FOLLOWERS

HKC - Bab 4

Keesokan harinya, tepat pukul empat petang Zhafran sudah menunggu. Itu memang sesuatu yang normal, Zhafran akan sentiasa terlebih awal dariku.

"Tak takut ke kalau ‘awek’ kau nampak aku asyik naik kereta dengan kau ni?" soalku, menekankan perkataan awek dan orang yang aku maksudkan itu pastilah Adura.

Teringat aku akan bicara Fatin tentang wanita itu malam tadi. Adura sudah seakan hilang seluruh rasa malu kerana cintanya yang cukup mendalam terhadap Zhafran. Ya! cinta mampu membuatkan manusia membuang segala rasa yang lain kerana rasa kecintaan itu terlalu besar untuk dikongsi di ruang yang sama di hati kita.

Cinta mungkin akan membawa sesuatu menjadi lebih baik atau sebaliknya, ia boleh mendorong kita melakukan sesuatu dengan lebih sempurna atau mungkin juga sebaliknya dan ia juga akan membuatkan dunia yang penuh pancaroba ini menjadi indah.

"Buat waktu sekarang, aku belum lagi tersuka pada sesiapa. So, kalau ada yang 'terrr'suka kat aku, itu hanya membuang masa." Ucap Zhafran.

"Berlagak!"

"Berlagak apa pulak? Betullah tu!" tukasnya sambil menyengih ke arahku.

Aku mencebik dengan rasa menyampah.

"Macamlah laku sangat sampai nak memilih begitu." aku mengomel sendiri.

"Aku bukannya nak memilih, tapi buat masa sekarang, belum ada yang mampu menggetarkan hatiku. Buat masa sekarang, hanya kau saja yang mampu buatkan aku jadi rindu bila sehari tak jumpa.” Pengakuannya membuatkan aku terkedu kehilangan kata.

Melihat ke wajahnya, dia nampak biasa-biasa menumpukan perhatian ke jalan raya, seolah apa yang diucapkan itu langsung tidak memberi apa-apa makna di hatinya. Mungkin inilah yang dikatakan manis di mulut tetapi tidak semestinya indah di hati.

Selepas itu, aku hanya diam sehinggalah ketika kami hampir sampai, keretanya melencong ke arah lain dan berhenti di depan McDonald.

“Kau nak buat apa pulak singgah kat sini ni?” soalku sebaik keretanya masuk ke petak parking.

“Aku teringin nak makan Big Mac.” Dia sudah membuka tali pinggang keledar. Isk! Main ikut suka dia aje.

“Alaa… kau hantar la aku dulu.” Pintaku, mula bengang dengan sikapnya yang suka memandai-mandai begini.

Rumahku bukan jauhpun lagi. Dari sini sudah boleh nampak kawasan perumahan di seberang jalan sana. Kalau dia hantar aku dan kembali ke sini untuk makan pun tidak sampai sepuluh minit.

“Kejap aje. Kalau kau tak nak, kau tengok aku makan.”

“Apa ke jadahnya tengok kau makan.” Balasku geram tetapi, dia hanya ketawa perlahan sambil membuka pintu.

“So, kau makan sekali laaa….” Dia sudah pun melangkah sebelah kaki turun dari kereta manakala aku masih melekat di tempat duduk.

“Kau belanja?” aku menjerit kecil. Tak guna berbalah dengan orang yang memang kita tahu kita tak akan menang.

“Berapa banyak kau boleh makan? Takkan habis duit aku setakat nak kenyangkan perut kau tu.” Ujarnya dan menunduk kepala menjenguk ke dalam untuk melihat aku yang masih tidak berganjak dari tempat duduk.

“Cepatlah!” gesanya.

“Eeee….” Aku ketap bibir tanda geram sambil membuka pintu untuk keluar. Dia ni kan, memang selalu buat aku naik geram.

Aku memilih meja dan dia terus ke kaunter membuat pesanan. Ketika ingin duduk setelah meletak makanan di meja, dia tertendang kakiku.

“Kau duduk tu boleh sopan sikit tak?” dia salahkan aku.

“Eh! Aku pulak! Kau tu yang sepak kaki aku.” Tukasku dengan geram yang makin berganda. Dia yang sepak, aku pula yang disalahkan.

“Yer la.. kaki kau tu yang terjulur ke arah aku, macamana aku tak tersepak.” Selarnya. Aku terus sepak kaki dia untuk melepaskan rasa geram sehingga dia terjerit kesakitan.

“Isk! Brutal betullah kau ni.” Dia mengomel sambil mengosok-gosok betisnya yang aku sepak tadi.

Aku hanya menyengih. Puas hati dapat membalas rasa geram yang aku kumpul sejak semalam kerana suka memaksa-maksa aku mengikut kehendaknya.

Ketika makan, aku ralit memerhati sepasang suami isteri bersama seorang anak. Apa yang menarik perhatianku ialah rupa paras kanak-kanak tersebut yang persis orang putih dengan rambut keperangan sedangkan kedua ibu bapanya kelihatan seperti melayu tulen.

"Apa yang kau pandang?" Zhafran kehairanan. Dia turut menoleh ke arah sorotan mataku.

"Tu, cuba kau tengok anak mereka, sebiji macam mat saleh." aku memuncungkan mulut ke arah budak tersebut.

"Apa yang peliknya?" dia tertoleh-toleh beberapa kali sambil mengunyah BigMac. Suka sangat makan burger. Dia kalau tak jumpa nasi satu hari pun tak apa asalkan ada burger. Kekadang, pepagi buta dia boleh mengheret aku ke McD untuk bersarapan.

"Mmm.. Mungkin anak angkat kot." ucapku, merujuk kepada kanak-kanak tersebut. Mataku masih leka melihat telatahnya yang mencuit hati.

"Kalau anak betul pun, tak mustahil apa."

"Heh! Lain benar rupanya." Tingkahku.

"Mungkin juga masa mengandung, mak dia suka tengok cerita orang putih. So, ‘terkenan’ kat anak dia. Atau mungkin juga masa mengandung, mak dia terkejut melihat mat saleh, boleh ‘terkenan’ juga." Zhafran mengeluarkan teorinya.

"Ah! Mengarutlah kau ni."

"Eh! Apa yang mengarut pula, betul apa aku cakap. Esok-esok kalau kau mengandung, mungkin juga anak kau ikut muka aku, tak ikut muka kau atau laki kau kalau hari-hari kau asyik tengok muka aku."

Aku tersedak tiba-tiba.

"Lya, kau kenapa?" Dia pantas bangkit dan datang di sebelahku. Tanpa aku menduga dia terus menggosok-gosok belakangku yang sedang terbatuk-batuk itu. Arrrggg…Perit sungguh rasa di tekak.

“Kau la, suka buat lawak bodoh bila orang tengah makan.” Marahku meledak tetapi sebenarnya, ia lebih kepada melindungi rasa gemuruh yang tiba-tiba datang tatkala jemarinya menyentuh belakangku. Walau berlapik baju, ia masih mampu menghantar arus hingga ke jantungku.

"Tu la, makan tak baca doa." Selamba dia mengataku.

"Heh! Aku tak pernah makan tak baca doa laaa..." aku tolak tangannya yang masih melekat di belakangku dan dia kembali ke tempat duduknya.

"Tahuuu.. Tapi makan tetap gelojoh juga. Cuba la jadi perempuan, tengok macam Suzie dan Ayu tu, lemah lembut aje aku tengok." dia suka membandingkan aku dengan budak Sains Sosial yang tinggal sekolej dengan kami itu.

"Aku hanya mahu jadi diri aku. Kalau kau tak suka, kau jangan kawan dengan aku." Aku jadi emosi tiba-tiba. Aku memang tak suka atau dengan bahasa lainnya ialah menyampah dengan sikap mengada-ngada dan gedik dua perempuan itu. Zhafran juga memang tahu tentang itu tetapi dia tetap juga ingin membandingkan aku dengan mereka.

"Mulalah nak mengarut tu." Dia sengih memandangku.

“Kau tu yang suka mengarut.” Aku terus bangkit dan pantas melangkah keluar menuju ke kereta dan bersandar di situ sambil bepeluk tubuh sementara menunggu dia keluar.

“Muncung kau tu, boleh guna buat gantung baju.” Dia mengusikku ketika keretanya sudah bergerak laju menuju ke kawasan rumahku.

Aku buat-buat tak mendengar, memandang keluar tingkap. Entah kenapa aku jadi emosi begini, mungkin kerana hormonku yang tidak stabil atau mungkin juga aku memang tidak suka dia membandingkan aku dengan orang lain.

“Kau cemburu erk? Sebab aku selalu sebut nama Suzie dan Ayu?” dia bagai ingin mendugaku.

Cemburu? Mungkinkah ada perkataan cemburu pada sebuah hubungan yang tidak berlandaskan perasaan?

“Cemburu tu, tandanya sayang dan aku tahu kau memang sayang aku.” Sambungnya sambil menoleh pandang dan tersengih gaya mengusik. Aku ketap bibir menahan geram.

Suaranya masih seperti selalu apabila mengusikku tetapi kenapa saat ini hatiku jadi bergetar? Benarkah aku sedang cemburu? Entahlah! Aku sendiri jadi makin tidak mengerti.

Sebaik keretanya berhenti di depan rumahku, aku cepat-cepat turun dan bergegas membuka pagar. Keretanya bergerak setelah kakiku melangkah masuk ke dalam. Walau kami sudah tidak tinggal berjiran lagi semenjak keluarganya membeli lot banglo di taman perumahan bersebelahan lima tahun yang lepas, jarak rumah kami masih boleh dikira dekat. Kalau berjalan kaki, masih boleh sampai dalam masa dua puluh minit.

4 comments:

DLa said...

boss..camna ni c zhafran tu blom nk suka kat sesapa lagi daa..
dr aku buang masa 'terrrrsuka' kat dia baik aku ngedate ngan FIR lg sekali..hahaha..

hajar said...

suka3... lagi kak hani... ngeeee...

aimie_afifah said...

ngeeeeee....zhaf tu memang dah tersuka kat Lya la tuh....

aishhhhhhhh...DLa aku ngedate ngan DR hansem dah r...Dr Zhariffffffff

DLa said...

aimie... Dr Ensem tu dah puas aku dating ngan dia..muahahah..

tukar plak ar..ngan abg Fir lak..hakhakhak..