FOLLOWERS

YANG DIA PILIH - BAB 1

Kembali duduk dikerusi empuk itu setelah tiga tahun meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana harus dimulakan. Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.

 ‘Bang, aku akan dihantar bertugas ke Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family aku sekali.’

Email yang dihantar Zhafran membuatkan dia berfikir berkali-kali. Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa pergi dan bermaksud juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau Crystal.

Pada mulanya dia masih teragak-agak untuk pulang tetapi panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan dadanya bagai ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
           
“Papa dah tak kuat Reez. Papa perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.” Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu di bumi Ratu. Kerana itu juga, dia kembali menjejakkan kaki ke Danau Crystal.

            Ikutkan hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.

            “Melarikan diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.

Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.

            Seketika berdiri di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di dalam ruang pejabat pula.

            Saat itulah matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa. Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik. Walau sudah mempunyai seorang anak, badan Lya tetap langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan dengan apa saja yang dipakainya. Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang membuatkan hatinya terpaut.

            Astaghafirullahalazimmmm....

            Panjang dia beristifar setelah sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta kerana mendambakan wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik sendiri. Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.

            Baru saja nafas yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.

            “Masuk.” Lemah saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.

            Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk menghampiri mejanya.

            “Boleh I duduk?”

            “Hah!” Hareez bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar pemintaan Lya itu. Rupanya Lya sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya duduk.

            “Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya bersuara sambil meletakkan file yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi dia cuba untuk berlagak biasa. Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama tiga bulan kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya di Dubai.

Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga tahun tidak bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu jauh bezanya dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan. Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?

            Hareez mengangguk perlahan petanda memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu, sepanjang ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua urusan Danau Crystal.         
Seharusnya  Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap rendah diri seorang Lya memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada rasa bersalah terbit di hatinya. Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul tanggungjawab tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega meninggalkan papanya menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat kontraknya dengan syarikat lain.

            Melihat anggukkan Hareez, Lya terus membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja. Mulutnya terus berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez tahu.

            Cuba untuk fokus, itulah yang Hareez lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari gelombang dimindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas helaian kerta menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk membuatkan nafasnya kembali menjadi sesak.

Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak kesampaian dan dia tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan kesampaian.

            Sedang minda dan hatinya berperang sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit Lya. Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak menarik telefonnya yang diselitkan di poket seluar slack yang dipakai.

            “Sekejap ya.” Sopan Lya memohon untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran yang tertera di skrin.

            “Assalamualaikum abang... Lya tengah ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut alunan suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.

            Pantas Hareez kalihkan pandangannya ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah mula mengintai keluar. Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat Zhafran.       “Okey, bye!” suara penamat perbualan itu memanggil Hareez kembali berpaling ke arah Lya.

            “I love you too.” Ucapan terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan mata Hareez terpejam rapat menahan sakit. Ya! sakit yang tidak mungkin mampu dilihat oleh sesiapa pun.

            “Reez...sorry, boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka matanya. Tidak mengangguk dan tidak juga mengeleng, hanya matanya melekat ke wajah Lya.

            Melihat tingkah pelik Hareez, Lya diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang kembali. Sejak kepulangan Hareez sebulan yang lalu, rasa bimbangnya tidak pernah surut apatah lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap hari di pejabat.

            “You bahagia?” soalan Hareez yang tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang di hati Lya. Dia cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sinar mata lelaki ini bagai mnceritakan segalanya.

            “Lya?”

            “Ya, I sangat bahagia.” Spontan jawapan itu keluar dari bibir Lya. 

Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan lain selain dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggabarkan rasa hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.

            Hareez tarik nafas panjang. Entah kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat sebenarnya dia telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya sudah cukup untuk memberitahu tentang bahagia yang berada disekeliling mereka.

            Ah! Rasa hati ini perlu dibalut lagi dengan lapisan yang tebal-tebal supaya  getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah hanya dia yang merasai betapa dasyatnya getaran yang melanda hatinya.


4 comments:

Unknown said...

BEST.

hrzn said...

Auchhh.. Sakit nye.. T.T

Anonymous said...

bila novel ni nak dikeluarkan...

Sha said...

Best, awal-awal dah ada konflik jiwa Hareez-Lya. Tak sabar nak tahu apa yang berlaku pada mereka sebelum ini.