FOLLOWERS

HKC - Bab 18

Di atas permintaan Follower yang tak jemu-jemu mengunjungi blog dan tak sabar-sabar menunggu HKC keluar, di tampilkan Bab 18...Semoga terubat rindu buat Zhaf dan juga Lya......


******************

Malam itu, aku dikejutkan pula dengan cerita yang cukup menghiris hati. Nasib baik aku menghubungi kak long. Kalau tidak, entah bila aku akan mendapat tahu ceritanya.

“Minggu ni kak long dengan along balik Putra Permai, ibu minta tolong temankan dia beli barang hantaran Nurin.” beritahu kak long apabila aku menyatakan untuk ke rumahnya hujung minggu itu.

“Barang hantaran? Untuk apa?” spontan aku bertanya kerana terkejut mendengarnya. Takut juga aku tersalah dengar.

“Laaa.. ibu tak cakap ke?” soal kak long kehairanan.

“Cakap apa?” solaku kembali.

“Eh! Kak long terlepas cakap ke ni?” kak long sudah teragak-agak.

Aku diam seketika, cuba mencerna kembali ayat yang kak long luahkan tadi. Barang hantaran hanya untuk orang yang akan bertunang atau berkahwin. Nurin sudah bertunang, adakah ini bermaksud dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini? Kenapa aku tidak tahu?

“Tak! Kak long tak salah cakap. Memang ibu ada cakap tapi Lya terlupa bila.” Spontan
aku berbohong. Saat itu, hatiku sudah bergalau dan tercalar.

“Oh! bulan depan laaa…. Mereka nak buat sebaik pihak lelaki tamat pengajian. ” Lurus kak long menjelaskan mengejutkan aku.

Ini bermakna, tinggal lagi satu bulan dari hari ini. Dua minggu lagi akan bermula final exam sekaligus Zhafran juga akan menamatkan pengajiannya. Apa yang aku tahu, dia akan mula bekerja di syarikat milik kenalan papanya sebagai arkitek selepas tamat pengajian. Nampaknya, dia akan berkahwin dulu sebelum memulakan kerja.

Kenapa ya, aku tidak diberitahu walau sepatahpun tentang ini? Biarlah kalau Zhafran tidak ingin membuka mulut, tetapi kenapa keluargaku juga menyembunyikan semua ini? Adakah aku ini tidak layak untuk tahu? Atau... Mungkinkah aku ini tidak pernah dianggap wujud oleh mereka?

Sedihnya... Berhari-hari aku usung rasa sedih itu sendirian. Aku cuba untuk membenci Zhafran tetapi mana mungkin hatiku ingin melakukannya. Sudahnya, aku cuba melakukan perkara yang dilarang oleh Zhafran.

Ya! Sehari sebelum bermulanya final exam, aku telah menerima pelawaan Izwan untuk keluar minum bersamanya. Itulah yang dilarang oleh Zhafran tetapi aku sengaja mengingkarinya

Jujur dari hati, aku sebenarnya tidak pernah teringin pun untuk rapat dengan Izwan. Tidak pernah dan tidak mungkin akan terlintas di fikiranku untuk berada dekat dengan lelaki seperti dia yang digelar kasanova kelas pertama di kampus ini kerana bagiku, orang bodoh saja yang teringin menjadi mangsanya. Namun begitu, kerana sakit hati pada Zhafran, aku buat juga benda bodoh itu.

Berkali-kali aku tertanya hati sendiri, apa sebenarnya yang Izwan pandang pada gadis selekeh sepertiku ini tetapi jawapannya terlalu kabur dan sukar untuk diteka.
‘Dia nak rapat dengan kau sebab ada motif tertentu. Jangan sesekali kau layan dia.’ Zhafran pernah memberi amaran begitu kepadaku ketika kami masih rapat suatu ketika dulu. Waktu itu, aku sedang menunggunya dan Izwan tiba-tiba datang menegurku. Baru beberapa patah berbicara dengan Izwan, Zhafran muncul dan terus menarik tanganku pergi tanpa pamitan pada lelaki tersebut.

Mendengar amarannya, aku tergelak kuat. Mana mungkin aku percaya kerana tidak terfikir dek akalku tentang motif yang disebut Zhafran itu. Aku bukannya kaya raya. Nak kata cantik, aku berani potong jari yang Izwan tidak akan pandang perempuan berwajah biasa-biasa dengan pakaian 'rasmi' kemeja longgar berlengan panjang sepertiku ini.

“Jangan pergi jauh, dalam kampus aje.” Pesanku pada Izwan yang baru menghidupkan enjin kereta. Kami bertemu di depan bangunan perpustakaan kerana aku tidak membenarkan dia datang menjemputku di kolej. Takut nanti gempar satu kolej bila tengok BMWnya menunggu di situ.

“Dalam kampus mana ada tempat menarik?” dia bagai tidak bersetuju.

“Tak apa, mana-mana kafĂ© pun tak kisah. Atau…. Kita makan rojak kat fakulti pendidikan jer." Saranku.

Dia buat muka tak puas hati tetapi tetap jua menurut. Pemanduannya terus di halakan ke arah yang aku mahukan.

Sebenarnya aku lupa bahawa Izwan adalah orang terkenal di kampus ini. Keluar dari kereta saja, sudah ada beberapa orang menegur sambil mengangkat-ngangkat tangan. Sewaktu berjalan ke meja makan, ada yang terjerit memanggil namanya. Baru saja duduk di meja, ada pula satu kumpulan pelajar yang terdiri dari tiga lelaki dan dua perempuan datang menghampiri kami.

"Hey! Iz, awek baru ke?" salah seorang dari mereka menegur sambil menepuk belakang Izwan.

“Apa ni Iz, kot yer pun carilah yang ada standard sikit.” Celah salah seorang perempuan dalam kumpulan tersebut yang memakai t’shirt sendat mengikut potongan badan warna merah terang. Yang lainnya mencebik sambil mengangguk-anggukan kepala tanda bersetuju dengan kenyataan tersebut. Dua lagi perempuan sibuk saja meneliti diriku dari atas hingga ke bawah dan mula berbisik sesama mereka.

Mulanya aku memang terasa hati dan rasa rendah diri. Dari segi pakaian saja, aku memang harus mengaku kalah tanpa perlu masuk gelanggang pertandingan. Tetapi, aku buat muka bodoh. Peduli apa dengan cakap orang, yang penting aku tak kacau orang.

“Eh! korang jangan kacau aku boleh tak?” Izwan bersuara tiba-tiba.

“Izzz… you ni kan…”

“Excuse me…” Ada suara tiba-tiba memotong rengekkan manja perempuan berbaju sendat tadi.

Mendengar dan melihat gerangan manusia yang berdiri di belakang Izwan itu, mataku terus membulat.

Zhafran!! Macamana dia pun boleh berada di sini? Macam halimunan pulak aku tengok.

“Boleh aku pinjam dia sekejap?” pinta Zhafran yang bermaksud ingin meminjamku dari Izwan. Pandangannya bersilih ganti antara aku dan juga Izwan.

“Apa hal kau ni?” Aku menyoalnya dengan nada perlahan.

“Tolong ikut aku sekejap.” Dia bersuara tanpa menjawab soalanku dan tanpa amaran dia sudah bertindak menarik tanganku agar bangkit berdiri. Serentak dengan itu, Izwan juga turut bangkit. Kumpulan yang ‘mengganggu’ kami tadi terus diam memerhati.
Tanpa suara dia mengangkat tangan pada Izwan sebagai isyarat jangan mencampuri urusannya dan terus menarik tanganku agar mengikut langkahnya.

“Kau dah gila ke??” Aku terjerit kecil kerana terperanjat. Tidak terduga olehku dia akan bertindak begitu. Izwan dan rakan-rakan hanya mampu memerhati aku ditarik pergi.

“Lepaslah!” jeritku lagi sambil cuba melepaskan pegangannya di tanganku.

“Kalau kau tak nak semua orang tengok kita, baik kau ikut aku.” Dia cuba mengugutku dengan sesuatu yang aku kira tidak masuk di akal kerana saat ini memang semua mata manusia yang ada di situ sudah tertumpu ke arah kami.

Tidak mempedulikan ugutannya, aku tetap meronta ingin melepaskan diri tetapi dia langsung tidak ingin melepaskan dan menarik aku hingga ke keretanya.

“Masuk!” arahnya setelah membuka pintu kereta namun aku tetap keraskan diri tegak berdiri.

“Kau nak aku angkat kau atau kau nak masuk sendiri?” Dia mengugutku lagi dan aku tiada pilihan lain selain dari masuk ke dalam keretanya setelah melihat wajahnya yang sudah berlainan rupa, sudah seperti orang hilang pertimbangan.

“Kau nak apa sebenarnya ni?” Soalku marah setelah dia menggerakkan keretanya.

“Aku dah cakap berapa kali jangan rapat dengan ‘Setan’ tu!” dia meningkah dengan suara yang meninggi. ‘Setan’ yang dimaksudkan itu pastilah Izwan.

“Apa aku peduli? Aku punya suka la nak kawan dengan setan atau jin sekali pun!” balasku dengan suara yang sama tinggi dengannya, sengaja ingin membakar hatinya.

“Kalau aku kata jangan, baik kau jangan buat.” Suaranya sudah mengendur tetapi masih lagi bernada amaran. Pandangannya penuh perhatian ke jalan raya.

“Apa hak kau nak tentukan dengan siapa aku boleh keluar atau tak boleh?” aku mencabarnya.

“Aku tak peduli! Kau tak boleh keluar dengan dia.” Dia bertegas tanpa mempedulikan persoalan yang aku timbulkan.

“Aku tak peduli! Kau tak ada hak untuk campuri urusan hidup aku.” Tingkahku pantas.

“Aku kata jangan rapat dengan dia, meaning jangan. Faham!??” suaranya kembali meninggi. Pandangannya beberapa kali menoleh ke arahku.

“Aku kata suka hati aku, meaning suka hati akulah!” aku meningkah lagi sambil mendengus geram. Sungguh, hatiku sangat geram saat ini.

“Kau jangan cabar kesabaran aku Lya.”

“So what? Kau nak buat apa?” aku sudah berpeluk tubuh. Serentak dengan itu, dia terus memberi lampu isyarat ke kiri dan memberhentikan keretanya di pinggir jalan. Sebaik menarik handbreak, badannya berpusing ke arahku.

“Aku boleh buat sesuatu yang tak pernah terlintas pun di fikiran kau.” Dia bersuara perlahan sambil mendekatkan wajahnya ke wajahku.

“Buatlah kalau kau berani. Kalau kau rasa dah puas hidup bebas dan nak merasa hidup dalam lokap, kau buatlah apa yang patut.” Aku mencabarnya. Pandangannya aku tentang penuh berani walau hakikat sebenarnya hatiku sudah kecut dan mula goyah. Zhafran ni bukan boleh percaya sangat. Bila angin tak betulnya datang, dia memang boleh bertindak di luar jangkaan. Tengoklah saja apa yang telah dia buat sebentar tadi.

“Okey! Okey! Lya sayang… kalau kau nak tahu, Si Izwan tu bukan manusia normal macam kita. Kan aku dah pernah cakap, dia ada motif tertentu baik dengan kau. Dia tu sentiasa bergerak mencari mangsa dan kau ni entah mangsa yang ke berapa.” Dia mengalah akhirnya.

“Encik Zhafran sayang… kau tak perlu bimbang. Kalau dia tu SETAN, aku boleh saja jadi Pontianak.” Aku menyimpan senyum. Terasa lucu dengan kata-kata sendiri.

“Sudah! Mula nak merapu.” Tukasnya dan kembali meneruskan pemanduan.
Aku ketawa perlahan tetapi air mataku mula bergenang. Kenapa dia harus mempedulikan aku sedang hatinya sudah diserahkan pada orang lain?

“Kenapa kau lakukan semua ni? Sepatutnya kau dah tak perlu pedulikan aku lagi.” Tiba-tiba saja terluah persoalan tersebut dari bibirku. Air mata yang bergenang tadi cuba aku tahan agar tidak gugur di depannya.

“Lya… aku sayang kau. Itu yang kau harus ingat selalu.” Luahannya terasa menjalar masuk ke hatiku.

“Sayang?” aku ketawa lagi tetapi entah kenapa ianya kedengaran sangat sumbang di telinga sendiri.

“Ya! kau sahabat aku yang paling aku sayang dan aku ingin sentiasa sayang kau.” Ucapnya menjadikan hatiku terus merundum sedih.

“Sahabat?” soalku dengan ketawa yang berubah nada sinis.

“Kalau sahabat, kenapa kau nak kahwin pun aku kena dengar dari mulut orang lain?”
Dia mengeluh berat. Waktu itu, keretanya sudah membelok masuk ke dalam kawasan kolej dan berhenti di depan blok kediamanku.

“Aku pun serba salah sebenarnya. Nurin mendesak sangat. Lagipun, aku tak mahu menambah dosa setiap kali kami bertemu. Dia tu…. Entahlah! Susah sikit aku nak terangkan.” Jelasnya satu persatu tetapi entah kenapa aku rasakan ada sesuatu yang sedang dia cuba sembunyikan dariku.

“Mmmm….. okeylah, aku naik dulu. Moga kau bahagia dengan apa yang kau pilih.” Ucapku.

“Lya….” Bicaranya terhenti di situ apabila melihat aku mengangkat tangan tanda berhenti.

“Apa pun yang ingin kau katakan, tolong simpan dulu. Bila aku rasa nak mendengarnya, aku akan beritahu nanti.” Ujarku dan terus keluar dari keretanya.

Tanpa menoleh, aku pantas mengatur langkah masuk ke dalam blok bangunan. Hati, lepaskanlah semuanya yang berkaitan dengan dia kerana dia tidak mungkin akan menjadi milikmu.

12 comments:

amini syaqira said...

bestnyer.. x sbr nk bli buku ni.. ble nak terbt? huhuhuuu... lmbt lagi ke kak hani?

Tie Tinie said...

salam kak hani..
aduhai.. tq sbb post bab 18 nie...
ini bukan ubat kerinduan kak..
tapi buat hati tak keruan...
sampai nya hati zhaf... untuk bab 17 & 18 Tie keciwa ngan Zhaf...
hope ending nya seperti yg diharapakn...
masih menanti dengan penuh kesabaran waktu & detik buku nie diterbitkan... :)
gud luck kak...

Hani Fazuha said...

Amini..... Tak lama lagi, sabar yer...

Hani Fazuha said...

Tie..... Kalau rindu sudah terubat, kenapa hati masih tak keruan?....hahahaha....

hajar said...

ksk seyes x saba nk tgu hkc kuar...

DLa said...

sedihnye..sian Lya..
hmm..tp tertya2 jgak ye, Lya akhirnya ngan Zhafran or Hareez..

bosss...xsaboo nk tunggu blan depan nih..wlaupun lg 2 hari jer..

aimie_afifah said...

Hani...bolehkah hati yang terluka menerima kembali cinta yang pergi?...

kalau aku nak hati baru...kikikiki...

Puan PA...nape la dak zhaf ni cam x teguh jer...

DLa said...

aimie..dak Zhaf ni kan apa..dua2 dia nak kotttt..hik3..
dasarrr..

hanifazuha said...

hajar... dah nak kluar dah..

hanifazuha said...

aimie..DLa... kan aku dah ckp si Zhaf ni bengong sikit....

hunny bunny said...

salam kak..
ani da bace nvel nieyh..
bru aj abih td trus search blog akak..; )

btw, ani sker sgat jln crita n bhasa yg dgunakan..cool n sntai aj ble baca..trgelak2 bler lya prang mlut ngan zhafran..tp prwatakan lya yg mcm bdak2 n tak matchured smpai de end of story wat ani rase cm nak ketuk2 aj dier..hehhehe

Anonymous said...

assalamualaikum, kak hani mcm mna sy nk dapatkan nOvel ni?