FOLLOWERS

Kenangan Di Hari Lebaran

Entah kenapa lebaran ini begitu kuat menggamit ingatanku pada ayah yang telah lama pergi menemui Penciptanya. Tidak seperti lebaran yang lepas-lepas, pagi itu aku bagai tidak sabar untuk bersimpuh di depan pusaranya.
Saat kakiku melangkah ke kawasan perkuburan, aku jadi sayu apatah lagi bila melihat pusara ayah bagai tidak terbela dengan rumput yang tumbuh meliar serta ranting-ranting kering bersepah di atasnya. Sukar untuk menyatakan rasa hatiku saat itu, sedih dan sakit. Dia meninggalkan anak-anak yang ramai tetapi kenapa pusaranya bagai tidak terbela. Namun begitu, aku tidak ingin menyalahkan sesiapa. Aku tetap menyalahkan diriku sendiri walaupun aku tahu jarak yang memisahkan tidak memungkinkan aku untuk sentiasa berkunjung ke situ. Lantas, suara hatiku berbisik sendiri, kalaulah aku tinggal di kampung itu, mungkin tidak sukar untuk aku sentiasa melawatnya.
Menggunakan tanganku, aku bersihkan rumput dan ranting itu. Saat itu aku bagai ternampak dia sedang tersenyum padaku. Tanpa sedar, air mataku bergenang di kelopaknya. Andainya dia masih hidup…..dan kenangan lebih 8 tahun lepas kembali menerjah ingatan.
Saat itu, aku baru saja menamatkan pengajian di UPM dan terus bekerja di Sri Kembangan. Ketika Aidiladha hampir menjelma, aku tidak berjaya untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung kerana waktu itu semua tiket telah habis dijual. Dua hari sebelum tibanya Aidiladha tersebut, buat pertama kalinya ayah telah menghubungiku. Semenjak melangkah kaki ke menara gading hinggalah memulakan kerja, itulah pertama kalinya dia menghubungiku dan bercakap denganku. Dia memang jarang bercakap dengan anak-anak, apa yang dia nampak tidak kena, selalunya disampaikan pada mek dan meklah yang akan menyampaikan pada anak-anak. Kerana itu, apabila dia menghubungiku dan bertanya tentang kepulanganku, aku jadi hairan. Katanya, dia mengharap sangat aku pulang. Kalau tak dapat tiket sebelum raya, ambillah selepas raya, janji pulang. Lalu aku katakan padanya, aku akan cuba dapatkan tiket, mungkin raya kedua.
Aku cuba lagi untuk mendapatkan tiket tetapi tetap tidak berjaya kerana memang semuanya telah habis dijual. Ketika itu, aku membuat keputusan untuk tidak pulang apatah lagi cuti memang tidak ada kerana baru lagi memulakan kerja.
Pada hari raya ketiga, aku menerima panggilan mengatakan ayahku sedang kritikal di hospital. Saat itu juga aku berkejar ke puduraya untuk pulang tetapi seperti yang aku telah tahu, semua tiket ke pantai timur telah habis.
Di depan kaunter bas aku menangis dan merayu memohon simpati agar aku dibenarkan menaiki bas malam itu. Aku tidak kisah walaupun terpaksa duduk di tengah laluan. Mungkin nasibku agak baik malam itu kerana ada seorang juga hamba Allah yang bersimpati padaku dan membenarkan aku menaiki bas yang dipandunya. Aku dibenarkan duduk di tempat yang dikhaskan untuk kelendan bas tersebut. Syukur pada Allah kerana di saat kesulitan begitu, Dia telah mengutuskan seseorang yang lembut hatinya untuk membantu. Kalaulah tidak kerananya, pasti malam itu aku akan tidur di hentian bas tersebut.
Tiba di Kota Bharu aku terus di jemput oleh abangku menuju ke Hospital. Saat melihat wajahku, mek terus menangis. Katanya, kenapa tak balik raya kedua. Katanya lagi, ayah yang beritahu bahawa aku akan balik pada pagi raya kedua. Kerana itu, ketika ayah tiba-tiba tidak sedarkan diri di pagi raya kedua itu, mereka semua tidak menghubungiku. Apabila aku tidak pulang hingga keesokan harinya, barulah mereka cuba menelefonku. Kerana itu, aku telah menjadi orang terakhir di kalangan anak-anaknya yang tiba untuk melawatnya di hospital tersebut. Sanak saudara yang jauh pun sudah dua hari berkampung di hospital itu.
Aku terus menangis. Melihat sekujur tubuhnya yang masih koma dan dikelilingi wayer, aku jadi tidak berdaya untuk berdiri. Sepanjang hayatku, aku tidak pernah melihat ayah sakit apatah lagi masuk hospital begitu.
Beberapa ketika, doktor masuk untuk memeriksa. Kata doktor, darahnya telah kembali normal dan sedikit masa lagi dia akan sedar. Tiada perkataan untuk aku gambarkan betapa aku gembira dengan perkhabaran tersebut. Namun, beberapa langkah saja aku melangkah keluar dari perkarangan hospital untuk bersarapan, ada suara menjerit memanggil aku agar cepat-cepat kembali ke wad. Ketika tiba di situ, aku lihat selimut putih telah menutup seluruh tubuh ayahku hingga ke kepala. Saat itu aku mengerti bahawa dia telah pergi menemui Penciptanya. Dan kata mereka, dua hari dia koma hanya sekadar untuk menunggu aku pulang menemuinya. Betapa aku terlalu sedih, sedih dan sedih…..dan ketika menaip N3 ini, aku masih sedih sehingga tidak sedar air mataku mengalir buat kesekian kalinya. Betapa dia terlalu ingin menemuiku tetapi takdirNya sudah ditetapkan begitu dan aku harus memujuk hati untuk menerimanya walaupun sehingga ke saat ini aku masih terkilan kerana tidak sempat memohon kemaafan darinya di pagi lebaran yang mulia.
Di pagi itu, aku sedekahkah Al-Fatihah dan Surah Yassin untuknya. Hanya itu yang mampu aku kirimkan untuknya sebagai seorang anak. Semoga rohnya dicucuri rahmat di sana..........

1 comment:

nacha said...

sedihnya bc n3 ni. masa arwah abah & mak sy meninggal pun sy x sempat tgk. sy sempat jaga derang berdua kat hospital. tapi saat2 terakhir tu sy takde kat sisi mereka.