FOLLOWERS

Rahsia Hati Si Kecil






Suatu malam ketika aku sedang menidurkan dua putraku, tiba-tiba si adik yang berusia 6 tahun bangkit duduk bersila mengadapku.
“Umi... esok-esok kalau adik dah besar, umi jadi tua ya?” Soalannya buat aku termanggu seketika. Tak terfikir dia akan bertanya soalan sebegitu.
“Ya.” Sepatah aku menjawab.
“Habis, kalau umi tua, macamana umi nak kerja? Kita macamana?” Si abang pula menyampuk.
“Kalau umi dah tua, abang dengan adik pula yang kerja, umi dengan papa duduk rumah.” Aku menjawab.
“Kalau abang kerja, siapa nak jaga umi? Dah tua mesti tak boleh jalan. Abang pergi kerja mesti lambat balik” soal si abang bertalu-talu. Si adik masih bersila mengadapku yang sedang berbaring.
Dalam samar cahaya bulan aku lihat dia seakan sedang memikirkan sesuatu. Sebelum sempat aku memikirkan jawapan sesuai untuk soalan-soalan si abang, si adik terus bersuara dengan suara separuh tangis. “Adik tak nak umi tua sebab adik sayang umi.” Mendengar luahannya, aku terus menjadi sebak.
“Tak apa, abang ada. Abang akan jaga umi dan papa.” Si abang pula bersuara untuk menenangkan adiknya dan suaranya juga kedengaran sedang menahan sebak. Saat itu terasa kelopak mataku membahang panas.
“Kalau umi tua, adik masih boleh sayang umi,” pujukku kemudiannya dan terus memeluk si kecil agar baring di sebelahku. Seketika baring dia bangkit kembali.
“Nanti kalau umi tua adik tak boleh peluk umi sebab umi busuk,” luahnya lagi dengan suara yang sudah tertahan-tahan.
Aku hampir ketawa mendengar luahannya. “Takkkk... umi tak busuk walau pun umi dah tua.” Sekali lagi aku memeluknya.
“Kalau umi dah tua nanti mesti macam nenek ya? Mesti pakai serkup kepala hitam tu ya?” si abang pula bertanya. Sekali lagi aku hampir tergelak bila mengingatkan ibu mertuaku yang selalu memakai serkup kepala bewarna hitam itu.
“Nanti kalau abang besar, abang nak tinggal kat mana?” si abang pula bertanya.
“Abang carilah rumah lain. Rumah yang lebih besar dan cantik.” Aku menjawab.
“Tak nak! Abang nak tinggal sini jugak, tinggal dengan umi dan papa dan adik.” Pantas dia menjawab. Suaranya sudah sebak kembali. “Abang tak nak jauh dari umi.” Sambungnya lagi. Saat itu, aku tidak tahu bagaimana untuk membalas bicaranya. Rasa sebak yang berkumpul menyesakkan nafasku.
“Umi...adik tak nak umi tua.” Sekali lagi si kecil ulang ayat yang sama dalam suara yang sama menjadikan dadaku makin sebak dan aku tidak lagi mampu bersuara untuk menjawab atau memujuknya. Lantas aku pejamkan mataku berpura-pura tidur.
“Umiii...” si kecil terus memanggil sambil menunduk untuk melihat mataku.
“Umi dah tidurlah dik. Jangan kacau umi, umi mesti penat.” Si abang memujuk adiknya. Seketika semuanya diam.
“Dik, nanti kalau kita dah besar, umi dah tua, kita bangun pagi buat sarapan untuk umi ya? Kita sarapan sama dengan umi.” Si abang bersuara pada si adik.
“okey,” jawab si adik pendek. Terus air mata yang berkepung di kelopak menitis perlahan ke bantal. Banyak yang berkecamuk di hatiku sehingga malam itu aku tidak dapat memejamkan mata
1. Bagaimana budak yang sekecil itu boleh berfikir sejauh itu. Aku yang sudah bergelar ibu yang sentiasa sibuk dengan soal duniawi tidak terfikir apa yang akan berlaku untuk 20 tahun akan datang.
2. Dalam waktu yang semakin singkat untuk bersama anak-anak, tidak sedar rupanya anak-anak sudah semakin pandai biarpun usia mereka masih terlalu kecil.
3. Dalam waktu yang menuntut banyak perhatian, aku alpa dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak. Ada ketikanya saat letih menguasai diri, anak-anak nak bermanja pun boleh terkeluar suara yang meninggi dan adakalanya anak-anak merajuk kerana sering tidak punya masa untuk mereka. Pun begitu, kasih di hati yang mereka luahkan malam ini buatkan aku insaf sendiri. Mungkin tuhan ingin menyedarkan aku dari terus alpa dengan urusan duniawi......

2 comments:

Rasha_rz said...

wah, kalau awak tua, kak ila dah bangka. kekekek. kak ila jadi tua bangka?

Rasha_rz said...

wah, kalau awak tua, kak ila dah bangka. kekekek. kak ila jadi tua bangka?