FOLLOWERS

Bab 8

Sewaktu majlis berlangsung, aku lebih selesa duduk dan menolong apa yang patut di dapur. Walau umi menempah katering untuk menguruskan soal makanan, ada juga kuih muih yang umi dan Mak Yam masak sendiri untuk santapan teman-temannya.

Setiap kali datang ke sini, aku suka mengorek rahsia masakan dari umi dan juga Mak Yam. Orang tua-tua ni memang kaya dengan ilmu khazanah masakan melayu dan tidak loket pula untuk menurunkan petua mereka. Berbanding Zura yang agak 'pemalas' ke dapur, umi dan juga Mak Yam memang suka apabila aku bertanya pelbagai soalan berkaitan masakan mereka.

“Macamana erk Mak Yam buat agar-agar santan ni? Kena letak santan lebih ke baru kepalanya nampak tebal macam gini?” Aku mula bersoal jawab tatkala melihat agar-agar santan gula merah yang sedang di potong oleh Mak Yam. Lapisan santan di atasnya separuh dari lapisan gula merah yang di bawahnya.

“Tak perlu..... santan tu letakkan telur sebiji dan kacau. Tunggu agar-agar mendidih baru curahkan santan yang bercampur telur tadi. Biarkan sekejap, terus tuang ke dalam loyang.” Mak Yam terus 'menurunkan' petuanya tanpa selindung.

"Ooooo...." Aku terangguk-angguk sendiri sambil meminta untuk menolong Mak Yam memotong agar-agar tersebut.

Selesai memotong, Mak Yam meminta aku menghantar dulang yang berisi agar-agar itu keluar. Sebaik melangkah keluar, pandanganku menyapa wajah Zhafir yang sedang duduk santai di sofa. Di sisinya kelihatan wanita sama yang digelar oleh Lilian 'cantik tapi perangai tak serupa orang' itu. Isk! Naik menyampah pula aku tengok.

Rasa menyampah aku bukan hanya pada perempuan tu tapi pada Zhafir juga. Dah la kerek semacam, dingin beku macam ais batu pulak tu. Sewaktu Zura secara rasminya memperkenalkan kami di meja makan ketika sarapan pagi tadi, dia cuma mengangguk tanpa senyum. Nampak sombong sekali. Mulut pun berat sangat nak buka, macamlah kalau dia bercakap tu boleh keluar emas berketul-ketul. Isk! Tak sukalah aku dengan orang macam tu.

Aku kembali ke dapur dan duduk di kerusi. Tak tahu nak buat apa sebab Mak Yam dah menghilang entah ke mana, aku susun agar-agar yang tinggal satu persatu ke dalam piring.

Sehingga selesai jamuan, aku hanya melangut di dapur kerana malas untuk berdepan dengan orang ramai yang tidak aku kenali.

Sedang aku duduk-duduk di meja, tiba-tiba Zhafir melangkah masuk. Dengan bersahaja dia duduk di depanku dan dengan bersahaja juga dia mencapai agar-agar yang masih tinggal di atas meja lalu terus disuap ke mulut.

"Tak kerja ke hari ni?" Dia bersuara tanpa memadangku.
Aku terpinga-pinga memandangnya.

“Bercakap dengan saya ke?” Soalku, memandang tepat ke wajahnya yang sedang mengunyah itu.

“Tak! Dengan agar-agar ni.” Jawabnya selamba sambil jemarinya mencapai satu lagi potongan agar-agar di dalam piring.

Sebaik agar-agar tersebut selamat masuk ke mulutnya, dia terus bangkit ke arah sinki dan membersihkan tangannya di situ. Isk! geram sungguh aku dengan dia ni.

Seketika kemudian, barulah kelihatan kelibat Mak Yam melangkah masuk. Di belakang Mak Yam kelihatan Ikmal menyengih ke arahku. Waktu itu, Zhafir sudah bergerak ke arah peti ais.

“Mintak tolong boleh?” Ikmal bersuara memanggil aku mendongak ke arahnya yang sedang berdiri di depanku.

“Tolong buatkan air? Dah biasa minum air yang Mak Yam buat, tiba-tiba rasa nak minum air yang Fea buat pulak.” Dia menyengih ke arahku dan juga Mak Yam.

“Mengada!” Marah Mak Yam lantas menepuk perlahan bahunya sambil berlalu menuju ke arah kabinet.

“Pleaseeeee….” Rayuannya membuatkan aku hampir tersedak tanpa menelan sebarang makanan.

Sebelum dia bertindak lebih jauh, aku cepat-cepat membersihkan tangan di sinki dan mencapai sebiji mug dari atas rak pinggan.

“Nescafe ais yer darling.” Dia bersuara sambil berlalu ke arah bar chair melabuhkan punggung di aitu. Keselambaannya memanggil aku darling membuatkan wajahku merona merah. Malu terhadap Mak Yam dan juga Zhafir yang pastinya mendengar.

Ikmal ni, kalaulah ada pengarah filem yang ingin mencari pelakon utama seorang romeo, aku pasti dia memang sesuai untuk memegang watak tersebut. Baru tadi aku lihat dia sedang berkepit dengan Nisha di ruang depan. Kata Zura, awek dia macam cendawan tumbuh tetapi setianya hanya pada Nisha. Kata Zura lagi, papanya memang sudah mengikat janji dengan keluarga Nisha.

Apa yang aku tahu, Ikmal adalah anak tunggal kepada Datuk Majid yang merupakan adik kepada daddy Zura. Dia sangat rapat dengan keluarga ini. Setelah ibunya meninggal dan papanya tidak pernah mencari pengganti, umilah tempat dia bermanja. Sebab itulah juga Zura lebih selesa memanggilnya angah.

Selesai membancuh minuman, aku terus menghidangkan padanya. Waktu itu Zhafir juga sudah menyertai Ikmal, duduk santai seolah sedang menunggu minuman yang dipesan.
“Bila masa umi ambil pembantu baru ni?” Zhafir sinis menyindir bagai sengaja ingin menyakitkan hatiku ketika aku sedang meletakkan minuman di hadapan Ikmal.

Sungguh…aku amat terperanjat mendengarnya. Rasa terhina dengan soalannya. Begitu rendahnya pandangan dia terhadapku. Apakah perempuan sepertiku ini hanya layak dianggap sebagai pembantu rumah?

Tiba-tiba ada rasa sedih menyelinap ke hatiku. Beginikah yang ibu rasakan ketika menjadi pembantu rumah untuk mencari rezeki halal membesarkan aku?

Ikmal yang juga bagai terperanjat mendengar soalan tersebut memandang Zhafir dan aku silih berganti. Tanpa suara, aku berpusing untuk keluar dari situ.

“Fea!” Suara Ikmal membantutkan langkahku. Sekilas aku tertoleh ke arahnya.

“Muka Fea nampak teruk sangat. Janganlah ambil hati, kita orang gurau aje.” Ujar Ikmal bagai mengerti apa yang sedang aku rasakan tetapi kata pujuknya bagai tidak mampu menembusi hatiku.

Tanpa membalas kata-kata Ikmal, aku berlalu keluar ke arah ruang tamu kedua yang dikhaskan untuk kaum keluarga dan sering menjadi tempat aku melepak bersama Zura. Di situ kelihatan anak kak long yang bernama Qabil atau Boy sedang bermain Games box sendirian dan aku terus saja menyertai dia.

Sedang seronok berlawan dengan Boy, Ikmal pula muncul di situ dan duduk di depanku. Isk! betul-betul mengganggu ketenteraman awam.

"Fea..." dia memanggilku.
Sekilas aku pandang wajahnya tanpa suara.

"Tadi tu...Fea terasa hati ke?" soalnya lembut dan pandangannya tepat ke wajahku.
Aku hanya mengeleng dan terus menunduk menatap skrin TV.

"Zhafir minta abang sampaikan.... dia pohon maaf kalau Fea terasa. Dia hanya gurau-gurau." kata-katanya memanggil aku untuk kembali menoleh ke wajahnya.

Dia mengangguk untuk meyakinkan aku tentang kebenaran kata-katanya. Spontan mataku terpejam buat beberapa saat. Terasa nafas yang kusedut sukar untuk dihembus keluar. Kerana kemaafan itu adalah dendam yang paling indah, aku paksa hatiku untuk memaafkannya walau ianya cukup melukakan.

"Katakan pada dia, saya sudah memaafkan dia untuk semalam dan juga hari-hari yang akan datang. Jika esok dia atau saya mati, kami tidak berhutang apa-apa." ujarku membuatkan Ikmal terdiam beberapa saat.

Seketika kemudian, dia mengeleng perlahan dan tersenyum ke arahku.

"Fea...Fea...makin lama mengenali Fea, abang harus mengaku...Fea memang wanita istimewa yang pernah abang jumpa." pengakuan Ikmal mengejutkan aku. Buat seketika, kami saling berbalas pandang sebelum berkalih kembali menatap skrin TV

No comments: