FOLLOWERS

KASIH ITU CINTA - BAb 1

MEMANDANG Dya yang dari tadi tidak mempedulikan kehadirannya di dalam bilik itu, Zarif sedut nafas dalam-dalam. Perkahwinan ini memang kehendak hatinya. Ijab dan kabul ini memang telah lama dia doakan, sejak jemari Dya ‘singgah’ di pipinya berpuluh tahun dulu. Sejak itu, dia sentiasa berdoa, agar Tuhan temukan kembali dia dengan pemilik mata indah ini. Dan ternyata, doanya dimakbulkan.
            Tapi dia tahu, perkahwinan ini bukan kehendak hati Dya. Dia juga tahu persetujuan Dya dipenuhi rasa keterpaksaan. Pun begitu, dia amat berharap, keterpaksaan akan bertukar menjadi sebaliknya
            “Kenapa pandang saya macam tu?” Suara Dya tiba-tiba menyergah. Dari cermin solek, si isteri sudah melabuhkan punggung di katil.
            Zarif senyum dan kepala digeleng perlahan. Langkahnya diatur menghampiri si isteri.
            “Garang betul bercakap dengan suami. Patutlah staf awak cakap awak ni garang macam harimau.” Dia bersuara dengan leretan senyuman di bibir sambil berdiri tegak berhampiran katil. Sebelah tangannya memeluk tubuh manakala sebelah lagi meraba-raba dagunya yang berlekuk.
            “Siapa cakap saya garang?” Dya melenting tiba-tiba. Tapi bibir Zarif masih dengan senyuman. Itu yang dia mahu sebenarnya. Mahu menarik suara si isteri keluar dari kerongkong. Kalau bukan dengan cara provokasi, Dya seperti manusia bisu.
            “Maria selalu cakap...”
            “Hah! Percaya sangatlah cakap dia tu!” Dya pantas memintas. Muka sudah memerah. Marah!
            “Baguslah! Dia pun memang tergila-gilakan awak. Patutnya awak kahwin dengan dia, bukan dengan saya,” sambungnya lagi. Dari duduk Dya bangkit berdiri dan dada bidang si suami ditolak kasar sehingga terundur beberapa langkah.
            Pun begitu, senyum Zarif makin melebar. Dia sudah nampak jalan untuk menjentik hati beku seorang Dya.
            “Kalau awak setuju bermadu dengan Maria, saya tak kisah. Kita kan kahwin sebab keluarga, apa salahnya saya kahwin lagi satu dengan orang yang betul-betul nakkan saya?” Sengaja mahu melonjakkan lagi hormon Adrenalin si isteri. Maria yang menjadi topik perbualan mereka itu adalah rakan sekerja Dya. Dia kenal pun sebab gadir itu selalu mengunjungi klinik tempat dia bertugas.  
            “Pergilah kahwin dengan sesiapa saja yang awak suka! Saya tak heran pun.” Tona suara Dya sudah berubah.
            Tiba-tiba Zarif meletuskan tawa.
            “Cakap tak heran, tapi muka macam orang marah aje,” selarnya dalam tawa yang masih bersisa.
            Tanpa diduga, tangan Dya terus mencapai frame gambar yang terletak di atas meja sisi katil.
            “Whoa! Whoa! Jangan baling! Nanti semua orang kat luar sana ingat kita berperang.”  Zarif pantas bertindak merampas frame tersebut sebelum sempat ia menjadi objek balingan. Kalau tidak, sahih bengkak kepala.
            “Gambar ni merupakan harta yang paling saya sayang. Awak pukul saya tak apa, tapi gambar ni tolonglah jangan apa-apakan,” ujar Zarif sebelum meletakkan kembali gambar tersebut ke tempat asal.
            Selangkah Dya bergerak, Zarif bertindak memaut pinggang si isteri dan satu ciuman di lekatkan ke pipi. Sudah lama dia idamkan pipi mulus itu.
            “Hmm... wangi,” senda Zarif.
            “Lepaslah!” Dya membentak marah sambil meronta mahu melepaskan diri. Namun, Zarif makin mengeratkan pelukannya, sengaja mahu menaikkan kemarahan si isteri.
            “Lepassss!!!” Kali ini Dya sudah terjerit kuat. Tangannya menolak tubuh Zarif. Kuat!  Sehingga pautan di pinggangnya terlerai.
            “I hate you!” Kali ni suara Dya sudah merendah. Air matanya pula yang seakan mahu melimpah. Entah kenapa, perlakuan Zarif buat Dya rasa semua lelaki adalah sama.
            “Esok awak tolong hantar saya balik ke rumah sewa saya. Awak buat hal awak, saya buat hal saya.”
            Zarif terus terdiam, memandang si isteri tanpa suara.
            “Kalau awak nak kahwin lain pun saya tak kisah. Yang pasti, saya tak boleh hidup dengan awak. Tengok muka awak pun saya dah benci apatah lagi untuk bersama awak,” sambung Dya lagi.
            Mata dialih mendongak ke atas. Nafas disedut panjang. Cara Dya luahkan kata benci itu buat hatinya terguris. Ada ke lelaki yang malang seperti dia? Di hari pertama perkahwina isteri sudah berkali-kali berkata benci dan berkali juga meminta agar dia berkahwin lain? Rasanya, hanya dia satu-satunya lelaki itu.

            Tak mahu memanjang pertelingkahan, Zarif atur langkah ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Tadi, ketika dia masuk ke bilik, Dya baru selesai menunaikan solat isyak, bersolat sendiri tanpa menunggu dia.

            Keluar dari bilik air, Zarif lihat si isteri sudah berbaring di sofa, berselimut sehingga ke kepala. Pantas kepalanya mengeleng beberapa kali. Tungguhlah, dia selesaikan urusan dengan YANG ESA dulu. Tahulah apa dia nak buat.

            Seusai solat Isyak dan bermunajat pada Ilahi, Zarif atur langkah ke sofa di mana Dya elok terbaring di situ. Punggung terus dilabuhkan di bahagian kaki si isteri, sengaja menghimpit.

            Tepat dugaannya, selimut yang menutup seluruh kepala terus terselak. Zarif simpan gelak, buat-buat muka bersahaja dengan pandangan terarah ke kaca TV.

            “Banyak-banyak tempat, kat sini jugak awak nak menyelit!” Dya bingkas duduk. Memandang tajam ke arah si suami di sebelah yang masih menayang muka bersahaja.

            “Tempat tidur kat katil sayang, sini tempat duduk tengok TV.” Suara Zarif selamba membalas, seselamba wajahnya waktu itu.

            Dari kaca TV yang terpasang, wajahnya ditoleh sekilas dan senyum diukir. Muka si isteri tak perlu diceritakan, macam singa nak membahang mangsa. Garang sungguh!

            “Tidurlah kat atas katil. Saya nak tengok TV sekejap.” Suaranya dilembutkan, nada memujuk.

            Tanpa suara, Dya akur.  Bangkit berdiri dan selimut ditarik kasar sebingga Zarif hampir terjatuh.

            Melihat tingkah kasar si isteri, Zarif mengeleng berkali-kali. ‘Dah la garang, ganas pulak tu.’

            Macam manalah dia boleh terjatuh suka? Walhal sebelum bertemu Dya lama dulu, hatinya hanya menginginkan yang lemah gemalai.

            Tapi, tingkah Dya yang pelik, buat dia mahu lebih mengenali. Diam seorang Dya, buat hatinya makin teruja. Dan kasar seorang Dya, buat dia tekad untuk melembutkan.


            Sejak dulu, sejak lama dulu, dia memang sudah tahu. Dya yang pendiam tetapi sentiasa bertingkah kasar bila ada yang mengusik. Tapi, hatinya yang tiba-tiba berubah mahukan yang pelik-pelik. Jadinya, terpaksalah tanggung sendiri.

7 comments:

baby mio said...

best 3x.

juridah said...

I likeeeeee

Anonymous said...

teruja nk bca episod seterusnye..versi cetakan terus laaa...

Kak Sue said...

layan dulu Zarif... kalau terlebih baru tegur..hihihi

Fiesha Ibrahim said...

best ceta ni teruskn lg

Ejan Suzani said...

Kasih itu cinta kesinambungan' debunga kasih ' ker..

Ejan Suzani said...
This comment has been removed by the author.