FOLLOWERS

SATU LAFAZ CINTA

Prolog


LANGKAH Hani Aleesya terhenti tatkala beberapa orang pelajar wanita menghadang perjalanannya. Hari itu dia sendirian tanpa Liza Wati. Sahabatnya itu tidak hadir ke sekolah kerana diserang cirit birit.
            “Ada apa?” Entah pada siapa ditujukan soalan tersebut tetapi satu persatu wajah yang pelbagai reaksi di depannya diteliti dengan kening berkerut.Siapa yang tidak kenal dengan Fareena Dato Othman and The Geng di sekolah ni? Tetapi persoalannya, kenapa Fareena tiba-tiba menghadang langkahnya dengan wajah seribu kebencian.
            “Aku tak mahu cerita banyak dan tak minat nak cakap banyak kali. Aku nak kau dengar baik-baik.” Fareena hentikan bicaranya di situ. Wajahnya di dekatkan ke wajah Hani sehingga gadis itu terpaksa melarikan kepalanya ke belakang.
            “Redza tu hak milik kekal aku dan kau jangan sesekali bermimpi untuk merampasnya. Apa saja yang berkaitan dengan dia tidak layak sama sekali untuk kau puja termasuklah gambarnya.” Nada perlahan tetapi penuh dengan amaran keuar dari bibir mungil Fareena.
Saat itu, Hani terasa wajahnya sudah tidak berdarah. Secepat inikah berita tersebar? Rasanya, baru petang semalam dia dimalukan di depan  rakan sekelas 5A1 oleh Redza Ashraf dan hari ini, Fareena and The Geng sudah mengetahuinya. Dia percaya, kalau beberapa wajah di depannya ini sudah tahu, bermakna seluruh pelajar sekolah ini juga pastinya sudah tahu. Sungguh memalukan.
Sekali lagi Hani memanggung kepala memandang empat lagi wajah lain yang bersama Fareena itu. Semuanya tersenyum sinis dan berbisik sesama sendiri.
“Far, aku rasa baik kau beli cermin besar-besar bagi budak ni. Biar dia cermin diri dia dulu sebelum bermimpi nak ada hati pada Redza. Mungkin lepas tengok cermin tu dia akan jadi sedar diri.” Saranan salah seorang dari teman Fareena yang berada di situ disambut oleh semua orang termasuklah Fareena dengan gelak besar.
Sungguh! Saat itu dia rasa terhina sekali. Buruk sangatkah dia sehingga harus diberi cermin untuk menilik diri sendiri? Dia seperti ingin mencari Redza dan memakinya cukup-cukup.  Kalau bukan kerana lelaki itu, pastinya semua orang tidak akan tahu.
Memang Redza itu sangat kacak dan menjadi pujaan segelintir besar pelajar di sekolah ini. Memang juga Fareena itu cantik dan  dikatakan sangat sepadan dengan Redza. Sementalah dia sering dilihat ke mana saja berdua bersama lelaki itu. Tetapi, kalau semua yang cantik pasangannya adalah yang kacak, bagaimana pula dengan yang kurang cantik sepertinya?

Ah! Memang dia sedar diri. Dia tidak langsung berniat untuk merampas Redza dari Fareena. Hatinya saja yang sudah terlanjur jatuh suka dan sering memuja. Namun, mulai saat ini, dia akan cuba menanam benih benci untuk lelaki itu. 

2 comments:

mimie khairuddin said...

Go go..best cite ni..

baby mio said...

Oh dah keluar ke novel ni kak hihi x sabar nak dapat kan .