FOLLOWERS

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 2

         
            BANGKIT dari tidur pagi itu, aku tenyeh mata berkali-kali. SMS yang dihantar dari nombor yang tak dikenali aku baca berulang kali.
         
        ‘U tak datang, I assume U tak ada bantahan.
        Minggu depan majlis tunang, sebulan kemudian majlis kahwin’
         
        What??? Aku terus terlompat turun dari katil. Memang aku tak pergi jumpa dia tapi tidak bermakna aku setuju untuk berkahwin sebulan dari sekarang. Itu semua kerja gila.
     
   Belum sempat tanganku mencapai tuala, pintu bilik diketuk dari luar dan suara mama memanggil namaku.

        “Ada apa ma?” soalku sebaik membuka pintu. Hari ni tak ada kuliah. Lepas solat subuh tadi aku kembali tidur. Sekarang dah hampir tengah hari.

        Mama hulurkan beberapa keping kad yang terpegang di tangannya bersama senyuman di bibir.
    
    Aku kerut kening. Hanya memandang huluran mama tanpa bersambut. Sambil bertanya dalam bisu.
      
  “Contoh kad. Ris hantar awal pagi tadi minta Dira pilih. Lepas tu, dia minta Dira WhatsApp dia yang mana satu. Nanti dia settlekan.”
     
   “Maa....”
    
    “Ris minta cepatkan. Dia kata dah bincang dengan Dira dan Dira setuju.”
   
     Aku besarkan mata. Tangan naik memegang dada sendiri. Ada gaya seperti mahu meletup tapi, sabar masih bersisa.
   
     Haris.. permainan apakah ini? Apa yang sedang you buktikan pada I?
    
    Aku sambut jua kad di tangan mama. Walau apa masalah aku dengan Haris, mama dan yang lain tak perlu tahu.
  
     Sebaik mama pergi, aku cari pesanan ringkas tadi. Nombor yang menghantar pesanan tersebut aku hubungi. Serius, selama ini aku tak pernah pun terfikir untuk mendapatkan nombor telefon dia.
     
   “I nak jumpa you.” Terus aku terjah sebaik panggilanku bersambut.
     
   “I tengah busy....”
      
  “I tak peduli!” pangkahku pantas.
   
     “Bapak busy sekali pun, you kena jumpa I juga,” tegasku lagi. 
    
    Tapi, di hujung sana hanya diam tanpa suara. Hanya desah nafas yang menampar anak telinga.
    
    “Harisss!!”
     
   “You tahu tak, bila you dah jadi isteri I nanti, you tak boleh bercakap kasar begini. Berdosa.” Tenang-tenang saja suara Haris tapi kenapa aku rasa bagaikan sebutir bom jatuh di atas kepala?
    
    Sedetik aku terdiam. Marah itu sifat tercela. Bukankah orang yang kuat itu adalah orang yang berjaya mengawal marahnya? Dan, aku ingin nampak kuat di mata Haris.
     
   “I tak pernah setuju  untuk cepatkan majlis.” Suaraku kembali terkawal.
    
    “I dah tempah semuanya. Tak boleh tarik balik.”
    
    “You tak pernah berbincang dengan I.”
    
    “I ajak bincang you tak datang. Salah siapa sebenarnya?” Haris pulangkan paku buah keras.
   
     Dan..aku tak tahu nak jawab apa. Memang aku tak pergi masa dia ajak jumpa semalam sebab sengaja mahu mencabarnya. Aku fikir bila dia tidak menghubungiku, maknanya dia mengalah. Rupanya sangkaanku silap. Dia bukan mengalah tetapi membuatkan aku hilang daya untuk berbalah.
      
  “I tengah sibuk Dira. Kalau tak ada apa-apa, I nak putuskan talian.  Kita jumpa hari akad nikah nanti.”
        
“I tak nak kahwin dengan you!.” Tiba-tiba terlepas ayat tu dari bibirku tanpa sempat akalku berfikir. Benarlah kata orang, kadang kala apa yang terbit di hati boleh terus terucap di bibir tanpa perlu melalui tapisan otak.
     
   “Dah terlambat Dira. Kalau you nak batalkan juga, kita jumpa di mahkamah.”
    
    Wah! Ini sudah lebih. Takkan nak batalkan majlis pun harus melangkah ke mahkamah? Gila ke apa?
     
   Kali ni, aku terus terdiam. Sekali lagi, dia menang.
      
  “Kita tak pernah bercinta, bagaimana nak kahwin?” aku pusing cerita.
   
     “You boleh ajar I cara bercinta lepas kahwin.”  Tenang saja suaraya, tanpa nada dan tanpa rasa. Macam asam pedas yang tak ada asam dan tak ada cili.
    
    Aku sedut nafas dalam-dalam. Bagaimana nak ajar orang cara bercinta sedang aku sendiri belum pernah jatuh cinta.
    
    “Soal baju dan persiapan, umi akan uruskan. You cuma perlu bawa badan saja.” Haris bersuara lagi setelah lama aku terdiam.
    
    “Harisss...”Aku cuba lembutkan suara. Mana tahu kalau-kalau boleh memujuk dia untuk berkompromi.
    
    “Dira, lepas kahwin nantilah kalau you nak goda I pun. Sekarang ni, I kat tempat kerja.”
    
    Cis! Memang tepat kena atas muka. Tapi Haris, you jangan perasan ya, Sebab I tak teringin pun nak goda you. Mamat indon yang kutip derma untuk tabung masjid tu lagi mengujakan kalau nak dibandingkan dengan you.
   
     Aku tamatkan perbualan tanpa ucap salam. Geram punya pasal. Mandi pun tak jadi, kembali tergolek atas katil.
      
  Lama begitu, hati tak juga tenang. Lantas, aku cuba hubungi Abang Ikmal. Mahu mengadu kerana aku yakin hanya dia yang boleh memahami apa yang aku rasa. Mahu meminta tolong juga suapaya dia bercakap dari hati ke hati dengan Haris. Aku percaya Hanya Abang Ikmal yang boleh handle lelaki yang bernama Haris Aryan itu.
    
    Pun begitu, talian langsung tak dapat ditembusi. Bukan sekali malah berkali-kali aku mencuba namun gagal. Sudahnya, aku tertidur kembali.
   
     Bangkit semula, waktu zohor sudah hampir ke penghujung.
   
     Ya Allah! Lamanya aku tidur. Memang sejak dulu, perangaiku memang begini. Kalau orang lain stress tak lena tidur, aku stress tidur lebih lena.
     
   Turun ke bawah setelah menunaikan solat zohor, aku dengar suara orang bercakap-cakap di ruang makan. Suara lelaki! Siapa? Takkan papa dan balik, masih awal lagi.
  
      Langkah kaki perlahan menuju ke ruang tersebut dan, sekujur tubuh lelaki yang sedang elok duduk di meja makan sambil bercerita dengan mama buatkan mataku terlupa untuk berkelip.
    
    Mama yang terlebih dahulu nampak kelibatku terus melambai.
    
    “Dira..”
   
     Terus saja lelaki yang duduk elok di kerusi membelakangiku berpaling sebelum sempat aku melarikan diri.
    
    Arrgghh!! Aku tutup kepala dengan tangan sebelum berlari laju naik ke atas mencari tudung. Aku tak bertudung dan dia sudah melihat rambutku.
   
     Turun ke bawah semula, langkahku mati di tengah ruang menuju ke meja makan. Haris yang  sedang melangkah keluar dari ruang itu juga turut terhenti. Tapi hanya seketika sebelum dia meneruskan langkah tanpa sikit pun memandang ke arahku.
   
     “Tadi kata sibuk.” Aku bersuara tanpa menoleh ke arahnya.
   
     Melalui ekor mata, aku nampak dia berundur dan berdiri selari dengan kedudukanku yang sedang berdiri menghadap ke arah dapur.
   
     “Yang sibuknya tadi. Sekarang dah tak sibuk.” Dia bersuara tanpa menoleh.
    
    Aku berpaling namun, dia tetap tegak berdiri memandang lurus ke depan.
   
     “Anak dara tak elok tidur siang.” Kali ini baru dia berpaling dan sebuah senyuman dihulurkan tapi, aku langsung tak ada hati nak balas senyumannya.
  
      “Lagi satu, rambut you tu, tolong jaga untuk suami saja.” Dia terus berlalu sehabis menuturkan ayat tersebut.
    
    Eh? Dia sebut suami ke tadi?
  
      Aku pantas berpusing memandang langkahnya yang teratur menuju ke pintu utama. Dulu, ketika zaman kanak-kanak dulu, dia memang sudah terbiasa datang dan lepak-lepak di rumah ini kerana dia memang rapat dengan Abang Ikmal. Cuma selepas Abangku yang satu itu ke luar negara, Haris sudah jarang ke sini.

        Langkah pantas aku atur mengekori langkahnya. Untuk apa, aku sendiri kurang pasti tapi aku memang tak puas hati dengan cara lelaki itu.
   
     “Assalamualaikumm...” ada suara memberi salam dan kelihatan langkah Haris terhenti di muka pintu, seolah terkejut memandang tetamu yang muncul.
    
    Tapi, aku macam kenal dengan suara itu. Pantas aku berlari anak menjenguk di belakang Haris.
      
  “Abangggg!!!!” aku terus terjerit tatkala melihat lembaga manusia yang berdiri di muka pintu.
    
    Tak peduli dengan Haris yang berdiri tegak di tengah-tengah, aku tolak tubuhnya ke tepi dan melompat keluar. Lengan Abang Ikmal menjadi sasaran cubitanku.
  
      “Tak cakap nak balik. Saja buat orang susah hati. Call banyak kali tak dapat.” Sambil membebel jemariku ligat mencubit lengannya.
  
      “Aduhhhh!!! Sakitlah sayang oiii...” Abang Ikmal pula ligat menepis.
    
    Dan, aku ketawa bahagia melihat gelagatnya. Sungguh, aku sangat-sangat rindu akan kehadirannya. Sudah lama dia pergi tanpa kembali. Hari raya pun kadangkala mama dan abah yang harus ke sana menziarahi dia. 
    
    “Ehemmm... Mal, balik cuti atau balik terus?” suara Haris mengingatkan aku yang masih ada manusia lain selain kami berdua.
   
     Haris  hulurkan tangan untuk bersalaman.
   
     “Balik terus.” Abang Ikmal jawab sambil menyambut salam yang dihulur Haris. Tiada peluk mesra seperti selalunya.
     
   Ketika itulah mama muncul dan seperti aku juga, mama terjerit kuat melihat anak bujang kesayangannya tiba-tiba berada di muka pintu.
    
    Tidak  menunggu lama, Haris meminta diri untuk pulang. Saat itu, ada rasa pelik melingkar di hatiku.  Melihat reaksi Haris menyambut kepulangan Abang Ikmal, aku rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Bukankah mereka dulu sahabat baik? Kenapa mereka berdua seperti tidak gembira bertemu antara satu sama lain?
    
    Sebaik Haris pulang, aku ekor saja langkah Abang Ikmal. Rindu nak bercerita dan mengadu banyak hal pada dia.
     
   Sampaikan dia mahu ke bilik menyimpan beg dan menukar pakaian pun aku ekor juga. Maklum saja, sejak kecil sampai dewasa, hanya dia saja abang yang aku ada.
    
    “Eh! Abang nak tukar baju ni, janganlah masuk.” Abang Ikmal menegah di muka pintu bilik.
  
      “Alaaa.. selalu tu okey jer.” Aku mula merengek.
    
    “Dira.. dulu-dulu tu Dira masih kecil. Sekarang ni Dira dah besar.”
   
     Aku terus memuncung. Macam dulu-dulu ketika masih kecil saat permintaanku dia tak tunaikan.
  
      “Okey! Masuklah.” Abang Ikmal lebarkan daun pintu bilik.
  
      “Tapi kalau nanti abang terpeluk Dira jangan salahkan abang pulak.” 
    
    Aku terus buntang mata. Tiba-tiba terasa segan bila dia bergurau begitu. Terus tersedar yang antara kami bukan mahram dan sekarang ini aku sudah dewasa, bukan lagi anak-anak remaja seperti dulu.
   
     Ya, masa dia masuk asrama, umur aku dua belas tahun. Dia jarang-jarang balik ke rumah. Lepas SPM, dia terus ke luar negara dan sehingga kini, baru kembali. Kerana terlalu rindu kenangan dulu-dulu, aku jadi lupa tentang waktu yang berlalu itu.
  
      “Dira tunggu abang kat depan. Banyak Dira nak cerita.” Aku terus berpusing dan melangkah pergi.
  
      Seketika duduk berbuai di laman rumah, Abang Ikmal datang menyertaiku. Mama pula di dapur bersama  Mak Cik Senah menyediakan juadah minum petang special untuk anak bujang kesayangannya. Tadi aku dengar, Abang Ikmal request nak makan kuih cucur badak kegemarannya.

       Duduk berdepan di atas buaian, aku mulakan cerita. Dari awal perancangan amam sehinggalah Haris mahu mempercepatkan perkahwinan kami.
    
    “Habis tu, Dira setuju?” soal Abang ikmal sebaik aku habis bercerita.
     
   “Ada ke cara untuk Dira kata tak setuju?”
   
     Abang Ikmal terdiam sejenak sebelum memandang ke wajahku lama.
      
  “Kalau abang bagi cadangan, Dira nak ikut tak?” soalnya.
    
    “Cadangan apa?”
    
    Abang Ikmal tidak terus menjawab soalanku sebaliknya memandang sekeliling seolah sedang mencari ayat yang sesuai untuk diluahkan.
   
     “Abang??” Aku tidak sabar menanti.
   
     “Beritahu mama dan abah, Dira tak mahu kahwin dengan Haris tapi Dira nak kahwin dengan abang.”
      
  “Hah????” terkejut, aku seperti mahu terjatuh dari buaian.
      
  Wajahnya aku tenung tanpa kelip. Nak kata dia bergurau, riaknya serius sekali.
      
  “Dira tak payah kahwin dengan Haris. Dira kahwin dengan abang.”  Sekali lagi bicara Abang Ikmal buatkan aku terkedu.
     
   “Abang janji akan jaga Dira dan bahagiakan Dira.”
    
    “Abangggg...” aku kehilangan kata.
    
    “Abang Janji Dira.” Abang Ikmal memintas. Serius suaranya seserius wajahnya.
      
  Aku mengeleng. Dira tahu abang akan jaga Dira dengan baik sebab selama Dira menjadi adik abang, tak pernah sekali pun abang gagal untuk menjaga Dira. Tapi, hidup sebagai adik beradik dan suami isteri adalah dua perkara yang sangat berbeza. Bagaimana untuk menghadap muka abang dan menganggap abang suami Dira sedang selama ini Dira sudah sematkan dalam hati yang abang adalah abang kandung Dira?
   
     Biarpun darah di tubuh Dira tidak sama dengan darah di tubuh abang, pertalian kasih sayang yang mengikat kita tidak mungkin mampu diubah dalam sekelip mata. Memang Dira sayang abang, tapi sayang Dira hanya sebagai seorang adik.
         
         
         
         
         
         
         

         

1 comment:

Milla Anuar said...

Eee geram ngn Haris..