FOLLOWERS

Bab 1

Kubasuh luka semalam dengan harapan calarnya tidak menyakitkan. Kusingkir segala memori agar kedamaian muncul di ruang hati. Namun, harapan tetap tinggal harapan kerana luka itu terlalu menyakitkan. Memori semalam tetap jua menjalar di ruang fikiran.

"Feaaaa...." Arman memanggil namaku dan aku cukup senang mendengar suaranya memanggilku begitu.

"Janganlah macam ni. Say something please...?" Dia bersuara lagi dalam usaha memujukku namun aku hanya diam membisu.

Dia akan pergi meninggalkan aku sendirian di sini. Bagaimana untuk aku menghadapi hari-hari seterusnya tanpa dia di sisi? Lima tahun bukannya sekejap.


Tanpa sedar aku mengeluh berat. Aku terlalu menyayanginya. Tiada perkataan yang mampu diungkapkan untuk menghuraikan rasa sayang itu. Dialah lelaki pertama yang mengajar aku erti cinta dan kasih sayang.


Perkenalan kami bukan setahun dua malah sudah berpuluh tahun lamanya. Membesar bersama dan bermain bersama sehingga akhirnya tumbuh bibit-bibit cinta. Namun, cinta kami cinta yang tersembunyi. Cinta kami, mungkin juga akan banyak halangannya terutama sekali dari keluarganya.


“Awak sanggupkan, tunggu sehingga saya habis belajar?” soalnya lagi namun aku tetap diam membisu. Buaian besi yang menjadi tempat duduk kami di sudut belakang rumah besar itu terus berayun perlahan.


“Saya janji.... sehabis belajar, saya akan jadikan awak suri hidup saya.” Dia berjanji dengan sebelah tangan diangkat seperti orang yang sedang mengangkat sumpah.


Sesaat cuma, tiba-tiba aku lihat wajahnya terus berubah. Pandangannya tertancap ke satu arah dan pantas saja aku menoleh ke arah tersebut.


Melihat Puan Syarifah Maznah yang tercegat sambil berpeluk tubuh merenung tajam ke arah kami, jantungku terus saja berhenti berdenyut. Cepat-cepat aku bangkit dan melangkah turun dari buaian yang kami duduki.


Mana Diana ni? Hatiku tertanya sendiri sambil memanjangkan leher kiri dan kanan. Diana yang merupakan adik kepada Arman adalah sahabat akrabku. Sebentar tadi, dia yang mengajak aku untuk sama-sama menelaah pelajaran di sini tetapi tiba-tiba saja Arman muncul dan sebaik saja lelaki itu duduk di sebelahku, dia pula menghilang entah ke mana.


“Leha!!!” gema suara Puan Syarifah Maznah benar-benar mengejutkan aku. Terasa jantungku terus tercabut dari tangkainya. Entah kenapa, aku dapat rasakan ada sesuatu yang akan berlaku.


“Leha!!!!” dia menjerit lagi tetapi kali ini lebih kuat. Pandangannya tidak lepas dari menatap seraut wajahku.

Seketika kemudian aku lihat bayangan seseorang terkocoh-kocoh datang menghampiri kami dan aku lihat wajah itu, wajah yang terlalu besar ertinya di dalam hidupku, wajah manusia yang telah melahirkan dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang. Dialah ibuku, dialah pembantu rumah merangkap pengasuh kepada Syed Arman Hariz dan Syarifah Diana Nadia, anak kepada tuan punya rumah agam ini.


“Leha! Kamu ni tak pernah ajar anak untuk cermin diri sendiri ke?” soal Puan Syarifah Maznah sambil menjeling ke arahku dan soalan berbentuk sindirannya itu bagai sebilah pisau menggores sekeping hatiku.

Ibu terus menatap seraut wajahku. Dari sinar matanya aku tahu pasti dia sudah dapat mengagak semua ini akan berlaku. Mungkin sebab itu dia sering menasihati aku, cinta sesama manusia letakkan di tempat kedua dan cintai Allah s.w.t melebihi segalanya.


“Suruh anak kamu tu cermin diri dia dulu sebelum bermimpi untuk jadi menantu aku.”


“Mama!” Arman mencelah tetapi hanya berhenti di situ sebaik mamanya mengangkat sebelah tangan sebagai isyarat agar dia diam.


Saat ibu dihentikan perkhidmatannya dan kami dihalau keluar dari rumah besar itu bersama iringan kata-kata hinaan, Arman tetap juga diam.

Ah! Arman... Sebaris nama itu tidak pernah luput dari ingatanku. Kenapa? Kenapa sehingga ke detik ini, aku tidak pernah mampu membuang namanya dari hatiku? Sukar sekali untuk meleraikan sebuah perasaan jika pengikatnya adalah cinta.

Sampai bila harus aku jadi begini sedang Arman sendiri pastinya sudah melupakan diriku ini? Dia juga pastinya tidak pernah menginginkan aku lagi. Jika cinta di hatinya sekuat cinta yang wujud di hatiku, dia pastinya sudah lama mencariku.


"Arman?" suara Aleeya yang tiba-tiba bagai berbisik menyebut nama tersebut mengejutkan aku dari lamunan.

Pantas pandanganku tertoleh ke arahnya yang sedang duduk berhampiran denganku di ruang tamu rumah sewaan kami. Dia memandangku dengan wajah penuh kehairanan.

"Kau suka dia? Arman Dato' Aminudin?" Dia menyoalku dengan kedua kening berkerut hampir bertaut.


"Hish! Jangan nak mengarut." Aku cepat-cepat menafikan tekaannya sebaik terlintas wajah lelaki bernama Arman, pelajar ‘top ranking’ dalam senarai impian para siswi di kampus UKM itu.


Pandangan Aleeya bersilih ganti menatap wajahku dan kertas surat khabar yang berada di depanku. Buat sedetik aku jadi hairan dengan tingkahnya tetapi tatkala melihat coretan pada helaian surat khabar tersebut, aku mula faham. Nama Arman yang bercontengan di situ menjadikan aku malu sendiri.


Seketika tadi aku leka membuat teka silangkata manakala Aleeya pula sedang menonton siaran Astro Prima. Tidak sedar bilakah masanya fikiranku sudah tersasar arah menggerakkan jemariku mencoretkan nama tersebut.

Tanpa memandang Aleeya, aku koyakkan helaian tersebut dan mengepal-ngepalnya menjadi satu bebola kecil untuk di buang.


"Kau suka dia ke?" Tekan Aleeya lagi.


"Weh! Bercakap tu tolong pakai akal logik, jangan ikut sedap mulut." Sergahku dalam nada yang masih perlahan.

Mana mungkin aku boleh menyukai lelaki itu. Lagaknya bagai dialah lelaki melayu terhebat akhir zaman itu sudah cukup merimaskan aku. Aleeya sendiri tahu tentang itu.


"Habis tu, kau tulis nama dia penuh satu paper tu, apa ke jadahnya?" Aleeya masih ingin tahu.


"Kau ingat dia sorang aje ke nama Arman dalam dunia ni?" tingkahku.


"Well! Mana aku tahu. Kalau kau suka dia pun, apa salahnya. Dia pun okey what?" Aleeya bagai ingin ‘mempromosi’ lelaki itu sedangkan dia sendiri tahu aku memang anti lelaki sebegitu.


"Huh! Kalau pun hati aku ni 'ter' suka kat dia, aku akan berfikir berjuta kali dulu. Aku ulang sekali lagi....... Berjuta kali, bukan beratus atau beribu," tekanku membuatkan Aleeya tergelak kuat.

“Kalau dia yang 'ter'suka kat kau?" Dia masih ingin mendugaku.

Heh!Talking nonsence.” Balasku pantas. Mana mungkin itu akan terjadi kerana lelaki tersebut sudah punya teman wanita yang cantik jelita. Kalau pun terjadi, mana mungkin sama. Sejuta Arman sekali pun yang datang, takkan mungkin sama dengan Armanku.

Ah! Bolehkah dia dipanggil Armanku sedang sebenarnya aku tidak pernah memilikinya? Bolehkah aku mengaku dia milikku sedang dia sendiri tidak pernah menganggapnya begitu?

Tanpa sedar, aku mengeluh perlahan. Kenangan di zaman silam kembali berkelana di ruang ingatan.

Ibu mula bekerja di rumah besar itu ketika aku masih di dalam kandungan. Rumah besar itu sudah seakan menjadi rumah keduaku kerana Diana, satu-satunya adik Arman merupakan sahabat akrabku dan kami sering mengulangkaji bersama.

Ada ketikanya aku merasa cemburu melihat kemanjaan Arman terhadap ibuku. Macamlah dia tu anak ibu, itulah yang sering aku gaduhkan dengan Arman.


"Ibu masak apa?"


"Pembetulan! Ibu saya, bukan ibu awak."

Arman memandangku dengan ekor matanya. Bibirnya sedang menyimpan sebuah senyuman.

"Cemburu erk? Sebab ibu lebih sayang saya dari awak," usiknya sambil menyengih. Bulat mataku memandangnya sambil bercekak pinggang tanda geram.


"Tak usahlah cemburu sayang. Esok-esok ibu awak tu akan jadi ibu saya juga." Selamba dia berkata membuatkan wajahku serta-merta berubah rona.


Memang aku cemburu. Kalau bab-bab bermanja dengan ibu, dia memang lebih dari aku. Nak makan apa main sebut aje, ibu pasti akan memasaknya. Kalau aku, susahnya yang amat. 'Masak sendiri di rumah nanti! Anak perempuan mesti belajar masak. Nak kahwin nanti senang.' Itulah yang sering dibebelkan ibu. Huh! Sudahnya aku malas meminta apa-apa, makan aje apa yang ada.

Ah! semua itu hanyalah satu kenangan yang menyakitkan untuk dikenang. Mengingatinya, hatiku yang sekeping ini bagai berpecah menjadi serpihan kecil dan serpihan itu tidak mungkin mampu dicantum kembali.

Semua yang indah-indah itu telah berterbangan pergi. Segala impian yang aku bina telah dimusnahkan dengan kejam dan ianya telah berkubur tanpa nisan.

No comments: