FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan - Bab 3

Bekerja dengan Encik Nazreen tidaklah susah sangat. Betul kata Kak Wanie, Encik Nazreen sangat senang untuk dihandle. Tidak cerewet dan mudah mesra. Duda muda tanpa anak yang tidak kurang kacaknya itu, sangat senang untuk difahami apa kemahuannya.

Sedang Rihana duduk memuji dalam hati, Encik Nazreen tiba-tiba terpacak di depan mejanya dengan senyuman manis. Aduhaii.. kalau hari-hari dia pandang senyuman tu, mahu dapat kencing manis tanpa minum minuman bergula.

“Hanaaa... sekejap lagi you ikut I pergi hotel.”

“Hah??” terkejut, Rihana hampir terlompat bangun mendengar arahan Encik Nazreen. Apa ni? Tiba-tiba ajak pergi hotel?

“Eeerrkk....”

Encik Nazreen senyum meleret. Lucu tengok Rihana yang serba tidak kena.

Business appointment sayangggg.” Encik Nazreen gelak perlahan.
Rihana telan liur. Encik Nazreen ni la. Tak agak-agak nak panggil sayang. Kang orang dengar kata dia menggatal pulak. Tapi, kata Kak Wanie, mamat ni memang mesra alam.

Get ready, kejap lagi kita bertolak. Takut traffic jam.

“Okey!”

Dari Menara Citibank yang dulunya dikenali sebagai Menara Lion di Jalan Ampang, mereka bergerak ke Swiss Garden Jalan Pudu. Trafik  bergerak perlahan tetapi mereka masih sempat sampai lebih awal dari waktu yang dijanjikan.

Encik Nazreen memang sudah menempah meja di ruang ‘sulit’ hotel tersebut. Sementara menunggu ketibaan orang yang ditunggu, Encik Nazreen bercerita serba sedikit tentang projek yang bakal mereka miliki.

Namun begitu, dari sepuluh yang Encik Nazreen cerita, hanya satu yang masuk ke kepala Rihana. Sebabnya, dia sedang gementar. Dah rupa macam anak dara nak jumpa bakal mertua pula gayanya.

“Datuk Adam tu owner Royal Group. Dia kawan papa I dan dia kata dia akan tolong untuk berikan projek tu pada kita,” ujar Encik Nazreen.

Hah! Sekejap, nama apa tadi? Datuk Adam? Royal Group? Bukankah itu papa pada si Hakim?

Rihana jadi gelabah tiba-tiba. Dah rupa macam anak dara nak jumpa bapa mertua pun ada.

Nak buat apa ni? Sempat lagi tak kalau dia nak lari? Boleh tak kalau dia bagi alasan dia sakit perut dan minta balik? Otak Rihana bekerja keras. Apa yang keluar dari mulut Encik Nazreen sudah tidak masuk ke kepalanya.

Sedang Rihana sibuk mencari alasan untuk keluar dari situ, orang yang ditunggu telah tiba. Saat melihat lelaki yang dikatakan Datuk Adam itu, Rihana hampir jatuh pitam. Bukan Datuk Adam yang datang tetapi Hakim, anak tunggal kepada jutawan terkenal, pemilik syarikat pembinaan terbesar di Malaysia ini.

Rihana telan liur sambil perlahan bangkit berdiri, mengikut Encik Nazreen yang bangkit menyambut ketibaan Hakim.

Hakim yang baru perasan tentang kewujudan Rihana di situ juga turut terpaku. Oh! Kebetulan yang cukup indah. Setelah berperang besar dengan papanya kerana tidak suka diarah berurusan dengan Coral Global di saat-saat akhir, rupanya ada sesuatu yang Tuhan ingin tunjukkan.

Oh! Rihana... I miss you. Bisik hati Hakim tatkala menatap sepasang mata milik Rihana yang sangat cantik itu.

Selepas bersalaman dengan Nazreen, Hakim hulurkan tangan pada Rihana tetapi gadis itu tidak menyambutnya, sekadar menunduk tanda menegur.

“Mmm... jemput duduk Hakim.” Nazreen pantas bertindak agar Hakim tidak terasa malu dengan situasi itu. Dia memang dah tahu Rihana tidak bersalaman dengan lelaki.

“Ingatkan papa you yang datang,” ujar Nazreen berbasa basi. Dia memang kenal dengan Hakim tetapi tidaklah rapat sangat. Hakim memang susah nak mesra dengan orang. Lagi pun, mana nak sama taraf dia dengan taraf Hakim, anak jutawan terkenal ini.

“Papa I terpaksa ke Jepun.” Balas Hakim dengan mata tunak merenung si cantik di depannya.

Memang sepatutnya pertemuan ini dihadiri oleh papanya tetapi malam tadi dia diminta untuk menggantikan papanya yang terpaksa ke Jepun. Mulanya dia enggan kerana hari ini dia punya program sendiri dan tercetuslah perang besar. Sudahnya dia mengalah jua, mengikut arahan papanya.

Nazreen teranguk-angguk kepala sambil mencapai briefcase di tepi kerusi untuk mengambil dokumen yang diperlukan untuk perbincangan tersebut.

“Tak nak kenalkan I dengan orang sebelah ke?” soal Hakim dengan pandangan masih terhala pada Rihana yang diam dengan wajah bersahaja.
           
“Ouh! Sorry. Ni secretary I, Rihana. Hana, ni anak Datuk Adam, Hakim.” Nazreen yang tak tahu apa-apa terus perkenalkan mereka. Tetapi, hatinya terdetik juga rasa curiga tatkala melihat Hakim asyik memandang Rihana.

Siapa yang tak kenal Hakim yang kaki perempuan ini? Pantang lihat perempuan berdahi licin dan Rihana pula memang jenis yang ‘berdahi licin’. Apa nak dihairankan. Cuma yang peliknya, takkan wanita bertudung seperti Rihana ni juga Hakim nak try? Sejak bila taste Hakim berubah?

Perbincangan dimulakan tetapi Nazrin macam bercakap seorang diri. Rihana tak usah cakap sebab dia memang tukang tulis tetapi Hakim, matanya hanya melekat pada wajah Rihana sedangkan Rihana hanya menunduk memandang nota di tangan.

Seraut wajah Rihana yang putih gebu itu Hakim teliti satu persatu. Dari mata yang sederhana besar dengan bulu yang panjang melentik, tersangatlah sesuai dengan wajah Rihana yang bulat itu. Hidungnya terletak cantik dan pipinya seperti pipi Lisa Surihani nampak menonjol apabila dia tersenyum. Paling Hakim suka ialah bibir ulas limau milik Rihana yang membuatkan dia ketagih dan termimpi siang malam.

Tanpa sedar, Hakim raba bibir sendiri. Otaknya mula bergerak jahat membayangkan saat-saat manis yang pernah mereka lalui dulu. Aduhai....Hakim telan liur berkali-kali.

Mata Hakim terpejam sesaat dengan nafasnya tertahan membendung rasa. Rindunya pada Rihana cukup menyakitkan dada.

“Okey ke Hakim?” tiba-tiba telinganya menangkap suara Nazreen menyebut namanya.

“Hah!” Hakim blur sekejap sebelum membetulkan duduknya.

“Okey! I setuju. Nanti I minta office siapkan agreement.” Cukup mudah Hakim membuat keputusan tanpa berfikir walau sesaat. Sebenarnya, dia tak dengar pun apa yang Nazreen bentangkan.

Kalau dulu dia tidak berapa setuju papanya ingin menyerahkan projek tersebut kepada Coral Global di atas sebab persahabatan, Hari ni dia sudah mengubah keputusannya. Ini bukan kerana pendiriannya telah berubah tetapi kerana Coral Global punya aset yang sangat bernilai di matanya. Kalau boleh, saat ini juga dia mahu membeli Coral Global.

“Thanks Hakim.” ucap Nazreen dengan senyuman lebar.

Excuse me, I nak pergi minta mereka sediakan hidangan sekarang.” Nazreen bangkit dan keluar dari situ meninggalkan Hakim dan juga Rihana yang sudah mula gelisah. Berduaan dengan Hakim buatkan dia jadi sesak nafas seperti orang yang baru mendapat serangan asma.

“Dah lama you kerja dengan Nazreen?” Hakim memulakan soal jawab tanpa bertangguh. Banyak soalan di kepalanya yang ingin diluahkan pada Rihana.

“Baru sebulan.”

“Oh! Kenapa I offer kerja you tak nak terima? Banyak sangat ke Nazreen bayar you?” Hakim seperti tidak berpuas hati. Syarikat kecil, takkan mampu bayar gaji pekerja mahal-mahal.

“Banyak atau sikit bukan persoalannya.” balas Rihana.

Hakim keluarkan name card dari wallet dan letak ke atas meja. Dengan dua jari dia tolak name card tersebut ke depan Rihana.

“Hari ni you hantar notis 24 hours. Esok lapor diri di office I. Nanti I bayar Nazreen untuk notis you.” ujar Hakim seolah memberi arahan pada pekerjanya.

“Thanks Hakim. But sorry, I tak berminat.” Rihana tolak name card di depannya ke arah Hakim kembali.

“I bayar lima kali ganda dari apa yang Nazreen bayar you.” Hakim tolak semula name card tersebut ke arah Rihana.

“Duit bukan boleh beli semua benda Hakim.”  Rihana sekali lagi tolak name card tersebut kembali ke depan Hakim. Tak pasal-pasal, name card pula yang jadi mangsa kena tolak sana sini.

Yap! I tahu duit tak boleh beli semua benda. Sebab tu I tak boleh beli you walau pun dengan duit dua million,” balas Hakim bersahaja. Name card di atas meja di biarkan saja di situ.


Sebelum sempat Rihana membalas, Encik Nazreen muncul kembali. Tidak mahu Encik Nazreen tahu kisah silam mereka, Rihana memilih untuk diam.

3 comments: