FOLLOWERS

Bab 14

Hujung minggu itu Zura tiba-tiba muncul di rumahku dan mengajak aku bermalam minggu di rumahnya. Sudah agak lama kami tidak bertemu dan hanya berhubung melalui telefon. Aku faham dengan kesibukannya yang kini menyandang jawatan pengurus ke ewangan di syarikat milik daddynya.

Dia ada juga menawarkan aku bekerja di syarikat tersebut tetapi aku masih menimbang tara tawarannya kerana masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja. Dia juga mengajak aku tinggal di rumahnya dan berulang alik ke tempat kerja bersamanya tetapi rasanya aku tidak mungkin akan meninggalkan Aleeya begitu saja.

Ketika kereta Honda Civicnya memasuki perkarangan rumah besar milik keluarganya, pandanganku menyapa sebuah BMW baru 7-series hitam metalic yang tidak pernah aku lihat sebelum ini terparkir di laman rumah tersebut. Tanpa sedar aku melepaskan keluhan kecil. Saat itu, baru aku teringat tentang lelaki kerek itu. Ah! Pasti keselesaanku akan terganggu.

“Kau selalu cakap Tuhan tak suka orang yang berkeluh kesah tapi aku tengok sejak tadi kau asyik buat benda yang Tuhan tak suka tu.” Pedas sindiran Zura menyucuk anak telingaku. Benar...aku memang tahu itu. Orang yang berkeluh kesah adalah orang yang tidak tahu bersyukur. Subhanallah!

“Kereta siapa tu?” Aku pura-pura tidak tahu.

“Kereta abang akulah tu….” Jawab Zura. Dia memang memanggil abangnya itu dengan panggilan alang.

Jawapannya kedengaran mudah tetapi ianya tidak semudah yang aku rasakan saat ini. Kewujudan Zhafir di rumah besar itu membuatkan aku tidak lagi selesa seperti selalunya.

“Apasal kau gelisah semacam jer ni?” Zura menyoalku dengan kening berkerut.

"Aku...seganlah dengan abang kau tu." Luahku padanya.

Zura merenungku dengan wajah kehairanan dan aku mula menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal.

"Kau nak segan apa?" Soalannya membuatkan aku terdiam. Kenapa aku nak segan pulak?

"Alaaa.....abang aku tu okey. Cuma dia tu berat mulut sikit. Kau buat tak tahu ajelah, habis cerita." Ujar Zura.

Aku terasa serba salah. Buat pertama kalinya aku terasa tidak aman melepak di rumah besar ini.

"Kau janganlah buat muka lempeng kau tu. Aabang aku tu okeyyyy....lagi pun, dia jarang lekat kat rumah. Kalau ada di rumah pun mesti membuta. " sungguh-sungguh dia meyakinkan aku tentang abangnya itu.

Sudahnya, aku pujuk hati agar membuang segala rasa yang tidak selesa itu apatah lagi bayangan Zhafir langsung tidak kelihatan ketika kakiku melangkah masuk ke rumah itu. Mungkin membuta di biliknya seperti yang dikatakan Zura.

Sepanjang petang itu aku hanya berbual dengan Mak Yam sambil menolong dia mengoyak daun pisang untuk dibuat kuih. Katanya, nak buat tepung bungkus untuk hidangan minum petang. Katanya lagi, Zhafir memang suka kuih tu yang memang jarang sekali dijual kalau bukan bulan ramadhan. Mmmmm..nama lelaki itu juga yang disebutnya.

Dari mengoyak daun pisang hinggalah proses membungkus, semuanya Mak Yam turunkan ilmunya. Sedang terkial-kial menyudahkan bungkusan terakhir manakala Mak Yam sudah bangkit menuju ke sinki, Zhafir pula tiba-tiba muncul di ruang dapur itu dan dengan selambanya duduk di depanku, di kerusi tempat Mak Yam duduk seketika tadi.
Buat sesaat mataku terpaku melihat penampilan yang baru itu. Rambutnya sudah dipotong pendek dan wajahnya nampak bersih dari sebarang jambang. Sungguh kacak apatah lagi mukanya kelihatan segar seperti orang baru lepas mandi.

“You tak kerja kat tempat tu lagi ke?” Dia terus meluahkan soalan mengejutkan aku.

Bercerita tentang kerja, rasa sedih tiba-tiba. Wajahnya aku renung seketika. Matanya yang menggoda itu memandangku menunggu jawapan.

“Tak.” Aku menjawab sepatah dan kembali meneruskan kerja menyusun kuih yang telah siap dibungkus itu ke dalam periuk pengukus.

“Kenapa?” Soalnya lagi.
Aku pandang lagi ke wajahnya. Ingin aku jeritkan padanya bahawa aku telah diberhentikan kerja tetapi sabarku masih menebal. Soalannya aku biarkan sepi tanpa jawapan.

Tanpa mempedulikan renungannya, aku bangkit melangkah ke sinki untuk membersihkan tangan dan kembali semula ke meja membersihkan sisa-sisa daun pisang yang masih tinggal. Ikutkan hati mahu saja aku tinggalkan semuanya bersepah di situ dan terus naik ke bilik, namun perbuatan itu pastinya tidak elok untuk diriku sendiri.

“Belum boleh kukus lagi ke Mak Yam?” Aku bertanyakan Mak Yam tanpa mempedulikan renungan tajam Zhafir yang berada di depanku.

“Sekejap lagi, airnya belum mendidih.” Jawab Mak Yam yang sedang berdiri di tepi dapur memerhatikan air yang dimasaknya.

“Kenapa tak kerja lagi?” Sekali lagi dia mengemukakan soalannya, mungkin tidak berpuas hati selagi aku tidak menjelaskan padanya.

Sekali lagi aku pandang wajahnya. Sebelum sempat aku membuka mulut untuk menjerkahnya, kelihatan Zura sudah melenggang masuk ke dapur. Mmmm.. selamat dia hari ini.

Seketika kemudian, kelihatan umi yang cantik berbaju kurung sutera sulam warna kuning cair malangkah masuk. Pastinya dia baru pulang dari majlis amalnya.

“Eh! umi dah balik?” Zura terjerit kecil. Tanpa segan silu, dia terus bergesel di bahu umi.

“Eh! umi dah balik!” tiba-tiba saja kedengaran suara Ikmal yang entah dari mana datangnya mencebik ke arah Zura

“Dah tua bangka pun masih menempel bawah ketiak umi,” ejeknya sengaja mengundang marah Zura.

“Suka hati oranglah. Apa angah sibuk?” Tingkah Zura.

“Bukan sibuk tapi, berbulu mata angah tengok," balas Ikmal lantas melabuhkan punggung di sebelah Zhafir.

Umi hanya mampu mengeleng melihat telatah mereka manakala aku pula cuba menahan rawan di hati. Segala yang terhidang di depan mata bagai menggamit aku ke saat lampau. Melihat Zura dan angahnya bagai melihat aku bersama Arman bertelagah manja dan ibu menjadi perantaranya.

Tidak ingin leka dan hanyut dalam perasaan, aku menyibukkan diri menolong Mak Yam membancuh air untuk minum petang. Kata Mak Yam, kuih traditional ini lebih sedap jika di makan bersama secawan kopi. Mmmm... nampaknya aku kenalah lupakan kesedapan itu kerana kopi akan membolehkan migrainku datang secara tiba-tiba dan pastilah aku akan terbaring seharian kerananya.

“Fea bawa air ke depan dulu ya Mak Yam?” Aku bersuara sebaik selesai membancuh kopi. Zura sudah bersedia dengan dulang yang telah tersusun cawan di atasnya manakala umi sudah pun berlalu ke bilik untuk menukar pakaian.

“Mmmm... mesti best air kopi ni.” Ikmal memuji sambil menjelingku yang sedang menuang air kopi ke cawan. Dia yang sudah duduk di meja yang tersedia di anjung rumah itu bagai tidak sabar untuk meneguk minuman tersebut.

“Apa yang bestnya? Pahit adalah.” Zura meningkah. Dia memang pantang mendengar suara Ikmal, ada saja hujah lelaki itu yang dipatahkannya.

“Mana ada pahit, manis macam orang yang buatnya,” ujar Ikmal lagi setelah meneguk kopi di cawannya.

Sekilas aku menjelingnya. Dia yang sedang memandangku tersenyum meleret. Manakala Zhafir yang juga turut berada di situ hanya bertindak sebagai pemerhati drama tanpa tajuk itu.

No comments: