Lari dari kenyataan bukan jalan
penyelesaian tetapi itu yang Hareez lakukan sekarang. Duduk sendirian di pantai
Cherating dengan harapan segala kesakitan yang bermukim di hati mampu dihalau
pergi.
Harapannya, ketenangan akan ditemui
di situ tetapi perkiraannya nyata silap. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya
sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.
“I
minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta.
Ya! I memang cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek
kejam sekeping hatinya.
“Sejak dulu hinggalah ke saat ini dan
insyaalah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang,
jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.”
Apa
lagi yang boleh dia katakan selain dari cuba memujuk hati sendiri. Sudah puas
dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih
Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu
memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan
doanya?
Tetapi,
dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau
doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan diakhirat nanti? Mana tahu,
pasangannya nanti adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?
Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian
kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di
mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup
terus peluang dia untuk memiliki Lya.
Lantaran itu, dia menjadikan kerja sebagai
alasan untuk lari ke bumi Pahang ini dan saat ini, dia hanya duduk termenung di
pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.
“Bang,
aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran
beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.
“Bercerita
tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar
dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang
langkahnya.
Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan
Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya
pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya.
Sungguh....
dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan
mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini. Bukan dia
tidak pernah bercinta malah pernah juga berkahwin. Tetapi, semua itu tidak sama
dengan apa yang dia rasai tatkala mengenali Lya.
Pada
dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik
bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan
tingkahnya. Lya memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang
tersendiri. Sentiasa spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya.
1 comment:
sambungan hati kala cinta lah ni? hehe
Post a Comment