FOLLOWERS

Bab 2

Kalaulah dunia ini mendatar, aku pasti sudah menempah tempat di penghujung garisannya. Biar jarak yang memisahkan akan melupakan aku pada segala yang menyakitkan itu.

“Ini gaji kamu bulan ini dan ini duit untuk kamu bawa anak kamu pergi jauh dari sini. Selepas hari ini, aku tak nak tengok muka dia lagi di sini dan di mana-mana dalam daerah ni.” Puan Syarifah Maznah bersuara tegas sambil menghulurkan segenggam duit ke arah ibu.

Terkejut dengan apa yang berlaku secara mendadak itu, ibu hanya mampu memandang dan tidak pula menyambut hulurannya tetapi dia segera mengambil tangan ibu dan meletakkan wang tersebut ke atasnya. Kemudiannya dia berpaling ke arahku.

“Jauhkan diri dari Arman dan juga rumah ini.” Tegas arahannya menyapa telingaku dan mengakhiri segalanya.

Selepas menuturkan arahan keras itu, dia terus berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Hanya isyarat matanya yang menunjukkan kami arah mana laluan untuk keluar dari rumah tersebut.

Saat itu, aku terasa ingin menjerit pada Arman agar menyelamatkan hubungan kami tetapi tarikan tangan ibu menghalang aku berbuat bergitu. Lantas, aku hanya mampu memandang wajah Arman yang berdiri bagai patung bernyawa menyaksikan pemergian kami.

Kenapa Arman? Kenapa tiada sedikitpun usahamu untuk menyelamatkan hubungan kita? Adakah aku ini langsung tidak bernilai di matamu?

“Awak adalah anugerah termanis yang pernah saya miliki.” Itulah bicara manisnya yang sering dibisikkan ke telingaku. Namun, segalanya hanyalah mainan kata-kata yang menghayutkan aku dari alam nyata.

Cukup menyakitkan. Dalam usia yang terlalu muda, aku sudah terjerat dengan cinta. Berkali-kali aku cuba meyakinkan hati bahawa itu hanyalah cinta monyet yang akan datang dan pergi bila saatnya telah tiba. Namun, hati enggan menerimanya.

Saat ini, setelah waktu meninggalkan usia remaja menjadikan aku sedewasa ini, hatiku masih lagi tidak jemu mengukir nama dia. Bolehkah itu digelar cinta monyet? Kata orang, kalau kita tidak mampu memiliki, ‘barang’ itu akan menjadi sangat berharga di hati kita sedangkan ia langsung tidak berharga pada pemiliknya. Benarkah begitu?

Jika difikirkan kembali semua kenangan indah bersamanya, aku hilang seluruh semangat. Namun begitu, kalau pun cinta dia bukan milik aku, tidak bermakna aku tidak layak untuk hidup.

"Hoi! Termenung!!" Aleeya menyergahku. Dia ni memang pantang tengok aku senang sikit.

"Apahal kau main sergah-sergah orang ni." Marahku dan kembali memejamkan mata dengan majalah wanita aku telangkupkan ke dada pula.

"Weh! Dah senja. Kot ya pun nak tidur, tunggulah lepas isyak. Kau tahu tak waktu-waktu macam ni banyak setan berkeliaran. Mana tahu tengah kau tidur tu ada yang tersesat masuk dalam badan kau. Tak pasal-pasal kena rasuk." Dia sudah merampas majalah di dadaku dan terus melabuhkan punggung di kerusi.

"Kalau aku kena rasuk, aku cari kau dan cekik leher kau." Aku sudah bangkit bersila sambil membulatkan mata. Bengang betul aku kalau ada orang kacau tengah-tengah layan perasaan begini.

No comments: