Rihana hanya diam, menahan rasa geram yang mengasak di hati. Hakim
pula hanya duduk memandang ke depan sambil berpeluk tubuh. Badannya bersahaja
disandar ke belakang tempat duduk. Santai semacam, seolah sedang menikmati
suasana di tepi pantai
“Kenapa tak lari?” Hakim menyoal tiba-tiba setelah masing-masing
diam agak lama.
“Kenapa? You harimau ke I
nak kena lari,” balas Rihana dengan soalan bernada sinis.
Hakim senyum. Badannya dipusingkan ke arah Rihana. Kaki kanannya
ditarik sila ke atas tempat duduk membuatkan kedudukannya betul-betul mengadap
Rihana. Belakangnya disandar ke pintu kereta pula.
Rihana hari ini dengan Rihana yang dia kenal dulu jauh sekali
bezanya. Dulu, bicara Rihana selalu manja sehingga setiap kali mendengar Rihana
bersuara, degup jantungnya boleh bertukar rentak serta merta. Kini, bicara
Rihana sentiasa sinis.
“Kalau I harimau, you akan
jadi orang pertama yang I terkam dulu. Sebab...” Hakim hentikan bicara di
situ. Badannya dicondong ke kiri dan
siku di tongkat ke dashboard supaya
matanya boleh melihat wajah Rihana yang tegak memandang ke depan dengan jelas.
“Tengok you berbalut macam
ni pun dah nampak sangat menyelerakan, macam ayam panggang.” Hakim senyum.
Sebut tentang ayam panggang, kenangan indah di kondo Rihana
menggamit ingatannya. Waktu itu, dia sedang mempengerusikan meeting di pejabat dan telefonnya
bergegar menerima pesanan ringkas dari Rihana.
‘Hakim.... I demam.’
Pesanan yang diterima itu buatkan dia sentap. Meeting terus ditangguhkan. Tanpa lengah, dia bergegas ke kondo
Rihana. Dia tahu tempat tinggal Rihana kerana telah beberapa kali dia
menghantar wanita itu pulang.
Melihat Rihana yang membuka pintu menyambut kedatangannya, mata
Hakim bagaikan tidak pandai untuk berkelip. Baju tidur kain satin bertali halus
warna biru turquoise paras lutut yang
Rihana pakai itu buatkan badan Hakim seram sejuk menahan gelora di dada.
“You kenapa sayang?” Hakim
raba dahi Rihana.
Panas! Rasa ghairahnya terus bertukar risau.
“I demammmmm...” Rihana seakan merengek. Langkahnya diatur masuk
diikuti oleh Hakim di belakang. Tanpa sepatah kata, Rihana terus merebahkan
badannya ke sofa panjang di ruang tamu dengan mata yang sudah terpejam rapat.
Melihat baju tidur Rihana yang terselak ke atas, Hakim telan liur
berkali-kali. Tengok Rihana yang begitu, dah macam nampak ayam panggang Kenny
Rogers. Sangat menyelerakan. Nasib baiklah waktu itu Rihana kelihatan lemah
sekali. Jika tidak, memang sudah habis dia kerjakan.
Tak tahu kenapa, dengan Rihana dia akan bertukar menjadi lelaki
baik-baik yang selalu mendengar kata. Kalau Rihana kata tak boleh, dia tak akan
buat. Apa saja yang tersebut di bibir Rihana, semuanya dia akan lakukan. Dia
rasa satu kepuasan bila dapat membuatkan Rihana gembira dan bahagia.
Berbeza dia dengan Nelly. Sudah berkali-kali Nelly mengajak ke Bandung
untuk mencari kad perkahwinan mereka tetapi dia buat tak tahu saja. Kalau dulu
dengan Rihana, setiap minggu mereka ke Singapura atau Bali hanya sekadar untuk makan malam.
Bila difikirkan, memang satu kegilaan yang sangat kronik. Bukan saja
kronik, kalau dibawa ke hospital pun, rasanya semua doktor akan angkat tangan
sebab tak berani nak ambil kes dia. Parah yang hanya menunggu masa untuk
menamatkan riwayat.
“Rin.. you dah makan ubat
ke belum ni.” Hakim duduk mencangkung. Tangannya meraba dahi dan juga leher
Rihana. Terasa membahang panas.
Rihana hanya mengangguk tanpa membuka matanya. Melihat keadaan itu
Hakim terus mencempung tubuh Rihana masuk ke dalam bilik. Sebaik diletakkan ke
atas katil, dia lihat Rihana menggigil. Pantas diselimutkan dan dipeluk erat
dengan harapan kesejukan Rihana dapat dikurangkan.
Apabila nampak Rihana sudah reda, Hakim bergerak ke dapur. Satu
kegilaan lagi, dia sanggup memecahkan rekod menyinsing lengan baju memasak
bubur untuk Rihana. Kalaulah mama dia tengok dia memasak begitu, mahunya
pengsan lima kali.
“I tak nak makan buburrrrr..” Rihana merengek apabila dikejutkan
untuk makan setelah bubur masak.
“Habis tu you nak makan
apa? Kena makan sikit sayang, bagi ada tenaga. Perut tu, kalau kosong nanti
masuk angin.” Hakim memujuk. Dah rupa suami mithali memujuk isteri yang sedang
sakit.
“I rasa nak makan ayam pangganggggg.” Rihana merengek lagi.
Kepalanya di rebahkan ke bahu Hakim.
Wah! Tinggi sungguh selera. Sakit-sakit macam ni pun nak makan ayam
panggang. Tapi, Hakim rasa bahagia. Baru
dia tahu rupanya Rihana sangat manja apabila sakit.
Okey! Dia kembali ke dapur. Nasib baik ada ayam dan ada Internet.
Buat pertama kali dalam hidup, dia masak ayam panggang ikut resipi di Internet.
Nak kata sedap sangat tak juga tapi bolehlah untuk dimakan.
Yang membuatkan dia sangat bahagia apabila Rihana makan habis ayam
yang dipanggangnya. Satu kebetulan yang sangat istimewa, selera Rihana sama
dengan seleranya, suka makan ayam dan daging gril atau panggang.
Duduk bersila di atas katil mengadap satu sama lain sambil saling
menyuap, saat indah yang tak pernah mampu Hakim padamkan dari ruang ingatannya.
Dia rasa bahagia sungguh. Kalau boleh, dia mahu hentikan waktu agar mereka
boleh terus duduk begitu.
Seketika kemudian, tubuh Rihana sudah berpeluh tetapi entah kenapa,
dalam keadaan Rihana yang belum mandi pagi dan juga berpeluh begitu, hidung
Hakim kata Rihana wangi saja. Dalam keadaan Rihana yang sakit dengan rambut
yang kusut begitu, mata Hakim kata Rihana sangat cantik. Parah kan? Hakim
senyum sendiri.
“You nak apa sebenarnya ni?” soalan Rihana yang datangnya dari arah
sebelah buatkan lamunan Hakim terus terhenti. Rupanya, dia sedang mengelamun
mengingati kisah lama.
“Hah? Mmmm... tentang tawaran I tu.” Tergagap-gagap Hakim menjawab.
Hanya itu yang terlintas di otaknya. Sebenarnya, tujuan dia menunggu Rihana
petang ini hanyalah untuk melihat wajah Rihana yang sangat dia rindu. Walau
baru bertemu, dia rasa macam tak puas.
“Tawaran yang mana? I ada
lebih sepuluh tawaran daripada you.”
“Wow! Sebegitu banyak? Kenapa I tak perasan ya?” Hakim senyum lebar.
Sebegitu banyakkah tawaran dia pada Rihana? Entah! Dia pun tak ingat.
“Pasal kerja.”
Rihana tarik nafas. Hakim ni kadangkala suka mendesak. Selagi dia
tak dapat apa yang dia nak, selagi itulah dia akan minta dan desak.
“You sendiri kata call you
jika I ubah fikiran kan? Kalau I tak call
you tu, maknanya I tak ubah fikiranlah.”
“Kenapa you susah sangat
nak terima tawaran I? I bukan nak suruh you
buat kerja jahat. I cuma nak you
kerja dengan I saja. Apa yang company
kecil ni boleh bagi you?” tukas Hakim
pantas. Penolakan Rihana yang berkali-kali membuatkan dia rasa makin tercabar.
“Bukan masalah kecil atau besar Hakim. Masalahnya I tak minat. You faham tak perkataan TAK MINAT tu?
Atau I nak kena beli kamus dewan bagi you?”
Rihana mula naik geram. ‘Tak minat’ tu huruf besar sebab dia tekankan perkataan
tu.
Berdebat dengan Hakim, dia perlu ketahanan mental yang tinggi. Kalau
tidak, memang dia akan kalah tanpa mampu mengeluarkan suara.
“Okey! Kalau I kata tak minat dengan tawaran lumayan you tu, mungkin you kata I bodoh. Honestly
speaking, I bukan tak minat dengan tawaran you tapi I tak minat untuk bekerja dengan you.” Sambung Rihana, menjelaskan apa yang sebenarnya ada di kepala
dia.
Bekerja dengan Hakim, dia takut hatinya tidak kuat. Hakim kalau bab
merayu dan menggoda, boleh lemah seluruh badan.
Hakim diam. Hatinya sedikit terasa bila Rihana kata begitu. Teruk
sangatkah dia di mata Rihana? Kalau perempuan lain, tak payah nak desak-desak
macam ni, tentu sudah tergedik-gedik nak kerja dengan dia. Tapi Rihana lain dan
kelainan Rihanalah yang membuatkan dia tak boleh nak buang wanita ini dari
ingatannya.
“I dah nak balik, dah dekat nak masuk Maghrib dah ni,” ujar Rihana agar Hakim turun dari keretanya.
“Baliklah.” Mudah sungguh jawapan Hakim tetapi dia langsung tidak
berganjak dari duduknya yang masih bersandar di pintu mengadap ke arah Rihana.
Geramnya Rihana melihat keselambaan Hakim. Kenapalah dia ni degil
sangat? Kenapalah dia boleh terlibat dengan lelaki sebegini?
“You tak takut ke kalau
orang nampak you berduaan dengan I
dan sampai ke telinga tunang you?”
Hah! Baru Rihana teringat tentang kisah pertunangan lelaki ini.
“Tak takut. Tunang I tu sporting.”
Masih bersahaja, Hakim memberi jawapan mudah. Tapi, dia gelak dalam hati dengan
jawapannya sendiri. Sporting
sangatlah Nelly tu. Kalau tunangannya itu tahu, bukan satu rumah dia amuk,
mahunya satu bandar Kuala Lumpur bergegar dek amukannya. Bukan saja Tan Sri Idham dan Puan Sri Kamila yang terloncat sampai ke bintang, Datuk Adam dan
Datin Azura juga akan terloncat sampai ke bulan.
“Hakim..”
“Ya, sayang.” Hakim memintas sebelum sempat Rihana menghabiskan
ayatnya. Senyumnya terukir di bibir. Dia sangat suka memanggil Rihana begitu.
Tak tahu kenapa.
Rihana mengeluh panjang.
“I nak balik, tolonglah.” Tekan Rihana dengan tujuan menghalau Hakim
keluar.
“Baliklah.” Sekali lagi Hakim memberi jawapan mudah.
“You tak keluar macam mana
I nak balik?” Rihana kacip gigi tahan geram. Rasa nak lepuk aje kepala Hakim
yang bengap ni.
“I ikut you baliklah.”
Masih selamba, Hakim memberi jawapan yang membuatkan Rihana sudah hilang
seluruh sabarnya. Nak ikut balik ya? Okey! Aku bawa kau balik.
3 comments:
♥
best la kak walau pun dah pernah baca macam x puas aje nak baca lg .
adoi la hakim...sian kat rin tau
Post a Comment