FOLLOWERS

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 3

         
            ABANG IKMAL berterusan mendesakku agar berterus terang dengan mama dan abah tapi aku tak mahu. Sejak petang semalam, seboleh mungkin aku cuba mengelak dari bertembung dengan dia.
   
     Bila aku buat tak layan panggilannya, dia ketuk pula pintu bilik.
     
   “Dira...” suaranya sayu sebaik aku membuka pintu bilik.
      
  “Abang.... Dira tak boleh bagi abang masuk. Tak manis.” Aku kecilkan bukaan pintu. Hanya muat-mat tubuh aku saja berdiri di tengah ruang yang terbuka itu.
  
    “Turun bawah, atau kita keluar sekejap?”
   
   Aku mengeleng laju.
     
   “Dira, pleaseee...” Abang Ikmal mula merayu buatkan aku serba salah.
     
   Benar, aku sayangkan dia. Tapi, untuk bersetuju dengan cadangan dia, aku tak sanggup. Aku lebih rela menghadap muka Haris setiap hari dari menghadap muka dia sebagai suami.
     
   Sungguh...aku tak sanggup. Sebab dia sudah kuanggap sebagai abang sendiri.
      
  Untuk mengubah semua rasa yang sudah sedia wujud itu sangatlah payah dari menanam benih cinta yang baru terhadap Haris. Jadinya, pilihan aku ialah Haris. Titik!
     
   “Abang balik dari jauh, demi untuk Dira. Please...Kita bincang dulu?”
     
   Akhirnya aku akur. Mengikut langkahnya turun ke bawah dan kali ini kami ke bahagian belakang banglo tersebut di mana terdapatnya gazebo kecil untuk keluarga beristirehat.
     
   “Dira...” Abang Ikmal memulakan bicara sebaik kami duduk berdepan.
   
      “Abang nak Dira tahu yang abang sayang Dira sangat-sangat.”
    
    “Tapi kenapa abang tak nak baik Malaysia? Abang nak tunggu Dira keluar dari rumah ni dulu baru nak balik kan?”
    
    Dadaku tiba-tiba jadi sebak bila teringat kata-kata mama. Dengan cara mengahwiniku, aku akan keluar dari rumah ini dan Abang Ikmal boleh balik tinggal di sini. Sadis sungguh cara aku dihalau.
     
   “Dira dah salah faham. Mama pun sama.”
      
  “Tak! Dira memang faham sangat-sangat. Patutlah bila Dira tanya, abang selalu beralasan.” Aku bagai membentak. Rasa yang menujah di dada buat aku hampir hilang kawalan.
     
   Siapa yang tak sedih bila keluarga yang selama ini memberi sepenuh kasih sayang tiba-tiba berniat untuk ‘menghalau’ kita dari rumah tempat kita berteduh.
   
     Benar... keluarga ini yang telah ‘mengutip’ aku dan memberi perlindungan di saat ibu dan bapaku sendiri sudah membuangku. Tapi, adakah kerana itu, aku layak diperlakukan begini? Dihalau dengan cara yang halus.
    
    “Dira...” Abang Ikmal memanggil. Aku tidak memandnagnya kerana saat itu air jernih sudah bergenang di kelopak mataku.
     
   “Abang cintakan Dira sejak dulu. Sejak Dira masih remaja. Tapi, abang tak nak ganggu Dira sebab kita masih belajar.”
     
   Kali ini bicara Abang Ikmal berjaya menarik aku untuk mendongak memandang ke wajahnya. Nampak ketelusan di wajahnya.
    
    Dan... kali ini aku rasa mahu menangis untuk rasa cinta yang dia luahkan. Sebabnya, aku sayangkan dia tapi aku tak mampu nak balas rasa itu.
    
    “Lepas abang habis belajar, abang tak balik Malaysia sebab abang bimbang abang tak mampu kawal diri. Kita halal untuk berkahwin Dira. Tinggal sebumbung, abang bimbang nafsu menguasai fikiran.”
     
   Dua titis air mataku mengalir ke pipi dan aku seka dengan hujung jari.
       
“Abang cuma nak tunggu dua tahu lagi, sehingga Dira habis belajar dan abang akan pulang minta mama satukan kita. Tapi...” Abang Ikmal hentikan bicaranya di situ.
     
   “Mama dah salah faham.” Satu keluhan berat keluar dari bibir Abang Ikmal.
   
     “Silap abang juga sebab tak berterus terang. Pusing-pusing cerita bila mama desak abang balik ke malaysia.”
     
   “Abang...” Aku mati kata.
      
  “Abang cintakan Dira, percayalah.” Suara Abang Ikmal seperti orang yang sangat berharap. Renungan seperti tembus dari mataku sampai ke belakang kepala.
      
  Tiba-tiba...
     
   “Hah! Kat sini rupanya kamu berdua.” Suara mama yang sedang melangkah ke arah kami mengejutkan aku dan Abang Ikmal. Serentak kami berpaling.
     
   Mama terus mengambil tempat di sebelahku.
     
   “Mama dari mana?” Aku berbasa basi. Mata cuba aku sembunyikan dari pandangan mama kerana bimbang dia dapat mengesan yang aku menangis. Nanti panjang pula ceritanya.
     
   “Jumpa wedding planner dengan Datin Maria. Dah settle semua, pandai Dira pilih warna?”
      
  “Pilih Warna?” Aku kerut kening. Bila masa aku pilih? Aku tak tahu apa-apa pun.
      
  “Ha’ah. Krim dan Gold. Datin Maria kata, Haris beritahu dia Dira pilih warna tu. Cantik, mama dah tengok contohnya. Nampak mewah dan sesuai dengan kamu berdua.” Mama gengam erat tanganku.
     
   Aku pandang wajah ceria mama dan kemudia wajah sugul Abang Ikmal.
   
     Haris.... apa lagi yang kau aturkan dan menjadikan nama aku sebagai alasan?
      
  “Oh! Sebelum terlupa. Datin Maria pesan esok petang lepas habis kelas dia jemput Dira untuk fitting baju pengantin.” 
      
  Aku jadi sesak nafas tiba-tiba. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tapi, demi melihat wajah bahagia mama, aku pujuk hati sendiri. Untuk mama dan untuk keluarga ini, aku korbankan segalanya. Asalkan mereka bahagia, aku sanggup pejam mata.
     
   “Mama gembira sangat-sangat. Datin Maria tu baik dan mama percaya Dira akan bahagia menjadi sebahagian dari keluarga mereka.”
     
   Aku senyum dalam tangis mendengar harapan mama. Datin Maria itu baik, itu memang betul sebab aku kenal wanita itu lama. Keluarga kami rapat sejak sekian lama. Setap kali aku ke rumah mereka, layanan Datin maria tak pernah tak menyenangkan hatiku. Setiap bicara dan riak di wajahnya penuh keikhlasan dan kasih sayang.
      
  Tapi, kebaikan ibu mertua saja tidak mencukupi untuk memberi bahagia dalam sebuah rumahtangga. Kalau Datin Maria saja yang baik, anaknya perangai macam hantu, takkan aku nak berdiri tegak macam hantu pocong memerhati apa saja yang berlaku di depan mata?
       
Mama bercerita lagi tentang perancangan perkahwinanku dan mulutku terkunci terus.
      
  “Ma...” Abang Ikmal mencelah. Aku pandang dia dan geleng kepala.
    
    ‘Jangan abang! Jangan lenyapkan kegembiraan di wajah mama. Sebagai anak, biarlah kita berkorban.’ Itu yang aku sampaikan melalui pandangan mata.
       
“Mama dah carikan adik calon yang sesuai. Untuk abang, takde ke?”
    
    Aku lepaskan nafas lega mendengar soalan Abang Ikmal yang melencong jauh dari jangkaanku.
   
     “Eh! Nak suruh mama carikan juga ke? Ingatkan abang dah ada calon.” Mama ketawa dihujung bicaranya. Nampak sangat gembira dan aku pujuk hati untuk turut merasai kegembiraan orang yang aku sangat-sangat sayangi ini.
    
    Mama buka cerita tentang calon menantu pilihan untuk Abang Ikmal dan aku minta diri untuk naik ke atas. Bersama langkah kaki, aku berdoa semoga Abang Ikmal kekal merahsiakan perasaannya terhadapku. Kekal menjadi anak yang sentiasa menggembirakan hati orang tua kerana itu adalah dituntut dalam agama.
     
   Masuk ke bilik, telefon bimbitku yang terdampar di atas katil berdering minta diangkat. Belum sempat aku menjawab, deringan terhenti.
      
  15 miss call? Dari Haris? Ada perkara mustahak ke sampai telefon aku banyak kali ni?
    
    Belum sempat aku menghubunginya, sekali lagi telefon berdering panggilan dari dia.
     
   “Assalamualaikum...” aku lebih dulu beri salam.
     
   Senyap.
    
    “Haris? You ke atau hantu yang telefon ni? Kalau hantu, I nak letak.” Aku jadi geram bila dia berterusan diam.
     
   “You nampak tak berapa banyak miss call?”
     
   “You belum jawab salam I.” Aku saja nak main-mainkan dia. 100 kali miss call pun, aku peduli apa.
     
   “I dah jawab dalam hati.”
     
   “Okey! Ada apa?” malas nak panjang cerita, aku terus tanya tujuan dia menelefon sampai 15 kali.
      
  “Kenapa I call banyak kali tak angkat?”
     
   “I kat bawah tadi, telefon kat atas.”
   
     “Kenapa tinggalkan telefon? Kalau ada kecemesan macam mana?”
    
    Eh! Haris ni tahu ke tak dia sedang bercakap dengan siapa? Aku masih belum jadi isteri dia, dah macam-macam.
    
    “Haris.. kalau you nak tahu, I ni bukan jenis yang gantung telefon kat leher. Kalau ada kecemasan, banyak lagi cara lain nak cari I.” Aku bagi sebijik. Geram punya pasal.
   
     Kedengaran dia hela nafas kuat.
   
     “You nak apa telefon I ni? Kalau setakat nak tanya kenapa I tak kelek telefon ke hulu ke hilir, I dah jawab tadi.” Rasa menyampah pula tiba-tiba datang mempengaruhi emosi.
   
     “Boleh tak kalau you cakap elok-elok dengan I?” suaranya biasa-biasa saya tetapi entah kenapa aku rasa tersindir. Nak cakap baik-baik dengan orang macam dia, susah sikit.
    
    “Okey! Haris sayang... you telefon I ni kenapa?” Aku buat suara ala-ala perempuan gedik dan kedengaran suara ketawa di hujung sana.
      
  Aku jauhkan telefon dari telinga. Tangan naik memegang dada sendiri. Kenapa tiba-tiba ada debar saat mendengar tawa itu?
      
  “Haris tu serius sentiasa. Tapi bila dia senyum dan ketawa, melting habis.” Teringat kata-kata seorang teman sekelas waktu di zaman sekolah dulu.
     
   Memang sejak di alam sekolah, lelaki yang bernama Haris ni menjadi kegilaan ramai kerana identitinya yang begitu. Serius tetapi ada daya tarikan yang tersendiri.
   
     “Dira sayang... esok petang umi akan jemput you untuk fitting baju. Jangan ke mana-mana.”
    
    “Telefon I berbelas kali, nak cakap itu aje?” Aku mencebik. Kalau hanya nak cakap itu, baik tak payah. Sebab aku dah tahu awal lagi.
   
     “Lagi satu....” Haris hentikan bicaranya tergantung begitu.
  
      “Apa?”
    

    “I nak dengar suara you.” Talian terus diputuskan tanpa ucap salam.

       Aku terus terkedu. Suara aku, tak merdu pun. Tapi, kenapa dia nak dengar?
  
      Tiba-tiba hatiku terasa lain. Wajah dia, ada di mana-mana melekat di dinding bilik. Tapi, aku harus sedar diri, Haris itu bagai merak kayangan dan aku ini enggang di rimba. Mana nak setanding duduk bersama. 
   
     Aku pejam mata. Tiba-tiba telefon di tangan bergegar menandakan ada pesanan ringkas masuk.
             
            Haris bukanlah calon yang sesuai
            untuk Dira. Percayalah....
            Abang tak nak Dira terluka nanti.
         
        Pesanan dari Abang Ikmal aku baca dengan perlbagai rasa menejah ke hati. Kalau Haris bukan calon yang sesuai, siapa pula yang sesuai? Abang Ikmal?
Antara mereka berdua, aku sanggup pilih Haris. Ini satu pengorbanan untuk orang-orang yang aku sayang.
                   
            Dira pilih dia, demi mama dan keluarga.
         
        Aku tekan send dan talian terus aku matikan. Biar Abang Ikmal tahu, aku pilih Haris bukan sebab diri sendiri tapi sebab aku sayangkan keluarga ini.
         

         

1 comment:

Milla said...

Mesti abg ikmal tau rahsia haris tu ek