FOLLOWERS

Bab 5 & 6

Hujung minggu itu, aku ke rumah Zura, seorang lagi teman akrabku yang juga pernah menjadi roomateku di kolej Aminudin Baki UKM dulu. Keluarganya mengadakan majlis hari jadi untuk anak buahnya dan aku dijemput untuk bersama-sama meraikannya.


Habis waktu kerja, Zura sudah menungguku dengan Honda Civicnya. Dua hari aku bercuti, moga-moga Madam Wong tak mengamuk apabila aku mula bertugas kembali.


“Kenapa muka kau macam nyonya baru habis jual sayur aje?” selamba soalannya seselamba wajahnya ketika itu.


“Penat, beb!” Aku sudah tersandar ke belakang. Penat yang terasa bagai melumpuhkan tulang temulangku.

Aku dah cakap dulu....Kau ingat senang ke nak buat dua benda dalam satu masa? Berhenti jer kerja tu, tumpukan pada belajar dulu.” kata-katanya membuatkan aku kembali menegakkan badan.

"Kalau tak kerja aku nak korek duit dari mana? Ingat duit tu boleh gugur dari langit ke?" bidasku mengundang gelaknya.


“Kan aku dah cakap, aku boleh bantu kau. Tapi kau sombong, bagi duit pun tak nak ambik, ujarnya membuatkan aku menarik nafas panjang.


Sudah acap kali dia berkata begitu dan bantuannya dah tak terkira dek jari. Terkadang aku berusaha untuk menolak kerana aku tidak ingin 'mencemarkan' ikatan persahabatan ini. Aku menjadi sahabatnya bukan kerana dia punya segala-galanya tetapi aku ingin dia tahu bahawa aku jujur dalam persahabatan ini. Nilai persahabatan ini tidak terukur dengan harta duniawi.


Zura memang dilahirkan di dalam ‘dulang emas’ dan pastinya tidak pernah merasa jerit petir sebuah kehidupan. Cuma mungkin, dia pernah tersilap langkah dan terpesong arah tetapi nasib baiklah cepat tersedar dari kesilapan.

“Aku bukan sombong tapi aku tak nak terhutang. Kau pun dah banyak bantu aku, tak terbalas rasanya. Sudah berkali-kali aku jelaskan padanya berkaitan perkara ini tetapi Zura tetap juga tidak mahu menerima alasanku.


“Kawan apa kalau tak boleh bantu kawan?” Zura membidas.


Entahlah! Hari ke hari aku semakin penat dan lelah, terkejar-kejar menguruskan hal duniawi sedang masa yang berbaki untuk aku hidup entah berapa lama lagi. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ibu, ‘usahlah dikejar harta dunia yang hanya dipinjamkan Tuhan untuk kita.’ Persoalannya, bolehkah diampunkan jika aku yang terkejar-kejar ini bukan berniat mengejar harta duniawi tetapi sekadar ingin mencari sumber rezeki untuk mengisi dada dengan ilmu yang berguna?


Bab 6




Seawal pagi, aku sudah bersiap turun ke bawah. Setiap kali berada di sini, aku akan menolong Mak Yam menyediakan sarapan pagi. Adat menumpang, aku harus pandai membawa diri, itulah pesanan ibu yang melekat kuat dikotak fikiranku.


Sebelum turun ke bawah, aku capai mug kotor yang terletak di atas meja kecil yang tedapat di bilik tersebut untuk dibawa turun bersama. Ini mesti kerja si Zura, minum tak tahu nak basuh. Anak dara pemalas, aku mengomel di dalam hati sambil berlalu keluar.

Ketika tiba di bawah, kelihatan lampu dapur sudah terpasang. Aku pasti Mak Yam sudah bangun dan sedang menyiapkan sarapan pagi. Namun, sebaik memasuki ruang dapur, tiada sesiapapun yang berada di situ. Hanya kelihatan kuali besar tertenggek di atas dapur dan mee hoon yang telah direndam sedang ditoskan airnya di tepi sinki.


“Mak Yam!!”


“Ooo!! mak engkau.” Aku melatah kerana terperanjat mendengar jeritan yang kuat memanggil nama Mak Yam. Mug yang terpegang di tangan pula terlepas dari pegangan dan terus jatuh ke lantai. Bunyi dentumannya yang pecah berterabur di lantai membuatkan aku tergamam di situ.


Ya.. Allah! Turun naik dadaku tatkala melihat lembaga manusia yang berdiri di situ memandangku tidak berkelip. Mungkin dia juga terkejut dan tergamam melihat kejadian tersebut.

Dia? Aku pejam celik kelopak mata, takut-takut waktu itu aku masih bermimpi atau mungkin yang ada di depanku ini ialah jelmaan hantu di pagi hari. Rambut paras bahu yang dilepaskan bebas itu makin membuatkan aku keliru. Apa pula yang dia buat pagi-pagi buta di rumah besar ini?


Tidak! Aku tidak bermimpi dan di depanku ini memang manusia yang sama. Ya! Memang dialah orangnya, lelaki yang aku temui di parking KLCC dan sekali lagi datang bersama teman wanitanya ke kedai Gift For You tempoh hari dan teman wanitanya yang digelar Lilian ‘cantik tetapi perangai tak serupa orang' itu telah mengutuk gubahan bunga Lilian.

Ya! Aku tak mungkin lupa, bukan sebab perangai teman wanitanya tetapi kerana senyumannya yang buatkan mataku tak ingin bergerak dari memandang ulas bibirnya yang seksi itu. Isk! Bunyinya macam gatal aje. Jangan nak berangan Fea, kalau kita ini hanya helang yang hitam, usahlah bermimpi untuk menjadi merak kayangan. Suara hatiku berbisik perlahan


“Kenapa ni?” Fea... Fir, kenapa sampai pecah-pecah mug ni?” Mak Yam tiba-tiba muncul dengan membawa bersamanya segenggam daun kangkung. Pastinya tadi dia pergi mengutip kangkung tersebut di kebun mini belakang rumah.


“Entah! saya panggil Mak Yam aje, dia dah terkejut macam terdengar suara pocong melolong.” Lelaki itu terus menjawab dengan bersahaja. Ewah! Sedapnya bahasa, pocong melolong ya!


“Ya laaaa…. Kamu dengan rambut panjang gitu dah rupa macam hantu. Mana si Fea ni tak terkejut,” bidas Mak Yam membuatkan aku tersenyum lucu sambil menunduk untuk mengutip serpihan kaca yang bersepah di lantai


“Eh! Mak Yam, rambut cari makan ni. Ada pulak cakap macam hantu.” dia tidak berpuas hati.


“Sudah! Mari Mak Yam bersihkan kacanya. Pergi keluar dulu, kan kena kaki berdarah pulak nanti.” Mak Yam bertindak pantas mengambil penyapu dan penyeduk sampah untuk membersihkan serpihan kaca tersebut.


Kesian Mak Yam, satu kerja pula nak membersihkan lantai tersebut. Ini semua hantu pocong tu punya pasal. Kenapalah setiap kali kami bertemu, ada saja benda yang tidak kena berlaku?


Tidak tahu berbuat apa-apa, aku hanya berdiri di situ melihat Mak Yam melakukan kerja-kerja membersih dan ‘hantu pocong’ tu juga masih lagi tidak berganjak dari situ tetapi dia bukan memerhatikan Mak Yam sebaliknya sedang melirik pandang ke arahku.


“Ya Allah! Yang kamu berdua berdiri terpacak kat situ tu buat apa? Pergi keluar dulu, Mak Yam nak sapu dapur ni dulu. Kan ada yang berdarah kaki terpijak kaca ni.” Mak Yam sudah membebel marah melihat tingkah kami berdua.


Tanpa lengah, aku mula mengatur langkah keluar dari ruang dapur dan lelaki itu pula mengikut saja langkahku dari belakang.


“Ehem! Cantik rambut.” dia berdehem mengusik.

Spontan tanganku bergerak meraba kepala. Ya, Allah! Aku tak bertudung ke? Tanpa lengah, aku mengatur langkah panjang naik ke atas semula. Tak guna betul, aku mengutuk diri sendiri. Entah macamana boleh terlupa dan terkantoi pula dengan mamat ‘hantu pocong’ tu. Siapa dia sebenarnya?


Melangkah ke bilik, aku lihat Zura masih terbungkam atas katil. Dia ni dah sembahyang subuh ke belum? Aku cuba mengejutkan dia tetapi makin dikejut, makin dia mengerekok dalam selimut. Sejak di zaman kampus dulu, aku akan menjadi teman setia mengejutkan dia untuk menunaikan solat.


“Hoi! Subuh dah nak pergi. Kau jangan ikutkan sangat hasutan setan tu.” Makin kuat aku menggoncang tubuhnya.


“Apa niii....” Zura bagai mamai membuka sedikit kelopak mata.


“Subuh!” sergahku sambil menarik selimut yang menutupi tubuhnya. Dalam mamai dia bangkit menuju ke bilik air dan aku bergerak ke arah ‘sliding door’ untuk menyedut udara segar di pagi hari.


Sebaik saja berdiri di situ, mataku terpandang pula kelibat lelaki tersebut yang lengkap berpakaian sukan sedang berjalan ke arah pintu pagar. Pasti dia ingin keluar berjoging, patutlah badannya tegap, aku berbisik di dalam hati. Siapa sebenarnya dia ni? Ah! mungkin salah seorang saudara mara Zura yang datang ke sini untuk menghadiri majlis hari jadi tersebut.

Ketika aku ralit memerhatikannya, tiba-tiba dia mendongak ke atas tepat memandang ke arahku. Alamak! Kantoi lagi. Waktu itu, aku sudah tidak tahu lagi bagaimana untuk bersembunyi. Jikalah dia berada dekat pasti boleh melihat wajahku yang memerah menahan rasa malu.


Dari jauh aku lihat dia tersenyum dan mengangkat tangan melambai ke arahku. Gatal! Getus hatiku dan berpusing untuk masuk semula ke dalam. Ketika itu, Zura baru saja melangkah keluar dari bilik air.


“Apa hal kau ni, macam kucing hilang anak aje ke hulur ke hilir?” Zura menyergah.


“Kau tu! Jangan bermimpi waktu sembahyang, kan doa qunut entah ke mana.” Aku menjegilkan mata ke arahnya sebelum mencapai tudung untuk turun sekali lagi ke bawah.



1 comment:

Anonymous said...

bez la....bru folllow no.....smbung cpt yek.....