FOLLOWERS

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 4

         
            SELESAI segalanya, aku duduk merehatkan badan di dapur.  Penat! Majlisnya walau tergesa-gesa, sangatlah meriah sehingga rahangku naik lenguh untuk tersenyum setiap masa pada tetamu yang hadir.
     
   “Pergilah naik atas rehat Dira. Muka tu dah letih sangat umi tengok.”
      
  Mataku yang kuyu kembali segar mendengar suara umi menegur.
    
    “Yalah. Dira naik dulu ya, umi.” Aku bangkit meminta diri.

       Kaki terus melangkah keluar dari ruang dapur tapi tidak pula menuju ke atas. Entah kenapa gatal saja mahu menjenguk ke luar.

       Dari muka pintu utama, kelihatan ada lagi tetamu yang terdiri di kalangan kaum kerabat masih melepak di bawah khemah. Tapi, tidak kelihatan pula Haris di situ.

        Aku atur langkah menjenguk ke pintu sebelah kanan pula. Banglo ni, gila punya besar. Kalau main sorok-sorok pun, satu hari takkan jumpa.

      Berdiri di pintu menuju ke taman mini, telingaku terdengar suara orang bercakap-cakap. Perlahan aku menghampiri untuk mendengar. Macam suara papa mertuaku.
   
     “Perkahwinan bukan sekadar untuk seronok-seronok. Perkahwinan adalah satu tanggungjawab.” Memang suara papa mertuaku.
    
    Melalui celahan daun pintu, aku lihat papa mertuaku sedang berdiri selari dengan Haris yang berdiri berpeluk tubuh. Haris Aryan yang kini sudah berstatus suami pada seorang  Adira Imani.
  
      “Selepas ni papa nak Ris tumpukan pada syarikat dan rumah tangga. No more enjoy dan perempuan sana sini.”
   
     “Pa... kawan saja tak salah kan?” Haris menjawab.
  
      “Memang tak salah. Tapi kalau berdua antara lelaki dan perempuan itu, orang ketiga ialah syaitan dan janji syaitan ialah akan sentiasa menghasut anak adam sehingga tersesat. Papa bimbang jika Ris tersilap langkah. Nafsu lelaki walaupun satu, kuatnya mengalahkan sembilan nafsu perempuan.”
  
      “Insya Allah tak, pa.”
      
  “Yang akan membuatkan seseorang lelaki itu kuat dan berjaya dalam hidup ialah perempuan dan yang mampu membinasakan lelaki dalam sekelip mata juga perempuan.  Dira itu walaupun keturunannya kita tidak tahu, papa yakin dia perempuan baik-baik yang mampu menjadi isteri yang menyenangkan suami. Jaga dia selayaknya.”

        “Baik, pa.”
    
    Cuma itu yang aku dengar sebelum langkah aku undur ke belakang. Sebabnya, dadaku tiba-tiba jadi sebak mendengar bicara bapa mertuaku. Benar, keturunanku tidak diketahui. Jadinya, aku harus bersyukur kerana masih ada manusia yang sanggup ‘mengambil’ aku menjadi sebahagian dari keluarga mereka di saat ibu dan bapaku sendiri membuangku macam sampah.
   
     Kerana itu juga, aku harus jadi manusia yang sedar diri. Walau pun mungkin Haris mengahwiniku bukan kerana cinta, cukuplah dia sanggup menjagaku dengan baik.
    
    Aku terima Haris dan menolak desakan Abang Ikmal agar aku berkahwin dengan dia juga atas alasan yang sama. Aku anak yang tidak tahu asal usul. Cukuplah keluarga mama dan abah membela dan mencurahkan kasih sayang selama aku hidup di bumi Tuhan ini. Tidak sanggup pula aku melukakan hati mama dan abah untuk membatalkan semuanya dan berkahwin dengan abang sendiri. Ianya pasti akan menjadi sejarah yang melukakan dalam keluarga.

      Sambil menyeka air jernih yang gugur jua ke pipi, aku atur langkah laju naik ke atas. Cepat-cepat mandi dan tukar pakaian sebelum bersolat isyak.
     
   Selesai saja solat, pintu bilik di kuat dari luar dan Haris muncul di situ. Masih berbaju melayu dan bersongkok di kepala, Haris melangkah masuk.
    
    “Kenapa solat tak tunggu I?” soal Haris.
     
   “You tak cakap, mana nak tahu.”
   
     Haris ngeleng kepala mendengar jawapanku. Langkah diatur melencong ke arahku yang sedang  melipat marhana.
   
     “Wahai isteri tersayang. Dah jadi suami isteri, seeloknya solat berjemaah. I bukan saja nak jadi imam you dalam rumah tangga tapi nak jadi imam you ketika solat juga.”
    
    Aku telan liur mendengar kata-kata Haris. Indah dan nyaman tapi, adakah hakikat sebenar perkahwinan kami seindah ayat yang diucapkan tadi?
    
    “Mari duduk sini, I nak cakap sikit.” Haris tarik tanganku menuju ke katil. Saat itu, rasa debar sudah mula berlegar di dada. Serius saja bunyinya.

       Haris duduk di birai katil dan menarik aku agar duduk sama seiring dengan duduknya. Kemudian, dia berpusing dan menarik sebelah kaki bersila menghadap ke arahku. Jemariku dicapai dan digenggam erat.
   
     “I nak terus terang.” Bicara Haris menarik aku mendongak ke wajahnya menanti ayat seterusnya.
   
     “I sebenarnya dah ada isteri.”
   
    “Hah??”
   
    Aku terkebil-kebil memandangnya, cuba mencerna apa yang telah diucapkan.
   
     “You...” aku tak pandai lagi untuk meneruskan kata tapi aku yakin Haris faham apa yang mahu aku tanyakan.
  
      Haris angguk kepala dan aku rasa seperti langit yang tujuh jatuh menghempas kepalaku, menghancurkan semuanya. Tiba-tiba aku terasa mahu menangis. Takdir apakah ini?
   
     “Kalau dah ada isteri, kenapa kahwin lagi dengan I?” aku tahan tangis.
  
      “Sebab I nak you.” Mudah jawapannya semudah apa yang telah dia lakukan sebelum ini untuk mendapatkanku.
  
      “I tak suka lelaki tamak. Lebih-lebih lagi dalam soal beristeri lebih.”
  
      Haris gelak. Entah apa yang lucunya. Rasanya aku tak buat lawak dan nada aku juga bukan nada melawak tapi nada marah.
  
      “Untuk dapatkan you, I harus jadi tamak.” Haris terus bangkit, mencapai tuala dan berlalu ke bilik air meninggalkan aku yang sudah bergenang air jernih mengaburi mata.
    
    Haris.. apa sebenarnya yang you nak cuba lakukan? Dendam apakah yang mahu you lunaskan?
      
  Menyeka air mata yang sudah turun ke pipi, aku melangkah ke balkoni, termenung sambil menenangkan hati di situ. Menyesal? Sudah tidak berguna lagi untuk disesalkan apa yang terjadi.
   
     Baru saja aku sematkan dalam hati, jika Haris boleh menerimaku dan menjagaku dengan baik, akan kusemai benih cinta untuk dia tapi belum apa-apa lagi, dia sudah membunuhnya dengan kejam.
    
    “Jom tidur.” Suara yang tiba-tiba kedengaran hampir di belakangku buatkan badanku menegak dan mengeras.
  
      Sesaat kemudian, terasa bagai ada haba menghangatkan udara. Belum sempat berbuat apa-apa, tangan Haris sudah melingkar di pinggang dan melekat di perutku.
  
      “Kalaupun kita kahwin bukan atas dasar cinta, tak semestinya kita tak boleh tidur bersama kan? Tanggungjawab tetap tanggungjawab.” Suara itu berbisik perlahan hampir di tepi telinga buatkan bulu roma di tubuhku tegak berdiri.
   
     Kemudian, terasa dagu mendarat di bahu kananku dan hembusan nafas menampar cuping telinga.
   
     Oh! Ke mana hilangnya semua udara? Kenapa sukar sangat untuk menyedut nafas?

       Haris pusing tubuhku menghadap ke arahnya. Kedua pipiku dipegang dan wajahku yang menunduk di dongakkan. Tanpa amaran, satu kucupan diberikan di dahi, satu lagi di pipi kiri dan kemudian beralih ke pipi kanan. Saat bibirnya mahu mendarat di bibirku, Aku pusingkan wajah dan menolak dadanya agar menjauh.

        Pantas langkah aku atur menuju ke katil. Tak perlu tunggu dia ajak tidur, baik aku tidur sendiri. Dah ada isteri, tak payahlah nak beria macam tak pernah beristeri.
    
    Aku rebahkan tubuh ke tilam dan tarik comforter menutup sehingga ke muka. Beberapa ketika kemudian, lampu tertutup. Sudah tentulah kerja Haris.

       Aku tahan nafas saat terasa tilam di sebelah bergerak tanda Haris turut naik ke atas katil yang sama. Yalah, takkan dia nak tidur di sofa seperti dalam cerita novel tu kan?
    
    Aku pusingkan badan membelakanginya. Tiba-tiba comforter yang menutup kepalaku diselak hingga ke bawah. Aku tarik semula naik ke atas tetapi Haris tarik pula turun ke bawah hingga ke pinggang. Beberapa kali main tarik atas bawah, akhirnya aku mengalah, diam dan bekukan diri.
    
    Tiba-tiba jemari Haris singgah di lenganku yang terdedah. Tapi, aku masih bekukan diri. Tapi, saat jemarinya menjalar dari lengan naik ke bahu, aku tepis tangannya kasar.
     
   Saat itu, kedengaran dia tergelak perlahan.
    
    Kemudian, terasa Haris merapatkan tubuhnya dan sebelah tangan sudah melingkar di pinggangku. Sebelah lagi tangan mengangkat kepalaku dan diletakkan ke atas lengannya.

       Aku ingin mengensot untuk menjauh tetapi pelukannya yang kuat itu membataskan segalanya.

        “Malam ni I bagi peluang you layan perasaan. Tapi malam esok, you kena layan I.” Bisik Haris perlahan di tepi telingaku.
    
    Dan... air jernih yang sejak tadi kutahan, gugur lagi.

         

3 comments:

Milla said...

Awat la haris kejam sangat, sian kt Dira

nOOr said...

tul ke dia kwin?? cm saje nk uji dira je..
:(

Anonymous said...

Alahaiii..knapa haris ni ? Cpt2x smbung yer cik penulis