FOLLOWERS

HKC - Bab 1

Arghhhh... Rasa macam nak menjerit kuat-kuat, biar seluruh penghuni kampus UM ni dengar suaraku. Kalaulah dengan menjerit itu boleh menghilangkan rasa sakit di perutku ini, memang aku dah buat walau mungkin akan dianggap gila.

Pagi ini, sekali lagi aku ponteng kelas dan hanya tidur di bilik asrama setelah menelan dua biji panadol.

Belum pun sakitku betul-betul hilang, panggilan Zhafran berkali-kali masuk ke telefonku. Selagi tidak diangkat, selagi itulah dia akan menekan butang redial, itulah perangai Zhafran yang aku hafal sejak dulu.

“Mmm... nak apa?” aku menjawab malas dengan mata yang terpejam.

“Aku ada kat bawah ni...” Cuma itu dan talian terus dia putuskan. Bila aku cuba menghubunginya kembali, tidak pula dia menjawabnya. Memang begitulah selalunya dan rasanya, jika dikumpul bebelanku terhadapnya sudah boleh menimbus seluruh bandaraya Kuala Lumpur.

Terpaksalah juga aku bangkit mencapai tudung dan melangkah keluar. Malasnya nak turun tangga. Dari tingkat tiga ke bawah, berapa banyak anak-anak tangga yang harus aku langkah tetapi kalau aku tak turun, Zhafran tak akan berganjak dari situ. Perangainya kadang-kadang boleh buat aku sesak nafas.

Dari jauh, aku sudah nampak Satria hitam pekat miliknya terparkir di tempat biasa. Pernah aku bertanya, kenapa hitam? Dengan bersahaja dia menjawab ‘hitam itu menawan’. Aku sengih saja sebab tahu kereta itu bukan dia yang beli tetapi papanya yang belikan untuk dia kerana muncul sebagai top ten best student dalam peperiksaan SPM di sekolah kami.

Perlahan saja aku melangkah menghampirinya yang sedang berdiri berpeluk tubuh sambil bersandar pada kereta tersebut. Wajahnya nampak serius tapi pandangannya redup memandangku.

Sebaik aku menghampirinya, tiba-tiba saja jemarinya naik ke wajahku membuatkan aku segera melarikan kepala ke belakang dan tindakan refleksi membuatkan tanganku cepat saja menepis tangannya. Namun begitu, dia pula bertindak menggengam jemariku dan sebelum sempat aku berbuat apa-apa, sebelah lagi telapak tangannya sudah melekat di dahiku.

Semua yang berlaku itu pantas sekali, seperti pancaran kilat membelah bumi dan cahayanya tembus ke hatiku menjadikan ianya bergetaran bak permukaan gendang yang dipalu kuat. Aneh! Aku tidak pernah merasai keanehan itu. Kenapa tiba-tiba ada rasa sebegitu selepas berpuluh tahun aku mengenalinya?

"Apa hal kau ni?" Aku terjerit kecil mengimbangi rasa terkejut dan melindungi getaran di hati. Pantas jemari aku tarik dari genggamannya dan tangannya yang melekat di dahiku sudahpun dialihkan.

"Fatin cakap kau tak sihat. Tak panas pun." Dia menyengih seperti selalunya.

Oh! Itu rupanya. Pastilah roomateku, si Fatin tu sudah mencanang cerita dan Zhafran pula tidak pernah bertangguh jika tahu aku sedang sakit atau menghadapi kesusahan. Itulah satu-satunya sifat dia yang sering membuatkan aku terharu sejak dulu sehinggalah sekarang.

Pernah suatu ketika aku baru memasuki matrikulasi di kulim dulu, dia sanggup memandu ke sana di malam buta setelah mengetahui aku demam teruk kerana homesick. Abah dan ibuku pun hanya ketawa saja apabila aku menangis di talian mengatakan aku rindukan mereka dan rumah kami tetapi dia pula, sebaik mendengar tangisanku, sudah menggelabah mengalahkan mendapat berita gempa bumi akan melanda.

"Tak sihat tu tak semestinya demam." ucapku perlahan sekali sambil melarikan wajah dari terus menjadi tatapan matanya.

"Habis tu...." bicaranya mati di situ.

"Ooo.. Aku tahu, lupa pulak sekarang dah hujung bulan. Kau mesti datang bulan dan senggugutkan?" sambungnya lagi membuatkan wajahku terus menjadi pijar.

"Isk!" aku mengetap bibir. Dia ni memang la, semua hal aku dia tahu termasuklah perkara-perkara dalam kain sekali. Tak suka betul!

"Dah makan ubat?" soalnya pula.

"Dahhh.." panjang jawapanku dengan wajah yang masih aku larikan, pura-pura memandang ke arah sekumpulan siswi yang sedang bergelak ketawa di 'port lepak' yang terdapat di kolej kediaman kedua itu.

"Okey.. Kau pergilah rehat." ujarnya.

"Petang ni takde kelaskan?" soalnya pula dan aku hanya mengeleng. Tak perlu cakap apa-apa sebab dia juga memang tahu jadual kelasku.

"Pukul lima aku jemput kau."

"Nak ke mana?" pantas saja aku bertanya. Baru tadi suruh aku berehat tapi sekejap saja sudah lain pula perancangannya.

"Ikut ajelah."

"Aku malaslah nak keluarrrr...."

"Aku tak tanya kau rajin ke malas. Tepat pukul lima, aku tunggu kat sini." dia sudah mula menunjukkan perangai 'hitler'nya.

"Eee... Tak suka betul dengan perangai memaksa kau neh!" aku mendengus kuat namun dia hanya ketawa melihat reaksiku.

Dengan ketawa yang masih bersisa, dia terus masuk ke dalam kereta dan melambai tanda ingin beredar. Tak guna betul! Desis hatiku. Setiap kali kalau dia datang cari aku, bukan akan menyenangkan tetapi sering membuatkan aliran darahku mengalir laju naik ke muka.

Selepas keretanya hilang dari pandangan, aku kembali mengatur langkah masuk ke dalam. Di tepi tangga, aku bertembung dengan Fatin yang baru pulang dari kelas.

"Heh! Dah elok?" dia menegur. Mengenali dia semenjak di semester pertama, mulut becoknya sudah lali buatku.

"Bolehlah!" aku menjawab malas.

"Dari mana ni?" dia menyoal lagi ketika kami sama-sama melangkah memanjat anak tangga.

"Jumpa mamat Satria tu la. Yang kau pergi cakap kat dia tu siapa suruh."

"Erk? Dia sampai dulu dari aku? Pantas sungguh." dia pula seakan teruja. Macamlah dia tak tahu perangai mamat tu. Bukan sehari dua kami kenal malah sejak di semester pertama lagi dia sudah tahu keakraban aku dengan Zhafran dan sikap ambil berat Zhafran terhadapku.

"Kau dengan Zhafran memang betul ke tak ada apa-apa?" soalan seterusnya yang keluar dari bibir Fatin buatkan langkahku terhenti.

Aku pandang wajahnya, hairan kenapa dia tiba-tiba timbulkan persoalan ini sedangkan dia sudah lama tahu antara kami memang terikat dengan perkataan 'sahabat'. Memang ramai penghuni kampus ini beranggapan aku dengan Zhafran adalah pasangan bercinta tetapi bagi teman-teman rapat kami, ia memang jelas dan nyata. Aku dan Zhafran bersahabat sejak kecil.

"Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?" soalku kembali.

"Entah! Aku rasa, kau dengan dia memang sesuai jadi couple." ujar Fatin sambil meneruskan langkah yang turut terhenti

"Kalau aku couple dengan dia, mahunya ribut taufan melanda UM ni." aku senyum sendiri. Rasanya bukan saja ribut taufan tapi mungkin juga gempa bumi akan melanda jika aku ber'couple' dengan dia. Setiap kali berjumpa, ada saja benda yang nak digaduhkan. Dia selalu kata aku degil dan kuat melawan. Dia juga selalu kata aku ni bukan perempuan tetapi lelaki yang dilahirkan sebagai perempuan. Ada ke macam tu? Sebabnya kalau bertekak, kaki aku cepat saja naik menyepak betisnya.

"Kalau aku bukan kawan baik kau, memang aku tak percaya."

Aku angkat kening memandangnya.

"Caring giler..."

"Alaaa... Dia tu memang macam tu sejak dulu. Kami kan tinggal berjiran." entah untuk keberapa kali ayat itu aku ulang bukan hanya pada Fatin malah pada yang lain juga.

Aku ingat lagi, permulaannya sebab pembantu rumah kami tiba-tiba menghilangkan diri. Waktu itu, aku baru berusia lapan tahu dan keluarganya baru saja pindah berjiran dengan kami. Balik dari sekolah hari itu, aku lihat pintu pagar dan pintu tidak berkunci tetapi bila dipanggil-panggil, tiada sesiapa pun yang menyahut. Abah dan ibu memang bekerja dan along pula bersekolah petang. Puas mencari tetapi Kak Watini tidak aku temui. Kerana takut, aku berlari keluar dan menangis di bahu jalan.

Sebaik melihat aku, mama Zhafran terus mengajak masuk ke rumahnya dan terus menghubungi ibu. Ekoran dari itu, ibu terpaksa bercuti panjang kerana kesukaran mencari pembantu yang baru tetapi nasib baiklah mama Zhafran yang ketika itu memang suri rumah sepenuh masa menawarkan diri untuk menjagaku.

Sejak dari itu, rumah dialah tempat aku membesar. Pulang dari sekolah, rumah dialah tempat aku tuju. Makan minum tak usah cakap. Mama dia dah macam mama aku.

4 comments:

DLa said...

fisrtly aku nk tya bla agak2 nk publish nih..aku dah teruja ngan zhafran ni.. mmg caring giler la...

Hani Fazuha said...

weh! tak tahu lagi bila siap..ntah2..
2 3 taun lagi..hahaha...

DLa said...

alaaaaa...boss..ko kn gile glamer.. setaun 2 3 bijik novel ko publish ok ar tu..
boss..agak la,klu aku paksa siapkan cpat bleh x ekk??

aimie_afifah said...

huhuhu...dah besar dah dak zhafran n lia nie....hani...jgn la lelama yer...aku tunggu nie