DARI arah dapur Hani sudah mendengar Julia menjerit. Sahabat merangkap
teman serumahnya itu memang kaki menjerit tak kira waktu. Suara dah la macam
tarzan.
“Hani! Rambutan
kat dapur tu mana hang ambik?” Mulut penuh dengan rambutan. Sungguh kurang
sopan anak dara yang seorang ini.
“Dari kampung,
mak aku kirim.” Hani menjawab tanpa menoleh. Matanya setia menonton siaran
National Geographic di Astro .
“Oh! Siapa yang
datang? Adik kau tu ke?” Julia sudah melabuhkan punggung menyertai Hani. Tapi
dia bukan menonton pun. Katanya, tak seronok tengok binatang. Cuba dilekatkan
muka Zul Arifin pada gajah, mahunya mata dia tak berkelip tengok.
Hani diam
sejenak. Berfikir sebenarnya, sebab tak tahu nak jawab apa. Silap jawab nanti
panjang berjela pula karangan yang nak kena karang. Julia ni kalau dikata dia
pernah kerja dengan ejen prisik, orang mesti akan percaya.
“Ha’ah adik
datang tapi sekejap jer. Petang dah balik.” Pembohongan yang tidak terancang.
“Hani, malam ni
kita berjemaah tengok DVD Korea nak?”
“Oh! Tak kuasa,
tidur lagi baik,” balas Hani pantas. Memang dia tak kuasa nak melayan drama
korea yang berjela tu. Bukan tak minat tapi kalau dah tengok, susah nak berhenti.
“Alaaaa...takde
teman.”
Perbualan mereka
mati di situ apabila telefon bimbit Hani yang terletak di atas meja kopi
bergegar menandakan ada pesanan ringkas.
+ Hi...
Cuma itu yang
ditulis dari nombor yang tidak dikenali. Tapi, macam dia pernah nampak nombor
tu. Segera Hani godek-godek telefonnya mencari senarai pemanggil.
Sah! Itu nombor
Hazril sebab ianya sama dengan nombor yang menelefonnya malam semalam.
Okey! Save sekejap. Takut terlupa lagi. Tapi,
dia tak mahu letak nama Hazril. Kenapa? Sebab dari dulu lagi dia memang alergik
dengan nama tu. So, dia letak nama ‘jiran’ sebab lelaki tu kan jiran depan
rumahnya di kampung.
+ Hi...dah tidur ke?
Sekali lagi sms
diterima.
-
Tak tahu nak bagi salam ke?
+
Assalamualaikum... jom keluar sayang. Teman saya dinner.
Hani tarik nafas.
Entah sejak bila nama dia dah bertukar jadi sayang. Kalau panggilan tu dibuat
ketika dia benar-benar taksub dengan lelaki tersebut, agaknya dia boleh
pengsan. Lepas sedar, pengsan balik dan sedar sampai sepuluh kali. Tapi
sekarang, dia tak tahu nak gambarkan bagaimana, tak tahu apa yang hatinya rasa.
+
Jomlah! Saya belum makan lagi ni. Kasihanilah saya yang jauh dari mak ayah
ni.
SMS diterima
lagi.
Rasa nak tergelak
pun ada tapi Hani hanya mencebik. Ada aku
kesah! Makan guna mulut sendiri, beli guna duit sendiri dan masuk perut
sendiri, tak ada kaitan pun dengan dirinya. So,
buat apa dia nak kisah.
+ Saya dah ada depan pintu rumah awak ni.
SMS yang
seterusnya buatkan Hani terloncat bangun.
“Opocot! Mak
kau!” Julia melatah kerana terkejut dengan reaksi spontan Hani.
“Apa niiii!!!!” marah Julia. Badannya sudah bergoyang, geram
dengan Hani yang buat dia terkejut begitu.
Reaksi Julia
memang melucukan tetapi Hani sudah tidak berupaya untuk senyum apatah lagi
untuk ketawa. Skrin telefon ditenung bagai Hazril ada di dalam telefon
tersebut. Bagaimana Hazril tahu rumah dia?
“Hani! Kenapa?”
Julia sudah kehairanan melihat tingkah Hani yang pelik. Selalunya kalau dia
melatah, Hani akan ketawa tetapi kali ini lain pula.
Tanpa menjawab soalan
Julia, jemari Hani pantas bergerak
menyentuh skrin telefon mencari nombor Hazril.
“Kau tipukan?”
terjah Hani sebaik telinganya menangkap suara Hazril menyambut panggilan.
“Cuba la buka
pintu, baru tahu menipu atau benar.” Suara Hazril cukup tenang tetapi lain pula
dengan hati Hani saat itu. Debarannya, usah diceritakan lagi.
“Mana kau tahu
rumah aku?” Hani masih tidak ingin percaya tetapi kakinya tetap juga bergerak
ke arah pintu. Cuma dia masih teragak-agak untuk membukanya.
“Saya jampi.”
Mudah saja jawapan Hazril. Pun begitu, ianya tidaklah semudah jawapannya.
Terbayang kembali bagaimana sukarnya untuk mendapat kepercayaan Azrul bagi
mendapatkan alamat kakak kesayangannya itu.
‘Abang jangan
cakap saya yang beritahu tau. Nanti masak saya kena salai dengan akak.’ Itulah
pesanan Azrul.
Hazril senyum,
sabar dan masih setia menunggu di depan pintu apartment yang alamatnya
diberikan oleh Azrul tadi. Entah kenapa, dia boleh buat kerja segila itu. Kerja
yang tidak pernah terlintas untuk dia lakukan tetapi saat ini, dia telah
lakukannya.
Namun, dia rasa
bahagia. Rasa itu makin bertambah apabila tiba-tiba pintu rumah terbuka dan
wajah Hani tanpa bertudung muncul di situ.
“Arrrgghhh!!!”
Hani terjerit kuat. Pintu terus ditutup kembali dan dia berpusing menyandar ke
dinding di tepi pintu.
“Kenapa Hani?”
Soal Julia. Dia jadi makin pelik dengan tingkah Hani yang tiba-tiba menjerit
dan bersandar ke dinding sambil mengurut dada sendiri.
Rasa ingin tahu
mendorong Julia menguak daun pintu dan kali ini dia pula yang terkejut melihat
lembaga manusia yang berdiri di depan pintu grill
sambil menghulurkan senyuman manis. Oh! Sebelum dia tergoda melihat
senyuman itu, pandangannya segera dialihkan pandangan ke arah Hani yang masih
berdiri di tepi dinding tersebut.
“Siapa yang tersesat
datang rumah kita ni? Artis ke?” Terus Julia berbisik ke telinga Hani yang
masih kaku di tepi dinding. Sengaja ingin mengusik sebenarnya.
“Artis hotak
hang!” nada berbisik juga Hani menyergah Julia.
“Handsome sangat.” Julia menyengih, Hani pula mencebik. Tapi, kenyataannya memang
betul pun.
“Ya? Encik cari
siapa?” sopan Julia bertanya. Perhatiannya sudah beralih ke arah lelaki kacak
yang masih berdiri di tempat yang sama.
“Hani Suraya.”
Jawab si lelaki.
“Oh! Sekejap, dia
tengah test jantung.” Julia jeling ke
arah Hani sambil menahan tawa.
“Nak masuk ke?”
sengaja dia ‘membakar’ Hani dengan berpura-pura bertanya soalan tak logik pada
lelaki tersebut. Sebenarnya, rumah mereka memang tak dibenarkan lelaki masuk
kecuali ayah dan adik beradik penghuni.
“Heh! Hang dah
gila ke? Sudah! Pergi sana, biar aku uruskan lelaki ni.” Seperti yang dijangka,
Hani terus meletup.
Pantas Hani
bergerak masuk ke bilik, tudung dipakai dan muka di belek seketika di cermin
sebelum bergerak keluar.
Julia sudah
mengekek ketawa melihat Hani yang serba tak kena itu. Pun begitu, hatinya tetap
tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki kacak di luar sana sehingga mampu membuatkan
sahabatnya yang seorang ini menggelabah mengalahkan tikus ternampak kucing.
“Kau nak apa?” Kasar Hani bertanya sebaik
berdepan dengan Hazril. Mereka kini hanya dipisahkan oleh pintu grill yang masih berkunci.
“Garang semacam
jer?” Hazril senyum. Sebelah tangannya
di dalam poket dan sebelah lagi berpeluk tubuh.
Hani tarik nafas.
Pandangannya dikalihkan ke tempat lain. Dari dulu sehingga kini, Hazril tidak
pernah tidak nampak menggoda di matanya. Oh! Tolonglah, dia tidak ingin
membiarkan hatinya hanyut lagi.
“Keluar jap,
Jom!” lembut suara Hazril buatkan Hani rasa macam ada air mencurah di atas
kepalanya. Sekali lagi, dia tarik nafas yang panjang. Hati, sila bertenang.
Godaan ini hanya berbentuk sementara.
“Hazril...”
Bicara Hani terhenti tatkala matanya menangkap bayangan dua orang teman
serumah, Yatie Pian dan juga Norlia yang baru pulang, melenggok perlahan menghampiri
pintu rumah.
“Kak.” Yatie
menegur dan Hani senyum menyambut teguran. Mereka ni balik kerja terus bershopping. Entah apa yang dibeli
dengan paper bag bergayut di tangan. Mentang-mentang baru dapat gaji.
Pintu grill dibuka oleh Yatie. Hani melangkah
keluar, memberi ruang untuk Yatie dan Lia
masuk. Selepas bayangan mereka berdua menghilang di balik pintu, Hani ingin
melangkah masuk tetapi Hazril dengan pantas menghalang dengan tangannya.
Dan...waktu
terasa terhenti apabila tangan Hazril yang menghalang itu tepat mengena
dadanya. Telapak tangan Hazril tepat-tepat melekat pada dada kirinya. Oh!
Sesuatu yang dia jaga dengan rapi selama ini sudah di ‘cabuli’ oleh tangan
Hazril. Walau berlapik, dia rasa macam nak pitam.
Arrrgghhh....
Hani seperti ingin menjerit dan bertempik tetapi saat itu dia seperti sudah
koma, mampu melihat dan merasa tetapi tidak mampu bersuara.
Hazril pula bagai
terkaku. Sungguh! Dia tidak sengaja tetapi ‘kemalangan’ ini bagai satu anugerah
bernilai jutaan ringgit. Ada duit sejuta pun belum tentu dia dapat sentuh
dengan kerelaan Hani. Dia sangat pasti tentang itu.
“Baik kau alihkan
tangan kau atau malam ni kau balik dengan hanya satu tangan!” Baru Hani mampu bersuara. Dia malu dan geram
sungguh dengan Hazril. Kalau boleh telan manusia, dia memang dah telan Hazril
hidup-hidup tanpa menunggu walau sedetik.
Suara Hani
menyedarkan Hazril yang tangannya masih melekat di tempat sensitif milik wanita
itu. Dia senyum segaris sambil perlahan menurunkan tangannya.
“Sorry!”
Arrrgghhhh!!!!...
rasa nak marah orang, nak cekik orang dan nak bunuh orang. Sebelum Hazril jadi
mangsa pembunuhan kejam, baiklah dia masuk dalam rumah dengan kadar segera.
5 comments:
Tang tu jugak yg xsengaja terkena pun noo...hihihi
Tumpang tanya..ni novel penuh ke atau cerpen..mcm mana nak dptkan cerita ni yg full version??
ni novel penuh
boleh order melalui online di FB
salam..ada jual x dkat bookstore
Sape ada jual, saya nak beli🥰
Post a Comment