PAGI itu Fatia rasa mood
malasnya menempel di seluruh tubuh. Lepas solat subuh, dia sambung tidur. Entah
berapa lama, tidurnya terganggu dengan panggilan telefon.
“Saya ada kat depan rumah awak ni, tolong turun sekarang.”
Suara Hareez di hujung talian buatkan Fatia terus terbangun.
“Hah! Depan rumah? Buat apa kat depan rumah saya pagi-pagi
buta ni? Saya belum bangun lagi la,” balas Fatia.
“Oh! Takpe. Kalau belum bangun, saya masuk kejutkan awaklah.
Saya memang suka bab-bab kejutkan orang tidur ni, lebih-lebih lagi kalau yang
tidur tu awak. Silap haribulan, saya turut tidur kat sebelah awak.” Hareez
gelak di hujung bicaranya.
“Eh! Tak kelakar yer.”
“Bila masa saya kata saya buat lawak?”
“Isk! Eeee...” Fatia dah tak tahu nak balas apa.
“Cepat turun!” Ayat bernada arahan dari Hareez.
“Awal lagi laaa.... butik pun belum buka lagi.” Fatia
menjeling jam loceng di sisi katil. Baru pukul sembilan pagi.
“Saya dah janji dengan tuan punya butik tu nak tolong dia
buka pintu kedai,” balas Hareez. Bercakap dengan Fatia harus bijak bermain
kata.
“Awak ni, ada jer jawapan. Kalau jadi lawyer, agaknya semua kes awak boleh menang.” Fatia sudah geram.
“Tu salah satu sebab saya tak jadi lawyer. Nanti orang lain tak boleh cari makan.” Masih bersahaja
Hareez membalas.
“Saya dah penat berdiri ni. Cepat sikit,” sambungnya lagi,
menggesa Fatia. Dia sudah lama berdiri di sisi keretanya yang terparkir di
depan rumah sewa cik tunang.
“Siapa suruh berdiri?”
“Saya bagi lima belas minit. Kalau awak tak turun dalam
tempoh tu, saya masuk gegar pintu.” Lembut tetapi bernada ugutan Hareez
bersuara sebelum memutuskan talian.
“Isk! Suka mengugut!” Fatia mengomel sendiri sambil melihat
skrin telefon sendiri.
Cepat-cepat dia bergegas ke bilik air. Bimbang jika Hareez
mengotakan apa yang dikata. Nanti apa pula kata housematenya yang lain.
Masa yang diberi Hareez tinggal lagi seminit, kelibat Fatia
sudah kelihatan di muka pintu. Hareez senyum. Wanita seperti Fatia tidak perlu
masa yang lama untuk bersiap kerana wanita itu bukan jenis yang sakan bergaya
dengan make-up tebal seinci.
Kesederhanaan itulah yang membuatkan hatinya makin jatuh suka.
Dia pernah hidup dengan wanita cerewet seperti Melisa yang
memerlukan masa berjam-jam di depan cermin untuk bersiap. Cukuplah sekali
pengalaman itu, dia tidak sanggup lagi untuk menempuhinya lagi.
Masuk ke dalam kereta, Fatia terkumat kamit membebel. Entah
apa yang dibebelkan tidak jelas di telinga Hareez.
“Awak baca jampi serapah apa tu? Tak payahlah nak
jampi-jampi, saya memang nak kahwin dengan awak pun,” senda Hareez.
“Eh! Perasannya. Tak hinginnya nak jampi awaklah.” Fatia
menjeling.
“Habis tu, mulut kumat kamit macam orang baca jampi tu apa?”
“Saya tengah marah, okey!” Jawapan Fatia menghantar rasa
lucu ke hati Hareez. Dia simpan senyum.
“Macam tu ke rupa awak bila marah? Kalau gitu, awak marah
selalu pun saya tak kisah,” balas Hareez.
“Kenapa?” Fatia pantas menoleh pandang. Sisi wajah Hareez
yang tenang memandu menjadi sasaran matanya.
“Selalu orang perempuan kalau marah main baling-baling
barang, hentak-hentak kaki atau jerit-jerit macam nak pecah anak telinga. Tapi,
awak ni hanya mulut jer nampak gerak-gerak, suara tak keluar pun. Okeylah kalau
gitu.”
Bulat mata Fatia mendengar penjelasan Hareez.
Senget betul la dia ni. Kang kalau dia
jerit, takut pula anak telinga lelaki ni terjojol keluar. Kan kalau hentak-hentak
kaki, takut pula roboh kereta mewah ni. Sudahnya dia diam saja sehingga sampai
ke butik pengantin.
Di butik pula, Fatia sekali lagi naik geram dengan Hareez.
Cerewetnya mengalahkan perempuan. Mengomel itu dan ini. Boleh dikatakan semua
benda tak kena di matanya.
“Kita makan dulu,” ujar Hareez ketika keluar dari butik pengantin
menuju ke kereta setelah selesai semuanya. Di situ saja sudah mengambil masa
tiga jam. Haih! Buang masa saja.
“Tu ayat tanya atau ayat arahan?” soal Fatia
tanpa menoleh. Langkahnya terus ke pintu kereta sebelah penumpang.
“Kat belakang ayat tu, tak ada tanda soal. So...” Hareez gantung ayatnya di situ.
Keningnya diangkat dengan senyuman meleret. Tangannya bergerak membuka pintu
kereta untuk Fatia masuk.
Fatia angkat tangan kasar berpeluk tubuh tanda
tidak suka. Bibirnya diherotkan dengan kedua pipinya dikembungkan petanda dia
sedang marah tetapi tak kuasa nak bersuara.
Hareez gelak sakan melihat reaksi Fatia. Macam
ikan emas yang sedang bernafas dan mengeluarkan gelembung udara di dalam air.
“Masuklah.
Ke, awak nak drive?” Hareez memberi isyarat agar Fatia masuk ke dalam
kereta.
“Tak kuasa!” balas Fatia sambil
mendengus geram sebelum meloloskan diri masuk di tempat penumpang. Tak kuasa
dia nak drive tengah hari buta di bandar KL yang penuh sesak dengan
kenderaan itu.
“Lepas makan kita pilih kad.” Hareez bersuara sebaik kereta
berada di atas jalan raya.
“Alaaa... kenapa nak tergesa-gesa ni. Kita bukannya nak
kahwin esok.” Fatia berpusing. Sisi wajah Hareez dipandang sesaat.
“Memang bukan esok, tapi kalau nak ajak awak keluar
mengalahkan nak bawa Puteri Santubong keluar dari istana, sebulan lagi pun saya
rasa macam dah esok nak langsung.” Sekilas Hareez menoleh bersama sebuah
senyuman manis.
Saat itu, Fatia rasa
degup jantungnya bagai terhenti beberapa detik. Entah kenapa, cara Hareez
memandang dan tersenyum begitu, buat hatinya berdebar. Itulah yang dia paling
takut. Takut hatinya melompat keluar dan tidak ingin kembali ke tempat asal.
Sehingga tiba di depan restoran Cinta Sayang, Fatia tidak
lagi bersuara. Bimbang jika nada yang keluar tidak selari dengan rasa di hati
dan minda yang berfikir.
Masuk ke restoran tersebut, Hareez
ditegur ramah oleh penjaga kaunter. Macam mereka dah kenal mesra.
“Lama tak nampak Encik? Wahhh... hari ni bawa buah hati yer.” Tegur wanita
berambut perang yang duduk tersengih di depan kaunter bayaran.
“Bukan buah hati. Ni buah kelubi.” jawab Hareez selamba. Pekerja tersebut tergelak kuat.
“Bos ada?” soal Hareez.
“Dia baru jer keluar Encik Hareez.”
Hareez angguk kepala dan melangkah ke arah meja yang kosong.
Fatia tanpa banyak soal, mengekor saja walau hatinya sudah mendongkol geram.
Ada ke patut panggil dia buah kelubi.
“Kenapa awak cakap saya macam tu?” soal Fatia sebaik mereka
duduk bertentang di meja makan.
“Macam apa?” Hareez buat-buat tak faham walhal dia tahu saja
apa yang Fatia maksudkan.
“Buah kelubi.”
“Buah kelubi rasa apa?” Hareez bersoal balik.
“Masam.”
“Hah! Samalah tu.” Senyum senget terukir di bibirnya.
“Apa yang sama?” soal Fatia lagi.
“Sama macam muka awak bila bersama saya. Masam macam buah
kelubi.” Hareez tanyang sengih.
Fatia kacip gigi, geram! Belum sempat membuka mulut, pelayan
sudah tercegat di tepi meja dengan menu di tangan.
“Lama tak datang Encik Hareez,” tegur pelayan lelaki
tersebut.
“Busy sikit. Mmm...bagi saya macam biasa jer,” ujar
Hareez dan memandang Fatia.
“Cik Sayang nak makan apa?” meleret suaranya memanggil Cik Sayang.
Mata Fatia membulat. Tak suka bila Hareez mula balik
memanggilnya dengan panggilan tersebut.
“Apa-apa jerlah.” Fatia menjawab malas. Menu yang dihulur
diletakkan ke tepi. Malas bercampur bengang.
“Apa-apa ada tak kat sini?” soal Hareez pada pelayan
tersebut. Serius wajahnya seolah soalan tersebut memang sangat serius.
“Takde Encik. Tapi, kalau Cik Sayang ni nak juga, saya kena
pergi order kat restoran lain,” jawab pelayan tersebut juga dengan wajah
yang serius.
“Oiit! Sayang jangan sebut yer. Saya sorang jer boleh panggil dia sayang.” Hareez pantas menegur.
Badannya terus menegak.
“Oooo... saya ingat nama dia Cik Sayang.” Pelayan tersebut
menyengih lebar.
Fatia yang jadi pemerhati sudah angin satu badan. Rasa nak
tendang aje kaki Hareez yang ada kat bawah meja tu. Suka sangat main-mainkan
dia.
“Bagi saya nasi goreng kampung,” tegas Fatia dengan wajah
mencuka. Malas dia nak melayan dua manusia yang sedang mempermainkannya itu.
“Okey, tapi nak kena tunggu lama sikit,” balas pelayan tersebut
sambil menulis apa yang dipesan.
“Kenapa?” Spontan Fatia bertanya.
“Sebab nak kena balik kampung dulu dapatkan nasi tu.”
Hareez ketawa kuat. Budak pelayan tu pula tersengih-sengih. Isk! Fatia rasa macam nak pijak-pijak jer dua mamat ni.
“Oh! Ya, tambah telur mata kerbau untuk saya.” Hareez
menambah pesanan.
“Awak nak juga ke? Telur mata kerbau kat sini special
tau.” Pandangan Hareez beralih pada Fatia.
“Apa yang specialnya?” Polos Fatia bertanya. Tak
pernah pula dia dengar telur mata kerbau special. Kalau masakan lain tu
ada la yang specialnya.
“Sebab mata dia boleh kelip-kelip macam mata awak bila
marah.” Hareez simpan senyum manakala budak pelayan tadi sudah terkekek ketawa.
Kurang asam! Berdecit mulut Fatia menahan geram.
“Jangan senyum! Saya tengah marah!”
Fatia memberi amaran pada Hareez yang sedang tersenyum sebaik budak pelayan itu
pergi.
“Gurau ajelah, takkan itu pun nak marah.”
“Saya tak ada mood
nak bergurau.” Fatia menjeling geram.
“Tia... gurau senda boleh bawa bahagia. Trust me,
awak akan bahagia hidup bersama saya.” Nada Hareez tiba-tiba berubah tonasi.
Fatia terdiam. Matanya tepat menatap seraut wajah Hareez
yang mula serius. Akan bahagiakah dia bersama lelaki ini?
“Ketawalah, selagi kita masih berupaya untuk ketawa kerana
hidup ini bukan sekadar untuk kita tangisi apa yang telah berlaku.” Wajah Fatia
dipandang seketika.
“Apa yang melukakan, telan semuanya dan hadam. Apa yang
membahagiakan, simpan di tempat yang senang untuk dilihat supaya kita tidak
lupa bagaimana rasanya bahagia dan bagaimana untuk tersenyum.”
Terpana, Fatia seperti terpukau dengan kata-kata manis dari
bibir Hareez. Benar, hidup ini bukan sekadar untuk kita tangisi dan sesali
tentang apa yang melukakan.
Fatia harus akui, sejak mengenali Hareez, banyak yang dia
belajar tentang prinsip hidup. Benar, dia tak kenal sangat latar belakang lelaki
ini tapi dari pemerhatiannya, Hareez suka mengusik. Tapi kadangkala bicara
Hareez boleh buat jantungnya gugur jatuh ke lantai. Ada ketikanya, dia rasa
bibir Hareez ada kebun tebu sebab bicaranya sering manis bergula.
6 comments:
sengal lah fareez....tetiba rasa nak makan teluq mata kerbau gak lah.....
Hareez yg menyembunyikan duka dlm wajah cerianya....pity hareez....
Like ... Gudluck kaq hany
Amazing Article, Incredible writing style. i really liked the way you represent the content.
fingerPrint Plus Card provider in bhubaneswar
Cerita yang menarik... ada plan nak publish dengan publisher mana-mana ke?
i tau dah thun 2015..which mean yg i lambat but seriously CERITE NY BEST!!! hahaha soorry writer
Post a Comment