FOLLOWERS

HKC - Bab 9

Seminggu selepas peristiwa itu, aku bertembung dengan Hijaz ketika dalam perjalanan pulang ke kolej bersama Fatin. Hari itu, dia dengan beraninya menyapaku membuatkan aku dan Fatin saling berpandangan sesama sendiri, terkejut dengan keberaniannya.

“Boleh kita berbicara sekejap?” ujarnya penuh berani. Sekali lagi aku dan Fatin saling berpandangan kerana tidak pasti kepada siapa sebenarnya kata-kata itu ditujukan.

“Saya ingin berbicara dengan Lya.” Dia menjawab, seolah faham apa yang sedang bermain di fikiran kami.

“Aku balik dulu.” Fatin terus bersuara sebelum menyiku lenganku dan berlalu pergi. Aku ingin mengikut langkahnya tetapi entah kenapa kakiku terasa berat untuk diangkat apatah lagi, rasa seperti tidak sopan pula jika aku meninggalkan lelaki ini begitu saja kerana dia begitu sopan menyapaku dan memohon untuk berbicara denganku.

“Boleh kita ke sana sekejap?” pintanya, sambil menunjuk ke arah bangku yang terdapat tidak jauh dari situ.

Tanpa suara aku mendahului langkah menuju ke arah yang ditunjukkan. Tempat itu tempat terbuka dan tidak ada apa yang perlu aku bimbangkan. Lagipun, lelaki yang berstatus ustaz macam dia tidak mungkin akan berani melakukan perkara-perkara yang diluar jangkaan.

Tiba di bangku tersebut, aku terus duduk. Dia duduk berdepan denganku. Matanya hanya seketika memandangku sebelum membuang pandang ke arah lain, pastilah dia sedang cuba untuk menjaga matanya walaupun bertemu begini juga sudah boleh mengundang dosa.

“Saya tak pernah mengajak seorang wanita, berbicara dan duduk berdua begini. Inilah pertama kali saya lakukan.” Dia memulakan bicara dan entah kenapa pembuka bicaranya sudah mampu menjadikan hatiku berdebar.

“Saya yakin, Lya dengar apa yang saya dan Zhafran bicarakan di Library hari tu.” Dia berkata-kata lagi sedang aku masih mencari ke mana hilangnya suaraku.

“Lya?” kali ini, dia memandang tepat ke anak mataku dan aku mengangguk tanda mengiakan.

“Saya tak mahu buat Lya tertanya-tanya atau menuduh yang bukan-bukan. Hari ini saya ingin berterus terang….” Dia terhenti di situ dan sekali lagi memandang ke anak mataku.

“Saya memang sukakan Lya.” Pengakuannya membuatkan aku hampir ingin terlompat bangun. Buat seketika, kami saling berbalas pandang. Saat yang sama, aku cuba memahami rentak hati sendiri. Dia memang lelaki sempurna, rupa paras yang putih bersih dan badan yang tinggi tegap tetapi kenapa hatiku seakan beku dan kaku? Kenapa langsung tiada getaran saat telingaku mendengar luahan hatinya?

Di kolej itu siapa yang tidak kenal dia. Mendengar suaranya yang mengalun doa saja boleh buat kita terkaku di tempat duduk, bagai meletakkan kepala di bawah aliran air dari pergunungan, sejuk dan mendamaikan. Ramai siswi jatuh cinta dengan hanya mendengar suaranya yang lunak itu. Kata Fatin, kalau dia menyanyi boleh kalah Maher Zain, penyanyi timur tengah yang sangat popular dengan lagu The Rest of My Life itu.

Ah! Fatin, kalaulah aku boleh jatuh cinta pada dia. Kalaulah aku boleh memujuk hatiku untuk menerima dia. Tetapi, jatuh cinta bukan boleh kita rancang. Ia kadangkala amat menyakitkan.

“Mmmmm….. Lya ingin berterima kasih sebab… sebab… oh! Ya, Lya nak panggil apa erk?” aku jadi sopan tiba-tiba. Yalah! Bercakap dengan ustaz pastilah tutur juga harus dijaga.

Dia tersenyum mendengar suaraku yang tergagap-gagap itu. Memang benar, aku tidak tahu bagaimana untuk memanggil dia. Ramai siswi memanggilnya Abang Hijaz tetapi sebab aku ini lebih suka ber ‘aku kau’ dengan Zhafran dan dia adalah roomate Zhafran, maka aku jadi canggung untuk memanggil dia abang.

“Terpulang. Abang pun boleh, Hijaz pun boleh.” Jawabnya, masih mengukir senyuman. Manis sekali.

“Abang Hijaz.” Spontan bibirnya menyebut namanya begitu dan dia senyum lagi.

“Terlebih dahulu, Lya nak minta maaf kalau apa yang Lya nak katakan ni mungkin akan menyakitkan hati abang.” Panjang pula mukaddimah aku.

Sebenarnya, aku sedang mencari-cari ayat yang sesuai untuk menolak tanpa melukakan hati dia. Kenapa ya, aku sangat takut melukakan hati orang sedangkan orang lain begitu senang mengguris hatiku dengan luka yang cukup dalam?

“Lya dengan Zhafran. Sebenarnya, kami…. Memang ada hubungan istimewa. Saya memang cintakan dia.” Aku cuba menipu. Entah itu benar-benar satu penipuan atau ia sememangnya benar belaka kerana aku sendiri sedang keliru dengan rasa hatiku.
Hijaz senyum lagi mendengar penjelasanku.

“Saya memang dah agak tapi, Zhafran sering menafikan bila saya bertanya.” Nadanya mendatar saja, mungkin dia sedang berusaha keras untuk menyembunyikan rasa kecewa.

“Kalau benar begitu, abang tak akan mendesak dan anggap saja apa yang abang luahkan itu tidak pernah Lya dengar.” Mendengar suaranya, rasa kasihan tiba-tiba datang menjengah.

Bolehkah aku tarik balik penolakan itu? ‘Lya, Hijaz bukan perlukan belas kasihanmu tetapi dia perlukan cinta yang tulus dari hati. Lya, kalau kau pilih dia, insyaalah kau selamat dunia dan akhirat.’ Suara hatiku berterusan menghasut. Tetapi, wahai hati… bolehkah kita hidup sebumbung, tidur sebantal dan berkongsi jiwa dengan hanya berteraskan rasa kasihan?

Aduhai! Aku tiba-tiba sudah menjadi manusia yang tidak normal, bersoal jawab dengan hati
sendiri di tengah-tengah tempat terbuka begini.

“Dulu, ketika kami mula-mula menjadi roomate, dia pernah beritahu abang, dia tolak tawaran ke US dibawah tajaan Petronas kerana tidak ingin tinggalkan Lya. Dia tak mahu putus sahabat dengan Lya. Katanya, ke mana pun dia pergi, dia tak akan temui teman seumpama Lya. Waktu tu abang terfikir, masih adakah dua insan yang bergelar lelaki dan perempuan akan membuat pengorbanan sebesar itu hanya kerana sebuah persahabatan? Rasanya, agak mustahil.” Jelas Hijaz sambil membuang pandang.

Ya! aku tak pernah lupa tentang itu. Tatkala Zhafran memberitahu yang dia akan ke US untuk menyambung pengajian, aku sudah merasa kehilangannya walau ketika itu dia masih berada di depanku. Aku tiada kawan rapat selain dia dan saat itu aku rasa ingin menangis tetapi dia hanya ketawa-ketawa melihat reaksiku yang begitu, seolah dia sangat gembira untuk meninggalkanku.
‘Kalau kau pergi, kita putus kawan.’ Itulah yang aku luahkan saat fikiranku dikuasai kemarahan dan kesedihan sebelum berlari meninggalkan dia yang terpinga di situ. Selepas hari itu, aku cuba mengelak untuk bertemu dengannya sehinggalah aku diberitahu dia menolak tawaran tersebut dan memohon ke UM.

‘Aku masih nak berkawan dengan kau.’ Itulah jawapannya yang mengejutkan aku apabila aku bertanya kenapa dia tidak ke US sebaliknya hanya ke UM. Setahu aku, papanya mengamuk sakan kerana dia menolak tawaran istimewa tersebut tanpa sebarang alasan. Yalah! Takkan dia nak cakap dengan papanya yang aku warning dia ‘putus kawan’ kalau dia ke sana. Mahunya papa dia tembak aku dengan senapang patah, tak ke mati muda aku nanti. Pandai-pandai aje sekat anak teruna orang untuk belajar ke luar negara.

“Dia pernah kata, Lya satu dalam seribu.” Hijaz berkata-kata lagi memanggil aku untuk memandangnya. Dia senyum sebelum meminta diri untuk beredar dan tinggallah aku di situ sendirian mengutip kenangan masa silam.

Zhafran kalau dia sakit, bukan mamanya yang dia cari tetapi akulah tempat dia mengadu. Pernah suatu malam dia demam teruk dan menghubungiku untuk meminta panadol. Tanpa berfikir dua kali, aku terus mencapai panadol dalam first aid kit di rumah dan mengheret tangan ibu ke rumahnya. Ketika tiba di depan pintu rumahnya, aku hampir menjerit melihat mama dan papanya ada di rumah. Ingatkan dia tinggal sendirian.

Pernah satu kali dia jatuh motor dan akulah orang pertama juga yang dia hubungi. Waktu itu aku masih di berada di perut bas dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Teruk ke?” soalku penuh bimbang tatkala dia menyampaikan berita tersebut.

“Tak adalah teruk sangat, lutut aje luka sikit.”

“Aku dalam bas lagi ni. Nanti sampai rumah aku datang tengok.” Janjiku padanya. Wah! macamlah aku ni doktor yang boleh merawat lukanya. Tetapi memang benar, dia memang menunggu aku di depan rumahnya untuk membersihkan dan membalut lututnya yang sedikit tercalar itu. Manja sungguh!

4 comments:

DLa said...

klu Lya dating ngan hijaz depan Zafran..agak2 dia jeles x ekk..
try tgk Lya..ko date ngan 'Abang Hijaz' sekali..apa kata c Zafran tu

boss..agak2 c Zafran tu jeles x...

Hani Fazuha said...

Tak! dia tak jeles pun..makin menyakitkan hati ada la..

DLa said...

hisssh...boss agak ko logik x klu aku hampagas kan c.Nurin tu biar lenyap jer dri citer ni..

emo lak aku mlm nih..

aimie_afifah said...

huhuhuhu...'Abang Hijaz' tu dah cam bagus tp c Zhafran gak yg Lya mao....mesti lepas nie makin celaru la idup Lya dibuat dek Nurin n Zhafran nie....huhuhu

aku dah sedey awal2 dah...:(