FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan - Bab 5

Rihana hanya diam, menahan rasa geram yang mengasak di hati. Hakim pula hanya duduk memandang ke depan sambil berpeluk tubuh. Badannya bersahaja disandar ke belakang tempat duduk. Santai semacam, seolah sedang menikmati suasana di tepi pantai

“Kenapa tak lari?” Hakim menyoal tiba-tiba setelah masing-masing diam agak lama.

“Kenapa? You harimau ke I nak kena lari,” balas Rihana dengan soalan bernada sinis.

Hakim senyum. Badannya dipusingkan ke arah Rihana. Kaki kanannya ditarik sila ke atas tempat duduk membuatkan kedudukannya betul-betul mengadap Rihana. Belakangnya disandar ke pintu kereta pula.

Rihana hari ini dengan Rihana yang dia kenal dulu jauh sekali bezanya. Dulu, bicara Rihana selalu manja sehingga setiap kali mendengar Rihana bersuara, degup jantungnya boleh bertukar rentak serta merta. Kini, bicara Rihana sentiasa sinis.

“Kalau I harimau, you akan jadi orang pertama yang I terkam dulu. Sebab...” Hakim hentikan bicara di situ.  Badannya dicondong ke kiri dan siku di tongkat ke dashboard supaya matanya boleh melihat wajah Rihana yang tegak memandang ke depan dengan jelas.

“Tengok you berbalut macam ni pun dah nampak sangat menyelerakan, macam ayam panggang.” Hakim senyum.
Sebut tentang ayam panggang, kenangan indah di kondo Rihana menggamit ingatannya. Waktu itu, dia sedang mempengerusikan meeting di pejabat dan telefonnya bergegar menerima pesanan ringkas dari Rihana.

Hakim.... I demam.’

Pesanan yang diterima itu buatkan dia sentap. Meeting terus ditangguhkan. Tanpa lengah, dia bergegas ke kondo Rihana. Dia tahu tempat tinggal Rihana kerana telah beberapa kali dia menghantar wanita itu pulang.

Melihat Rihana yang membuka pintu menyambut kedatangannya, mata Hakim bagaikan tidak pandai untuk berkelip. Baju tidur kain satin bertali halus warna biru turquoise paras lutut yang Rihana pakai itu buatkan badan Hakim seram sejuk menahan gelora di dada.

You kenapa sayang?” Hakim raba dahi Rihana.

Panas! Rasa ghairahnya terus bertukar risau.

“I demammmmm...” Rihana seakan merengek. Langkahnya diatur masuk diikuti oleh Hakim di belakang. Tanpa sepatah kata, Rihana terus merebahkan badannya ke sofa panjang di ruang tamu dengan mata yang sudah terpejam rapat.

Melihat baju tidur Rihana yang terselak ke atas, Hakim telan liur berkali-kali. Tengok Rihana yang begitu, dah macam nampak ayam panggang Kenny Rogers. Sangat menyelerakan. Nasib baiklah waktu itu Rihana kelihatan lemah sekali. Jika tidak, memang sudah habis dia kerjakan.

Tak tahu kenapa, dengan Rihana dia akan bertukar menjadi lelaki baik-baik yang selalu mendengar kata. Kalau Rihana kata tak boleh, dia tak akan buat. Apa saja yang tersebut di bibir Rihana, semuanya dia akan lakukan. Dia rasa satu kepuasan bila dapat membuatkan Rihana gembira dan bahagia.

Berbeza dia dengan Nelly. Sudah berkali-kali Nelly mengajak ke Bandung untuk mencari kad perkahwinan mereka tetapi dia buat tak tahu saja. Kalau dulu dengan Rihana, setiap minggu mereka ke Singapura atau Bali hanya  sekadar untuk makan malam.

Bila difikirkan, memang satu kegilaan yang sangat kronik. Bukan saja kronik, kalau dibawa ke hospital pun, rasanya semua doktor akan angkat tangan sebab tak berani nak ambil kes dia. Parah yang hanya menunggu masa untuk menamatkan riwayat.

“Rin.. you dah makan ubat ke belum ni.” Hakim duduk mencangkung. Tangannya meraba dahi dan juga leher Rihana. Terasa membahang panas.

Rihana hanya mengangguk tanpa membuka matanya. Melihat keadaan itu Hakim terus mencempung tubuh Rihana masuk ke dalam bilik. Sebaik diletakkan ke atas katil, dia lihat Rihana menggigil. Pantas diselimutkan dan dipeluk erat dengan harapan kesejukan Rihana dapat dikurangkan.

Apabila nampak Rihana sudah reda, Hakim bergerak ke dapur. Satu kegilaan lagi, dia sanggup memecahkan rekod menyinsing lengan baju memasak bubur untuk Rihana. Kalaulah mama dia tengok dia memasak begitu, mahunya pengsan lima kali.

“I tak nak makan buburrrrr..” Rihana merengek apabila dikejutkan untuk makan setelah bubur masak.

“Habis tu you nak makan apa? Kena makan sikit sayang, bagi ada tenaga. Perut tu, kalau kosong nanti masuk angin.” Hakim memujuk. Dah rupa suami mithali memujuk isteri yang sedang sakit.

“I rasa nak makan ayam pangganggggg.” Rihana merengek lagi. Kepalanya di rebahkan ke bahu Hakim.

Wah! Tinggi sungguh selera. Sakit-sakit macam ni pun nak makan ayam panggang.  Tapi, Hakim rasa bahagia. Baru dia tahu rupanya Rihana sangat manja apabila sakit.

Okey! Dia kembali ke dapur. Nasib baik ada ayam dan ada Internet. Buat pertama kali dalam hidup, dia masak ayam panggang ikut resipi di Internet. Nak kata sedap sangat tak juga tapi bolehlah untuk dimakan.

Yang membuatkan dia sangat bahagia apabila Rihana makan habis ayam yang dipanggangnya. Satu kebetulan yang sangat istimewa, selera Rihana sama dengan seleranya, suka makan ayam dan daging gril atau panggang.

Duduk bersila di atas katil mengadap satu sama lain sambil saling menyuap, saat indah yang tak pernah mampu Hakim padamkan dari ruang ingatannya. Dia rasa bahagia sungguh. Kalau boleh, dia mahu hentikan waktu agar mereka boleh terus duduk begitu.

Seketika kemudian, tubuh Rihana sudah berpeluh tetapi entah kenapa, dalam keadaan Rihana yang belum mandi pagi dan juga berpeluh begitu, hidung Hakim kata Rihana wangi saja. Dalam keadaan Rihana yang sakit dengan rambut yang kusut begitu, mata Hakim kata Rihana sangat cantik. Parah kan? Hakim senyum sendiri.



 “You nak apa sebenarnya ni?” soalan Rihana yang datangnya dari arah sebelah buatkan lamunan Hakim terus terhenti. Rupanya, dia sedang mengelamun mengingati kisah lama.

“Hah? Mmmm... tentang tawaran I tu.” Tergagap-gagap Hakim menjawab. Hanya itu yang terlintas di otaknya. Sebenarnya, tujuan dia menunggu Rihana petang ini hanyalah untuk melihat wajah Rihana yang sangat dia rindu. Walau baru bertemu, dia rasa macam tak puas.

 “Tawaran yang mana? I ada lebih sepuluh tawaran daripada you.”

“Wow! Sebegitu banyak? Kenapa I tak perasan ya?” Hakim senyum lebar. Sebegitu banyakkah tawaran dia pada Rihana? Entah! Dia pun tak ingat.

“Pasal kerja.”

Rihana tarik nafas. Hakim ni kadangkala suka mendesak. Selagi dia tak dapat apa yang dia nak, selagi itulah dia akan minta dan desak.

“You sendiri kata call you jika I ubah fikiran kan? Kalau I tak call you tu, maknanya I tak ubah fikiranlah.”

“Kenapa you susah sangat nak terima tawaran I? I bukan nak suruh you buat kerja jahat. I cuma nak you kerja dengan I saja. Apa yang company kecil ni boleh bagi you?” tukas Hakim pantas. Penolakan Rihana yang berkali-kali membuatkan dia rasa makin tercabar.

“Bukan masalah kecil atau besar Hakim. Masalahnya I tak minat. You faham tak perkataan TAK MINAT tu? Atau I nak kena beli kamus dewan bagi you?” Rihana mula naik geram. ‘Tak minat’ tu huruf besar sebab dia tekankan perkataan tu.

Berdebat dengan Hakim, dia perlu ketahanan mental yang tinggi. Kalau tidak, memang dia akan kalah tanpa mampu mengeluarkan suara.

“Okey! Kalau I kata tak minat dengan tawaran lumayan you tu, mungkin you kata I bodoh. Honestly speaking, I bukan tak minat dengan tawaran you tapi I tak minat untuk bekerja dengan you.” Sambung Rihana, menjelaskan apa yang sebenarnya ada di kepala dia.

Bekerja dengan Hakim, dia takut hatinya tidak kuat. Hakim kalau bab merayu dan menggoda, boleh lemah seluruh badan.

Hakim diam. Hatinya sedikit terasa bila Rihana kata begitu. Teruk sangatkah dia di mata Rihana? Kalau perempuan lain, tak payah nak desak-desak macam ni, tentu sudah tergedik-gedik nak kerja dengan dia. Tapi Rihana lain dan kelainan Rihanalah yang membuatkan dia tak boleh nak buang wanita ini dari ingatannya.

“I dah nak balik, dah dekat nak masuk Maghrib dah ni,” ujar Rihana agar Hakim turun dari keretanya.

“Baliklah.” Mudah sungguh jawapan Hakim tetapi dia langsung tidak berganjak dari duduknya yang masih bersandar di pintu mengadap ke arah Rihana.

Geramnya Rihana melihat keselambaan Hakim. Kenapalah dia ni degil sangat? Kenapalah dia boleh terlibat dengan lelaki sebegini?

You tak takut ke kalau orang nampak you berduaan dengan I dan sampai ke telinga tunang you?” Hah! Baru Rihana teringat tentang kisah pertunangan lelaki ini.

“Tak takut. Tunang I tu sporting.” Masih bersahaja, Hakim memberi jawapan mudah. Tapi, dia gelak dalam hati dengan jawapannya sendiri. Sporting sangatlah Nelly tu. Kalau tunangannya itu tahu, bukan satu rumah dia amuk, mahunya satu bandar Kuala Lumpur bergegar dek amukannya. Bukan saja Tan Sri Idham dan Puan Sri Kamila yang terloncat sampai ke bintang, Datuk Adam dan Datin Azura juga akan terloncat sampai ke bulan.

“Hakim..”

“Ya, sayang.” Hakim memintas sebelum sempat Rihana menghabiskan ayatnya. Senyumnya terukir di bibir. Dia sangat suka memanggil Rihana begitu. Tak tahu kenapa.

Rihana mengeluh panjang.

“I nak balik, tolonglah.” Tekan Rihana dengan tujuan menghalau Hakim keluar.

“Baliklah.” Sekali lagi Hakim memberi jawapan mudah.

You tak keluar macam mana I nak balik?” Rihana kacip gigi tahan geram. Rasa nak lepuk aje kepala Hakim yang bengap ni.

“I ikut you baliklah.” Masih selamba, Hakim memberi jawapan yang membuatkan Rihana sudah hilang seluruh sabarnya. Nak ikut balik ya? Okey! Aku bawa kau balik.



3 comments:

Ruunna Qizbal said...

baby mio said...

best la kak walau pun dah pernah baca macam x puas aje nak baca lg .

aisyah said...

adoi la hakim...sian kat rin tau