FOLLOWERS

HKC - Bab 6

Sudah agak lama aku tidak pulang kerana sibuk dengan persediaan menghadapi final exam. Tiba-tiba hari itu ibu menghubungiku dan menangis-nangis di talian. Katanya, Mak Su dan Pak su terlibat dalam kemalangan jalan raya. Mak Su dikatakan sedang kritikal manakala Pak Su pula meninggal di tempat kejadian.

Mak Su merupakan satu-satunya adik perempuan ibu dan tinggal di Singapura kerana suaminya warga Singapura. Kejadian tersebut juga berlaku di sana dan ibu akan menaiki penerbangan petang nanti terus ke sana.

Aku memohon maaf pada ibu kerana tidak dapat mengikut dia ke sana kerana final exam akan bermula hanya beberapa hari lagi.

Kesian ibu, sudahlah kami sibuk dengan persiapan untuk perkahwinan along bulan depan, musibah pula datang melanda. Kata orang, ujian Tuhan akan datang dalam pelbagai bentuk dan kita harus redha serta tabah menempuhinya.

Dua hari selepas ibu di Kota Singa, dia menghubungiku lagi. Sendu suaranya sudah mampu aku teka apa yang sedang berlaku di sana.

“Mak Su dah tak ada…..” tangis ibu jelas kedengaran di talian.

“Sabar bu, Allah s.w.t lebih menyayanginya.” Hanya itu yang mampu aku katakan untuk memujuk ibu dan doa dari kejauhan aku kirimkan buat Mak Su, moga-moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Aku tidak berapa rapat dengan Mak Su sebab ketika usiaku lapan tahun, dia sudah berpindah ke Singapura dan hanya sesekali pulang ke sini ketika menyambut hari raya. Namun begitu, aku dapat menyelami hati ibu kerana itulah satu-satunya adik perempuan dia yang sangat rapat dengannya. Setahu aku, walaupun jarak mereka jauh tetapi mereka selalu berhubung melalui telefon.

Beberapa hari selepas itu, ibu menghubungiku lagi tapi kali ini suaranya sudah sedikit tenang.

“Ibu akan balik lusa dan bawa Nurin sekali. Lya masih ingat Nurin kan?”

Aku diam seketika, mencerna kembali wajah sepupuku yang sudah lama tidak aku temui itu.

“Ingat bu.” Aku memang ingat dia tapi aku sudah tidak tahu bagaimana rupa dan wajahnya sekarang. Sudah terlalu lama, rasanya kali terakhir kami bertemu sewaktu usia kami masih kanak-kanak. Kami seusia, cuma bezanya aku lahir di awal tahun manakala dia pula di hujung tahun.

“Dia akan tinggal dengan kita. Papa akan uruskan dia sambung belajar di Malaysia.” Sambung ibu lagi.

“Maksudnya, dia akan terus tinggal dengan kita, di Malaysia?” soalku. Ada rasa tidak senang tatkala aku mendengar berita itu. Entah kenapa dengan hatiku.

“Kiranya begitulah. Kesian dia, dah tak ada siapa-siapa di sini.” Nada ibu sudah berubah sayu.

Ya! aku tahu tentang keluarga papanya. Selepas mengahwini Mak Su, papanya terus dibuang keluarga. Jika diikutkan, papanya bukan dari kalangan orang biasa-biasa. Keluarganya memang keluarga berpangkat dan kaya raya di Singapura. Benarlah kata orang, cinta mampu mengubah segalanya.

Selepas berbicara dengan ibu, aku jadi tidak senang duduk. Entah kenapa hatiku jadi tidak tenteram dengan berita yang dibawa ibu. Kenapa aku bagai tidak menyenangi berita kehadiran Nurin ke dalam keluarga kami sedangkan dia bukanlah orang lain, anak saudara ibu dan juga sepupuku?

Ah! Aku ini kadangkala terlalu melankolik. Suka berfikir yang bukan-bukan dan suka merangka sesuatu yang diluar jangkaan fikiran. Lya… kerja Allah s.w.t itu tidak layak untuk kita ambil alih, biarlah DIA yang merancang dan tentukan untuk kita. Hatiku memujuk diri sendiri.

Mungkin juga fikiranku sedang sarat dengan input yang aku sumbat ke dalamnya untuk persediaan final exam ini membuatkan aku jadi tidak tenteram dengan hanya mendengar sedikit berita.

Sebut tentang final exam, hanya ada dua paper lagi yang tinggal sebelum aku merdeka dan cuti sebulan. Cepat benar masa berlalu. Semester depan, merupakan final semester buat Zhafran. Selepas itu, dia akan terus bekerja manakala aku masih perlu berada di sini sekurang-kurangnya untuk setahun lebih lagi. Itupun jika tak ada paper yang sangkut.

Oh! Memikirkan tentang itu pun hatiku sudah bergalau. Bagaimana untuk meneruskan pengajian ini tanpa Zhafran yang memberi semangat? Benarkah semangat yang aku ada selama ini datangnya dari Zhafran? Jika benar begitu, betapa besarnya pengaruh Zhafran dalam diriku.

Entah kenapa dan entah sejak bila fikiranku asyik teringatkan dia. Tanpa mendengar suaranya atau melihat wajahnya untuk sehari, aku rasakan hidup ini bagai tidak lengkap. Cintakah itu? Jika cinta, sejak bila pula ia menggantikan perkataan sahabat yang tercipta antara kami?

Baru saja otakku berkelana memikirkan tentang lelaki itu, dia sudah menembusi talianku.

“Jom! Keluar minum.” Tanpa salam, suara ajakannya menejah anak telingaku.

“Hah! Kau tahu tak sekarang dah pukul berapa?” aku melirik jam loceng di atas meja. Hampir sepuluh setengah malam.

“Awal lagi. Minum dekat-dekat sini aje, sebelum dua belas balik la.” Dia memujuk.

“Kau ajaklah roomate atau sesiapa saja untuk teman. Malaslah aku.” Putusku, enggan melayan kerenahnya.

“Tak best kalau kau tak ada. Jomlah! Sayang…Intan payung…..”

“Eee.. geli aku! Buat drama malam buta.”

Dia ketawa kuat mendengar kata-kataku.

“Lima minit aku jemput kau.” Ucapnya sebelum memutuskan talian. Cuak gila aku dengan kerenah dia. Aku belum kata setuju dia dah putuskan talian dan pastinya lima minit lagi keretanya sudah menunggu di bawah.

Bergegas aku bersiap dan berlari turun ke bawah. Kereta dia tiba sebaik aku keluar dari blok. Aku senyum segaris, baik punya timing. Pun begitu, senyumku mati tiba-tiba tatkala dia keluar dari kereta dan meminta aku duduk di belakang. Malam yang gelap dengan cahaya lampu yang samar ditambah pula cermin keretanya yang bertinted hitam pekat itu, aku tidak perasan rupanya ada insan lain duduk di sebelah tempat pemandunya.

Sebaik melangkah masuk, Hijaz Al-Fattah merangkap roomatenya tersenyum tanda menyapaku. Saat itu, rasa cuakku makin berganda. Apalah masalah si Zhafran ni, dah diangkut ustaz ni, lagi nak mengheret aku. Isk! Tak faham.

“Kau tak ada masalahkan, aku bawa Hijaz sekali?” Soal Zhafran ketika mengundur kereta untuk keluar.

Aku hanya senyum, memandang cermin pandang belakang di mana mata Zhafran sedang tertancap di situ.

“Dah ada kawan pun masih nak juga aku temankan.” Omelku.

“Alaaa… dah berapa hari tak jumpa. Kau tak rindu aku ke?” dia sengih melalui cermin pandang belakang.

Aku tolak tempat duduk di mana badannya sedang bersandar. Walaupun tak bergerak tapi aku tolak juga sebab tak tahu lagi bagaimana untuk melindungi rasa maluku pada si ustaz yang duduk macam patung di sebelah Zhafran. Pastilah dia mendengar semuanya. Zhafran ni kan, kalau bergurau memang tak pernah nak toleh kiri kanan.

Ketika di meja makan mengadap minuman, aku perasan Hijaz hanya menunduk dan sesekali membuang pandang. Pastinya malu denganku kerana selalu bila dia grouping dengan teman-teman lelaki yang lain, elok saja bercerita. Yalah! Diakan lelaki beriman dan iman itu perhiasannya malu.

Kesempatan itu aku ambil untuk mencuri pandang dan meneliti wajahnya yang putih bersih itu. Hati jadi sejuk memandang air mukanya yang tenang itu. Bibirnya basah dan nampak kemerahan, sama seperti Zhafran, petanda orang yang tidak merokok.

Rasanya, sejak aku masuk ke kampus UM ini, dia memang sudah tinggal di kolej tersebut dan tahun ini, dia sebilik pula dengan Zhafran. Dia memang terkenal dengan panggilan ustaz kerana setiap majlis yang diadakan di kolej, dialah yang akan dijemput untuk membaca doa perasmian dan doa penutup. Aku memang sering nampak dia dari kejauhan tetapi malam ini, aku berkesempatan pula untuk duduk semeja dengannya.

Dari mula kami duduk sehinggalah Zhafran menghantarku pulang, tidak sepatahpun suara Hijaz keluar untuk bertanyakan apa-apa soalan kepadaku. Sungguh…. dia begitu menjaga tuturnya sebagaimana dia begitu menjaga matanya sedangkan aku, tidak malu membiarkan mata ‘berzina’ meneliti anak teruna orang. Astaghafirullahalazimmmm……

4 comments:

DLa said...

Astaqfirullahalazimmmmm....
byaknya dosa aku...

boss jom g ngeteh...

Hani Fazuha said...

ko dah ilang akal ke?.. nape? ko slalu mncuri pandang anak teruna orang ke?

DLa said...

selalu gak ar... klu dah ensen..gila x pandang2 jeling2...muahaha..
bkan curi2 lg mmg dah terang lg bersuluh..hahah..
ye la pulak kan.. x kan nk tutup mata lak..

a said...

huhuhhhuhu...dahsat la utajah nie..nk kena lucut title nie...
patut la anak teruna org dah malu...
asyik kena jeling2 jer...

..hani..aku rasakan Nurin tu mesti antogonis nyer watak nie...muahahah..pepandai jer aku nih