FOLLOWERS

HKC - Bab 5

Baru saja ingin menyedut minuman yang terhidang di atas meja, Fatin tiba-tiba menendang kakiku dan memuncungkan mulutnya ke arah belakangku. Belum sempat aku menoleh, satu lembaga manusia sudah berdiri di sebelahku.

"Minum?" pelawaku sambil mengangkat gelas minuman ke arahnya sebelum menyedutnya perlahan.

Dia hanya mengeleng kepala, memandang aku dan Fatin silih berganti.

"Aku call kau berjuta kali kenapa tak angkat?" Suaranya kedengaran mendatar.

"Oh! Dalam kelas tadi aku silentkan. Lupa nak tukar mode." aku menyengih padanya sambil menyelongkar beg sandang di belakang tempat dudukku mencari telefon bimbit di dalamnya.

"Apa hal kau cari aku?" soalku tanpa memandangnya kerana sibuk memicit-micit butang telefon untuk menukar profilenya.

"Ikut aku jap!" ujarnya padaku sebelum menuntas pandang pada Fatin.

"I pinjam kawan you kejap yer." dia bersuara pada Fatin pula.

"Cakap ajelah kat sini, aku baru nak minum ni." Aku membantah sambil memandang jus tembikai yang baru sedikit terusik di depanku. Cuaca yang panas dan tekak yang haus menjadikan jus tersebut sangat mengujakan.

"Alaaa... Ikut ajelah!" dia mendesak. Tangannya sudah bergerak untuk memegang lenganku namun aku cepat saja melarikannya dan pantas bangkit berdiri.

"Isk! Kau nak apa ni?" aku mula berang. Segan pula pada Fatin yang sedang memandang. Selalunya, Zhafran tidak begini. Biarpun berlapik baju, dia memang jarang pegang-pegang aku kecuali jika dia terdesak dan aku berdegil.

Dia masih buat muka selamba, mengeluarkan walletnya dan menghulurkan duit RM10 ke arah Fatin.

"Nanti you tolong bayarkan air Lya sekali yer." ujarnya pada Fatin sebelum beralih memandangku.

"Jom!" sekali lagi dia mengajak dan terus mengangkat beg sandangku.

Aku jadi serba salah untuk meninggalkan Fatin minum sendirian. Namun, dia seolah faham situasiku dan mengangguk sebagai isyarat tidak kisah jika aku mengikut Zhafran.

Si Zhafran ni pun satu, selalu buat perangai jepun. Suka sangat memaksa-maksa orang.

"Kau nak ke mana sebenarnya ni? Sampai tak menyempat-nyempat aku nak minum." Aku menyoalnya sebaik masuk ke dalam kereta.

"Teman aku minum jap!"

"Ya Allah! Ya Rabbiii.... Apalah salahnya kau joint aku dengan Fatin kat situ tadi." suaraku sudah sedikit meninggi. Badanku terus berpusing ke arahnya yang sedang memandu.

"Ah! Tak sukalah dengan minah kepoh tu. Aku nak minum dengan kau aje." selamba sungguh dia mengata temanku. Entah sejak bila pula dia pandai menggelarkan temanku itu dengan panggilan sebegitu?

Memang pada dasarnya Fatin agak kepoh dan suka bercakap tetapi jika kita betul-betul mengenalinya, dia seorang yang sangat baik hati dan suka menolong orang lain tanpa mengira perasaan sendiri.

Tiba-tiba aku teringat bicara Fatin tentang Adura. Katanya, dia sudah menyampaikan suara hati Adura pada Zhafran dan reaksi lelaki itu hanya biasa-biasa, tiada rasa terkejut dan tidak pula dia berkata apa-apa, hanya mengangguk dan terus meminta diri untuk beredar. Betul-betul macam orang yang tak ada perasaan, tukas Fatin lagi.

Entahlah! Aku tidak tahu untuk memberi komen. Bagi aku, Adura itu tiada cacat celanya untuk Zhafran angkat sebagai teman wanita tetapi jika dia tidak mahu, aku atau Fatin tidak mampu untuk memaksanya.

"Kau tak suka dia atau kau tak suka sebab dia tahu tentang kau dan Adura?" Aku sengaja ingin menduganya.

“Apasal tiba-tiba sebut nama perempuan tu pulak. Tak ada kena mengena langsung.” Suaranya kedengaran tegang. Mukanya tak usah cakap sebab dari tadi aku lihat memang muka tension semacam. Entah apa yang sedang berada di kepalanya. Takkanlah sebab ada perempuan suka pun dia boleh jadi tension begini.

“Dia kan suka kau. Atau dengan kata lain ‘jatuh cinta’.” Aku tergelak kecil. Entah kenapa perkataan jatuh cinta itu bagai menghiris halus sekeping hatiku.

“Dia nak jatuh atau tersungkur ke itu dia punya pasal, tak ada kena mengena dengan aku.” Tukas Zhafran.

“Amboi! Sombong kau yer. Aku tengok Adura tu tak ada cacat celanya. Kau nak cari yang macamana….?”

“Can we drop the story?” dia pantas memintas. Wajah dan suaranya makin serius, tidak seperti selalu apabila aku mengusiknya tentang perempuan. Mungkinkah ada sesuatu yang aku tidak tahu antara dia dengan Adura? Kalaupun ada, kenapa aku harus merasa bimbang? Bukankah aku sendiri ‘merestui’ mereka?

Benarkah begitu? Benarkah aku ‘merestui’ jika Zhafran memilih Adura? Andai benar, kenapa di saat Fatin bercerita tentang rasa cinta Adura pada Zhafran, hatiku jadi berlainan rasa? Pedih yang tiada penyebabnya dan sakit yang tiada puncanya. Saat ini pun, kenapa hatiku jadi tidak tenteram apabila bercerita tentang Adura?

“Kau ada masalah ke?” Aku menyoal apabila melihat Zhafran begitu berbeza sekali dari Zhafran yang aku kenal selama ini. Waktu itu, kami sedang mengadap semangkuk cendol bersama rojak mamak di Perdanasiswa ni. Ingatkan nak minum kat mana, rupanya kat sini aje.

Zhafran urut leher, perlakuan biasa yang aku lihat apabila dia cuba untuk mengurangkan rasa stressnya.

“Papa, dia bagi aku pilihan sama ada sambung belajar ambil master atau bekerja dengan dia.” Luahnya mendatar.

“Laaa… apa yang susahnya? Kau sambung ajelah! Atau…. Kerja, habis cerita.” Balasku, mudah. Dia melepaskan nafas panjang.

“Aku memang nak kerja tapi bukan dengan papa. Kau tahu la, aku ni jenis yang suka berdikari dan suka pada cabaran. Kalau dengan papa, pasti segalanya mudah dan pastinya tak ada cabaran.” Luahnya penuh emosi. Dia memang suka buat perangai pelik. Seringkali aku rasakan sesuatu itu sangat remeh tetapi bagi dia sangat mengganggu fikiran. Seperti sekarang ni, dia nampak tension sangat sedangkan bagi aku ianya sangat mudah, sambung belajar atau kerja, bukan perlu berlari merentas dunia atau panjat Gunung Kinabalu.

“Apa kata kau sambung belajar.” aku memberi pendapat.

“Entahlah! Aku sebenarnya tak nak menghampakan papa. Dulu, masa abang aku buat keputusan nak kerja kat US, papa kecewa sangat.”

Ya! aku tahu tentang cerita abangnya yang belajar ke luar negeri dan ingin terus bekerja di sana. Aku tidak kenal sangat dengan abangnya kerana sewaktu mereka berpindah ke sini dari Johor, abangnya itu belajar di sekolah berasrama penuh dan tinggal dengan nenek mereka di Johor.

Ketika memulakan perniagaan dulu, Syarikat Construction papanya itu hanya beroperasi secara kecil-kecilan dengan menyewa lot rumah kedai untuk dijadikan pejabat operasi tetapi kini, setelah lebih sepuluh tahun, ia sudah berkembang maju dan sudah mampu membina bangunan sendiri sebagai mercu tanda kejayaan mereka.

Selaras dengan itu, pastilah papanya memerlukan seorang arkitek yang boleh diletakkan harapan dan boleh dipercayai untuk lebih memajukan syarikat. Jadi, siapa lagi yang dia boleh harapkan selain anak sendiri?

“Aku tak nak jadi anak yang mengecewakan orang tua, berdosa dan tak berkat hidup aku nanti.” Sambungnya lagi dengan nada yang sama. Itulah satu-satunya sifat Zhafran yang aku sanjung. Dia sangat hormat dengan orang tua dan seboleh mungkin ingin mengembirakan hati orang tuanya.

‘Aku mahu mama dan papa aku bangga punya anak seperti aku. Biar mereka rasa berbaloi melahirkan dan membesar aku di dunia ni.’ Dia sering berkata begitu apabila kami bercerita tentang harapan dan masa depan.

Dia seorang yang sangat fokus dalam pelajaran. Kerana itu, tidak hairanlah keputusan PMR dan SPMnya street A malah ketika di tingkatan empat, dia memang terpilih untuk memasuki asrama penuh tetapi dia sendiri menolaknya kerana tidak mahu jauh dari keluarga. Waktu itu, aku selalu mengejeknya sebagai anak manja dan dia selalu menjawab, ‘kalau aku pergi nanti kau tak ada kawan sebab tak ada lelaki lain yang sanggup berkawan dengan perempuan macam kau.’ Jahat sungguh mulut dia, macamlah aku ni teruk sangat.

"Apa kata kau duduk dan berbincang dari hati ke hati dengan papa kau. Jelaskan pada dia yang kau nak cari pengalaman di syarikat lain dulu sebelum membantunya." ujarku memberi satu lagi pendapat.

"Aku kalau dengan papa susah sikit. Entahlah! Mungkin sebab papa selalu busy dan mungkin juga rasa hormat aku pada dia membuatkan aku jadi segan. Seolah antara kami ada gap yang tak boleh dilangkah. Apa-apa hal pun, aku lebih selesa bercerita dengan mama."

"Heh! Kau tahu tak, semua anak memang patut ada rasa hormat pada kedua orang tua tetapi, mana boleh kau jadikan rasa hormat itu sebagai jurang dan menghalang kita untuk rapat dengan mereka. Kau anak lelaki, patutnya lebih rapat dengan papa kau sebab dia juga lelaki, boleh faham banyak perkara yang berkait dengan lelaki. Kau tengok aku, walaupun perempuan, aku rapat dengan abah dan ibu, dengan along juga. Aku boleh bercerita apa saja dengan mereka malah, abah sangat mengerti perasaan aku." Panjang lebar aku berhujah.

"Yer laa... Kau tu separuh lelaki dan separuh perempuan." selamba dia mengutukku.

"Hey!" aku terus sepak kakinya di bawah meja sehingga dia menjerit kesakitan.

"Sakitlah! Itu pasal aku kata kau lebih hormon lelaki, menyepak aje kerjanya." Dia masih mengutukku sambil menggosok betisnya.

"Aku sepak lagi sebelah baru kau tahu." ugutku.

"Kau jangan! Nanti aku tak boleh bawa kereta." kelam kabut dia melarikan kakinya yang lagi satu dan aku ketawa kuat melihat tingkahnya. Namun begitu, ketawaku mati perlahan-lahan apabila aku melihat dia hanya memandangku tanpa berkelip.

"Sebab itu aku suka kau." kata-katanya bagai menarik jantungku keluar dari tempatnya dan buat seketika, darah di tubuhku bagai terhenti mengalir.

"Aku suka kawan dengan kau kerana kau boleh hilangkan stress aku dalam sekelip mata." ayat seterusnya yang keluar dari bibirnya buatkan aku rasa seperti ingin menelan hati sendiri. Kiranya sesaat tadi aku sudah salah mentafsir maksud kata-katanya. Jikalah dia tahu bagaimana bergetarnya hatiku seketika tadi, pastinya aku akan dibelit rasa malu yang bukan sedikit.

3 comments:

DLa said...

baguih betoi budah Zhafran ni ..ank sapa la nih...
bleh wat nantu ni..

aku nk wat boipren jer..stok gedik2 bleh ke...hehehe..

aimie_afifah said...

oishhhhhhhh...terubat rindu ku pada dak zhafran nie...sungguh la anak yang baik..sejuk perut mama dia kan...

DLa..aku dah kidnap dark zhafran nie wat kolekdi aku...muahahah

DLa said...

hisssshh..dak aimie ni time tu gak ar dia nk kidnap boipren aku nih...
aimie..x leh la...aku yg cup dulu muahehhe..