
Mari kita pakat ramai-ramai serbu Alaf dan borong buku. Tanamkan minat membaca pada anak-anak kerana membaca adalah jambatan ilmu...
Saat pengkebumian ibu, aku bagai tiada daya untuk melangkah. Terasa lututku lemah tidak bermaya. Sejak petang semalam aku langsung tidak menjamah sebarang makanan. Kini sudah hampir dua puluh empat jam perutku langsung tidak diisi.
Orang kampung yang tidak putus datang dan pergi untuk mengucapkan takziah dan menghulurkan simpati makin membuatkan hatiku hiba dan terharu. Kak Jah berbesar hati membuka rumahnya untuk tetamu dan melayani mereka bagi pihakku. Nasib baiklah orang kampung memang sentiasa bermuafakat menguruskan jenazah di masjid berdekatan dan mengadakan kutipan derma untuk membantu menguruskan segala keperluan pengkebumian.
Setelah segalanya selesai dan keadaan reda, aku meminta diri untuk pulang menjenguk rumah. Kak Jah yang bimbang melihat keadaanku turut mengekor dari belakang untuk menemaniku.
Melangkah masuk ke rumah usang itu, aku menangis lagi. Melihat segala barang peninggalan ibu, aku tidak mampu menahan sebak. Sambil mengesat air mata yang hangat menitis ke pipi, aku menapak ke ruang dapur untuk mengemas apa yang patut.
Di dapur, apa yang aku lihat cukup menyedihkan. Di atas meja ada beberapa keping biskut kering dan air kopi yang telah sejuk masih berbaki di dalam cawan.
Aku membuka tutup saji, di situ kelihatan sayur bayam rebus air di dalam mangkuk sudah berbuih menandakan ianya sudah basi. Ikan masin yang berbaki di dalam pinggan kelihatannya sudah di hurung semut. Sekali lagi aku menangis di situ.
Periuk nasi yang tertenggek di atas dapur aku buka tutupnya dan nasi yang berbaki di dalamnya sudah berbau masam menandakan ianya juga telah basi. Aku buka penutup tong beras dan apa yang aku lihat cukup menyayat hati. Baki beras yang tinggal boleh dikira dengan jari.
Aku terus terduduk di lantai sambil menangis hiba. Tidak berduitkah ibu sehingga beras pun tidak terbeli?
“Fea! Sabarlah…. Istifar banyak-banyak.” Kak Jah sudah memapahku untuk duduk di kerusi kayu yang terdapat di ruang dapur itu.
Dari cerita Kak Jah, sudah berminggu hujan turun membasahi pokok menyebabkan aktiviti menoreh tidak dapat dijalankan. Ibu juga ada memberitahuku tentang hari hujan itu ketika aku menghubunginya minggu lepas. Waktu itu, suara ibu kedengaran biasa-biasa saja tetapi dia sempat berpesan
‘Jaga diri, jaga peribadi, dan jaga amal. Ibu akan sentiasa doakan Fea sehingga ke nafas terakhir ibu.’
Saat ini aku telah tahu, rupa-rupanya itu adalah pesanan terakhir dia sebelum pergi mengadap Ilahi dan meninggalkan aku sendirian di sini. Adakah ibu masih boleh mendoakan aku walau dia sudah berada di alam sana? Yang pasti..... aku akan sentiasa mendoakan dia agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
“Feaaa…Ujian Tuhan akan datang dalam pelbagai bentuk untuk menguji kesabaran hambanya. Cuma satu yang perlu kita ingat, DIA mengambil sesuatu dari kita untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.” Lembut suara Kak Jah menasihatiku.
“Masihkah ada yang lebih baik dari seorang ibu, Kak Jah?” aku bersuara dalam sendu mempersoalkan nasihat Kak Jah. Saat itu, mindaku sudah tidak berdaya untuk berfikir.
“Sudahlah! Mari pergi makan rumah Kak Jah.” Dia tidak menjawab persoalan yang aku ajukan sebaliknya mengajak aku ke rumahnya.
Tanpa suara aku gagahkan diri menapak mengekori langkahnya. Sendirian di dalam rumah ini mungkin akan menjadikan aku manusia yang hilang kewarasan akibat dari rasa sedih.
Walau payah, aku harus jua meneruskan hidup ini. Walau perit, aku harus jua redha dengan takdir hidup ini.
“Hidup kita takkan berakhir apabila perginya orang-orang yang kita sayang. Suatu hari nanti kita juga akan ke ‘sana’. Selagi ada hayat, kita harus meneruskan hidup ini.” Itulah nasihat Kak Jah padaku.
Memang benar kata Kak Jah, aku tidak seharusnya jadi lemah. Kematian itu sendiri merupakan satu nasihat paling berguna untuk kita sentiasa insaf dengan kebesaranNYA.
Kita tidak pernah tahu bila pula giliran kita kerana Allah memang menyembunyikan kematian itu di dalam umur kita sebagaimana DIA menyembunyikan hari kiamat di dalam semua hari-hari yang ada.
Lama juga aku tinggal di kampung tanpa mempedulikan dunia luar. Telefonku memang tidak berfungsi kerana kawasan pedalaman itu tiada liputan oleh mana-mana talian telekomunikasi. Setiap pagi dan petang aku berulang-alik ke kubur ibu dan selama berjam-jam aku berteleku membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk disedekahkan padanya.
Sebaik kembali ke rumah sewa semula, Aleeya terperanjat melihat kemunculanku.
“Kau kenapa? Muka cengkung aje?” Dia sudah memegang tanganku sambil menilik wajahku dan saat itu, aku sudah tidak mampu menahan sebak. Aku sudah menangis di bahunya.
“Fea…” Aleeya bagai tergamam dengan perlakuanku tetapi dia tetap juga meminjamkan bahunya untukku.
“Kenapa Fea? Tolong cerita pada aku.” Aleeya bertanya sebaik tangisku reda.
“Ibu….ibu aku dah pergi mengadap Ilahi. Dia tinggalkan aku sendirian di bumi yang luas ni.” Sekali lagi air mataku tumpah dan aku tersedu di hadapan Aleeya.
Dia yang tergamam mendengar ceritaku terus memelukku tanpa sebarang suara dan aku tahu, dia juga turut menangis bersama-samaku. Noni dan Aida yang juga ada di situ juga sudah bergenang air mata melihat kami begitu.
“Sabarlah Fea…kau bukan sendirian. Kau masih ada aku.” Pujuk Aleeya makin membuatkan dadaku sebak.
Kembali bekerja petang isnin itu, Madam Wong membebel panjang. Dia terus memberi amaran keras agar aku tidak sesekali bercuti lagi sesuka hati terutamanya di hujung minggu.
Mendengar dia berkata begitu, terasa aku ingin saja mencari Danny dan mencekik lehernya. Bukankah dia sudah membenarkan aku bercuti? Pasti dia tidak memaklumkan pada mummynya tentang cutiku, kerana itulah ‘nyonya nyanyok’ sudah bertukar menjadi ‘beruang kutub’ yang sedang kelaparan.
Oh! bagaimana aku nak bercuti minggu depan? Aku sudah lama menempah tiket untuk balik ke kampung menjenguk ibu.
Mengingati ibu, aku seakan ingin menangis. Bukan kerana aku tidak kuat menghadapi cabaran hidup tetapi aku sedih dengan kehidupan yang terpaksa ibu tempuhi. Saban pagi ibu sudah bangkit seawal subuh dan mengatur langkah ke setiap batang pokok getah untuk sesuap nasi.
Namun begitu, ada ketikanya apabila hari hujan dan pokok-pokok getah tidak dapat di toreh kerana batang pokok yang basah tidak akan mengeluarkan susu, kami terpaksa berjimat cermat mengikat perut dan terkadang terpaksa berhutang di kedai runcit untuk membeli sekampit berat.
Waktu hayat Mek Nab masih ada, dia menjadi penoreh di kebun Pak Mad dan ibu akan membantunya mengutip getah-getah yang telah mengeras untuk dijual pada pemborong. Namun begitu, setelah pemergiannya, ibu terpaksa melakukan segalanya sendirian untuk menampung hidup kami. Nasib baiklah rumah peninggalan Mek Nab masih boleh dijadikan tempat berteduh buat kami kerana dia merupakan sebatang kara yang tidak punya saudara mara. Penerimaan orang kampung juga membuatkan kami mampu bertahan hidup di situ sehingga ke saat ini.
Kata ibu, kita ini dah dikira bernasib baik kerana masih boleh mengisi perut dengan nasi dua kali sehari. Di zaman Rasulullah S.A.W. dahulu, baginda terpaksa berlapar berhari hari kerana tiada makanan. Walaupun susah, kita masih mampu untuk membeli sebungkus roti gardenia yang lembut dan lazat itu tetapi di zaman nabi kita dulu, Rasulullah s.a.w. hanya mampu mengisi perut dengan roti kosong yang keras dan liat.
Cuba fikirkan, kalau manusia agung di sisi Allah s.w.t itu juga tidak terlepas daripada ujian, inikan pula kita yang hina ini. Yang pasti, setiap ujian itu untuk menguji kesabaran kita menghadapi dugaanNya.
Ah! aku ingin melupakan semua kelukaan lalu. Aku ingin membina harapan dengan semangat yang baru. Namun, mampukah aku? Sedangkan kenangan lalu sering saja menghimpit ilusi.
Diana dan Arman, dua nama yang seakan sudah sebati dalam jiwaku dan dua nama itu juga sering menjadikan hidupku tidak tenteram sehingga ke detik ini.
“Abang aku tu, kalau pasal kau semuanya elok dan cantik.” Diana sering mengomel begitu.
“Kau baru tahu ke aku ni elok dan cantik,” ujarku dalam gelak, sengaja untuk menyakitkan hatinya.
“Uwek! Nak termuntah aku dengar.” Reaksi dan gayanya cukup menggelikan hatiku membuatkan aku ketawa mengekek.
“Aku sayangkan dia.” Aku mengakuinya tanpa rasa malu. Dengan Diana aku tidak perlu berselindung dan aku tidak pernah ada rasa malu.
"Aku tahu dia juga sayang kau dan aku sangat cemburu.” Pengakuan Diana membuatkan aku terdiam kehilangan kata. Memang aku tahu dia sangat sayangkan abangnya itu tetapi aku bukan ingin merampasnya.
“Aku..... aku cuma ingin menumpang kasih, bukan...”
“Hei! Aku bukan maksudkan begitu. Aku tumpang bahagia tengok dua manusia yang aku sayang bahagia.” Dia cepat-cepat memotong untuk membetulkan keadaan.
Aku peluk Diana tanda terima kasih. Dia sahabatku yang paling baik dan paling mengerti hatiku dan dia akan sentiasa menjadi orang yang paling berharga di hatiku.
Setiap hari Diana akan menjadi bayang-bayang mengaburi mata semua orang untuk menutup pertemuan aku dan abangnya. Pada dasarnya Arman dilihat sebagai bodyguard Diana ke mana saja adiknya itu pergi tetapi hakikatnya Dianalah yang sering menjadi dayang pengiring kami berdua.
Ah!Takdir ini bagai membunuh jiwaku tetapi jasad yang masih bernyawa ini harus jua meneruskan hidup selagi Tuhan menginginkannya.
Jeritan Madam Wong memanggil namaku menyedarkan aku dari belenggu kenangan masa silam. Tanpa lengah aku melangkah ke arahnya. Nyonya ni memang pantang tengok aku senang, ngomelku di dalam hati.
“Customer ni cari you, dia nak tengok riben organza untuk buat kotak hantaran.” Madam Wong terus memberi arahan sambil menunjuk ke arah Kak Imah, salah seorang ‘pelanggan tetap kami yang datang ke mari.
“Assalamualaikum Kak Imah. Nak cari warna apa hari ni?” Ramah aku menyapa sambil mengekorinya yang sudah mendahuluiku ke arah belakang kedai di mana terpamernya pelbagai jenis riben.
“Pelanggan Kak Imah tu nak tema warna hijau biji kundang tapi Kak Imah nak cari dua warna yang match dengan warna hijau tu. Agak-agak warna apa ya?” Kak Imah bertanya sambil membelek-belek gulungan riben yang terpamer. Dia memang sudah terbiasa denganku. Di samping membuka kedai jahitan, Kak Imah juga mengambil tempahan membuat gubahan barangan hantaran perkahwinan.
Sedang leka melayan celoteh Kak Imah, tiba-tiba telefon bimbitku yang berjenama Nokia hadiah hari jadi pemberian Zura yang aku selitkan ke dalam poket jeans bergegar menandakan ada sms masuk.
'Pulang segera, ibu kamu sedang tenat.'
Itulah pesanan ringkas yang aku terima dari Kak Jah, jiran sebelah rumah kami. Dia merupakan satu-satunya jiran terdekat yang menjadi tempat aku bergantung harap menjenguk ibu setelah ketiadaan Mek Nab.
Seketika aku terkelip-kelip memandang skrin telefon tersebut, bagai tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Sebaik tersedar, aku terus menghubungi Kak Jah dan berita yang aku dengar sudah cukup untuk meluruhkan jantungku dari tangkainya. Ibu ditemui tidak sedarkan diri di dalam rumah ketika Kak Jah datang menjenguknya tengahari tadi.
Tanpa lengah aku terus mencapai beg sandang yang aku bawa ke tempat kerja dan terus berlalu keluar tanpa sempat meninggalkan apa-apa pesanan. Dari tempat kerja aku terus berlari ke perhentian bas untuk menunggu bas ke hentian kajang.
Hampir setengah jam menunggu, bayang-bayang bas langsung tidak kelihatan. Waktu maghrib pula sudah hampir menjenguk tiba. Sebuah teksi pun tidak ingin berhenti tatkala aku menahannya.
Berdoa dan terus berdoa, akhirnya bas yang ditunggu muncul jua. Sehingga sampai ke Hentian Kajang, aku tidak berhenti berdoa agar Tuhan memberi kesempatan untuk aku bertemu ibu.
Ketika tiba, cuma tinggal dua kaunter tiket untuk perjalanan ke Kelantan masih dibuka dan malang nasibku apabila semua tiket habis dijual. Seketika mundar mandir tidak menentu, aku cuba menghubungi Zura namun taliannya tidak dapat ditembusi. Aleeya pula sedang berada di kampung waktu ini.
Tanpa arah tujuan, mengheret kaki menjelajah kawasan dengan fikiran yang sudah pergi meninggalkan jasad di situ. Tidak tahu berbuat apa, aku hanya duduk termanggu di tangga sambil melihat satu persatu bas meninggalkan perhentian tersebut.
Aku cuba untuk bertenang tetapi saat itu fikiranku bagai sudah hilang kewarasan. Keadaan yang genting itu memanggil aku untuk merayu seorang pemandu bas yang baru ingin bertolak.
"Tolonglah encik, bagi saya naik bas ni. Duduk kat lorong tengah pun tak kisah asal saya boleh sampai ke kampung. Mak saya tengah sakit tenat sekarang ni." Aku merayu dan menangis tanpa rasa malu.
Akhirnya Tuhan mengasihaniku kerana mengutuskan seseorang untuk membantu. Kalendan bas yang baru tiba di situ mengizinkan aku menaiki bas tersebut dan duduk di bangku yang di khaskan untuknya. Dia akan duduk di tengah-tengah lorong laluan.
Syukur Alhamdulillah.... hanya Tuhan yang mampu membalas jasanya dan aku berdoa agar dia sentiasa mendapat rahmat Yang Esa di atas kebaikannya. Tidak putus-putus aku mengucapkan terima kasih padanya.