FOLLOWERS

Bab 10

Saat pengkebumian ibu, aku bagai tiada daya untuk melangkah. Terasa lututku lemah tidak bermaya. Sejak petang semalam aku langsung tidak menjamah sebarang makanan. Kini sudah hampir dua puluh empat jam perutku langsung tidak diisi.

Orang kampung yang tidak putus datang dan pergi untuk mengucapkan takziah dan menghulurkan simpati makin membuatkan hatiku hiba dan terharu. Kak Jah berbesar hati membuka rumahnya untuk tetamu dan melayani mereka bagi pihakku. Nasib baiklah orang kampung memang sentiasa bermuafakat menguruskan jenazah di masjid berdekatan dan mengadakan kutipan derma untuk membantu menguruskan segala keperluan pengkebumian.

Setelah segalanya selesai dan keadaan reda, aku meminta diri untuk pulang menjenguk rumah. Kak Jah yang bimbang melihat keadaanku turut mengekor dari belakang untuk menemaniku.

Melangkah masuk ke rumah usang itu, aku menangis lagi. Melihat segala barang peninggalan ibu, aku tidak mampu menahan sebak. Sambil mengesat air mata yang hangat menitis ke pipi, aku menapak ke ruang dapur untuk mengemas apa yang patut.

Di dapur, apa yang aku lihat cukup menyedihkan. Di atas meja ada beberapa keping biskut kering dan air kopi yang telah sejuk masih berbaki di dalam cawan.

Aku membuka tutup saji, di situ kelihatan sayur bayam rebus air di dalam mangkuk sudah berbuih menandakan ianya sudah basi. Ikan masin yang berbaki di dalam pinggan kelihatannya sudah di hurung semut. Sekali lagi aku menangis di situ.

Periuk nasi yang tertenggek di atas dapur aku buka tutupnya dan nasi yang berbaki di dalamnya sudah berbau masam menandakan ianya juga telah basi. Aku buka penutup tong beras dan apa yang aku lihat cukup menyayat hati. Baki beras yang tinggal boleh dikira dengan jari.

Aku terus terduduk di lantai sambil menangis hiba. Tidak berduitkah ibu sehingga beras pun tidak terbeli?

“Fea! Sabarlah…. Istifar banyak-banyak.” Kak Jah sudah memapahku untuk duduk di kerusi kayu yang terdapat di ruang dapur itu.

Dari cerita Kak Jah, sudah berminggu hujan turun membasahi pokok menyebabkan aktiviti menoreh tidak dapat dijalankan. Ibu juga ada memberitahuku tentang hari hujan itu ketika aku menghubunginya minggu lepas. Waktu itu, suara ibu kedengaran biasa-biasa saja tetapi dia sempat berpesan

‘Jaga diri, jaga peribadi, dan jaga amal. Ibu akan sentiasa doakan Fea sehingga ke nafas terakhir ibu.’

Saat ini aku telah tahu, rupa-rupanya itu adalah pesanan terakhir dia sebelum pergi mengadap Ilahi dan meninggalkan aku sendirian di sini. Adakah ibu masih boleh mendoakan aku walau dia sudah berada di alam sana? Yang pasti..... aku akan sentiasa mendoakan dia agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

“Feaaa…Ujian Tuhan akan datang dalam pelbagai bentuk untuk menguji kesabaran hambanya. Cuma satu yang perlu kita ingat, DIA mengambil sesuatu dari kita untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.” Lembut suara Kak Jah menasihatiku.

“Masihkah ada yang lebih baik dari seorang ibu, Kak Jah?” aku bersuara dalam sendu mempersoalkan nasihat Kak Jah. Saat itu, mindaku sudah tidak berdaya untuk berfikir.

“Sudahlah! Mari pergi makan rumah Kak Jah.” Dia tidak menjawab persoalan yang aku ajukan sebaliknya mengajak aku ke rumahnya.

Tanpa suara aku gagahkan diri menapak mengekori langkahnya. Sendirian di dalam rumah ini mungkin akan menjadikan aku manusia yang hilang kewarasan akibat dari rasa sedih.

Walau payah, aku harus jua meneruskan hidup ini. Walau perit, aku harus jua redha dengan takdir hidup ini.

“Hidup kita takkan berakhir apabila perginya orang-orang yang kita sayang. Suatu hari nanti kita juga akan ke ‘sana’. Selagi ada hayat, kita harus meneruskan hidup ini.” Itulah nasihat Kak Jah padaku.

Memang benar kata Kak Jah, aku tidak seharusnya jadi lemah. Kematian itu sendiri merupakan satu nasihat paling berguna untuk kita sentiasa insaf dengan kebesaranNYA.

Kita tidak pernah tahu bila pula giliran kita kerana Allah memang menyembunyikan kematian itu di dalam umur kita sebagaimana DIA menyembunyikan hari kiamat di dalam semua hari-hari yang ada.

Lama juga aku tinggal di kampung tanpa mempedulikan dunia luar. Telefonku memang tidak berfungsi kerana kawasan pedalaman itu tiada liputan oleh mana-mana talian telekomunikasi. Setiap pagi dan petang aku berulang-alik ke kubur ibu dan selama berjam-jam aku berteleku membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk disedekahkan padanya.

Sebaik kembali ke rumah sewa semula, Aleeya terperanjat melihat kemunculanku.

“Kau kenapa? Muka cengkung aje?” Dia sudah memegang tanganku sambil menilik wajahku dan saat itu, aku sudah tidak mampu menahan sebak. Aku sudah menangis di bahunya.

“Fea…” Aleeya bagai tergamam dengan perlakuanku tetapi dia tetap juga meminjamkan bahunya untukku.

“Kenapa Fea? Tolong cerita pada aku.” Aleeya bertanya sebaik tangisku reda.

“Ibu….ibu aku dah pergi mengadap Ilahi. Dia tinggalkan aku sendirian di bumi yang luas ni.” Sekali lagi air mataku tumpah dan aku tersedu di hadapan Aleeya.

Dia yang tergamam mendengar ceritaku terus memelukku tanpa sebarang suara dan aku tahu, dia juga turut menangis bersama-samaku. Noni dan Aida yang juga ada di situ juga sudah bergenang air mata melihat kami begitu.

“Sabarlah Fea…kau bukan sendirian. Kau masih ada aku.” Pujuk Aleeya makin membuatkan dadaku sebak.

No comments: