AKU tak pernah suka dia. Sejak dulu, sejak kami
sama-sama di bangku sekolah, tidak pernah terdetik di hatiku untuk cuba jatuh
cinta pada dia. Walau ketika itu ramai pelajar perempuan terkejar-kejar mahu mendapatkan perhatian
dia, aku pula tarik handbreak kuat-kuat.
Bukan
sebab dia tak tak kacak. Tidak! Dia memang layak digelar lelaki idaman malaya.
Keturunan baik-baik, ada harta dan rupa. Ada gaya dan aura. Pendek kata, dia
ada segalanya.
Ya!
Haris Aryan itu lelaki yang punya segalanya. Dan kerana ‘segalanya’ itulah aku
tak berani walau hanya untuk menjeling ke arahnya. Aku tak berani walau hanya
untuk menyimpan secebis rasa suka terhadapnya.
Tapi
tiba-tiba, aku dikejutkan dengan berita gempar. Berita yang aku percaya akan
merubah seluruh hidupku.
“Datin
Maria dah setuju. Dato Hijaz pun sokong kita satukan Adira dengan Haris.” Suara
mama pada pagi yang indah itu buat tenang di hatiku terus ditarik pergi.
Tiba-tiba, rasa tenang itu terus ditarik pergi.
Adira
itu ialah aku. Dato Hijaz dan Datin Maria itu ialah umi dan papa Haris Aryan.
Tapi, kenapa topik aku dan Haris tiba-tiba muncul pagi ini?
“Inah,
awak dah tanyakan Dira ke?” Suara abah membalas. Mereka tak sedar, aku sedang
berdiri di balik dinding menuju ke ruang rehat keluarga.
“Alaaa..
Dira tu anak yang baik bang. Inah percaya dia akan setuju saja apa jua
perancangan kita.”
“Tapi
Inah, Dira tu masih belajar. Tak boleh ke tunggu dia habis belajar dulu.” Abah
seperti tidak bersetuju.
“Bang...
kalau tunggu Dira habis belajar, lagi dua tahun. Maknanya lagi dua tahunlah
Ikmal tak akan balik Malaysia.”
Abang
Ikmal? Apa kaitannya Abang Ikmal tak mahu balik Malaysia dengan rancangan
‘penyatuan’ ini? Dan..kenapa harus melibatkan Haris?
Aku
jadi makin teruja untuk tahu rahsia yang tersembunyi. Memasang telinga penuh
hati-hati agar tidak terlepas walau sepatah perkataan.
“Ikmal
tu anak kita bang. Anak kandung kita. Abang tak rasa apa-apa ke bila anak
kandung sendiri terpaksa hidup jauh dari kita hanya sebab mereka dua beradik
bukan mahram, tak elok tinggal sebumbung.”
Oh!
Aku mula faham. Ya! Walau aku dan Abang ikmal digelar adik beradik tapi hakikat
yang satu itu tidak mampu diubah. Kami bukan mahram. Aku hanya anak pungut yang
ditemui di depan pintu masjid. Bukan darah daging Puan Zarinah dan Tuan
Bahktiar.
Kerana
leka dengan kasih sayang melimpah ruah keluarga ini, aku lupa tentang hal yang
satu itu. Walau aku ditatang bagai minyak yang penuh, kenyataan tetap takkan
berubah.
“Dan
Ikmal kata, kalau dia balik pun, dia akan cari rumah lain. Saya tak sanggup
bang. Dah terlalu lama dia pergi. Sambung belajar, kerja di negara orang sampai
sekarang.” Suara mama bagai merintih. Abah pula berterusan diam.
“Mulanya
saya tak fikir tentang semua tu. Tapi bila Ikmal cakap begitu, saya rasa dah
tiba masanya saya carikan calon suami untuk Dira. Lepas kahwin, dia pasti akan
ikut suami dan Ikmal sudah tidak ada alasan untuk tidak balik tinggal bersama
kita. Bolehlah bantu abang di pejabat.”
Dan
aku yang mendengar hampir terduduk. Ya! Sudah tiba masa untuk aku keluar dari
rumah ini, itulah yang dimaksudkan mama. Sungguh.. aku tak pernah menyangka
bahawa aku menjadi penyebab keluarga ini terpisah.
Aku
tak pernah menyangka perginya Abang Ikmal untuk sambung belajar bukan
semata-mata untuk satu tujuan. Tetapi dia pergi kerana tidak mahu tinggal
sebumbung denganku. Kenapa tidak dijelaskan dari awal? Kalau dari awal aku tahu,
pasti aku akan meminta izin mama untuk tinggal di asrama atau menyewa dengan
kawan-kawan.
Mama
dan abah sudah mengubah topik bicara dan langkah aku lencong semula naik ke
bilik. Tak jadi untuk turun bersembang dengan mereka seperti kebiasaannya di
petang hujung minggu begini.
Tubuh
aku baring ke tilam. Mata aku pejam rapat. Haris.... nama itu tersebut dalam
hati. Kenapa harus lelaki itu yang
dipilih mama? Kenapa tidak orang lain? Lagi pun, rakan niaga Abah bukan hanya
Dato Hijaz sorang yang ada anak lelaki. Tahu tak yang Haris tu suka perempuan
yang bagaimana?
Aku
bangkit duduk berjuntai kaki di katil. Kenangan di zaman sekolah aku kutip satu
persatu. Haris yang aku tahu, perempuan yang mendampinginya adalah stok jenis
potongan model, yang berjalan tak jejak bumi, yang jenis pakai baju tak cukup
kain. Sangat-sangat kontra dengan aku yang bertutup atas bawah ini.
Itu
cerita alam persekolahan. Cerita hari ini, selepas dia sudah menjawab jawatan
besar di syarikat papanya, aku dah tak tahu. Sebabnya, kami dah jarang jumpa.
Kalau jumpa pun, masa ada keramaian. Itupun, sekejap dan hanya memandang dari
jauh.
“Isk!
Anak dara tak elok tidur petang. Nanti tak ada lelaki yang nak masuk meminang.”
“Kalau
tak ada, abang ajelah kahwin dengan Dira.” Celupar mulutku menjawab gurauannya.
Dan,
Abang Ikmal terus terdiam di hujung sana.
Sebenarnya
aku geram. Geram bila mengingatkan apa yang mama katakan tadi. Kalau betul Abang
Ikmal tak mahu balik Malaysia sebab aku ada di rumah ni, kenapa tak cakap terus
terang.
“Dira
nak kahwin dengan abang?” Tiba-tiba Abang Ikmal bersuara. Serius nadanya buat
aku tak tahu nak jawab apa.
Kahwin
dengan Abang Ikmal? Oh! Tak mungkin. Dia sudah kuanggap seperti abang sendiri.
“Dira
gurau jer.”
“Abang
tanya serius.”
“Tak
nak!” tekanku.
Abang
Ikmal gelak mendengar jawapanku. Dan aku agak dia bergurau tentang hal ini.
“Abanggg..
bila nak balik? Dira tak ada kawan laaa, nak sembang-sembang.” Aku ubah topik
bicara, merengek manja. Memang aku manja pun kalau dengan Abang Ikmal.
“Kalau
Dira kata setuju kahwin dengan abang, sekarang juga abang balik.”
“Eeee...
tak naklah. Okey! Tak payah balik.” Aku buat-buat merajuk.
“Okey!
Takpe. Abang tak nak pujuk. Bye!.” Abang Ikmal terus matikan talian.
Eh!
Macam tu aje? Aku pandang skrin telefon dan kacip gigi geram. Selalu Abang
Ikmal tak buat perangai begini. Pantang aku buat merajuk, sibuk dia pujuk
dengan kata manis bergula.
Kenapa
kali ni lain pula?
ISNIN kelas batal. Naura ajak aku ke maybank
Bandar Baru Bangi. Mulanya malas nak pergi sebab aku nak terus balik saja.
Sejak aku dengar perancangan mama, hatiku memang tak pernah pandai bertenang.
Tapi
memandangkan Naura tak ada kereta dan berharap sangat aku dapat menghantarnya,
aku pergi juga.
Lepas
Naura selesai urusan di kaunter, aku dahului langkah keluar dari bank.
Langkahku
mati di depan pintu sebaik pandanganku menangkap kelibat seseorang sedang bercakap
dengan dua orang lelaki. Salah seorang mungkin pegawai bank sebab berkot bagai.
Seorang lagi hanya berkemeja seperti dia.
Haris!!!
Ya!
Walau dari pandnagan sisi, aku yakin itu memang dia. Sedang berdiri dengan
sebelah tangan menyeluk kocek seluar. Nampak kacak walau tanpa tie, hanya
berkemeja dengan lengan sudah berlipat hingga ke siku.
Rasanya
kali terakhir aku jumpa dia ialah tahun lepas, hari raya. Waktu itu keluarganya
mengadakan jamuan raya dan kami sekeluarga ke rumahnya di Country Height. Itu
pun, hanya melihat dari jarak jauh.
“Jom!”
suara Naura mengejutkan aku
Serentak
itu, kepala Haris berpusing dan pandangan kami bersatu. Tapi, hanya sedetik dan
Haris kembali mengalihkan pandangan ke arah dua lelaki di depannya.
Aku
tarik tangan Naura untuk pergi. Dalam hati aku terfikir, Haris memang tak kenal
aku atau sengaja buat-buat tak kenal? Mustahil Haris tak tahu apa-apa tentang
kami sebab kata mama seminggu yang lepas, Haris setuju dan aku juga ‘harus’
setuju.
Memandu
pulang setelah menghantar Naura ke kampus UKM semula, aku masih memikirkan
tentang pertemuan tadi. Mungkinkah Haris tak perasan aku atau mungkin juga
Haris sengaja buat tak kenal.
Motif?
Aku sendiri kurang pasti.
Tiba
di rumah, aku disambut oleh mama dengan
senyuman lebar. Kata orang, senyum sampai ke telinga.
“Awal
balik?”
“Kelas
Batal, ma.”
“Oh!
Kalau cepat tadi jumpa dengan Datin Maria.”
Aku
tak jadi masuk ke rumah. Mendengar nama Datin Maria, langkahku terus mati. Buat
apa umi Haris datang ke sini pagi-pagi begini?
“Mmm...
mama tak keluar ke?” Aku alihkan topik bicara. Selalunya waktu-waktu begini,
mama sudah tiada di rumah, mesyuarat dan pelbagai aktiviti amal untuk memenuhi
waktu terluang.
“Belum
sempat keluar, Datin Maria call cakap nak datang. Tu yang tak jadi keluar.” Mama
tarik tangan aku masuk ke rumah, menuju ke sofa dan duduk bersamanya.
Kemudian,
mama tunjukkan aku sebentuk cincin berhias dua biji permata ruby yang di susun
bersilang dan diikat diamond di tepinya.
Cantik!
Belum
sempat aku bersuara bertanya, mama sudah pun menyarungkan cincin tersebut ke
jari manisku dan memang ianya betul-betul saiz jariku, seolah diukur-ukur.
“Ni
cincin tanda dari Haris. Datin Maria hantar tadi.”
Aku
terus kaku. Betul ke ini dari Haris? Atau Datin Maria sengaja mereka cerita?
Kalau benar dari Haris, kenapa selama seminggu setelah kata setuju aku berikan,
lelaki itu langsung tidak mencariku? Atau paling tidak menghubungiku bertanya
sepatah?
Sepinya
lelaki itu buat hatiku jadi kurang percaya akan kata manis yang disajikan ke
telingaku tentang persetujuan seorang Haris Aryan.
“Ma...
mama sayang Dira tak?” Aku pandang ke anak mata mama.
Mama
nampak terkejut. Mungkin tak terduga aku boleh bertanya soalan sebegitu.
“Kenapa
Dira? Adakah selama ni Dira rasa kasih sayang mama belum cukup?”
“Tak,
Ma. Semuanya cukup.” cepat-cepat aku mengeleng.
“Ma....
Dira pun sayang mama.” Aku paut tubuh mama dan peluk erat.
“Dira
percaya, mama buat semua ni sebab mama
sayang Dira.” Air mata seakan mahu gugur. Aku cuba positifkan diri yang mama
sebenarnya tidak berniat nak halau aku
pergi. Cuba berfikiran positif yang mama lakukan semua ini sebab sayangkan aku.
Setelah
pelukan terlerai, aku meminta diri untuk naik ke bilik. Baru saja menutup daun
pintu. Telefon bimbit bergegar, panggilan dari jauh.
“Mama
cakap Dira nak kahwin. Betul ke?” Suara Abang Ikmal terus menerjah sebaik aku
menjawab panggilannya.
“Ya,”
aku jawab sepatah. Cepatnya berita sudah sampai ke bumi UK sana.
“Kenapa
tak tunggu habis belajar?” serius kedengaran soalan tersebut. Bukan soalan itu
saja, malah suara Abang Ikmal kali ini sangat-sangat serius. Berbeza dengan
hari-hari sebelum ini, ketika dia menghubungiku bertanyakan tentang
perkembangan bumi Malaysia dan keluarga.
Selalunya,
Abang Ikmal tidak begini. Mesra dan suka bergurau. Selalu berpesan itu dan ini.
Selalu minta aku jaga diri.
“Lagi
dua tahun abang.” Aku jawab perlahan sambil mencongak waktu. Memang aku ada
lagi dua tahun utuk tamat pengajian.
“Dah
tu, tak boleh tunggu? Dah gatal sangat?” keras suara Abang Ikmal buat aku
tersentak.
“Ya,
memang dah tak tahan.” Aku jawab dalam geram. Geram dikatakan gatal sedang aku
lakukan semua ini untuk dia dan keluarga.
“Kenapa
tak cakap dengan abang yang Dira nak kahwin cepat?”
“Kalau
cakap dengan abang pun, abang nak buat apa?”
Abang
Ikmal terdiam di hujung talian. Lama.
“Abang
balik tak?” aku lencongkan topik, lembutkan suara.
“Balik
buat apa?”
‘Baliklah sebab ini rumah abang.’ Aku jawab
dalam hati. Tapi serius, aku memang terasa hati dengan cara Abang Ikmal
membalas soalanku.
“Abang
sayang Dira tak?” aku cuba menguji.
“Kenapa
tanya soalan macam tu?”
“Jawab
dulu soalan Dira.”
“Dah
namanya adik, tentulah sayang.” Perlahan saja suara Abang Ikmal. Tapi, aku tahu
dia memang sayang aku. Sejak aku kecil, dia akan sentiasa kawal pergerakanku.
Siapa saja, kalau berani usik aku memang kena dengan dia.
“Dira
pun sayang abang.”
‘Dira
juga sayang mama dan abah. Sebab tu Dira setuju pertaruhkan diri ke dalam
perkahwinan ini walau Dira tahu, perkataan bahagia sangat sukar untuk Dira
temui. Apa jua, jiwa dan raga Dira sanggup pertaruhkan demi abang, mama dan
abah.
Tanpa
kalian bertiga, siapalah yang sudi sayang Dira. Sedangkan ibu sendiri pun buang
Dira di tepi masjid. Mulianya hati mama dan abah kerana sanggup pungut Dira
yang tak tahu asal usul ini. Jadi, Dira harus balas kebaikan itu walau harus
menggadaikan seluruh bahagia hidup Dira.’
“Diraa...”
kedengaran suara seperti satu keluhan di hujung sana.
“Abang...
baliklah. Dira rindu abang.”
Diam.
“Kalau
sayang abang, tolong jangan kahwin dengan Haris.” Hanya itu yang aku dengar
sebelum talian terputus tiba-tiba.
Aku
pandang telefon di tangan dengan rasa bergalau. Menunggu kalau-kalau ada lagi
panggilan dari Abang Ikmal tetapi hampa.
‘Abang..
Dira tahu kenapa abang tak bagi Dira kahwin dengan Haris. Sebab Abang sayang
Dira, abang tak nak Haris lukakan Dira. Sebab Abang kenal siapa Haris kan?
Sebab tahu Haris tak pernah suka Dira.’
Air
mata menitis jua mengiringi suara hati aku yang satu ini. Sungguh.. aku tak
tahu nak buat apa.
Saat
mata aku kabur dek air jernih, telefon berdering lagi. Tanpa melihat nombornya,
aku terus jawab.
“Assalamualaikumm..”
salam aku hulur dengan suara perlahan, bimbang jika Abang Ikmal dapat mengesan
aku sedang menangis.
“Waalaikumussalam,
Dira?” suara di hujung sana, serius tanpa nada menjawab salam dan menyebut
namaku.
Bukan
suara Abang Ikmal. Aku pandang skrin telefon. Private nombor.
“Ya,
saya. Siapa ya?”
“Haris.”
Gulp!
Aku tertelan liur sendiri. Tekakku tiba-tiba terasa kering tatkala mendengar
nama itu disebut oleh tuan sendiri. Betul ke yang dihujung sana adalah Haris?
“Boleh
kita jumpa?”
“Err...”
Aku terus tergagap.
“Secret
Recipe Bandar Baru Bangi. Lagi sepuluh minit I ada kat sana. I tunggu sampai
you datang.”
“Kalau
I tak datang?”
“Tolong
jangan cabar I sebelum tiba waktunya, Dira.” Terus talian diputuskan.
Huh!
Aku tenung skrin telefon di tangan. Gelap! Aku tak pernah berbicara face to
face secara berdua dengan dia selama kami kenal. Kalau beginilah orang yang
bernama Haris Aryan itu, masalah besar sedang menantiku di depan sana
4 comments:
Ikmal tu syg kt Dira lebih dr sayang abg kpd adik....
Memang tak penah baca lagi cerita ni.... memang leeee tak kenal haris.... tq hani sebab share bab 1-5
Memang best sangat jalan cerita....ada sambungan lagi ker...
Best
Post a Comment