlahan dan cuba untuk bangkit. Pun begitu, Haidar lebih bijak. Tubuh di atas ribaannya ditarik rebah ke sofa bersamanya.

        “Haidar!” Tidak bersedia, Dania terjerit kecil.

        “I tak suka you sebut nama lelaki lain.” Nada amaran terbit dari bibir Haidar. Kali ini mata saling bertentang.

        Dania senyum sinis. Mengaku sajalah kata cemburu, kan senang. Haidar dan egonya, tak siapa yang mampu menyangkal.

        “Kalau you sudah berniat untuk melepaskan I, kenapa perlu ada rasa tak suka?” Soalan Dania sekali lagi buat Haidar terdiam tanpa jawapan.

        Ya! Kalau sudah ada perancangan yang ikatan antara mereka akan terputus dalam masa terdekat ini, kenapa Haidar masih mahu mengongkongnya?

        “You fahamkan, maksud tak suka? Atau I perlu beli kamus untuk you?” Ayat sarkastik sudah keluar dari bibir Haidar.

        Haih! Pasal hero novel saja, asalnya hanya mahu main-main saja tapi sekarang sudah menjadi serius.

        “Kenapa tak boleh...” Soalan provokasi yang ingin ditanya Dania terus termati tatkala bibir Haidar melekat di bibirnya.

        “Kan I dah cakap banyak kali, I tak suka you curi-curi ceroboh bibir I macam ni.” Dania ketap bibir geram sebaik Haidar melepaskan bibirnya.

        Haidar tarik senyum.

        “Jom teman I mandi.” Bersahaja seolah apa yang Dania luahkan kata tak suka itu satu nyanyian indah di telinganya.

        “Dah tengah malam Haidar.”

        “Macam tak biasa.” Haidar sudah bangkit dan menarik Dania bangkit bersamanya.

        “I tak ada mood.” Dania menolak dan duduk kembali.

        Memang sejak Maya muncul dalam hidup mereka, moodnya tak pernah mahu muncul tatkala bersama lelaki ini.

        Haidar turut duduk.

        “I boleh pulihkan mood you.” Sengaja menggoda, Haidar berbisik perlahan di telinga si isteri. Rambut Dania yang kusut menutupi separuh wajahnya diselak dan diselit ke tepi telinga.

        Dania baru mahu bergerak bangun, Haidar pula menahan. Wajahnya dipalingkan. Lima jemari Haidar melekat di pipinya dan ibu jari bermain di bibir.

        Nice lips....” Haidar dekatkan wajah, rapat sehingga hujung hidung mereka hampir bertemu.

        Dania pejam mata. Sudah terasa yang rajuknya tidak akan memberi apa-apa makna.

        “And... I want to kiss them?” bisik Haidar lagi dan bibir terus berlabuh di situ. Di tempat yang sering buat dia sasau.

        ‘Dania... you’re such a good kisser yang boleh buat I gila. You’re such a good wife yang boleh buat I tak mampu melangkah jauh.’ Bisik hati Haidar. Bagaimana nanti kalau dia harus melepaskan Dania?

        Relakan, itu yang Dania bisik ke hati, kerana Haidar tidak perlukan jawapannya.

        Dan akhirnya, dia kalah jua. Kalah dengan godaan Haidar. Sesungguhnya, cinta itu memang melenakan. Mampu melupakan dia pada semua perkara kecuali Haidar.


        Rasanya, kalau ditakdirkan ingatannya hilang, nama Haidar dia tak mungkin akan lupa. Begitu sekali kuatnya ‘dadah’ yang Haidar suntik ke tubuhnya.