FOLLOWERS

Bab 11

Sebaik melangkah ke tempat kerja petang itu, suara nyaring Madam Wong ‘menghalau’ aku dari kedainya memeranjatkan aku. Alasannya hanya satu, dia sudah menggugurkan namaku dari senarai pekerjanya.

“You sudah berapa lama tara datang? Suka-suka hati datang, suka-suka hati tara datang.” Suaranya melengking kuat.

“Sorryyy..... Madam, saya ada masalah sikit.” Perlahan aku memohon maaf.

“You ingat sini welfare punya tempat ka? You ada masalah, itu you punya pasal.” Sekali lagi dia menengkingku dan terus menghalau aku keluar tanpa belas. Waktu itu, Lilian dan Maggy serta seorang pekerja baru hanya mampu memandang ‘taukenya’ yang bagaikan dirasuk itu. Kalaulah Danny ada waktu itu, pastinya dia akan menolongku dan memujuk mummynya tetapi mengikut Lilian, lelaki itu kini sedang berada di Cameron Highland untuk urusan pembelian bunga di sana.

“You ingat ini kedai nenek you punya ka? Sesuka hati datang kerja, sesuka hati mau cuti. Lagi baik you terus tak payah kerja.” Bisa kata-katanya membuatkan aku tersentak. Buat seketika aku memandangnya tanpa suara.

Memang aku orang miskin tetapi aku tetap jua manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Kalaulah keluargaku kaya dan berharta, tidak perlulah aku bersusah payah begini.

Tanpa sedar, air jernih mula bergenang di tubir mata. Tidak mahu memanjangkan cerita, aku menapak keluar dengan rasa hati yang berbaur pelbagai rencah. Semua ini cukup menyakitkan membuatkan hatiku menangis dalam diam.

Ah! Tuhan sedang mengujiku lagi. Mungkin dia sedang menyediakan aku sesuatu yang
lebih baik dari apa yang aku harapkan saat ini. Aku ingin sentiasa bersangka baik apatah lagi terhadap Dia Yang Esa.

Menghilangkan rasa yang berkelana di hati, seharian itu aku merayau-rayau mengikut langkah kaki, menaiki komuter hingga ke Rawang dan berpatah balik ke Kuala Lumpur. Di KL Central, aku menaiki Putra hingga ke KLCC dan merayau-rayau di sana sehingga kaki naik lenguh. Penat berjalan, aku duduk di bangku yang disediakan di komplek tersebut. Tanpa sedar air mataku gugur ke pipi lalu aku menyekanya perlahan.

"Ibu... kenapa tinggalkan Fea begini?"
Sesaat berteleku, aku tersedar dari kealpaan. Sebenarnya, bukan di sini aku harus berada tetapi di atas sejadah mengadap Ilahi. Ujian adalah untuk dua perkara iaitu menyucikan dosa dan menaikkan darjat di sisiNya dan andainya kesedihan ini merupakan satu ujian untuk menjauhkan aku dari neraka, alangkah indahnya sebuah kesulitan.

‘Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Sedang yang susah Engkau jadikan mudah, apabila Engkau menghendakinya. Ya Allah! Aku mengharapkan rahmat-Mu. Oleh kerana itu, jangan Engkau biarkan aku tanpa pertolongan dan rahmat-Mu. Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan selain Engkau.’ Aku terus memanjat doa agar dipermudahkan segala jalan dan dihilangkan segala kesedihan.

Tanpa menunggu lebih lama, aku bangkit untuk pulang. Belum sempat kakiku mengatur langkah, pandanganku menyapa seraut wajah yang tidak pernah luput dari ingatan.

Arman! Hatiku menjerit kuat. Tekakku jadi kering tiba-tiba. Namun, Cuma seketika apabila bayangannya hilang di sebalik tubuh manusia yang ramai memenuhi ruang tersebut.

Ya Allah! Kenapa semakin hari aku semakin kerap mengingati dia. Mungkinkah dia juga sedang mengingati aku atau dia sebenarnya telah membuang aku jauh dari hatinya?

“Boleh tak kalau saya tanya satu soalan?” soalku suatu hari.
Dia hulurkan senyuman sambil mengangguk sebagai isyarat mengizinkan aku untuk bertanya.

“Saya ni tak cantik pun, tapi kenapa awak pilih saya.” Itulah persoalan yang sering memburu langkahku dan jawapannya tidak pernah aku temui.

“Kenapa tanya?” Soalnya tanpa menjawab soalanku.

“Pelik!”

Dia tergelak mendengar jawapan balasku. Aku terpaku memandang wajahnya. Sungguh…. Aku bagai ingin menghentikan waktu agar telingaku boleh mendengar suaranya yang ketawa begitu dan mataku boleh terus menatap seraut wajahnya yang kacak itu.

“Cinta tu memang pelik tapi saya tak perlu jadi pelik untuk jatuh cinta.” Ujarnya dihujung gelak.

“Yer laaa…. awakkan boleh pilih yang lebih cantik dari saya.” Tukasku, masih belum berpuas hati dengan jawapannya.

Aku ini hanya perempuan biasa-biasa yang tidak ada apa-apa istimewanya. Jika nak dibandingkan dengan dia yang segak dan kacak itu, seperti gagak duduk berganding dengan merak. Dia boleh saja memilih mana-mana perempuan yang jauh lebih cantik dariku.

“Bukan saya yang pilih tapi hati saya yang pilih.” Balasnya sambil merenung ke wajahku membuatkan aku tertunduk memandang rumput di kaki.

“Cantiknya seseorang wanita tu bukan pada parasnya tapi pada hatinya.” Sambungnya lagi.

“Dan kalau awak nak tahu……awak dah cukup cantik di hati saya.” Pengakuannya membuatkan aku terdiam kehilangan kata.

Oh! kenangan, kenapa masih ingin datang bertamu? Kenapa hati ini tidak pernah mampu melepaskan dia pergi sedang hakikatnya dia sudah melangkah jauh dari hidupku.

2 comments:

jana said...

Salam Puan,
ingat lagi tak saya jana,sahaja nak singgah sekejap dan tinggal pesan kat blog puan,
Semalam saya pergi ke Jalan TAR dan singgah ke Minerva,buat-buat tanya ada tak novel baru dari hani fazuha(walaupun saya tahu belum ada novel terbaru,saya sahaja nak usik kakak tu) pada kakak yang pembantu kedai yang promo habis-habis novel puan,dia jawab tak ada lagilah dik hani tu ambil masa lambat nak buat buku baru .

Saya jawab mestilah kak nak terbaik mesti ambil masa he he,so hani Fazuha cepat-cepatlah habis cerita yang terbaru ini ya,kesian kakak tu tertunggu-tunggu,sama juga seperti saya yang tertungu-tunggu.

Hani Fazuha said...

Jana... rasanya saya masih igat, awk yg beli buku saya sbb kakak minerva tu promote ka?..hehehe..

Buku baru saya yg tgh menjadi enovel kat blog ni sebenarnya dah siap dan sdg tunggu proses penerbitan. Insyaalah dlm sebulan dua lagi terbitlaaa...