FOLLOWERS

Bab 4

Belajar sambil bekerja, itulah yang aku lakukan waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup lagi utuk menyusahkan ibu.

“Hah! Apa pasal you lambat?” Madam Wong terus saja menyergahku sebaik aku tiba di depan kedai Gift For You, tempat di mana aku bekerja sebagai ‘part time’.

Itulah yang sering terjadi tatkala aku lambat datang dan hari itu, buat kesekian kalinya aku terlambat lagi kerana menghadiri kelas ganti.

“Sekarang sudah pukul berapa? You patut masuk kerja pukul berapa?” Dia menyergahku lagi setelah melihat aku hanya diam mematungkan diri.

Ah! Dia memang begitu, membebel tak pernah henti sebab itulah aku dan dua pekerja lagi memanggilnya ‘nyonya nyanyuk’. Dia tidak pernah ingin mengambil tahu apa masalah pekerjanya. Sengaja datang lambat dan terpaksa lambat adalah dua perkara yang berbeza.

“Sorry madam, saya ada hal sikit tadi.” Aku memohon maaf dan berlalu masuk ke dalam.

“Itu saja yang you tahu....sorry, sorry, sorry. You fikir ini kedai tempat welfare ka?” Dia masih tidak berpuas hati dan mengekori belakangku sambil membebel macam mak nenek yang baru sihat dari demam panas.

Aku zipkan mulut dari menjawab. Kalau menjawab maknanya mengundang bala, sampai ke malam dia tak akan berhenti dari membebel. Silap-silap, Lilian dan Maggy yang menjadi rakan kerjaku juga akan terkena tempiasnya.

“Madam!” Tiba-tiba aje Lilian menjerit kuat memanggil bos kami dan sekali gus menyelamatkan aku dari serangan peluru berpandunya.

Maggy sudah tersengih-sengih sambil membuatkan bulatan menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya menandakan mereka telah berpakat menyelamatkan aku. Mmm.... nasib baiklah ada rakan kerja yang sporting.

“Hi! Dear, lama betul I tak tengok muka you.” Danny yang tiba-tiba keluar dari pintu pejabat yang bersambung dengan kedai tersebut menegurku. Dia satu-satunya anak Madam Wong yang cenderung pada perniagaan cenderahati itu. Dia memang kerap berada di situ menggantikan ibunya tatkala wanita itu terpaksa keluar untuk urusan perniagaannya.

Aku hanya menyengih dengan tegurannya. Dia memang baik denganku dan juga pekerja yang lain. Lelaki yang sekali pandang macam hero drama korea, Yoong Joon ini memang kuat menyakat.

“You dah buat apa dengan mak mertua you tu sampai dia bising-bising tadi.” Dia sudah mula menyakatku. Setiap kali berbicara di belakang mummynya, dia akan membahasakan wanita itu sebagai ibu mertua kami bertiga.

Dia juga selalu mengusik akan menjadikan kami bertiga sebagai isterinya. “Lilian bini tua sebab dia sudah tua sikit, Maggy bini nombor dua dan amoi cantik ni bini muda yang paling I sayang sekali.”
Ceh! Dia ingat senang ke nak kahwin tiga. Dia nak masuk agama apa? Lilian tu Kristian, Maggy pula Katolik dan aku pastinya Islam. Aku tak tahu apa pula anutan agamanya.

“Hah! Buat apa lagi ni?” Madam Wong menyergahku sekali lagi membuatkan aku membuka langkah panjang menuju ke arah Lilian untuk menolongnya memilih bunga segar dan mengasingkan mana yang telah layu.

Madam Wong pula sudah mengalihkan perhatian pada anak bujangnya dan bercakap-cakap dalam bahasa kantonis. Seketika kemudian dia menyandang beg tangan Carlo Rinonya dan berlalu keluar dari kedai tersebut.

“Saya keluar aarr...you orang jaga kedai baik-baik.” Pesannya sambil melangkah pergi. Pesanannya itu bagai satu rakaman yang diulang dengar ke telinga kami.

Aku dan Lilian saling berpandangan sambil menyimpan senyum. Maknanya, kami akan merdeka hari itu dan aku bolehlah membodek Danny untuk memohon cuti selama dua hari. Zura sudah berkali-kali mendesak aku pulang ke rumahnya yang terletak di Puchong Height untuk sama-sama meraikan majlis hari jadi anak saudaranya.

Baru saja hendak mengangkat punggung mencari Danny, kelihatan ada seorang pelanggan melangkah masuk. Aku terus mencuit lengan Lilian sebagai isyarat agar dia melayan pelanggan tersebut manakala aku ingin ke belakang mencari ‘anak tauke’ itu untuk memohon cuti.

“You punya pasal, nanti I bagi tahu mummy I.” itulah jawapannya apabila aku menyuarakan hasrat hati.

“You jangan lupa pulak. Nanti mummy mertua I tu mengamuk, takut pula terjadi gemba bumi kat Bangi ni.” Nada mengusik aku mengingatkan dia agar jangan lupa ‘membodek’ mummynya itu. Dia gelak kuat mendengar usikanku.

Seketika bercerita dengan Danny, tiba-tiba aku terdengar suara bising seorang wanita bertingkah dengan suara Lilian di sudut depan kedai di mana tempat kami memilih bunga segar tadi. Aku mengatur langkah ke arah tersebut bersama Maggy yang kebetulan berada berdekatan situ.

“Mana ada cantik macam ni? I tak suka!” Pelanggan perempuan yang aku nampak seketika tadi mencebir ke arah sebakul bunga yang telah siap digubah oleh Lilian di tangannya. Tidak jauh dari situ, berdiri seorang lelaki sedang bercakap-cakap di telefon. Wajahnya cuma nampak dari sisi tetapi cukup menarik di pandangan mataku. Rambut yang agak panjang diikat kemas ke belakang. Gayanya berdiri dengan sebelah tangan memeluk tubuh dan sebelah tangan lagi memegang telefon yang melekat di telinganya lebih menarik perhatianku berbanding pertelingkahan yang tercetus.

Mungkin menyedari diri sedang diperhatikan, lelaki itu tiba-tiba menoleh pandang. Serta merta darah merah serentak menyerbu ke muka. Pantas aku memalingkan wajah, termalu sendiri kerana tertangkap memerhati ‘anak teruna’ dan juga ‘buah hati’ orang.

“Tadikan cik sendiri yang pilih bunga-bunga ni?” Suara Lilian sudah sedikit meninggi, mungkin saat ini dia sudah kehilangan sabarnya.

“Tak cantik! You faham tak maksud tak cantik!?” Perempuan tersebut meningkah. Suaranya pula lebih tinggi dari suara Lilian.

“Minta maaf cik, kalau cik rasa tak cantik, kami boleh gubah kembali mengikut cita rasa cik.” Aku mencelah sambil menghulurkan tangan ke arah Lilian meminta bakul gubahan yang terpegang di tangannya.

“I tak nak! You nak buat apa, you punya suka. Lepas tu you sendiri beli.” Sungguh sarkastik suaranya betul-betul menyakitkan dan aku terus terdiam di situ.

“What happen?” Lelaki tadi tiba-tiba bersuara bertanya. Dia yang baru selesai berbicara di telefon sudahpun datang mendekati kami dan pandangannya menyapa ke wajah kami satu persatu. Wajah kacukan serta redup pandangan matanya buatkan aku terpaku memandangnya. Dia lagi! Memang sah, dia lelaki sama yang aku jumpa di parking KLCC minggu lepas. Mata hitamnya yang berwarna kelabu itu mamandang lama ke wajahku menjadikan aku sedikit kurang selesa.

“Jomlah! Kita cari kedai lain.” Perempuan tersebut terus bersuara ke arah lelaki itu. Serta merta pandangannya beralih kepada ‘buah hatinya’ itu.

“I tak mahu bunga tu, you belilah sendiri,” ujarnya pada Lilian sambil merangkul lengan teman lelakinya itu.

“It’s ok. I pay for it.” Lelaki tersebut tiba-tiba bersuara sambil menarik dompet dari poket seluarnya dan mengeluarkan sekeping duit lima puluh ringgit. Dia terus menghulurkan duit tersebut ke arahku. Terkejut dengan keadaan itu, tanganku terus bergerak menyambut hulurannya.

“Keep the change.” ujarnya sambil menghadiahkan aku sebuah senyuman manis. Wajah mencuka teman wanitanya aku pandang sekilas sebelum membalas senyuman lelaki yang aku anggap cukup gentleman dan budiman itu.

“Dia ingat muka dia banyak cantik cakap bunga aku gubah tak cantik? Mentang-mentang boyfriend dia kacak, ingat aku heran?” Lilian membebel-bebel tanpa henti. Agaknya dia ni memang dah ter’kenan’ dengan perangai Madam Wong.

“Weh! Apa kena mengena dengan boyfriend dia?” Maggy mencelah.
“Yalah! Perangai macam hantu raya. Itu lelaki pun bodoh! Perempuan macam itu pun nak dijadikan girlfriend. Harap muka aje cantik tapi perangai tak serupa orang!” Reaksinya mengundang gelakku. Amoi ni kalau marah boleh tahan juga anginnya, kalah taufan katrina.

No comments: